Orang-orang tua kita dahulu kaya dengan ungkapan yang indah dalam menyatakan sesuatu perkara. Umpamanya jika seorang lelaki berkenan dengan seorang wanita, maka dia akan bertanya apakah bunga di jambangan sudah ada yang punya. Wanita diibaratkan bunga, suatu yang indah.. Ini sekadar satu contoh kerana banyak lagi contoh yang lain, yang boleh kita berikan.
Jadi, apabila rombongan pihak lelaki berkunjung ke rumah pihak perempuan, untuk merisik, maka banyaklah cara yang digunakan untuk menyatakan tujuan kedatangan mereka.
Biasanya setelah mendengar tujuan kedatangan pihak lelaki maka pihak perempuan akan berkata,
"patutlah, tiup api tak menyala, makan sirih tak merah, sebab ada orang yang datang membawa hajat".
Ungkapan tiup api tak menyala mungkin tidak lagi dapat dibayangkan oleh generasi kita sekarang yang hanya mengenali dapur gas. Orang dulu-dulu menggunakan kayu api sebagai bahan bakar untuk memasak. Ada istilah unggun, api pendiangan, tungku dan sebagainya.
Apabila orang diserbu oleh kemodenan, maka ungkapan bahasa ibunda yang indah pupus lenyap bersama datangnya peradaban baru.
Oleh sebab itu, ungkapan tiup api tak menyala, mungkin agak sukar untuk dibayangkan oleh generasi sekarang. Apatah lagi makan sirih tak merah, kerana orang sekarang tidak lagi makan siri kecuali ibu-ibu kita di kampung. Ungkapan yang tidak digunakan lagi ini perlahan-lahan akan hilang dalam kamus hidup kita. Budaya hilang, bahasa kita pun hilang. Dan kini berapa banyak sudah bahasa yang hilang di dunia. Bahasa segalang di Sarawak, tinggal berapa orang lagi penuturnya? Ada beberapa bangsa di dunia, kini tidak lagi mempunyai bahasa mereka. Bahasa menunjukkan bangsa. Apalah makna bangsa kalau tidak ada bahasanya?
Berbalik kepada persoalan tadi, betapakah indahnya ungkapan tiup api tak menyala, makan sirih tak merah bagi menunjukkan bahawa itulah tandanya ada orang yang datang membawa hajat untuk meminang.
Sekarang ungkapan tiup api tak menyala itu, masih relevankah lagi di tengah-tengah masyarakat kita yang menggunakan dapur gas? Jika jawabannya tidak, maka perumpamaan itu akan hilang dan lenyap kerana tidak digunakan lagi. Tetapi jika jawapannya masih relevan, maknanya kita menggunakan ungkapan yang tidak lagi menjadi sebahagian daripada budaya kita kerana tidak ada (kalaupun ada tidak ramai lagi) yang menggunakan kayu api untuk menyalakan dapur mereka.
Sekarang kita meniup api tak menyala, kerana memang tidak ada kayu apinya.
Selasa, 31 Mac 2009
Tiup api tak menyala, makan sirih tak merah
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:28 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)