Khamis, 20 November 2008

Sekilas sejarah Islam di Putatan

Tags

SEKILAS SEJARAH ISLAM DI PUTATAN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Keistimewaan Putatan satu ketika dahulu bukan semata-mata terletak pada kehijauan sawah padi atau pada anak anak bukit yang dikatakan indah itu. Ia bukan juga terletak pada banyaknya pokok-pokok kayu putat sehingga tempat itu mendapat namanya Putatan. Keistimewaan Putatan sebenarnya terletak pada kedudukannya yang amat strategik sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan tongkang-tongkang dan perahu layar yang datangnya dari berbagai tempat di seluruh nusantara seperti Kepulauan Sulu, Kalimantan, Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Brunei, Singapura dan lain-lain.

"Sungai yang mengalir dari Moyog melalui Kampung Tarawi hinggalah ke muara sungainya di Tanjung Dumpil, ianya disebut Sungai Putatan yang dahulunya memang terkenal sebagai pelabuhan dan persinggahan kapal," tulis Datuk Haji Awang Sahari Abd.Latiff (kini Allahyarham) dalam kertas kerjanya bertajuk "Sejarah Gerakan Islam dan Perjuangan Ulama di daerah Putatan"

Putatan adalah suatu tempat yang bukan saja menjadi tempat persinggahan para peniaga dan pengembara, malah menurut tokoh pendakwah ini, ramai di antara peniaga dan pengembara itu tertarik dengan gadis-gadis tempatan lalu berkahwin dengan mereka.

Mereka terus bermastautin turun temurun di Putatan sehingga ke hari ini. "Di antara peniaga yang datang pada abad ke-19 itu, terdapat mereka yang memiliki sedikit sebanyak ilmu asas-asas agama seperti mengaji muqaddam al-Quran, kitab perukunan, berzanji dan apa saja ilmu agama yang ada pada mereka lalu diperturunkan pada orang-orang tempatan," kata Allayharham yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah 2003 ini.

Menurut beliau, para peniaga dan pengembara ini menjadikan diri mereka sebagai aktivis agama dengan mengajar atau menjadi guru sukarela dan tidak berdaftar di rumah masing-masing, di masjid-masjid dan juga secara sukarela bergilir-gilir menjadi imam masyarakat dan imam rawatib di masjid.

Antara yang disebut-sebut sebagai aktivis agama secara sukarela itu ialah Imam Haji Ismail Nakhoda Ibrahim yang berasal dari Sibu Sarawak dan Imam Haji Ahmad Buntal yang berasal dari Melaka.

"Imam Haji Ismail bin Nakhoda Ibrahim berasal dari Sibu. Pada mulanya beliau berkahwin dengan gadis tempatan dan terus menetap dan bermastautin di Putatan. Beliau telah mewakafkan sebidang tanahnya sebagai tapak masjid di Kampung Teguli, Putatan./Beliau juga telah berusaha mendatangkan dua batang tiang berukir indah dari Sarawak melalui jalan laut pada masa itu. Tiang yang berukir indah itu masih ada sehingga ke hari ini di bangunan masjid lama," tulisnya.

"Sementara itu, Haji Ahmad Buntal berasal dari Melaka dan berkahwin dengan gadis tempatan dari Tuaran. Cucu cicitnya masih ramai yang bermastautin di Putatan ketika ini. Mulanya, Haji Ahmad berkhidmat sebagai salah seorang pegawai pentadbir di Pejabat Daerah Putatan yang terletak Kampung Lok Bunu ketika itu di antara tahun 1892 hingga 1901.

Setelah berkhidmat selama sembilan tahun, beliau terus melibatkan diri dalam apa jua kerja amal berkaitan agama Islam, tulisnya.

Bagaimanapun, pada awal abad ke-20, masyarakat Putatan mulai sedar betapa perlunya pelajaran dan pengajian agama Islam terus diperkembangkan.

"Bermula dari kesedaran tersebut, maka bangkitlah aktivis-aktivis agama yang lainnya sebagai pernyambung tenaga aktivis awal seperti Imam Awang Salleh berasal dari Banjar, Imam Haji Taip juga berasal dari Banjar,Imam Jalil bin Lamit orang tempatan, Imam Haji Dahlan berasal dari Riau, Imam Haji Gadur berasal dari Riau, Imam Haji Shukur berasal dari Banjar, Imam Siso berasal dari Kelantan dan Imam Haji Momin, orang tempatan," .
Disamping menjadi guru kepada anak-anak di sekeliling rumah dan menjadi imam rawatib di masjid secara bergilir-gilir.

Namun demikian, Imam Haji Momin, tidak berpuas hati sekiranya masyarakat Islam di Putatan dibiarkan berterusan begitu saja tanpa sebarang usaha untuk mencari imam yang benar-benar berkermampuan menangani masalah agama di Putatan.

"Oleh yang demikian, beliau telah dipilih sebagai mewakili masyarakatnya mengunjungi Haji Yaakub bin Ali yang ketika itu, berada di Brunei untuk menjadi imam di Putatan, Alhamdulillah setelah hasrat itu disampaikan kepadanya, ia mendapat respons yang baik daripada Haji Yaakub.

Kemudian, Haji Yaakub Haji Ali, yang berasal dari Kampung Chetok Pasir Mas Kelantan dilantik menjadi imam berdaftar di Putatan dari tahun 1914 hingga 1930.

Selepas itu, Imam Jilun bin Jilang pula dilantik sebagai Imam bermula dari tahun 1930 hingga 1934. Pada tahun 1934, Imam Abd.Latif Mohd. Taha berasal dari Brunei dilantik sebagai imam Putatan bagi menggantikan tempat Imam Jilun bermula dari 1 April 1934 hingga 11 Oktober 1934. Bagaimanapun, Imam Abd.Latiff kemudian dilantik sebagai imam di Tuaran dan tempatnya, diambil alih oleh Imam Suhaili Haji Yaakub pada 12 Oktober 1934 hingga 11 Februari 1940.

Imam Ahmad Mus Haji Ismail yang merupakan murid Haji Yaakub dan Imam Suhaili telah dilantik sebagai imam Putatan bermula dari tahun 1940 hingga tahun 1953.

Dalam tahun 1953 sehingga 1961, berlaku sedikit insiden berhubung dengan masalah kepimpinan di daerah tersebut sehingga menjadikan pengajian agama Islam tergendala seketika dan kurang mendapat bimbingan. Maka mulai dari peristiwa itulah jawatan imam saling bertukar ganti.

Antara mereka yang bertukar ganti dalam insiden itu ialah Imam Milin bin Jeratil,. Imam Harun bin Pakir, Imam Mohd. Said bin Hashim dan Imam Satur. Peristiwa itu berklarutan sehingga ke tahun 1961 apabila imam Satur berhenti dari jawatan imam Putatan dan telah digantikan oleh Imam Milin Jeratil hingga kini.

Imam Milin bin Jeratil telah dilantik menjadi imam Putatan bermula dari tahun 1961 hingga pertengahan lama berkhidmat dalam sejarah daerah Putatan.

Bermula dari tahun 1950, Agama Islam di Putatan dan sekitarnya terus berkembang. Jumlah masjid dan surau terus bertambah kepada 13 buah.

Dalam pada itu, menurut Haji Awang Sahari, semangat berpersatuan mula timbul pada tahun 1958 apabila Persatuan Islam Putatan ditubuhkan pada 25 Oktober tahun itu.Oleh kerana kedudukan Putatan tidak begitu jauh dari Jesselton (kota Kinabalu) iaitu kurang 13 km sahaja, walaupun ketika itu jalan perhubungan hanyalah menggunakan landasan keretapi tetapi Putatan boleh dianggap memiliki masyarakat yang berpendidikan.Oleh yang demikian, berbagai kegiatan dilaksanakan demi untuk menyesuaikan kedudukan masyarakat Islam di Putatan supaya terus maju dan tidak ketinggalan zaman.

"Apa yang ada pada pemikiran pemuda Islam Putatan pada masa itu diantaranya ialah bagaimana mengwujudkan sebuah sekolah agama Islam di Putatan supaya anak-anak mereka dapat belajar melalui sistem sekolah moden," tulisnya.

Ekoran daripada itu, pada 25 Oktober 1959, satu mesyuarat diadakan di Masjid Jamek Kampung Teguli Putatan dan dihadiri oleh lebih dari 100 orang dari seluruh kampung di sekitar daerah itu. Mesyuarat itu telah dipengerusikan sendiri oleh Awang Sahari Abd.Latiff dan dibantu oleh Mohd.Jad Pandikar. Hasil persetujuan dalam mesyuarat itu maka mereka bersetuju mewujudkan Persatuan Islam Putatan (PIP).

Mesyuarat telah memilih seramai 21 orang jawatankuasa yang terdiri daripada N.C. Asai bin Ghani (Pengerusi), Mohd.Salleh Everwein (Naib Pengerusi) Sahari Abd.Latiff (Setiausaha) Mohd.Zain Simamah (Penolong Setiausaha),Imam Harun bin Pakir(Bendahari) manakala ahli jawatankuasa terdiri daripada Mahali Abu Bakar, OT Ismail Rajab, OT Ag.Jaya, Pg.Abd.Razak Pg.Ahmad, Haji Omar bin Japar, OT Arshet Ghani, OT Wahid Sulai, Pg.Abd.Wahab Pg. Ahmad. Mandor Minoh. OT Serati. Feruz Mahmun Miralan dan Mohd Seh Stapa. Imam Jalil dilantik sebagai penasihat 1 dan Imam Ahmad Mus dilantik penasihat 2 manakala Hamzah Mohd.Amin dan Mohd.Zain Simamah dilantik sebagai pemeriksa kira-kira.

Apabila persatuan Islam sudah wujud, maka agenda utama yang diusahakan ialah membangunkan sekolah agama rakyat yang diberi nama Madrasah Tahzibiah. AJK yang dilantik ialah Mohd.Jad Pandikar (Pengerusi) Madiah Haji Ahmad Mus (Naib Pengerusi), Mohd.Said Hashim (Bendahari) Mohd.Zaini Sani (Setiausaha) dan jawatankuasa terdiri daripada Sahari Abd.Latif, Ahmad Mus Haji Ismail, Suin bin Adul dan Hamzah Mohd.Amin.

Bangunan madarash tersebut telah mula didirikan pada awal tahun 1964 namun ia belum dapat digunakan sepenuhnya sebagai sekolah agama sebagaimana yang dicita-citakan kerana belum siap sepenuhnya dan belum mendapat permit kebenaran dari pihak berkuasa. Oleh yang demikian, bangunan sekolah itu telah digunakan sementara untuk mengajar kelas dewasa dan tenaga pengajarnya Cikgu Mohd.Din Sulai. Walaupun kelas pengajian agama tidak dapat dilaksanakan dengan segera tetapi persiapan perabot sekolah seperti kerusi, meja dan lain-lain telah dapat diadakan.

Pada awal 1966 sekolah agama tersebut telah beroperasi dengan bilangan muridnya seramai 140 orang. Guru pertama yang mengajar di sekolah itu ialah Ustazah Azizah Mohamad dan adiknya Hayatun Mohammad berasal dari Kg.Lalang, Padang Rengas Perak.

Madrasah Tahzibiah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun pada 27 November 1966. Pada masa itu madrasah ini dipengerusikan Mohd.Din Sulai.

Pada tahun 1971, Madrasah Tahzibiah telah ditukar menjadi Sekolah Agama Islam dan pentadbirannya telah dipindah daripada Badan Persekolahan PIP kepada Jabatan Pendidikan Islam,. Majlis Ugama Islam Sabah.

1 comments so far

menurut sejarahnya juga PIP telah bergabung dengan persatuan islam dari tawau (kalau tidak silap) dan terbentuklah USIA, begitu besarnya sumbangan putatan kepada islam suatu masa dahulu kini tertinggal dari segi menghasilkan imam-imam besar negeri. Pembangunan yang dibawa oleh Datuk Yahya Hussin tidak diikuti dengan bimbingan agama yang seiring.