"Kita minum di bawah ofis kami saja cikgu," kata saya kepada Cikgu Hamid Abu Bakar yang sedang sibuk mencari tempat letak kereta. Kalau minum di Banu di Jalan Gaya, agak jauh tempatnya dan saya rasa agak sesuai kalau kami mengadakan pertemuan itu di restoran, berdekatan pejabat kami, yang letaknya di Jalan Pantai.
Oleh sebab sukarnya mencari tempat parkir, maka Cikgu Hamid terpaksa menurunkan penumpangnya terlebih dahulu. Ketika melihatnya saya berdiri dan menyalaminya. saya berasa sungguh bertuah pada petang itu kerana bertemu seorang ilmuan.
"Apa khabar Dato?" "Khabar baik," katanya. Selepas itu, saya memanggilnya sebentar dengan panggilan dato, sebentar memanggilnya prof, sebentar memanggilnya dr, tapi beliau kelihatan selamba saja dan amat peramah dan baik orangnya.
Tanpa membuang waktu saya terus menanyainya. "Apa potensi biomass di Malaysia Dato?"
Prof.Dato Dr.Baharudin bin Yatim berkata bahawa Biomass adalah satu komoditi atau satu sumber yang ramai orang mahu menceburinya sebab jika diusahakan biomass boleh jadi duit," katanya yang baru kembali dari Sandakan untuk membuat penyelidikan di Seguntor Bio Energy.
Perlu saya akui bahawa sebenarnya saya tidak banyak tahu mengenai biomass.Saya hanya pernah mendengar bagaimana tempurung biji kelapa sawit yang dulunya dibuang begitu saja dan dijadikan salah satu bahan untuk membina jalanraya kini boleh dijadikan tenaga biomass.
"Bahkan minyak sawit CPO yang dieksport dengan nilai berjuta juta ringgit itu dihasilkan dengan menggunakan tenaga biomass yakni dengan menggunakan sabut kelapa sawit sebagai bahan bakar.
Prof.Dato Dr.Baharudin berkata, tenagaa biomass tidak mampu menggantikan minyak untuk menghasilkan tenaga elektrik. Kapasiti tenaga elektrik yang dihasilkan dan dibekalkan oleh stesen tenaga biomass hanya sekitar 10MW dan itu memerlukan kira-kira 200 tan tandan kelapa sawit yang dibakar dalam sehari untuk menghasilkan tenaga elektrik itu.
"10 MW itu hanya mampu memenuhi keperluan tenaga untuk kawasan seluas kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS)," katanya.
Menurutnya, Mr Tan, yakni taukeh pembekal tenaga biomass itu terpaksa mengangkut tandan kelapa sawit dari felda sahabat menggunakan barge selama dua hari pelayaran kerana ternyata bahan bakar yang diperlukan untuk biomass itu tidak mencukupi.
Malah syarikat yang mendapat kontrak daripada SESB itu terpaksa memesan bahan bakar biomass itu daripada 25 kilang kelapa sawit, tapi itupun tidak mencukupi.
Dengan menggunakan tenaga biomass, kita dapat membantu mengurangkan pencemaran dan membantu membekalkan tenaga elektrik tambahan, katanya.
"Bahan yang dulunya bahan buangan, jadi masalah alam sekitar, sekarang jadi duit," katanya sambil berkata syarikat yang mendapat kontrak itu mampu memperkerjakan kira-kira 100 kakitangan dan mencatat keuntungan lumayan setiap bulan.
Seiring dengan kemajuan teknologi, kini biomass dapat dieksport keluar negeri dengan dijadikan brickate dan dijual di Korea dan Jepun.
Jika demikian apa perlunya kita menggunakan tenaga biomass?
Dato Dr Baharudin yang bertugas di Pusat Pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains Teknologi , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata bahawa tenaga biomass dibuat, pertama untuk menguruskan bahan dan sisa buangan, mengurangkan pencemaran dan mesra alam sekitar dan kedua bagi meembekalkan tenaga tambahan bekalan elektrik yang diperlukan, oleh misalnya kawasan-kawasan di pedalaman yang tidak terjangkau oleh bekalan elektrik.
Apa yang boleh dijadikan untuk menjana tenaga biomass?
Jika diurus dengan baik, sampah yang berlambak setiap hari itu, boleh dikeringkan untuk dibakar dan mampu membekalkan tenaga biomass. Bahkan Singapura telah memulakan program tenaga biomass daripada sampah sarap. Sampah yang dibakar menghasilkan gas metana dan boleh menghasilkan tenaga biomass.
Malah di Brazil, yang luas tanaman tebunya, tenaga biomass dihasilkan daripada hampas tebu. Selain itu, tenaga biomass boleh dijana daripada sekam padi, sisa buangan kayu dan sebagainya.
Perbualan dengan Profesor itu sangat menyeronokkan.Beliau juga tidak kedekut berkongsi pengalaman. Sambil bercerita kami minum.Saya memesan lemon teh panas, juga Helvia, pelajar UMS yang sedang menjalani latihan praktikal, dan Cikgu Hamid Abu Bakar, cikgu di SMK Kinarut yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di UKM.Prof Dr.Baharudin itu merupakan penyelianya.
Selalu datang Sabah?
Satu ketika dahulu, sewaktu UKM Kampus Sabah masih beroprerasi, Prof.Dr Baharudin sering bertandang kemari. Antara rakan-rakannya ialah Prof.Madya Dr.Haleem Haji Radzi, Prof HM Dahlan, Prof.Madya Haji Inon Shaharuddin Abd.Rahman dan ramai lagi.
Namun beliau sudah lama tidak berkunjung ke Sabah.Hanya baru-baru ini, apabila menjadi supervisor kepada Cikgu Hamid yang sedang membuat kajian mengenai tenaga.
Dr.Baharudin dilahirkan di Kampung Rembang Panas, Kuala Pilah Negeri Sembilan pada tahun 1946, iaitu setahun selepas Perang Dunia Kedua.Beliau melanjutkan pelajaran menengah di Tuanku Muhammad School di Kuala Pilah, kemudian King George High School Seremban sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Canterbury dalam bidang Fizik sehingga memperolehi PhD.
Sekembalinya ke tanahair, beliau terus berkhidmat di UKM pada tahun 1970 dan sejak itu mengabdikan dirinya dalam bidang akademik.
Bagaimana dato' boleh berminat dalam penyelidikan tenaga biomass?
Ketika krisis minyak berlaku pada tahun 1973, akibat ketegangan di Asia Barat, Dr.Baharudin bersama rakan-rakannya mencari idea bagaimana untuk mencari alternatif bekalan tenaga sekiranya bekalan minyak tak ada.Ketika itu, banyak usaha dilakukan untuk memperbanyak sumber bekalan tenaga elektrik.
Banyaknya bahan buangan seperti potongan-potongan kayu, berapa tan dalam sehari, hempas padi berapa tan, sisa buangan kelapa sawit, kulit buah koko, hampas tebu, getah dan sebagainya boleh dijana sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga biomass sekaligus membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.
Kenapa kita tidak gunakan tenaga angin untuk menghasilkan tenaga elekrik? saya bertanya kerana pernah terbaca bahawa kini di Jerman dan UK mulia mencuba menggunakan tenaga angin.
"Kita tak mempunyai banyak sumber angin. Kita perlukan angin yang lebih laju 10 km sejam. Tapi di sini tak ada. Kita pernah cuba di Pulau Layang-Layangan pada tahun 70-an tapi masalahnya masalah selenggaraan,"katanya.
Di Jerman dan di UK juga masalah baru timbul, apabila minyak pelincir yang digunakan untuk menggerakan turbin membeku pada musim sejuk, dan tidak dapat berpusing.
Bagaimana tentang arang batu? Ramai yang tak setuju kita guna arang batu?
Barangkali kerana negara kita masih mempunyai banyak minyak.Kita belum rasa terdesak.Tapi apabila kita tidak lagi mempunyai minyak untuk bekalan tenaga, di situ nanti kita sedari. Penggunaan arang batu tak jadi masalah dengan teknologi terkini malah tak ada asap hitam yang dikeluarkan yang dikatakan boleh mencemar alam sekitar.
Kalau hidro?Saya nampak di Jepun berjaya?
Saya mulai berasa seronok bertanya Prof.Dato' Baharudin. Penggunaan tenaga hidro lebih murah dan boleh menjadi satu alternatif yang baik. Tetapi kita di Sabah tidak mempunyai sungai yang panjang yang mengalir deras.Sungai kita pendek-pendek, katanya. Memang terdapat beberapa projek micro hidro di sabah yang agak berjaya.Selain pikohidro, yang lebih kecil digunakan untuk membekalkan elektrik untuk satu atau dua rumah.
Banyak sumber tenaga yang boleh dieksploitasi untuk menghasilkan tenaga biomass, kata Prof Dato Dr.Baharudin yang juga salah seorang kordinator New Sources of energy Asean.
Apa boleh buat Dr.Baharudin berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada malam ini. Kalau tidak bolehlah bersembang panjang dengan beliau.Banyak pengetahuan yang diperolehi. Tapi sebelum berpisah, saya minta apa bahan yang patut dibaca untuk menambah pengetahuan mengenai biomass.
Kalau mahu tahu lebih banyak, boleh buat carian di internet, cari COGEN atau BIOGEN, dan boleh dapat maklumat yang lebih, katanya.
Saya berterima kasih kepada Cikgu Hamid yang memperkenalkan saya dengan Profesor. Saya bangun lalu menyalaminya sambil mengucapkan terima kasih dan selamat jalan. Ketika sampai di lif, barulah saya teringat bahawa saya terlupa menanyakannya mengenai tenaga suria. Mudah-mudahan lain kali, saya berkata dalam hati sambil menekan lif.
Ke tingkat 5, kata Helvia.
Home
Unlabelled
Catatan pertemuan dengan Prof.Dato' Dr.Baharudin Yatim, satu petang di Restoran Choice,Jalan Pantai
Rabu, 25 Mei 2011
Catatan pertemuan dengan Prof.Dato' Dr.Baharudin Yatim, satu petang di Restoran Choice,Jalan Pantai
✔
abd naddin
Diterbitkan 7:00 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments so far
Kalau sampah perlu dibakar, jadi matlamat untuk menjaga alam sekitar pun tak tercapai melalui biomass. Bukan begitu?