Jumaat, 24 September 2010

Maria van Engels dan Jakarta tempo doeloe

Tags

Mulanya saya fikir Alwi Shahab dalam cerita-cerita Betawi hanya akan bercerita mengenai Maria van Engels iaitu seorang indo yang menetap di daerah Noordwijk (jalan Juanda) dan menikah dengan Habib Abdurahman Al Habsyi, putera sulung Habib Ali, pendiri majlis taklim Kwitang, Jakarta Pusat pada akhir 1880-an. Maria pun menjadi Muslimah dan mengganti namanya menjadi mariam. Beliau merupakan menantu kesayangan Habib Ali dan sejak berkahwin, Mariam menjadi muslimah yang taat kepada agamanya. Mariam kembali ke rahmatullah pada tahun 1961 dan jenazah `Jidah Non' dihadiri ribuan pelayat antaranya KH Abdullah Syafie, KH Tohir Rohili, KH Nur Ali dan ramai lagi.

Cerita Maria Van Engels itu mengawali 50 cerita mengenai Jakarta tempo doeloe yang ditulis Alwi Shahab, seorang wartawan veteran yang terekemuka. Alwi Shahab dilahirkan di Jakarta pada 13 Ogos 1936, menjadi wartawan selama 40 tahun.Kerjayanya sebagai wartawan bermula sebagai wartawan Kantor Berita Arabian Press Board di Jakarta pada 1960, dan sejak 1963, beliau bekerja di Kantor Berita ANTARA.

Beliau pernah menjadi reporter kota, kepolisian, parlimen sampai bidang ekonomi. Pada tahun 1969-1978, beliau menjadi wartawan istana. Alwi kerap mengadakan liputan ke luar negeri antaranya mengunjungi perbatasan Malaysia-Thailand pada 1983 untuk membuat liputan operasi membenteras gerakan komunis oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Abah Alwi, begitu orang memanggilnya, banyak menulis kisah-kisah Jakarta tempo doeloe. Dari tulisan beliau saya mengetahui sejarah Jakarta, asal nama jalan, mengenai sejarah menteng, balai kota, mengenai komunis arab dan india di jakarta, mengenai glodok kota tua, tulisannya mengenai P Ramlee, Kwitang, Cliwung, Nyai Dasimah, Bung Karno, Batavia, Patekoan dan kapitein Gan Djie, meriam si Jagur, pasar senen, orang betawi, cerita silat, pasar baru, tanah abang dan sebagainya.

Beliau bercerita mengenai asal usul nama tempat, kisah-kisah tempo doeloe dan dari sanaa kita dapat melihat sejarah Jakarta.

Membaca buku itu, saya fikir mungkin banyak manfaatnya jika di ibu negeri kita menulis asal usul menara Atkinson, masjid SDA, kenapa jalan dinamakan Jalan Haji Yaakub, Jalan Pantai, dan sebagainya.

Selain bangunan Pejabat Pos lama dan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, saya fikir tidak banyak lagi tapak bersejarah yang masih dipulihara di ibu negeri. Generasi mendatang mungkin menghadapi masalah untuk mengenali sejarah dan asal usulnya, jika pendokumentasian dan penulisan sejarah tidak diperbanyakkan.