Rabu, 15 Disember 2010

Al-Fatihah untuk arwah Abdul Nassir Said

Tags





















Nassir, aku bertanya, engkau telah kemana?
Oleh Abd.Naddin Hj.Shaiddin
bulan tenggelam
kesunyian bersulam
di larut malam.

aku bertanya
kau telah kemana
dalam kelana.

hairan
aku tak kunjung faham
tentang kelam
-karya mabulmaddin shaiddin 14 Dis 2010

Suaranya halus tetapi mudah mesra.Seorang yang sopan dan amat baik orangnya. Seorang yang penuh pengertian,seorang yang dedikasi dan penuh komitmen dalam tugasnya.Wajahnya ramah dan penuh persahabatan, dan hampir tak pernah menyakiti hati kami.

Demikianlah peribadi Abdul Nassir Said yang tiba-tiba pergi meninggalkan kita dalam usianya yang muda-36 tahun.Saya termangu didepan komputer buat beberapa ketika sebaik dimaklumkan mengenainya oleh Sdr.Nadin Haji Salleh. Beliau memberitahu saya bahawa arwah telah tiada. Ketiadaannya hanya disedari apabila dia tidak ke pejabat seperti biasa.Telefon tidak diangkat dan oleh kerana itu, rakan rakan sepejabat bergegas ke rumahnya.

Di sana dia yang tinggal seorang diri didapati telah pergi. Sebelum itu memang, dia dikatakan kurang sihat dan pernah pula bercuti beberapa hari apabila terkena hujan.Dia sudah kesana kemari untuk mengubati sakitnya, dan billa kami berjumpa, katanya-dia sudah agak beransur pulih dari sakitnya.

Tapi Nassir telah pergi pada hari itu. Tanpa diduga, tanpa ditemani sesiapa.Di rumah yang dibelinya di UA itu, dia tinggal seorang diri. Mungkin kerana dia tahu akan meninggalkan alam fana ini seorang diri tanpa ditemani.

Sejenak saya teringat beberapa gambar ketika kami bersama dalam penyelidikan bahasa. Nassir sebagai Pegawai Penyelidik Bahasa dan saya sebagai salah seorang penyelidik bahasa dan pengumpul kosakata.

Dalam satu gambar,Nassir kelihatan sedang memotret gambar gunung Kinabalu. Matahari baru saja terbit dan kami berada di kampung Sinisian. Suasana pagi di Kundasang terasa menenteramkan.
"Alangkah baiknya kalau kita boleh menatap pemandangan indah ini setiap pagi' saya berkata kepadanya.
Ketika itu bulan Ramadhan. Beliau sengaja memilih desa di pinggir bukit itu sebagai tempat kami berbengkel supaya suasana lebih tenang dan tidak terganggu. Selain itu, diharapkan supaya kami lebih dekat kepada persekitaran kampung untuk memudahkan kami mengingat dan merakam kata-kata bahasa etnik untuk memperkaya khazanah bahasa kebangsaan.
Beliau memang sukakan suasana kampung. Sebelum ini, kami pernah berkunjung ke Kampung Nala di Tungku dan beberapa kampung lain semata-mata untuk mendokumentasikan kosakata dalam bahasa Iranun. Satu ketika yang lain, beliau mempelawa saya untuk ikut serta dalam satu program derau bahasa di Kampung Senaja Pitas. Kami juga ke kampung Kusilad, kampung halaman penulis Juri Durabi.
Anak kelahiran Bukit Mertajam,Pulau Pinang, Nassir merupakan lulusan Sarjana Muda daripada Universiti Malaya malah sempat bertugas sebagai tutor di sana. Selepas itu, beliau bertugas di DBP dan kemudian ditempatkan di DBP Sabah sejak lima tahun lalu.
Nassir seorang yang gigih dan penuh dedikasi dalam tugasnya. Sebagai Pegawai Perancang Bahasa dan merupakan Ketua Unit Penyelidikan dan Pembinaan Bahasa DBP Sabah, beliau juga pernah berkeliling Sabah, ke Sandakan, Kinabatangan, Tenom, Kudat, Pitas, Kota Marudu dan beberapa tempat lain semata-mata untuk membuat kajian dan menjayakan projek bahasa sukuan, merancang penerbitan kamus bahasa sukuan, dokumentasi dan sebagainya.
Malah di tempat kerjanya, di DBP Sabah, Abdul Nassir menjadi tenaga utama untuk menjayakan penerbitan Majalah Etnik untuk melestarikan Bahasa Sukuan Sabah, serta menjadi tenaga utama untuk menempatkan DBP Sabah dalam Buku Guiness Book of Records melalui pembacaan Puisi Ria 50 Jam Tanpa Henti,Syair Ria, Sendait Ria 50 jam tanpa henti.
"Kita berasa kehilangan", kata Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas.

"Kita berasa kehilangan seorang staff yang sangat dedikasi, sangat komited dn kerja yang baik," katanya mengenang semula pemergian arwah Nassir yang kembali ke rahmatullah pada 14 Disember lepas di Kota Kinabalu.
"Bila dia tak ada, kita tercari-cari," katanya.
Oleh sebab itu, ketika dia tak datang kerja pada Selasa itu, kita mencarinya di rumah dan alangkah terkejutnya, mendapati beliau sudah tiada. Beliau tinggal seorang diri di UA dan memang sejak beberapa waktu itu, beliau pernah mengadu sakit.
Pemergian Abdul Nassir yang sangat tiba-tiba itu juga memeranjatkan masyarakat bahasa dan sastera di negeri ini. Beliau merupakan seorang pegawai DBP Sabah yang tidak mengenal penat lelah membantu melestarikan bahasa etnik di negeri ini.

Bersama pengkaji dan pakar bahasa sukuan, beliau mengadakan bengkel atau sidang bahasa Sungai, Kimaragang, Rungus, Bisaya, Bajau, Iranun, Kadazan Penampang, Dusun Ranau, Tambunan, dan sebagainya.Beliau sempat melahirkan kerisauan apabila memperkatakan etnik Sabah yang berjumlah kira-kira 35 etnik dan 215 sub-etnik itu.
Katanya, kelangsungan hayat bahasa sukuan Sabah semakin terancam dan kepupusan bahasa tidak dapat dielak dalam tempoh masa tertentu.
"Ini kerana pertuturan dalam bahasa ibunda hanya berlaku antara golongan tua sama ada di rumah atau di kawasan petempatan etnik masing-masing.
"Sesuatu yang menarik dalam memperkatakan bahasa sukuan di Sabah ialah setiap etnik memiliki banyak dialek yang masing-masing memiliki ciri-ciri yang tersendiri," katanya kepada saya suatu hari.
Murut contohnya, memiliki tidak kurang daripada 12 dialek yang dapat dikenal pasti melalui kawasan yang didiami. Setiap dialek diberi nama tertentu lazimnya merujuk kepada tempat di mana mereka tinggal.
Memperincikan perbezaan kosa kata bahasa Murut dalam menyebut perkataan “kucing”, Murut Timugon menyebut “using” sementara Murut Tagol menyebut “ungau” atau “usi”. Demikianlah kepelbagaian dalam kesatuan pelbagai etnik di negeri Sabah,' jelasnya panjang lebar.
Menurutnya, generasi muda khususnya yang berumur di bawah 20 tahun kurang menggunakan lagi bahasa etnik masing-masing menyebabkan kelangsungan hayat bahasa etnik di Sabah semakin terancam dan sedang mengalami kepupusan. Keadaan ini berlaku dalam hampir kesemua etnik di Sabah.
Katanya, usaha pendokumentasian bahasa dan sastera etnik Sabah perlu dilaksanakan dan diteruskan di samping mempergiatkan usaha-usaha ke arah pelestarian bahasa sukuan di Sabah.
"Walaupun masih sedikit kajian tentang hal ini, tetapi sudah terdapat tanda-tanda bahasa atau dialek tertentu amat sedikit bilangan penuturnya," katanya.
"Bahasa etnik Begak yang mendiami Mukim Tungku, di daerah Lahad Datu dikatakan hanya dituturkan oleh tidak lebih daripada 2,000 orang. Etnik Tobilung dari Kampung Mengaris di daerah Kota Marudu dikatakan amat sedikit penuturnya disebabkan pelbagai faktor."katanya.
Kini Abdul Nassir sudah pergi. Takkan lagi kembali. Kita berasa kehilangan. Saya tak sempat menatap banyak gambar lain, gambar gambar penuh kenangan, gambar ketika kami menaiki bukit, menuruni lembah, berjalan di tepi pantai, merasakan deburan ombak, dan bertanya istilah pohon-pohon, daundaun dan rerumputan semata-mata untuk memperkaya khazanah penguasaan bahasa kami.

Nassir, engkau telah kemana dalam kelana? Aku tahu kau akan menyaksikan pemandangan yang lebih indah dan abadi di alam sana.Al-Fatihah.