Rabu, 20 Januari 2010

`Orang Malaya'

Tags

Kira-kira sebelah tahun lalu, ketika bertemu pak Haji Harun Haji Salleh (kini arwah) saya bertanya kepadanya apa karyanya yang terbaru.
Arwah Haji Harun, berasal dari Negeri Sembilan, memberitahu saya beliau sedang menyiapkan buku bertajuk Orang Malaya.
Sebelum sempat beliau menatap buku itu, Tuhan memanggil terlebih dahulu pada tahun 1999.
Sebelas tahun yang lalu.
Rupa-rupanya novel Orang Malaya itu diterbitkan DBP iaitu kira-kira sepuluh tahun selepas beliau kembali ke rahmatullah itu pada tahun 2009.
Ketika melihatnya di rak buku, saya terus membelinya dan kemudian melahap buku itu tak sampai dua malam.
Kisahnya menarik iaitu mengenai seorang cikgu dari Malaya (semenanjung Malaysia) yang ditugaskan ke Sabah.Sesampainya di sabah beliau ditugaskan di pedalaman dan hasratnya untuk mencari atuknya, Cikgu Shuib juga terus membara. Cikgu Shuib merupakan antara guru lulusan SITC yang terawal di tugaskan di Sabah. Novel itu juga bercerita mengenai penerimaan orang sabah terhadap `orang Malaya' dan sikap sesetengah `orang Malaya' yang suka berlagak hingga menimbulkan sentimen di kalangan orang tempatan. Dalam pencarian itu, cikgu muda itu tertarik pula dengan gadis pedalaman yang cantiknya aduhai.
Saya fikir novel ini perlu dimiliki oleh pembaca dan peminat sastera tanahair kerana ia menyelongkar akar punca timbulnya sentimen yang kadang-kadang keterlaluan terhadap `orang Malaya'.
Dengan membaca dan menghayati karya arwah pak Harun, saya kira ia dapat memberi sumbangan bermakna ke arah menjayakan konsep 1 Malaysia, jikalau kita suka menyebutnya begitu.
Novel ini amat berguna bagi memahamkan kepada kita bahawa antara rakyat Malaysia, sebenarnya tak ada bezanya.