Sebaik turun dari pesawat AK6123 dari Tawau, saya terus dibawa menaiki kereta yang menunggu benar-benar di depan tangga kapal terbang. Kami tiba kira-kira jam 2.25 di Terminal Dua Kota Kinabalu dan mempunyai sedikit masa lagi untuk menghadiri majlis taklimat mengenai perkembangan terkini projek penaiktarafan KKIA yang akan dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri. Hari itu, petang 11 Jun.
Saya bernasib baik kerana terserempak dengan Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Wilayah 2, Tuan Mahmud Haji Amat Shah yang kemudian mengajak saya menaiki kereta yang telah menunggu.
Saya berasa seperti dalam filem. Saya merasa seperti orang penting kerana mendapat peluang seperti itu. Ditunggu di depan tangga pesawat seolah-olah orang penting, padahal saya hanya kebetulan terjumpa Tuan Mahmud yang terpaksa ikut Air Asia kerana penerbangan MAS agak lewat terbang petang itu. Agak jarang berlaku peristiwa seperti itu.Kami terus bergegas setelah mendapat kebenaran melintasi landasan kapal terbang untuk ke majlis taklimat projek penaiktarafan KKIA khususnya fasa dua yang tempohnya telahpun dilanjutkan tiga kali EOT.
2. Tidak lama selepas kami tiba di pejabat JPA, Datuk Rahim tiba dengan memandu keretanya sendiri.Beliau terus mengajak kami menaiki keretanya untuk ke pejabat tempat sidang media itu diadakan. Kami hanya menunggu di luar menunggu sidang media yang akan diadakan kira-kira jam 3.45 petang.
3. Saya agak terkejut juga ketika bertemu Ruhaini Matdarin, seorang novelis Sabah, lulusan dalam bidang perbankan, yang rupanya bekerja di pejabat itu.
4. Sambil menunggu sidang media, banyaklah perkara yang dibualkan. Saya sempat bertanya seorang Chavacano yang berasal dari Davao yang bekerja di sana mengenai Benigno Aquino III yang akan mula menjalankan tugas sebagai Presiden Filipina pada 1 Julai. Kami sempat berkongsi dengan pengalaman rakan-rakan wartawan lain terutamanya wartawan Senior RTM, Haji Salim Haji Ibrahim mengenai pengalamannya. Mengenai kegemilangan bolasepak Sabah yang biasanya disiarkan Radio dan dengan juruhebahnya arwah Ismail Tahir.
5. Pengalaman Yazeer Mahmun wartawan TV3 juga banyak yang boleh dikongsikan. Pengalamannya membuat liputan di luar negara, mengenai kecanggihan teknologi yang digunakan untuk menyerang flotila Gaza, dan berbagai kisah lain untuk membunuh waktu sambil menunggu.
6. Sebaik selesai sidang media itu, rakan-rakan bergegas pulang ke pejabat masing-masing untuk menyiapkan berita. Tetapi saya yang menumpang kereta Datuk Rahim, terpaksa ikut ke Tanjung Aru kerana beliau mengajak kami minum air kelapa dan makan satay.
7. Kira-kira jam 6.15 saya tiba di pejabat dan kemudian terburu-buru menyiapkan berita. Saya berharap tak ada salah fakta atau tersalah taip dalam waktu waktu sebegitu.
Ahad, 13 Jun 2010
Saya berasa seperti dalam filem
✔
abd naddin
Diterbitkan 8:22 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)