Jumaat, 12 Jun 2009

Berapa tinggi gunung Kinabalu

Tags

Berapa tinggi gunung Kinabalu,
berapa tinggi, aduhai sayang,
berapa tinggi gunung kinabalu.
tinggilah lagi, aduhai sayang,
tinggilah lagi harapan di hati.

Saya tertarik dengan dendangan lagu itu yang disampaikan oleh penyanyi dari Yayasan Warisan Johor (YWJ) di Centre Points Sabah ketika Festival Produk Johor 09 pada 12 hingga 14 Jun.

Saya kira Negeri Johor adalah sebuah negeri yang sentiasa memelihara dan memulihara budayanya.



Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin dan isteri, dan empat pembantu Menteri, Datuk Edward Khoo, Datuk Tawfiq Haji Abu Bakar Titingan, Datuk Bobbey Suan, dan Bolkiah Haji Ismail turut hadir dan berkesempatan melawat pameran 26 peserta pameran yang didatangkan khas dari Johor.

Exco Kerajaan Johor, Datuk Haji Maulizan Bujang, Pengerusi JK Pembangunan, Keusahawanan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi berkata, inilah kali pertama festival serupa diadakan di luar Johor.

Kita sedang berusaha mempromosi produk keluaran Johor yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera tempatan. Produk-produk yang dihasilkan adalah produk berkualiti yang boleh bersaing di pasaran.
Sebahagian besar usahawan itu terlibat dalam program pembangunan keusahawanan yang dijalankan oleh Kerajaan Johor.
Disamping itu, turut serta ialah Majlis Tindakan Pelancongan Johor yang mempromosi produk pelancongan di negeri itu. Selain itu, terdapat juga peluang untuk pelajar di negeri ini melanjutkan pelajaran di IPT-IPT Johor yang menawarkan kursus di peringkat sijil dan diploma.
"Kita yakin usaha ini akan dapat menjalinkan rangkaian dan ikatan perniagaan dengan para usahawan di Sabah", "katanya sambil menyatakan rasa gembira kerana festival itu mendapat sambutan yang menggalakkan.
Pelbagai jenis tarian juga dipersembahkan termasuk joget, tarian zapin dan kuda kepang. Tetapi saya sangat terhibur dengan lagu-lagu yang dinyanyikan.
Apa guna berkain batik
kalau tidak dengan kebaya
apa guna berwajah cantik
kalau tidak baik budinya.