Isnin, 17 November 2008

tentang sebatang jalan

Tags

Catatan deasoka…tentang sebatang jalan

i.Sewaktu balik ke kampung beberapa hari yang lalu, saya mengajak Ineng (Amiruddin) dan Mensang (Jamsa) untuk mengunjungi pantai. Hari sudah malam tetapi kami bermotosikal di atas jalanraya yang diaspal sampai ke tanah perkuburan Batu Gadung.
Sudah lama tidak ke tepi pantai itu, pantai yang akrab dengan kehidupan masa kecil kami.

Terlalu banyak kenangan di pantai yang indah dengan pasirnya yang keemasan.Malah saya juga pernah menemani Sasterawan Negara Prof.Muhammad Haji Salleh (bersama Norawi Haji Kata)untuk melihat pantai yang menghadap Laut Cina Selatan itu. Di depan kami, tentulah Pulau Mantanani yang kelihatan berbalam-balam. Kata Prof.Dr.Muhammad, beliau suka melihat pemandangan laut malah pernah mengunjungi kebanyakan laut di dunia ini waima ke Tanjung Harapan.

Tetapi pada malam itu, sebenarnya kami hanya ingin membeli ketam surih daripada para nelayan yng turun ke laut. Ketam surih itu dibeli daripada seorang nelayan bernama Rasli, masih muda lagi, dengan harga 15 sen seekor.Beli harga RM5.00. Ketam surih atau di kampung dikenali sebagai karepa-repa, memang musimnya sekarang, itulah yang dikatakan oleh Imbut melalui smsnya kepada saya.

Saya tertarik dengan kemajuan di kampung Tamau, jalan ke tanah perkuburan telah diaspal meskipun ada juga komen daripada Ransuman bahawa jalan itu tidak diaspal dengan baik.

ii."Kami sedang mencari jalan!" kata Berlian
Di sini tidak ada Jalan.
" Dulu memang ada jalan tetapi telah ditutup patih"

Itulah antara beberapa dialog yang saya masih ingat selepas menonton filem Pasir Berbisik. Itulah jawaban seorang kepada Berlian dan anaknya Daya yang menghindar kekacauan. Dalam perjalanan mereka diterpa rebut pasir yang menyebabkan mereka berlindung di perdu rumput.

Filem yang pernah memenangi anugerah sinematografi terbaik anugerah Festival Filem Asia Pasifik 2001, Anugerah Tatabunyi Terbaik dan anugerah Pengarah Harapan dalam festival yang sama. Filem ini memang sangat mengesankan.Walaupun dialognya sedikit tetapi filem ini mampu bertutur dengan jujur kepada khalayaknya.
Filem ini diarahkan oleh Nan Achnas dan dikeluarkan dengan kerjasama NHK Jepun. Ia dilakonkan oleh Christine Hakim, Dian Sastro, Didi Petet dan Slamet Rahardjo. Saya terkesan dengan mesej yang disampaikan secara halus oleh filem ini melalui simbol simbol yang bersahaja.Terima kasih kepada sahabat saya,Jamshari Saili, orang teater dari Sarawak yang menghadiahkan saya vcdnya ketika mengunjungi rumahnya di Kampung Bako Kuching beberapa tahun yang lalu.

iii.Barangkali antara Sasterawan Negara yang paling banyak saya baca bukunya ialah Abdullah Hussain.Tidak bererti saya tidak membaca karya sasterawan Negara yang lain kerana saya juga membaca karya A.Samad Said, Arena Wati, Shahnon Ahmad,S.Othman Kelantan dan lain-lain tetapi saya rasa karya Abdullah Hussainlah yang paling banyak mempengaruhi sikap hidup saya. Kebetulan memang saya berasa lebih dekat dengan beliau, dan membahasakannya Pak Lah. Saya membaca cerpen-cerpennya, novel-novelnya, Terjebak,Peristiwa, Aku Tidak Minta, karya magnum opusnya Imam, malah saya juga membaca buku Kuala Lumpur Kita Punya.
Paling terbaru ialah buku Dan malam, apabila ia berlalu, yang seolah-olah merupakan lanjutan dari novel Imam, memberikan saya lebih banyak kefahaman tentang agama melalui kupasan tokoh-tokoh dalam novel itu. Ia memberikan kita jalan memahami agama dengan lebih baik melalui novel itu.

iv. Saya juga menyempatkan diri untuk berziarah ke rumah Pakcik yang juga guru mengaji saya.Beliau bercerita kepada saya beberapa mimpi yang dialaminya dan menyerahkan kepada saya untuk mencari tafsirnya. Setelah itu, saya banyak bertanya kepadanya apabila melihat beliau memegang kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman. Ia masih sebuah buku yang menjadi pedoman jalan petunjuk kearah kebahagiaan] hidup dunia dan akhirat.Sempat juga saya menemuramah mengenai sejarah pengajian al-Quran di Kampung Tamau. Rupanya Tuan Guru Sidik bin Ginsulung itu pernah belajar dengan Imam Jilon, Imam Ma Lamdin dan Imam Suhaili, itulah sebabnya pemikirannya lebih progresif .Sebenarnya sebelum itu ramai lagi guru mengaji.Antaranya Haji Mokhtar bin Ibrahim, Guru Dinding (amai mengki), Haji Samad dll.

v.. Tahniah kepada Jasni Matlani yang terpilih menerajui Badan Bahasa Sabah (BAHASA) sebuah persatuan penulis yang tertua dan terbesr di negeri ini. Jasni mengalahkan Haji Ismaily. Jasni mendapat 16,Ismaily 10 . Bagi jawatan Timbalan Yang Di Pertua, Ramli AR mendapat 11 undi manakala A.Karim Kadir mendapat 10 undi dan 6 undi untuk Jaafar Alam. Maznah Sulaiman dari Keningau dipilih sebagai Timbalan setiausaha manakala AJK terdiri daripada Mastari Kanjabun, A.Karim Kadir, Sante Villiamon, ,Jaafar Alam,Zulkifli,Dulamid Rudin,Bujang Jalil,Bosra Samad,Hassan Saprin dan Mad Sakiran Haji Sulaiman. Semoga jalan luas terbentang bagi memajukan sastera kita.

vi. Syukur kerana saya sempat bertemu dengan rakan-rakan penulis sejak dua tiga hari ini. Saya mewakili IPS dalam dua mesyuarat penting kerana Ketua 1, HA berada di Sandakan. Yang pertama membincangkan sambutan kepada Kunjungan Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang akan berkunjung ke Sabah pada 29 hingga 31 Mei ini. Mesyuarat kedua membincangkan Kongres Sebudaya Serantau anjuran PENA. Sempat bertemu dengan tiga tokoh penulis muda dari Kuala Lumpur iaitu SM Zakir, Rahimidin Zahari dan Mohd.Salleh Rahamad. Satu jalan sedia terbuka untuk kita mengeratkan lagi hubungan penulis Sabah,Sarawak dan Semenanjung yang sedia terjalin selama ini.

vii. Terngiang-ngiang kembali dialog menarik dalam Filem Pasir Berbisik.
"Kami sedang mencari jalan, tunjukkan kami jalan?"
Ada satu jawapan menarik dari sebuah sajak A.Wahab Ali terhadap pertanyaan ini.
Ada sebatang jalan lurus,
menanti kudus.
Kau berjalan di atasnya.

20 Mei 2007