Sabtu, 13 Mac 2010

Catatan tentang arwah si babau

Tags

Pemergiannya secara tiba-tiba. Saya tidak pernah menyangka dia akan pergi secepat itu. Masih muda orangnya, mungkin dalam awal 30-an. Dia meninggal khabarnya kerana terlanggar kerbau, iaitu dalam perjalanan balik ke rumah selepas melawat isterinya di hospital Papar.
Namanya Aslin tapi kami memanggilnya si babau. Babau bermaksud bisu. Tapi memang dia seorang yang bisu.Kalau tak silap saya, isterinya juga bisu.
Saya terkesan dengan kepulangannya yang tak diduga itu kerana kami sudah lama tidak bertemu. Jika ke kota kinabalu, dia selalu mencari saya di ibu pejabat USIA, dan para ustaz tahu bahawa jika dia datang, dia pasti sedang mencari saya.
Walaupun babau, arwah termasuk seorang yang suka bersahabat. Orangnya baik dan suka `berbicara' menggunakan bahasanya sendiri, yang anehnya dapat kami fahami. Setiap lenggok bahasa isyaratnya itu dapat diterjemahkan membuat kami tertawa. Dan saya kira memang arwah cuba untuk mengajak kami tertawa dengan telatahnya.
Isterinya orang Benoni, arwah dari Kg. Kotabungan Kota Belud. Tentang dimana mereka berjumpa dan bagaimana mereka bercinta, tidaklah saya ketahui.
Arwah babau memang yang seorang yang kuat inisiatifnya dalam mengharungi arus kehidupan. Saya dapat menyaksikan betapa arwah gigih mencari rezeki dan kerana ramai kenalannya, dia seorang yang agak murah rezekinya.
Saya hanya diberitahu beliau meninggal kelmarin dulu. Saya tak sempat menziarahinya. Saya berdoa semoga rohnya ditempatkan disisi orang-orang yang beriman.Al-Fatihah.