BINA APARTMENT UNTUK BURUNG LAYANG-LAYANG
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
Anda mungkin tidak perlu ke Gua Gumantong atau Gua Madai untuk melihat sarang burung layang-layang. Anda hanya perlu memandu kira-kira 20 minit dari bandaraya Kota Kinabalu ke Kampung Langsat melalui Jalan Papar Lama untuk melihat burung layang-layang berterbangan untuk pulang ke `sarang'nya.
`Sarang' burung layang-layang itu merupakan sebuah bangunan setinggi 6 1/2 tingkat, mungkin yang terbesar dibina untuk sarang burung layang-layang di Asia Tenggara. Dianggarkan kira-kira 500,000 burung layang-layang bermukim di bangunan itu yang sengaja dibuat berbilik-bilik bagi memberikan keselesaan kepada burung layang-layang untuk berkeliaran terbang ke sana kemari sebelum masuk kamar masing-masing untuk beradu.
"Setiap petang kira-kira jam 6.15 hingga jam 6.30 petang, burung-burung layang itu akan pulang ke sarangnya. Kita boleh menyaksikan burung layang-layang terbang berbondong-bondong untuk pulang ke sarangnya setelah seharian mengitari lembah, laut dan bukit bukau," kata pengusaha burung layang-layang, Datuk Haji Halik Zaman.
Burung-burung itu keluar mencari makan setiap jam 6.00 pagi. "Mungkin inilah burung layang-layang yang paling bertuah kerana mempunyai tempat tinggal yang mewah. Tetapi apartment ini tidak dibina secara sekaligus. Menurut beliau, apatment itu dibina setingkat demi setingkat sehinggalah ia siap.
Pada mulanya bangunan itu dibina untuk dijadikan tempat tinggal tetapi pembinaannya tergendala. Kemudian selepas menyedari bahawa ia menjadi tumpuan burung layang-layang maka beliau mengambil inisiatif untuk menyesuaikannya sebagai tempat burung layang-layang membuat sarang. Ia mempunyai suhu ideal kira-kira 24 hingga 29 darjah celcius dengan kelembapan kira-kira 80 hingga 95 peratus.
"Mulanya saya berasa hairan melihat ribuan burung layang-layang berterbangan dekat bangunan itu. Saya lalu meminta Jabatan Hidupan Liar untuk datang memeriksa. Mereka mendapati tempat itu sesuai untuk membiakkan burung layang-layang. Apatah lagi kerana ia terletak di tengah-tengah lembah dikelilingi perbukitan dan berdekatan pula dengan Laut Cina Selatan. Menurutnya burung layang-layang itu akan membiak sepanjang tahun depan. Adalah dijangkakan pada tahun 2008 atau 2009, sarangnya boleh dikutip dan dipasarkan.
Datuk Halik menggunakan rakaman CD berisi suara burung layang-layang untuk menarik burung layang masuk ke apartmen itu, mendiami dan membuat sarang di dalamnya.
"Kami buat rakaman CD dari Gua Gumantong kira-kira dua bulan yang lalu," katanya. rakaman CD burung layang-layang ini mulai dibunyikan kira-kira jam 4.00 petang untuk menarik burung layang-layang.
Tetapi hanya dalam masa lima belas minit iaitu dari jam 6.15 hingga jam 6.30 petang, kita akan melihat ratusan ribu burung layang-layang terbang pulang ke sarangnya," kata Datuk Halik.
Di antara ruang kamar, juga dibina tempat untuknya berputar-putar sebelum burung-burung itu masuk ke kamar untuk tidur.
Agak menarik juga kerana Datuk Halik dapat mengenali tabiat burung itu dengan baik. Burung layang-layang mempunyai deria bau yang sangat sensitif, sebab itu boleh melumurkan bangunan itu dengan tahi burung kerana burung itu suka bau kotorannya sendiri.
Katanya, tahi burung layang-layang itu adalah baja nombor satu, kualitinya tinggi dan boleh digunakan untuk baja sayur-sayuran, bunga-bungaan dan buah-buahan.
"Insya Allah, sampai waktunya nanti , sarang burung layang-layang itu akan mendatangkan hasil lumayan.
"Cuba lihat ke sana, burung yang masuk ke basement itu adalah burung layang-layang merah," katanya sambil menunjukkan burung layang-layang yang sedang memasuki sarangnya di tingkat bawah bangunan itu. Jelasnya, sarang burung layang-layang merah itu dikategorikan sebagai superclass dan boleh dijual RM20,000 sekilogram.
Sarang Putih yang dikategorikan kelas pertama berharga kira-kira RM15,000 sekilo. Manakala sarang merah yang dikategorikan sebagai kelas super berharga kira-kira RM20,000 se kilogram manakala untuk sarang hitam ia berharga kira-kira RM8,000 sekilogram.
Mengikut Datuk Halik, sarang burung layang-layang itu akan dipasarkan di luar negara Korea, Taiwan, Jepun, Australia , Amerika dan England.
Kesungguhan Datuk Halik dalam perniagaan memang layak dipuji. Beliau berkata sungguhpun beliau jatuh bangun dalam perniagaan , namun beliau tidak pernah berputus asa.Beliau terus mencuba dan mencuba dan hari ini, secara tak sengaja Allah S.W.T telah menganugerahkan rezeki kepadanya dengan mendatangkan burung layang-layang untuk bersarang di rumahnya. Datuk Halik bukan calang-calang orang, beliau merupakan mantan Ketua Penerangan Parti Berjaya yang memerintah negeri ini sejak tahun 1976-1985.
Ketika ditanya, apakah beliau masih berminat menceburi dunia politik, Datuk Halik hanya tersenyum sambil berkata `no komen' .
Buat masa ini saya hanya menumpukan usaha dalam bidang perniagaan, katanya. Beliau yakin sarang burung layang-layang yang diusahakannya akan mendapat hasil yang lumayan. Katanya, mungkin hanya ada sedikit orang yang membina rumah untuk dijadikan sarang burung layang-layang.
Padahal burung layang-layang biasanya tinggal di dalam gua di sekitar Laut Cina Selatan. Di Sabah, burung layang-layang mendiami Gua gumantong, Gua Madai, Pulau Mantanani, Pohon Batu di Keningau dan khabarnya, Datuk Haji Karim Bujang juga mengusahakan ternakan burung layang-layang ini di Kuala Penyu.
Burung layang-layang ini boleh dieksport keluar negara.Selama ini pengeksport layang- layang ialah Thailand, Vietnam, Singapura, Malaysia, Myanmar, India Selatan dan Sri Lanka.
Menurut beliau, sup burung layang-layang itu dikenal sebagai kaviar dari Timur, juga dibuat jelly, sos penyedap makanan dan menambah gizi.
Apartmen burung layang-layang Datuk Halik itu turut menarik minat para pelancong dalam dan luar negara.Malah baru-baru ini, tempat itu turut dilawati oleh Senator Datuk (Dr) Lee Chong Meng, dari Bukit Bintang Kuala Lumpur. Selain itu, sarang burung layang-layang itu turut dikunjungi oleh peminat burung layang-layang.
Mengikut catatan sejarah, keluarga Diraja china dari Dinasti Ming yang memerintah Cina dari tahun 1368-1644 telah mengetahui pelbagai khasiat sarang burung layang-layang. Semenjak abad ke-16, mereka telah mengamalkan pemakanan sarang burung layang-layang kerana dipercayai sarang burung layang-layang itu boleh mengubat pelbagai penyakit.
Sejak itu, para pelaut Cina sanggup menempuh gelora dan ombak ganas semata-mata untuk mendapatkan sarang burung layang-layang. Ia mempunyai sejarah yang cukup panjang dengan pelbagai cerita suka dan duka. Bahkan untuk mendapatkan sarang burung layang-layang bukannya mudah. Sarang burung layang-layang terletak di dalam gua yang kelam dan tak mampu ditembus cahaya. Letaknya di tempat yang tinggi dan amat berbahaya. Tidak sedikit pemanjat-pemanjat sarang burung yang menemui ajal kerana terjatuh ketika mengutip sarang burung layang-layang. Sungguhpun begitu, sarang burung layang-layang memang mendatangkan hasil yang lumayan bagi para pewaris sarang burung layang-layang sejak zaman berzaman.
Tetapi kini, satu kaedah baru telah ditemukan untuk mengusahakan sarang burung layang-layang seperti yang diusahakan oleh Datuk Halik.Beliau sanggup menjadikan apartmentnya untuk dijadikan tempat untuk burung layang-layang membuat sarangnya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan para sarjana dari Universiti di Jepun dan Hong Kong, sarang burung layang-layang mengandungi sehingga 20 jenis glikoprotein iaitu sejenis bahan yang mudah dihadamkan dan diasimilasi oleh tubuh untuk menghasilkan tenaga dan menjalankan pelbagai fungsi badan
"Ia dikatakan amat baik untuk kesihatan, membantu pesakit-pesakit yang lemah serta warga tua memandangkan ianya merupakan protein larut air yang mudah diserap dan dihadamkan walaupun oleh sistem penghadaman yang lemah," katanya.
Kajian juga menunjukkan ia mengandungi faktor pertumbuhan tisu epidermal yang membantu fungsi darah dalam menjalankan proses regenerasi ~ iaitu proses penghasilan sel-sel baru. Dengan itu sarang burung layang-layang dipercayai amat membantu memulihkan kecederaan dan menyembuhkan luka pembedahan dengan cepat.
Selain itu burung layang-layang juga dikatakan boleh digunakan untuk awet muda dan kecantikan. Bagi masyarakat cina, khasiat sarang burung layang-layang telah diakui sejak dahulu lagi.melancarkan fungsi paru-paru,melegakan batuk,membersihkan darah ,memulihkan tenaga selepas sakit,menghilangkan kelesuan ,mencerahkan kulit ,memulihkan asma ,menambah daya tahan tubuh ,melancarkan peredaran darah ,meningkatkan kekuatan jantung dan melambatkan proses penuaan.
"Disebabkan khasiat pemakanan yang tinggi dari segi kesihatan inilah menyebabkan harga sarang burung layang-layang begitu tinggi dipasaran," katanya.
Khamis, 20 November 2008
Bina apartment untuk burung layang-layang
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:21 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments so far
abg nad,
sayangnya...gambar apartment burung itu tak ada..