Ahad, 19 Disember 2010

gong dan kulintangan di Kanibongan

Tags

Paluan gong dan kulintangan itu terdengar dari sebuah bangsal yang dibentuk seperti perahu. Di kampung pangkalan pantai Kanibongan, penduduk kampung membuat persiapan rapi untuk menyambut ketibaan pemimpin mereka, Datuk Haji Abdul Rahim Bakri yang datang untuk merasmikan mini dewan.

Saya lebih tertarik dengan paluan gong dan titikan kulintangan itu. `Perahu' yang dibina juga kelihatan sangat kreatif. Dan walaupun itulah pertama kali menjejak kaki ke kampung itu, terasa keramahan para penduduknya. WKAN Bidin Hossin bekerja keras untuk memastikan majlis itu berjaya, walaupun bekalan letrik terputus dua kali.
Saya sempat bercakap dengan KK Dallah Harun, yang kebetulan duduk di belakang saya, mengenai budaya dan kehidupan masyarakat di kampung itu. Majoriti penduduk kampung terdiri dari orang Bajau dan Suluk dan ada sedikit Rungus. Cikgu Naibin pula memberitahu, di kalangan keluarganya sendiri di kampung Pantai, ada yang memeluk agama Islam, dan itu bukan masalah disana.