Isnin, 6 September 2010

Industri seramik di Kasongan menakjubkan

Tags

INDUSTRI SERAMIK DI KASONGAN MENAKJUBKAN

KALAU ada satu ketika dalam hidup, saya benar-benar teringin menjadi seorang pedagang, ia pasti lahir ketika saya melawat Desa Kasongan di Kabupaten Bantul, kira-kira 7 km dari Kota Yogyakarta.

Saya merasa takjub dan kagum dengan kepakaran pekerja-pekerja dalam industri seramik (disana disebut industri gerabah) di Kasongan. Pelbagai jenis produk dihasilkan, antaranya bejana, pasu bunga, Tempayan atau guci, kerusi, meja,hiasan dinding, cenderamata, dan banyak lagi jenis kemahiran seramik di jual di desa itu.

Harganya murah. Malah jika ada sedikit modal, mungkin banyak barang yang boleh dibeli untuk dijual semula di Sabah.

"Kalau sofa yang berharga kira-kira RM2,000 wang kita , ia boleh dijual semula dengan harga berlipat ganda di Kota Kinabalu," kata Kamarudin Liusin, rakan wartawan dari ibu negeri.

"Sudah tentu dengan design yang begini, banyak orang berduit, yang akan membelinya," katanya. Cuma masalahnya ialah cara kita membawanya balik. Tidak ada penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Jogja. Malah jika kita membeli barang melalui kargo, ia perlu melalui Pelabuhan Kelang terlebih dahulu sebelum sampai ke KK. Salah satu cara yang paling mungkin, ialah melalui Pelabuhan Nunukan dan kemudian menyeberang ke Tawau.

Jika saya membawa banyak duit, dan tujuan kami datang untuk berniaga, sudah tentu banyak barang yang boleh dibeli untuk diniagakan semula.

"Sudah pasti barangan perhiasan, pasu bunga, cenderamata, kerusi meja dan banyak lagi kemahiran seramik itu yang dibuat dengan mutu kesenian yang tinggi akan banyak pembelinya," katanya.

Ini sudah lama terbukti kerana industri seramik di Kasongan telah memasuki pasaran luar negara. Hasil dorongan dan bantuan dari kerajaan dan swasta serta didukung oleh kegigihan masyarakat pengusaha seramik di desa itu, kini industri seramik dikenal di seluruh Indonesia bermula 1987 dan kini memasuki pasaran luar negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Belanda, Switzerland, Kanada,Sepanyol, Itali, Guam, New Zealand, Jepun, Belgium, Jerman dan Malaysia.

Salah satu premis yang kami kunjungi ialah premis milik Dr.Drs.Timbul Raharjo, pengusaha industri seramik paling terkemuka di Kasongan. Pelbagai produk dihasilkan oleh perusahaannya sehingga menjadikan industri seramik sinonim dengan Kasongan.

Menurut sejarah,Kasongan dikatakan berasal dari nama Kyai Song, salah seorang pengikut Pangeran Diponegoro. Pada tahun 1675-1765, beliau cuba untuk mengembangkan industri seramik khususnya barang tembikar dengan jenis yang dihasilkan masih terbatas pada perkakas dapur.

Kemudian pada tahun 1875-1885 oleh generasi Mbah Jembuh, Industri pembuatan seramik dikembangkan ke arah produk hiasan dinding berbentuk kepala binatang (seperti kerbau,kambing, rusa dan lain lain) yang selanjutnya berkembang ke arah produk celengan berbentuk binatang (katak/ayam dll) serta bentuk buah-buahan (tembikai dan sebagainya) yang pada masa itu seiring dengan beredarnya wang logam.

Pada tahun 1825, industri seramik berkembang menjadi jenis anglo dipelopori Mbah Rono dan Mbah Giyah dan diteruskan oleh Mbah Harta Mbah Josentono dengan mengembangkan produk jenis vas bunga, pot dan terus berkembang ke arah seni mulai tahun 1967 setelah mendapat sentuhan pembinaan oleh Ir.Dra Suliantoro Soelaiman manakala Produk-produk dengan motif binatang dikembangkan oleh Sapto Hudoyo pada 1971.

Produk spesifik seramik kasongan seperti guci mulai berkembang dalam tahun 1986.Industri seramik menggunakan tanah liat merah yang berasal dari Kasongan Bantul, kabupaten Sleman, Pacitan dan Kebumen, Jenis tanah liat putih berasal dari Malang dan Jawa Barat.

Antara jenis produk ialah bejana, vas bunga (berbagai ukuran), Pot bunga/tanaman (berbentuk anggur)/Guci/bejana, tempat duduk dan meja bundar, segi enam dan sebagainya

Tempat payung, motif patung (asmat, roro,blonyo/binatang dan lain-lain) asbak, bahan bangunan wuwung, cenderamata

PT Timboel merupakan salah satu daripada 441 unit usaha di Kasongan manakala jumlah keseluruhan pekerja dalam industri seramik ialah 2,367 orang. Industri Seramik boleh mengeluarkan 1,400,000 buah setahun.

Industri Seramik di Kasongan memang layak mendapat pujian kerana hasil kerajinan masyarakat di desa itu, sejak beratus tahun lamanya, akhirnya dapat dikembangkan dan kemudian dipasarkan untuk pasaran luar negeri.

Kini warga Kasongan dan masyarakat Bantul pada keseluruhannya telah menikmati hasil usaha mereka mengembangkan Industri Seramik itu dan mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakatnya.