Ahad, 9 Mei 2010

Heli mendarat cemas di padang KB

Tags


Hujan lebat di Kota Kinabalu, begitu yang saya dengar melalui percakapan antara Kapten Ridzwan dan menara kawalan.

Tapi kami harus pulang dan perlu sampai di ibu negeri sebelum jam 5.00 petang.

Di Kampung Andap Bangau Sikuati, cuaca agak baik. Tetapi dikhabarkan hujan sudah melanda ibu kota.

"Kita cuba, setakat mana boleh terbang," kata Kapten.

Heli yang kami naiki terbang beberapa minit sebelum jam 4 petang. Ia terbang rendah menyusuri pantai.

Kami perlu singgah di Kota Belud, kerana Ampal, penyanyi terkenal Sabah itu turun di sana. "Nanti kami drop kamu disana," kata Datuk Rahim.

"Jangan drop Datuk,kalau drop nanti tak hidup lagi," katanya bercanda.

Ketika kami sampai di atas langit Rampayan, hujan gerimis sudah turun. Tidak lama kemudian heli hinggap di Padang Kota Belud untuk menurunkan Ampal kerana beliau dijangka membuat persembahan di Kota Belud malam ini.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu `orang kita' itu telah berjaya menghiburkan peminatnya dalam sambutan Pesta Kaamata di Kampung Andap Bangau dengan lagu-lagu dan telatahnya.

Selepas itu, kami terbang lagi dengan harapan dapat menembus cuaca atau paling tidak pun turun di padan pekan Tuaran.Di sana lebih dekat.

Tetapi sesampainya berhampiran Penimbawan, mendung tebal kelihatan dan di kejauhan sana hujan turun dengan lebatnya.

Kami terpaksa berpatah balik dan kemudian turun semula di padang pekan Kota Belud.

Selepas itu, kami minum di Mayang Sari sementra kapten terpaksa menunggu mengawasi helikopternya.

Biasanya heli tidak boleh terbang kala hujan turun atau tidak dibenarkan terbang di waktu malam kerana tidak mempunyai lampu.

Sambil makan soto di Restoran Mayang Sari itu saya sempat menghantar nota wartawan kepada Sdr.Lichong, Eksekutif Editor kami yang prihatin itu dan memberitahukan peristiwa yang telah menimpa kami.

Syukurlah juga kerana sempat bersembang dengan YB Datuk Haji Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Pengangkutan, Haji Sairin, Saidi, kemudian Ampal dan krunya, Mohd.Fairuz wartawan TV3.

Kapten terpaksa meletakkan helikopternya di Balai Polis dan kami meneruskan perjalanan menerobos senja ke Kota Kinabalu. Di pertengahan jalan di hadapan Putrajaya Telipok kereta bersusun kerana kesesakan.Kami mencuba laluan ke jalan Telipok tetapi kemudian juga dinaiki air namun kami dapat melaluinya.

Kami sampai di KK tetapi kemudian tak sampai hati menghampakan pelawaan Datuk Rahim yang mengajak kami makan di sebuah restoran di Tanjung Aru.