Khamis, 30 Jun 2011

Pertemuan dengan Dato' Hisham di Inanam

Tags

Sebaik-baik saja Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak selesai menyampaikan ucapan di pekan Inanam pada petang 30 Jun, saya tercari cari Rashid, rakan wartawan yang turut sama membuat liputan acara lawatan PM itu.
Ketika sedang mencari-cari Rashid itu, saya ternampak Dato' Hisham. Saya terus menyapa beliau, dan ternyata bila ternampak saya, beliau terus menyalami dan bertanya khabar.
Tentu sibuk hari ini, katanya. Ya, saya mengiakan. Petang sebelum ke Inanam itu, saya sempat membuat liputan di Kampung Likas, di rumah Haji Yahya NC Asai, yang juga menantu kepada OT Bakar bin Boso, iaitu orang yang ditemui Allahyarham Tun Razak ketika beliau melawat Likas pada tahun 1965.
Walaupun hujan lebat, tapi orang begitu ramai, kata Dato Hisham lagi. Memang ramai orang datang ke Inanam, lebih 5,000 barangkali dan di Kampung Likas juga, lebih 300 orang meskipun hujan kurang bersahabat.
Bila Dato' balik? ada acara lain? Katanya, beliau mengikuti rombongan PM yang melawat dua hari ke Sabah.
Jadi apa isu di sini? Saya kata isunya begitu begitu saja.Jawapan yang saya sesali kemudian. Sebenarnya saya agak terkejut terserempak dengan Dato' Hisham itu. Kalau saya tahu, tentu saya akan bertanya isu-isu seperti Perhimpunan Bersih 2.0, dan sebagainya. Saya terlupa, sepatutnya saya boleh dapat berita scoop keranaa beliau Menteri Dalam Negeri.
Tiba-tiba Kohadie datang menggambar kami dengan handphonenya. Saya baru teringat untuk merakamkan gambar pertemuan di Pekan Inanam itu. Setelah menggambar Kohadie dan Dato' Hisham, kereta yang membawanya sampai. "Kereta sudah sampai," kata Dato Hisham tapi sempat meminta kakitangannya untuk mengambil gambar kenangan kami.
"Asalkan niat kita baik," katanya ketika saya mengatakan rasa teruja dapat bertemu itu.Saya agak kagum kerana beliau masih mengenali saya, walaupun seingat saya, hanya tiga kali saya sempat menemuramah beliau secara dekat.Yang pertama di Magellan Sutera Harbour ketika beliau mengumumkan niat bertanding Naib Presiden dan yang kedua di rumah Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Haji Idris selepas beliau menang Ketua Bahagian. Dalam kesempatan lain, beliau sering dikerumuni wartawan dalam interview.
Saya tak sangka dapat berjumpa dengan Dato Hishammuddin dalam keadaan tidak bersedia itu, keranaa sepatutnya sebagai wartawan, saya mengutarakan soalan terutama kerana beliau seorang yang bertanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri.
Memang hari ini agak letih juga kerana terpaksa berpacu dengan waktu. Setibanya di pejabat, saya sempat menyiapkan interview dengan Haji Yahya, dengan Haji Minin Mantamin, dengan Pakcik Surat Taam.
Likas dulu tak ada jalanraya seperti ini, kata mereka merujuk lawatan Tun Razak itu. Dalam lawatan itu, Tun Razak menyumbangkan RM25,000 untuk membaiki Masjid Jamik Kampung Likas. Ketika itu, 1965, hanya terdapat lebih 100 buah rumah, kebanyakan dari suku kaum Bajausama yang menghuni Kampung Likas.
Mujurlah saya dapat menyiapkan artikel, kerana saya teringat pertemuan tak disangka-sangka dengan Dato' Hisham di pekan Inanam itu.