Khamis, 21 Oktober 2010

Catatan perjalanan ke SK Lingga Baru

Tags

Perjalanan ke SK Lingga Baru, Tamparuli memang agak mendebarkan.Bukan kerana sekolah itu jauh lokasinya iaitu kira-kira 25 minit menggunakan 4WD dari Tamparuli merentasi jalan kelikir dan berbukit bukau tetapi lebih disebabkan saya agak terlambat sampai dari jadual yang ditetapkan.
"Jangan terburu-buru, asalkan tuan selamat sampai," demikian SMS dari Cikgu Wilter Dousip, 25, guru bahaha Inggeris yang baru beberapa bulan bertugas di sekolah itu, sebaik menamatkan pengajian perguruan di Maktab Perguruan Keningau.
Sebenarnya saya bergerak agak awal dari rumah kerana takut terlambat. Tapi rupanya, agak kurang orang yang berkunjung ke Tamparuli menggunakan bas mini, maka bas agak liat untuk berangkat sebaliknya sanggup berlama-lama, lebih dua jam menunggu penumpang.
Hampir jam 10.00, saya sampai di Simpang Berungis dan minta cikgu Wilter datang mengambil saya di sana. Lebih setengah jam kemudian, setelah melalui jalan berbukit dan berlikuliku, kami sampai di SK Lingga Baru.
Kalau bukan kerana teman sekolah saya, saudara Raflee haji Mansor, saya mungkin tak larat ke sekolah itu kerana faktor kesibukan,Tetapi rakan baik saya itu, beria-ia minta saya datang. Pada mulanya saya sanggupi kerana saya fikir hanya datang untuk membuat liputan, tapi rupanya saya diminta buat ceramah untuk Bengkel Penulis Muda.
Saya sungguh-sungguh menawarkan beberapa rakan yang lebih baik daripada saya untuk datang membimbing bimbing, tapi katanya `kami mahu kau yang datang'.

SK Lingga Baru merupakan sebuah sekolah kluster, mungkin satu-satunya sekolah kluster yang terletak di luar bandar, boleh dikatakan di tengah hutan, tetapi pelajarnya seramai 53 orang itu, dengan 30 keluarga ibubapa, telah mencatatkan kecemerlangan demi kecemerlangan hingga ke peringkat kebangsaan.

Kunjungan ke SK Lingga Baru itu juga mengingatkan saya kepada perancangan untuk ke Riau Lingga pada awal November nanti untuk menelusuri hubungan sejarah antara Raja Tempasuk dengan Sultan Mahmud Riau Lingga yang telah berlangsung pada 223 tahun yang lampau.

Sebaik-baik saya datang, murid-murid berdiri dan mengucapkan Selamat Pagi Cikgu kepada saya.Tiba-tiba saya menjadi cikgu kepada murid-murid tahun dua hingga 6, yang menyertai Perkhemahan Bahasa Melayu itu.

Tanpa berlengah saya terus menyampaikan sedikit huraian mengenai wartawan, kerjaya wartawan, mengenai kriteria sesuatu berita, mengenai 5W1H-satu suami lima isteri dalam berita, mengenai orang menanduk kambing dan sebagainya.

Pelajar-pelajar tahun 4 hingga 6 itu, pintar-pintar belaka.Saya beritahu cikgu Beneh Ramlee, Guru Besar Sekolah yang membawa sekolah itu mencatat kecemerlangan.Saya ucapkan tahniah kepada mereka.Juga kepada Cikgu Loumin Gonsu, yang berasal dari kampung Bambangan, yang terletak berdekatan. Saya terharu juga dengan kesempatan yang diberikan oleh Cikgu Ripah Maji, Pengerusi Pelaksana Perkhemahan itu.
Seramai 46 murid menyertai perkhemahan BM itu dan mereka bersama 11 guru, tiga hari tiga malam, berada di sekolah untuk menjayakan aktiviti-aktiviti perkhemahan yang diadakan seperti Sehari Selembar Benang,Kemahiran Mengarang, Bahasa Isyarat,Bengkel Penulis Muda,Permainan Bahasa,Bercerita,Persembahan Malam Kebudayaan dan sebagainya.
Saya fikir objektif SK Lingga Baru mengadakan perkhemahan itu, antaranya untuk memberikan suasana belajar yang berbeza dengan situasi di rumah,melatih murid untuk berdisiplin dan membina imej kendiri serta mampu menyelesaikan kerja dengan lebih sistematik dan teratur selain membentuk pelajar yang berkelakuan positif terhadap pelajaran demi meningkatkan pencapaian akademik selain menanam sikap bertoleransi,bekerjasama,tolong menolong dan sentiasa bermuafakat dalam segala perkara.
Saya kagum dan gembira dengan kesungguhan pelajar SK Lingga Baru Tamparuli itu.Saya yakin, jika mereka rajin belajar dan mendapat bimbingan dan tunjukajar yang baik daripada guru-guru yang berdedikasi,para pelajar itu mampu mengharumkan nama SK Lingga Baru, Tamparuli, negeri Sabah malah mampu memngharumkan nama diri sendiri untuk memberikan kebaikan dan manfaat sebanyak-banyaknya demi kesejahteraan umat manusia.

















1 comments so far

Abd Naddin
Terima kasih tak terhingga kerana memberikan kesempatan kepada kami untuk menghiasi paparan dalam utusan Borneo semalan (22okt). kami amat menghargainya. Sudah tentu ianya akan menjadi sekelumit dalam lipatan sejarah kegemilangan SK Lingga Baru. Saya amat gembira dan menyanjungi jasa dan khidmat bakti insan bergelar wartawan seperti tuan. Terima kasih.
Loimin Gonsu
PK1, SK Lingga Baru.