Catatan deasoka...saibil, bengkoka dan cerita tentang ombak
Sudah lama tidak bertemu Saibil Madun. Penyair ini seakan-akan menyepi walaupun beliau merupakan antara penyair Sabah yang paling dihormati. Pernah menang Hadiah Sastera Malaysia, dan tentunya Hadiah Sastera Sabah, puisi-puisi Saibil dengan bahasa yang puitis berkisah tentang laut dan dunia nelayan. Berkisah tentang nelayan yang menganyam jala, berkisah tentang moluska di tepi pantai. Saya kira hanya Saibil penyair yang secara tekun menangkap suka duka dan menekuni perih pahit getir nelayan. Sayangnya, belum ada lagi kumpulan puisi Saibil yang terbit selepas Laut Sebuah Ayunan.
Jadi pertemuan kami kali ini sudah tentu sesuatu yang ditunggu-tunggu. Saya sedang duduk minum di City Park dengan Amai Adzlan dan Lamsari sambil menunggu Saibil yang datang bersama Jair Sulai.
Saya sempat menanyakan tentang sahabat saya Masrani Madun. Apa khabar dia sekarang? Selepas kumpulan puisinya `Cermin' nya hilang di perhentian bas, beliau tidak lagi seprolifik dahulu.
Tapi Saibil datang bukan bicara mengenai puisi. Dia terlibat mempromosi Pesta Bengkoka, untuk memperkenalkan Pitas sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik di negara ini.
ii. Pesta Bengkoka dianjurkan semula dengan suasana, imej dan penampilan baru yang lebih ceria serta berwarna-warni. Selepas menyaksikan kemeriahan pesta ini, para pelawat boleh meneruskan lawatan ke tempat-tempat menarik alam semula jadi yang mempesona.
Pengalaman menakjubkan ini akan tinggal dalam memori yang sukar dilupakan, demikian menurut risalah mengenai pesta itu.
Daerah Pitas yang terletak di utara tanduk sebelah timur Pulau Borneo, mempunyai keluasan 141,935 hektar dan boleh dihubungi melalui rangkaian jalan raya yang baik dengan perjalanan selama 2 1/2 jam dari ibu negeri.
Pitas juga mempunyai kepelbagaian etnik dan suku kaum, dengan penduduk seramai 36,000 orang terdiri dari suku kaum Tambanuwo, Sungai, Bajau, Rungus dan Kimaragang adalah sebuah daerah yang kaya dengan budaya dan tradisi, hasil pertanian, perikanan, perhutanan dan perniagaan menjana pembangunan ekonomi daerah.
Keunikan `bagang' di Teluk marudu, iaitu sejenis peralatan tradisional menangkap ikan bilis dan panorama matahari jingga terbenam pada waktu petang.
Antara tempat menarik berhampiran Pekan pitas ialah ladang ternakan rusa dan kehadiran burung-burung bangau putih, keajaiban alam di Pulau batu Itik kanibongan, aktiviti memancing ikan dan sebagainya.
Pitas juga mempunyai lagenda tersendiri iaitu Lagenda Si Perak (sama seperti cerita si tanggang) yang terletak di kampung Malubang, dimana di dalam kapal batu ini terdapat objek seperti tubuh manusia, meja, bangku, tali kapal yang semuanya telah menjadi batu
Pengunjung dan pelancong boleh juga menyusuri Sungai Bengkoka melimpahkan ketenangan luar biasa manakala pelawat berpeluang melihat Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di habitat asalnya sambil mendengar bunyi-bunyian unggas, dan alam semula jadi yang pasti menghiburkan.
Kata Saibil, Pitas juga memiliki pantai-pantai yang cantik seperti Pantai Lembayung, Pantai Torongguh yang setanding dengan pantai lain di Sabah kerana pasirnya putih, bersih yang sesuai dengan aktiviti rekreasi.
iii. Saya terjumpa Bahari Aship, seorang penulis veteran, secara kebetulan ketika berjalan-jalan di Kompleks Segama. Beliau pernah menulis puisi dan cerpen tahun-tahun 60-an dan 70-an kini masih tampak sihat walaupun usianya sudah 67. Sudah dua tiga bulan ini, katanya beliau tak menghantar ruangan untuk kolumnya Senyum Pagi Bersama Bahma di New Sabah Times. Datuk Ayub balik-balik tanya, mana senyum pagi. Katanya, banyak sudah catatan yang dikumpulkan tetapi dia terhenti kerana mesin taipnya tertinggal di rumahnya di Sembulan.
iv. Jalil datang lalu kami minum di Restoran Rahmat. Saya makan tapai pulut, Jalil memesan kuih pau. Jalil atau A.Jalil Madarin, seorang aktivis belia satu ketika dulu juga sebenarnya pernah menghasilkan puisi. Beliau kini banyak menulis berita, walaupun kadang-kadang turun ke laut di Teluk Marudu mengisi masa lapangnya.
"Saya tunggu-tunggu, nelayan merapat ke pantai, tapi mereka masih di tengah laut," katanya.
Saya tiba-tiba terfikir, cerita saya ini masih terapung-apung di tengah laut. Belum juga mendekati tepian pantai.
Ombak yang mencecah kakiku sekali, kini tak dapat kukenali lagi. Saya teringat sajak pak Samad.
23 Julai 2007
Isnin, 17 November 2008
Saibil, bengkoka dan cerita tentang ombak
✔
abd naddin
Diterbitkan 6:28 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)