Isnin, 22 November 2010

PULAU PENYENGAT,PUSAT PERADABAN MELAYU ABAD KE-19

Tags

PULAU PENYENGAT,PUSAT PERADABAN MELAYU ABAD KE-19
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
MASJID Raya Sultan Riau kelihatan tersergam indah sebaik-baik perahu pompong itu menuju Pulau Penyengat, yang terletak kira-kira 12 minit perjalanan dari Tanjung Pinang, ibu kota Propinsi Kepulauan Riau.
Pulau itu meskipun kecil, iaitu sepanjang dua kilometer dan lebar kurang satu kilometer, tetapi kedudukan dan peranannya amatlah penting sebagai pusat peradaban Melayu yang terkemuka pada abad ke-18 dan 19. Di Pulau itu, lahir seorang ulama dan pujangga terkenal di alam Melayu bernama Raja Ali Haji.
Kemasyhuran Raja Ali Haji yang terkenal dengan Tuhfat Al-Nafis dan Gurindam Dua Belas telah membawa kami ke pulau yang pernah menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Riau pada awal abad ke-19. Pulau itu yang dijadikan mas kahwin oleh Sultan Mahmud kepada Raja Hamidah masih menyimpan pelbagai tinggalan sejarah Kesultanan Riau-Lingga.
"Masih banyak penyengat di pulau ini?" saya bertanya kepada Anto Rambe, yang bertindak sebagai penunjuk jalan kami ke Pulau Penyengat itu. "Kenapa ia diberi nama pulau Penyengat?"
Satu ketika dahulu, pulau itu menjadi persinggahan para pelaut dan saudagar untuk mengambil bekalan air tawar. Entah kerana apa, mereka telah melanggar pantang larang ketika mengambil air itu. Tiba-tiba mereka diserang penyengat, sehingga ada diantara menjadi korban penyengat.
Sejak itu, pulau itu dinamakan Pulau Penyengat dan tidak lama kemudian sering dirangkai dengan nama Penyengat Inderasakti apabila ia menjadi pusat pemerintahan Yang Di Pertuan Muda di awal abad ke-19.
Pulau bersejarah itu telah menyaksikan jatuh bangunnya imperium Melayu di selatan Semenanjung Tanah Melayu selama 120 tahun iaitu sejak berdirinya Kerajaan Riau pada tahun 1722 hingga kerajaan itu berakhir akibat cengkaman Belanda pada tahun 1911.
Kini hanya tinggal puing-puing selepas Sultan Riau-Lingga yang terakhir, Sultan Abdul Rahman Muazam Syah memerintahkan supaya semua harta benda termasuk istana dan gedung-gedung dimusnahkan bagi menghindari perampasan oleh Belanda. Hanya tinggal beberapa bangunan seperti Masjid Raya Sultan Riau Pulau Penyengat, empat buah kompleks makam raja, dua bekas istana, beberapa gedung, perigi dan runtuhan bangunan.
Selepas menikmati ikan bakar di sebuah gerai yang dimiliki orang Melayu, yang berbahasa Melayu Riau, kami menunaikan solat di Masjid Raya. Tidak terbayangkan ratusan tahun yang lalu, sultan Riau dan para pembesar lain pernah bersujud di dalam masjid yang dibina pada tahun 1832.
Bangunan utama berukuran 20 x 18 m yang ditopang empat tiang, dimana pada keempat sudut bangunan dibuat menara tempat bilal mengumandangkan azan. Terdapat 13 buah kubah dan 17 menara melambangkan rakaat solat.
Pembangunan masjid itu dikatakan menggunakan putih telur yang dicampur dengan kapur, pasir dan tanah liat untuk memperkuatkan struktur dinding. Pintu utama di bahagian depan mempunyai 13 anak tangga, manakala di kiri kanan masjid terdapat bangunan yang disebut Rumah Sotoh.
Kami sempat berbual dengan jemaah masjid, Haji Abdul Jalil Ahmad,69, Haji Jubahar Haji Rusli, 66, yang merupakan penduduk di pulau penyengat. Seorang lagi jemaah, Dahri Jali,51, baru datang dari Cilegon dan mempunyai restoran Jalan Anyer,148, Cilegon, Jakarta.
Mereka agak tertarik dengan kehadiran kami dan tujuan misi kami ke kepulauan Riau. OKK Haji Masrin sempat bercerita mengenai bagaimana pada 223 tahun yang lalu, Raja Tempasuk pernah mengirim angkatan 30 perahu besar yang dinamakan penjajab untuk membantu Sultan Mahmud memerangi Belanda.
Setelah itu kami menaiki beca dengan tambang Rp15,000 untuk menziarahi makam Engku Puteri Raja Hamidah, permaisuri Sultan Riau, Sultan Mahmud Syah III. Di kompleks makam itu juga terdapat makam Raja Ali Haji dan ayahnya, Raja Ahmad.
Kuburan itu kelihatan ada persamaan antara Tempasuk dan Riau.Warna hijau dan kuning mendominasi manakala bagi membezakan kuburan lelaki dan perempuan, ia dapat dikenali dengan jumlah batu nesan iaitu satu untuk lelaki dan dua untuk perempuan.
"Tetapi di pulau penyengat, tidak kira lelaki atau perempuan, ia mempunyai dua batu nesan," kata orang kampung di sana.
Kami sempat menikmati kuih Deram-Deram. "Seperti kuih penjaram ukuran kecil," bisik saya kepada OKK Haji Masrin, dan rasanya seperti Kuih Penjaram, yang terkenal di Kota Belud.
Dari sana kami menuju ke Makam Raja Haji Fi Sabilillah. Tokoh yang diangkat sebagai Pahlawan Nasional di Zaman Bahari itu tewas ketika perang di Teluk Ketapang.
Raja Haji Fi Sabilillah, Yang Di Pertuan Muda Riau ke-IV yang gagah berani menentang armada Belanda dibawa pimpinan Jacob van Braam. Peperangan itu dikenali dengan sebutan Perang Riau.
Kami melanjutkan perjalanan ke Makam Raja Jaafar, tokoh yang dikenal sebagai salah seorang yang bertanggungjawab memajukan Pulau Penyengat. Beliau merupakan Yang Di Pertuan Muda yang ke-VI. Beliau juga dikenali kerana telah memajukan perlombongan timah di Pulau Singkep.Ketika pemerintahannya, Belanda dan Inggeris sedang memperebutkan wilayah jajahan mereka di Nusantara.
Satu tempat lagi yang kami tuju ialah istana Kantor, yang merupakan istana Raja Ali, yang Dipertuan Muda ke VIII.Istana itu terletak di tengah Pulau Penyengat. Kami hanya mengambil gambar di pintu masuk istana, merakamkan keindahan bangunan yang tinggal hanya sisa bangunan induknya.
Destinasi terakhir kami ialah Makam Raja Abdul Rahman, Yang Di Pertuan Muda Riau V11, yang terletak di sebuah lereng bukit. Ketika pemerintahan Raja Abdul Rahman 1832-1844, Masjid Sultan Riau dibangunkan. Di kompleks itu, terdapat 50 makam lain yang dibahagikan menjadi dua bahagian iaitu makam di dalam tembok dan di luar tembok. Nisannya dibuat dari batu granit dan ditutup kain kuning.
Di sana, kami sempat berbual dengan Supandi, lelaki berasal dari Jawa yang menjaga makam itu. Secara sukarela, katanya, beliau membersihkan persekitaran makam.
"Sepatutnya ada peraturan yang perlu diletakkan di papan tanda yang perlu dipatuhi setiap pengunjung dan orang yang berziarah," kata OKK Haji Masrin.
"Ini kerana terdapat pelancong asing yang berpakaian menjolok mata ketika menziarahi permakaman. Bahkan mereka berpakaian yang tidak sepatutnya ketika melawat masjid," katanya. Perkara ini perlu diperhatikan supaya tidak mencemar kesucian masjid sebagai tempat ibadah.
Pulau Penyengat juga terkenal sebagai pusat percetakan satu ketika dahulu. Syair Siti Zawiyah atau Haris Fadilah dicetak di Pulau Penyengat,Syair Burung, Syair Siti Zubaidah, Syair Kumbayat,Syair Tajul Muluk dan banyak lagi karya-karya pengarang zaman dahulu yang dicetak di pulau itu.
Sebenarnya banyak lagi kisah yang tersembunyi di Pulau Penyengat, dan tidak mungkin dapat dicatatkan dalam kesuntukan waktu. Saya teringat Gurindam Pasal Yang Keduabelas berbunyi "Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti. Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta".
Azan sudah berkumandang menandakan waktu Asar tiba ketika kami sampai di jeti. Saya sempat membeli kuih tembusa (karipap) sambil duduk menunggu perahu `pompong' untuk membawa kami menyeberang ke Tanjung Pinang.

Catatan 4-7 November 2010