Jumaat, 18 Mac 2011

sejenak bersama haji almain ajirul

Tags

SEJAK 1 Januari 2011, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, sebuah jabatan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia diketuai oleh seorang anak tempatan, Tuan Haji Almain Ajirul yang memasuki perkhidmatan di Jabatan Penerangan Malaysia pada 17 Julai 1984. Sepanjang 27 tahun perkhidmatannya, Haji Almain yang berkelulusan Sarjana Muda dalam Bidang Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi,pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kehakiman, Datuk Dr.James Ongkili.

Selepas berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan di Kementerian Kehakiman, beliau bertugas sebagai Pengarah Penerangan W.P Labuan yang pertama sejak pulau itu diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Selepas itu, beliau bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Tawau dari tahun 1987-1989.

Beliau juga berkhidmat di ibu pejabat Jabatan Penerangan Sabah dari tahun 1993 hingga 2007. Kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Penerangan Johor. Setelah berkhidmat selama tiga tahun setengah di Johor, beliau bertugas pula sebagai Pengarah Penerangan Negeri Sabah.

Haji Almain merupakan anak keempat dari lapan adik beradik. Beliau lahir di Kampung Gusung Melanta Bum-Bum pada 15 Februari 1960 daripada pasangan Ajirul Sagang dan ibunya Hajah Sitta bte Lawaddin. Mendapat pendidikan awal di SRK Pulau Bum-Bum, Semporna, Haji Almain meneruskan pelajaran menengahnya di SMK Abdullah pada tahun 1971-1977. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di SMK Menggatal Kota Kinabalu pada 1978-1979 sebelum menjejakkan kaki ke menara gading pada tahun 1980. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Masniah bte Tarah dan dikurniakan lima orang cahayamata.

Utusan Borneo sempat menemubual Haji Almain Ajirul di Tingkat 11, Wisma Dang Bandang dicelah-celah kesibukannya sebagai Pengarah Penerangan Negeri Sabah untuk berkongsi serba sedikit pengalaman, cabaran dan harapan dalam mengemudi jabatan yang dianggap penting dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat. Ikuti temubual wartawan Utusan Borneo, Abd.Naddin Haji Shaiddin bersama Haji Almain Ajirul (HAA) ketika Majlis Perhimpunan Pagi di Dewan Semarak, pagi kelmarin.


Utusan Borneo: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk ditemuramah pagi ini walaupun kami tahu tuan agak sibuk juga. Boleh ceritakan sedikit sejak bila tuan berkhidmat di Jabatan Penerangan?.

Haji Almain Ajirul (HAA): Saya mulai berkhidmat di Jabatan Penerangan pada 17 Julai 1984 iaitu tidak lama selepas lulus dari universiti. Sepanjang berkhidmat di Jabatan Penerangan, saya pernah bertugas di WP Labuan sebagai Pengarah Penerangan Labuan iaitu sebaik pulau itu diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Saya juga pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Kementerian Kehakiman.Ketika itu Menteri Kehakiman ialah Datuk Dr.James Ongkili. Selepas itu saya juga pernah berkhidmat di Jabatan Penerangan Tawau. Kemudian sejak 1993 hingga 2007, saya bertugas di ibu pejabat Jabatan Penerangan Sabah hingga menjawat jawatan Timbalan Pengarah Penerangan. Setelah 14 tahun berkhidmat di KK, saya kemudian bertugas di Johor sebagai Pengarah Penerangan selama tiga tahun setengah.

UB: Apa pendapat tuan mengenai perbezaan suasana di Semenanjung dan di Sabah?
HAA: Keadaan di Semenanjung agak berbeza sedikit dengan Sabah. Pada mulanya saya agak terkejut juga. Jika kebanyakan kita di Sabah berehat di rumah seawal jam 10.00 malam, di Johor Bahru masih ada yang keluar makan jam 12.00 malam, malah membawa anak kecil mereka. Itulah antara perbezaannya. Di Johor, kebanyakan tempat boleh dihubungi dalam lingkungan tiga jam perjalanan tetapi di Sabah kita terpaksa menghabiskan masa lebih lama dalam perjalanan. Kita terpaksa naik kapal terbang ke Tawau dan Sandakan, itu menjadi sebahagian budaya kita, tetapi di Semenanjung keadaannya berlainan.

UB: Ramai yang mengatakan bahawa Sabah lebih dulu mengamalkan 1Malaysia berbanding rakan mereka di Semenanjung. Apa pandangan tuan terhadap perkara ini?
HAA: Situasi di Sabah agak unik dan menarik juga. Boleh dikatakan kita lebih dulu mengamalkan konsep 1 Malaysia dan kita berbangga kerananya. Sebagai contoh, di Sabah, kita boleh duduk minum di kedai kopi Cina kerana kita tahu tukang masaknya orang Islam, pekerja orang Islam . Selain itu dalam kedai kopi Cina itu , ada juga gerai Melayu yang menjual makanan Melayu. Keadaan ini tidak berlaku di Semenanjung. Ini sekadar satu contoh. Sebenarnya banyak lagi contoh lain yang boleh dikemukakan.Perpaduan kaum di Sabah juga betul-betul hebat kerana masyarakatnya yang berbilang kaum itu saling hormat menghormati, saling bantu membantu, penuh semangat toleransi antara satu sama lain.


UB: Boleh tuan beritahu kepada pembaca kita mengenai apa visi dan misi Jabatan Penerangan?
HAA: Visi Jabatan Penerangan ialah menjadi peneraju utama dan teras dalam menjayakan gagasan 1Malaysia dan pembinaan negara bangsa berteraskan Rukun Negara.
Misi kita pula ialah menterjemah dan memasarkan dasar dan agenda negara supaya difahami, disokong, dihayati dan dibudayakan oleh seluruh rakyat melalui Program Penerangan.

UB: Boleh ceritakan mengenai peranan dan cabaran Jabatan Penerangan jika dibandingkan keadaan dahulu dan sekarang?
HAA: Seperti yang pernah disebut oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak "Zaman dimana kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir" Jika kita mengimbas sejarah panjang Jabatan Penerangan, jabatan ini sememangnya adalah jabatan yang cukup disegani pada masa lalu. Sehinggakan kepentingan perjuangan Jabatan Penerangan pada era membenteras komunis misalnya akan kekal dalam lakaran sejarah negara.

Bagi kita di negeri ini, era konfrontasi dengan negara jiran juga tidak akan melengkapi butiran sejarah negeri ini tanpa mengaitkan dengan perjuangan pegawai dan anggota Jabatan Penerangan.

Kitalah yang menjadi barisan hadapan, memberi penjelasan dan penerangan kepada seluruh pelusuk lapisan masyarakat sehinggakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di atas dapat dibanteras dan sekaligus membolehkan negara kita menikmati keamanan sehinggalah ke hari ini.

UB: Tetapi semangat perjuangan dan dedikasi pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan dahulu mungkin lebih tinggi.Setujukah tuan dengan pendapat ini?
HAA: Jika kita menoleh perjuangan kita dahulu, dedikasi pegawai dan anggota dalam berkhidmat amat tinggi. Bolehlah kita membayangkan keadaan di daerah-daerah yang terdapat di kawasan pedalaman 20 hingga 30 tahun dahulu. Zaman dimana kita bekerja hanya berbekalkan semangat waja yang membakar jiwa kita.
Tidak ada telefon, apatah lagi handphone, tidak ada penghawa dingin, tidak ada komputer, tidak ada jalan beraspal dan berbagai lagi. Hampir tidak ada segala-galanya.
Tetapi pada waktu itu nama Jabatan Penerangan mekar sampai ke pelusuk desa dan pulau-pulau.

Jika ada perkakasan yang kita boleh banggakan mungkin hanya terletak pada tayangan gambar yang kita adakan. Jika itu tidak cukup kita hayati , bagaimana pula cabaran pegawai-pegawai Jabatan Penerangan pada waktu itu, yang tugasannya kadang kala perlu berhadapan dengan ancaman hebat seperti lanun atau kita kenali sebagai mundu. Tanyalah orang-orang lama kita, berapa ramai yang pernah berhadapan dengan situasi ini, malahan pernah ditembak pun.Semua ini kerana cabaran perjuangan.

Tetapi pada hari ini, mungkin kita hampir-hampir tidak mampu menyempurnakan tugas dan peranan kita, jika tidak ada telefon, handphone, komputer,penghawa dingin dalam pejabat ataupun kenderaan baru. Inilah antara perubahan zaman yang perlu kita hadapi.

Natijahnya kemajuan yang kita kecapi dalam pelbagai aspek pada hari ini, telah menenggelamkan sedikit demi sedikit peranan kita di mata masyarakat sekeliling.

UB: Menurut pengalaman tuan, apa pandangan masyarakat terhadap cabaran dan perjuangan Jabatan Penerangan dahulu?

HAA: Pada waktu-waktu dahulu seperti sudah menjadi amalan, jika kita masih ingat, kerajaan kita akan berpandukan informasi Jabatan Penerangan tentang tahap sokongan rakyat sebelum mengadakan pilihan raya. Malahan orang sekeliling kita, dari orang politik, pegawai kerajaan dan orang kampung akan bertanya kita, bila pilihanraya mahu diadakan. Sebahagiannya akan bertanya jika namanya masuk dalam senarai calon, atau sekurang-kurangnya minta namanya turut dimasukkan dalam cadangan senarai calon Jabatan Penerangan.

Pertanyaan-pertanyaan ini sepertinya mendatangkan suatu kebanggaan kepada pegawai-pegawai Penerangan pada waktu itu, kerana dilihat sebagai orang penting kerana itulah pada masa itu, orang tidak akan percaya kalau kita katakan kita tidak tahu bila tarikh pilihanraya. Sebegitu besar pandangan orang ramai terhadap Jabatan Penerangan.Tetapi pada hari ini, keadaan menjadi sebaliknya


UB: Apa perubahan yang pihak tuan lakukan untuk meningkatkan imej Jabatan Penerangan?

HAA: Perubahan-perubahan yang kita lakukan untuk meningkatkan citra Jabatan Penerangan dalam mendukung visi menjadi peneraju utama dan teras menjayakan gagasan 1Malaysia antaranya termasuklah penukaran nama daripada Komuniti Bestari kepada Komuniti 1 Malaysia
Pada tahun ini kita akan meneruskan pelaksanaan program-program induk yang menjadi teras KPI kita. Ini termasuklah program pengisahan kenegaraan, sepakat komuniti 1 Malaysia, Khemah Kerja Kelab Setia, Info Komuniti 1 Malaysia, Pentarama, disamping aktiviti-aktiviti seperti ceramah dan syarahan berencana. Menyedari betapa perlunya elemen-elemen baru bagi memperkukuhkan fungsi jabatan, maka pihak Jabatan juga telah menerbitkan program baru seperti Pidato 1 Malaysia, wacana 1 Malaysia, Sekolah Angkat, Gemilang Siswa dan Singgah Terawih. Kesemua ini terangkum dalam 2,250 kali aktiviti kesemuanya sebagai teras dalam KPI Jabatan kita di Sabah.

HAA: Kita juga harus terus memperkukuhkan kaedah pelaporan yang kita ada. Ini termasuklah dalam penggunaan sislap dan E-Press. Saya memberitahu pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan bahawa jika kita sendiri tidak menggunakannya, maka kewujudannya nampaknya hanyalah sia-sia.
Oleh itu, kita harus lebih serius menggunakan sistem yang kita sendiri bangunkan ini untuk membantu mempermudahkan tugasan kita.
Selain itu, kepentingan menyediakan pelaporan isu setiap hari seperti mana yang dikehendaki.Era dimana kita tertinggal jauh dari segi pelaporan berbanding jumlah pegawai dan daerah yang lebih banyak perlu ditamatkan
Pusat-pusat Maklumat Rakyat (MPR) kita hendaklah benar-benar menjadi pusat maklumat yang boleh memberi informasi kepada orang ramai.
Semua ini menuntut keseriusan bekerja agar istilah "Jika saudara saudari tidak berubah, maka saudara saudari akan diubah," tidak perlu dilakukan.

UB: Ketika ini generasi muda dilihat lebih kritis terhadap kerajaan. Apa yang dilakukan oleh jabatan dalam menyalurkan lebih banyak maklumat agar generasi muda berpihak kepada kerajaan?

HAA: Kita sedar bahawa generasi muda kini memiliki pemikiran yang lebih kritis dalam menganilisis dasar-dasar yang diperkenalkan olkeh kerajaan. Kerana itu, Jabatan juga perlu menstransformasikan gerak kerja yang akan dibuat.
Terdapat banyak pihak mengandaikan yang pilihanraya umum ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat, sehinggakan menerbitkan andaian akan diadakan pada tahun ini. Oleh sebab itu,penyampaian aktiviti jabatan perlu berpaksikan Key Perfomace Indicator (KPI).Oleh itu kita harus dapat memenuhi KPI yang telah ditetapkan ini.