Kami menumpang perahu untuk ke seberang sungai, melihat sisa-sisa peninggalan sejarah di Tanjung Palas.
Pakcik Lokman beria-ia membawa saya untuk melihat bekas istana sultan bulungan yang telah dibakar komunis. Ketika itu semua kerabat diraja dibunuh dan dibuang ke laut Tarakan. Hampir tak ada yang selamat kecuali beberapa orang yang sempat menyelamatkan diri.
Kesultanan Bulungan merupakan sebuah kerajaan yang terbesar di Kalimantan Timur sebelum semua rajanya mati. Kini sebuah muzium sejarah telah dibangun di Tanjung Palas sebagai cagar budaya, yang menghimpunkan segala alat-alat kebesaran kesultanan bulungan yang masih tersisa.
Syukurlah kerana pada petang itu Datu Abu Bakar, adinda kepada Datu Osdam, iaitu anak kepada Sultan Maulana Jalaluddin berada di rumah. Walaupun waktu itu, bukan waktu melawat, beliau telah membawa kami untuk melihat muzium sejarah itu.
Itulah pertama kali saya sampai ke kawasan istana kesultanan yang kaya satu ketika dahulu kerana memiliki telaga minyak. Bahkan jikalau tak silap saya,Sultan Bulungan bersama Ratu Juliana telah menubuhkan sebuah bank ABN, yang pernah menjadi bank terbesar di Eropah.
Saya berasa dimuliakan kerana diberi kesempatan untuk melihat-lihat ke istana. Apatahlagi saya diperkenalkan sebagai wartawan dari Sabah, dan kebetulan anak menantu kepada Pakcik Lokman.(Pakcik Lokman ialah adik lelaki kepada ayah mertua saya, Nurdin Hassan).
Saya diberi taklimat dan menyaksikan sendiri kebesaran kerajaan itu, meskipun cuma saki bakinya kerana istana sebenar telah dimusnahkan dalam peristiwa yang lebih dikenali sebagai peristiwa bultiken.
Mungkin Kalau bukan pakcik Lokman yang beria-ia membawa saya ke sana, mungkin saya tidak akan sampai ke Tanjung Palas. Peristiwa itu berlaku beberapa tahun yang lalu ketika berkunjung ke Tanjung Selor bagi menyaksikan Nunung melangsungkan majlis perkahwinannya.
Kelmarin Pakcik Lokman sudah tiada. Beliau telah berpulang ke rahmatullah kira-kira jam 5 petang semalam. Padahal beliau sihat walafiat sebelum itu dan sempat solat Jumaat di Masjid Tanah Seribu.
Hari ini, jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tanjung Selor. Saya tak dapat datang untuk menyaksikan pengkebumiannya. Saya berdoa semoga rohnya ditempatnya di sisi orang-orang yang saleh.Al-Fatihah