Ketika Daranda ingin berlayar meninggalkan kampung halamannya, Inayunan a Bembaran memberikan beberapa pesan atau petua kepadanya supaya sentiasa menjaga diri.
Pesan ini mungkin boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan setakat pesan kepada Daranda tetapi sebagai sebuah pesan yang mengandungi pesan moral supaya kita sentiasa menjaga hatibudi, sentiasa menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan dalam membuat sesuatu perkara.
Nasihat ini merupakan salah satu nasihat yang terkandung dalam Darangen iaitu cerita epik masyarakat Iranun, yang kini hampir dilupakan.
Jika ingin dihormati, seseorang mestilah membuat satu keputusan yang tidak berdolak dalik, sentiasa bercakap benar, sentiasa menjadikan akal sebagai pedoman dan mengambil tindakan yang bijaksana.
Pemimpin yang baik sentiasa cintakan kedamaian dan tidak sukakan sengketa. Jika ada yang boleh dijernihkan , maka ia hendaklah mengambil langkah untuk menjernihkan suatu perkara. Pemimpin haruslah sentiasa mencari jalan yang damai buat orang-orang yang dipimpinnya.
"ya aki' kandatu',
su di' ta aked a inged
mangindulung su akal
mangulin su ungagen
paluba' su pandapat
begkes su kira-kira.
terjemahan bebasnya ialah,
Jika ingin dihormati di rantau orang,
akal dijadikan pedoman,
kebijaksanaan dijadikan haluan,
pendapat dipersatukan,
fikiran diperkukuhkan.
Untuk menjadi orang yang dihormati, atau menjadi seorang pemimpin, maka si Daranda hendaklah menjadikan akalnya sebagai pedoman dalam perjalanan hidupnya. Daranda juga dinasihatkan Sultan supaya sentiasa menjadikan bijaksana dalam membuat keputusan, mempunyai pendirian yang teguh, menyatukan pendapat dan supaya `paluba su pandapat, begkes su kira-kira'. Penyatuan pendapat dan pertimbangan hendaklah dijadikan keutamaan oleh sesorang yang ingin menjadi `datu' atau ketua ketika berada di perantauan.
makapitu i sandar
i karampana a dar
ugkabalui a rinau
baluien den a rinau
makapitu i sandar
ikaridu' a siri'
ugkbalui a linanu
baluien den a linanu'
tujuh kali didatangkan
kedukaan jiwa
jika dapat dijernihkan
maka jernihkanlah ia
tujuh kali dipandang
dengan rasa sengketa
jika boleh didamaikan
maka damaikanlah dia.
"Ugkabalui a rinau, baluien a rinau
ugkabalui a linanu, baluien a linanu".Ungkapan ini membawa pengertian yang mendalam dan membawa pesan yang boleh difikirkan masyarakat kita. Walaupun didatangi kedukaan jiwa dan rasa sengketa, kita haruslah memilih `yang jernih' dan `yang damai'.
Jika dapat dijernihkan, maka jernihkanlah ia.Jika boleh didamaikan maka damaikanlah ia.
Salah satu episid dalam Darangen, iaitu epik Iranun seperti yang dituturkan Tuan Haji Asmah Haji Ibrahim kepada Sdr Mabulmaddin Haji Shaiddin.
Jumaat, 14 Mei 2010
Petua menjadi pemimpin dari sudut pandangan seorang Iranun
✔
abd naddin
Diterbitkan 1:08 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)