Isnin, 17 November 2008

Cerita Tentang Kapal, sampan dan Cintaku dalam perahu

Tags


Catatan deasoka....cerita tentang kapal, sampan dan cintaku dalam perahu

i- Barangkali inilah kali kedua saya menaiki kapal Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM). Agak menarik pengalaman itu kerana kami dibawa ke Pengkalan Tentera Laut Wilayah Dua di Teluk Sepanggar bagi membuat liputan kunjungan Leftenan Komander David Sowter dari HMAS (Her Majesty Australian Ship) Leeuwin yang berpengkalan di Canne, utara Australia. Beliau diterima oleh Kepala Staff TLDM Teluk Sepanggar, Kapten Ismail Abdullah.

Tiba-tiba saja timbul persoalan mengapa kapal tentera di panggil Her Majesty dan bukan His Majesty. Apakah kerana Australia masih sebahagian negara Komanwel yang diketuai oleh Baginda Queen. Ketika ditanyakan kepada Leftenan Syamil, kami mendapat jawapan yang berlainan. Kapal tentera di panggil Her Majesty kerana ia dianggap seperti perempuan, penting tetapi sensitif, sukar dijaga tetapi tanpanya operasi tak dapat dijalankan.
"Sebab itu, ia dipanggil Her Majesty Ship dan bukan His Majesty Ship," katanya entah betul entah bergurau. Seorang pemberita dari akhbar Cina mengangguk-angguk.
"Oh, saya faham sekarang, itulah sebabnya ia melahirkan ramai anak-anak kapal".

Kami agak terlambat kerana kapal yang dijadualkan mengambil kami rosak enjinnya dan satu lagi kapal terpaksa dipanggil untuk membawa kami ke Teluk Sepanggar. Ia meluncur laju di atas air, dan mengambil masa hanya kira-kira 20 minit dari kota Kinabalu ke Pangkalan TLDM. Memang seronok tetapi cuaca panas membakar kulit kami. Namun dalam perjalanan balik itu, suhu bertambah panas lagi apabila krew kapal meluap marah kepanasan kerana si orang putih itu tadi melengah-lengahkan masa sehingga ketika waktu solat Jumaat tiba, kami masih berada di tengah laut.

ii. Bersama Irzan, anak muda kesayangan bapanya Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, kami ke Dewan Besar DBP menonton pementasan Teater Grup G-Tel UMS dengan kerjasama Hoo Haa Studio bertajuk 6 Persimpangan Karya Alan James arahan Tasia Arlina Ismaily.

Teater itu memang menarik, tak dapat saya nafikan, apatah lagi ia mendapat suntikan idea daripada seorang pengarah wanita muda, Tasia Arlina yang sering didambakan ramai orang dalam dunia teater kita. ramai juga yang datang termasuk tokoh-tokoh seperti Osman Nasroh, Awang Karim Kadir, Karim Gullam, Nandra Hitong dan tidak terkecuali Haji Ismaily sendiri.

Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas dan orang kuat UMS, Prof Inon Shaharuddin pun datang sambil memuji persembahan itu sebagai berani. Beliau tidak menyangka sebaik itu, apatah lagi ia dilakonkan pelajar tahun satu UMS. 6 Persimpangan memang membawa pembaharuan, sekali lagi kita ucapkan tahniah kepada pengarahnya Tasia Arlina. Propsetnya cantik, tata bunyinya pun ok, tata cahaya bolehlah dikatakan baik.

Cuma yang menghairankan saya ialah betapa tidak sensitifnya mereka turut melakonkan watak malaikat. Bagi saya tenaga produksi termasuklah pengarah dan pelakonnya perlu lebih sensitif terhadap sensitiviti di negeri ini. Saya fikir tidaklah wajar watak malaikat dilakonkan. Itu saya fikir, orang lain fikir, lain lagi pandangannya.

iii. Lima keluarga di Kampung Wak Wak Teluk Sepanggar tidak berpuas hati kerana tidak diberi pampasan oleh kerajaan selepas rumah mereka terpaksa dirobohkan kerana memberi laluan untuk pembinaan jalan ke pangkalan TLDM. "Kami sepatutnya diberi pampasan, janganlah banyak, sikit pun jadilah... kami berhak dapat apa yang orang lain boleh dapat." kata Naskah Insan, jurucakap penduduk. "Kami juga memohon diberi tempat berpindah yang lebih sesuai".

Lalu dibawanyalah saya untuk melihat penempatan semula fasa Dua di Kampung Numbak. Bila sampai di pengkalan, kami terpaksa menaiki pump boat yang hanya boleh ditumpangi oleh tiga orang untuk ke seberang. Perjalanannya tidak berapa lama tetapi perasaan yang ditanggung agak menyeramkan juga. Tetapi itulah, siapa suruh memilih kerjaya sebagai wartawan.
Bila sampai ke penempatan itu, agak terkejut juga melihat keadaan di situ. Wayar-wayar elektrik telah dipotong dan dicuri. Tak ada bekalan air maka tong pun dicuri. Penduduknya mengaku warga negara tetapi saya tidak melihat mereka mempunyai sikap sebagai warga negara yang baik.

Tetapi saya seronok melihat kehidupan di situ. Sentiasa rancak dan hidup. Anak-anak kecil, mungkin berusia enam atau tujuh tahun berani mengayuh sampan sendiri. Saya kagum dengan kepakaran mereka. namun di sebalik kekaguman itu, saya mengalami saat-saat yang mencemaskan.
Walaupun saya tertawa sendiri, tetapi yang pasti saya hampir terjatuh ke dalam laut apabila perahu yang kami naiki hampir tenggelam kerana tiba-tiba tertolak ke tengah, tidak dapat mengimbangi badan kami yang gemuk. Sebelah kaki saya sudah berada di dalam air, ketika saya berpaut ke jambatan. Saya hanya tertawa ketika itu, tetapi sebenarnya saya takut, dan mengingati detik-detik cemas itu, saya tambah takut lagi. Tapi saya tak pernah jera untuk menjadi wartawan kerana itulah pilihan saya.

iv. Saya teringat Lajis dalam novel Hujan Pagi A.Samad Said. Dia juga, kalau tak silap saya pernah mengalami pengalaman naik perahu. Ketika itu secara tidak sengaja dia bertemu Niram, gadis dari kampungnya yang semakin dewasa dan cantik, pintar dan cerdik. Lajis terkejut bila melihat Niram sudah membesar selepas lama dia tak balik ke kampung.

v.Tiba-tiba saya terfikir menjadi Lajis dan cinta saya juga lahir dalam perahu. Alangkah seronoknya kalau saya dapat berhanyut-hanyut dalam perahu bersama orang yang dikasihi di bawah cahaya bulan. Tetapi yang jelas bukan di Numbak dan bukan di atas sampan yang dikemudi Mamil.

6 Mei 2007