Khamis, 18 Februari 2010

Bahasa sukuan mungkin pupus jika tidak didokumentasi

Tags





Bahasa-bahasa sukuan di negeri ini menghadapi kemungkinan akan pupus dalam tempoh dua atau tiga generasi akan datang sekiranya tidak ada usaha dilakukan untuk memelihara dan memulihara bahasa ibunda itu.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas berkata beberapa bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang kurang daripada 100,000 orang mungkin pupus jika usaha-usaha seperti mengkaji, mengumpul,dan mendokementasikan dalam bentuk buku daftar kata, glosari, buku atau kamus tidak dilakukan mulai sekarang.

Katanya, DBP Sabah telah membuat kajian di beberapa daerah di negeri ini dan mendapati generasi muda berumur 30 tahun ke bawah tidak dapat menguasai bahasa sukuan masing-masing.

"Keadaan ini adalah sangat malang kerana dua atau tiga generasi akan datang, bahasa sukuan akan pupus kerana tidak lagi mempunyai penuturnya," katanya.

Untuk rekod, terdapat 35 etnik di negeri ini dan ratusan lagi sub etnik di negeri Sabah berdasarkan kajian terbaru yang dibuat oleh Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS).

Zubaidi berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pemimpin Tertinggi Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAH) yang turut dihadiri Presiden Sabah, Datuk Haji Zakaria Ederis yang juga ADUN Gum Gum, Timbalan Presiden Saddi Haji Abdul Rahman, yang juga ADUN Sukau, Naib Presiden, Johari Haji Janan, dua mantan Presiden, Datuk Haji Wahid Norbinsa, dan Haji Ahmad Abdul dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi SABAS, di ibu negeri


Dalam majlis itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas menyerahkan empat buku daftar kata Bahasa Sukuan Sabah iaitu Daftar Kata Bahasa Sungai Makiang, Daftar Kata Bahasa Sungai Paitan, Daftar Kata Bahasa Ida'an/Segama, dan Daftar Kata Bahasa Sungai Liwagu.

Beliau juga berkata, DBP Sabah juga kini sedang membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek budaya tempatan seperti adat istiadat, perkahwinan, pantang larang, perubatan dan sebagainya selain penyelidikan dalam bidang bahasa.

Tambahnya, pihaknya juga telah mengumpur kira-kira 5,000 kosa kata bahasa Sungai yang boleh dijadikan asas kepada penerbitan Kamus bahasa Sungai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS), Datuk Haji Zakaria Ederis berkata Sabas amat menghargai usaha yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah untuk menyelidik dan menerbitkan buku dafatar kata bahasa Sungai.

Katanya, terdapat 30 sub etnik Sungai yang mempunyia kepelbagaian dialek dan bahasa yang menjadi khazanah berharga dan perlu didokumentasikan.

Beliau berkata, Sabas akan berusaha mengumpul dana untuk menerbitkan Kamus dalam bahasa Sungai yang akan memuatkan semua 30 sub etnik dalam bahasa Sungai yang terbahagi kepada tiga kumpulan besar iaitu paitanik, idahanik dan dusunik.

Dalam majlis perjumpaan itu juga, kedua-dua pihak telah berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memulihara dan memelihara bahasa sukuan supaya tidak pupus di telan arus globalisasi.
Saya turut hadir dalam perjumpaan itu atas kapasiti sebagai Pengerusi JK Penyelidik Bahasa Sukuan Iranun, yang ditunjangi oleh DBP Sabah.



DAFTAR KATA BAHASA SUNGAI....Zubaidi (tujuh dari kanan)menyerahkan empat buku daftar kata bahasa Sungai kepada Zakaria (tujuh dari kiri) dalam majlis perjumpaan itu.