Sabtu, 6 Ogos 2011

Abdullah Sibil, PSS dan setemu serati-rati

Tags

ABDULLAH,PSS DAN SETEMU SERATI-RATI

SETEMU SERATI-RATI, DEMBUA KITI, adalah kata-kata keramat yang selalu meniti dibibir ahli-ahli Persatuan Sama Sabah (PSS), sebuah persatuan yang dianggotai masyarakat bajausama di Pantai Barat Sabah seperti Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Tuaran, Kota Kinabalu, Papar dan sebagainya. Ungkapan Setemu serati-rati, dembua kiti membawa makna yang mendalam. Dengan adanya pertemuan dan saling kenal mengenal, maka kita dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan persatuan. PSS yang bergerak dalam bidang kebudayaan, sosial, ekonomi dan pendidikan ini dipimpin oleh Datuk Haji Abdullah Haji Sibil, seorang tokoh korporat dan aktivis masyarakat yang tidak asing lagi di negeri ini.

Haji Abdullah Sibil lahir di Kampung Kesapang tetapi dibesarkan di Kampung Gunding Kota Belud dari sebuah keluarga petani yang berjaya. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Tempasuk dan SK Taun Gusi pada tahun 1961 hingga 1965. Kemudian beliau menempuh pendidikan menengah di SMK Kota Belud pada tahun 1966 hingga 1972. Selepas itu, beliau menduduki tingkatan enam rendah di Sabah College (Maktab Sabah) pada tahun 1973. Setelah itu, Abdullah melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam sehingga memperolehi diploma dalam bidang pengurusan dan industri perladangan pada tahun 1976. Beberapa tahun selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti of Southwestern Louisiana Amerika Syarikat sehingga memperolehi ijazah sarjanan muda dalam bidang Pertanian (Perniagaan Tani). Ijazah Sarjana Sains Perniagaan Tani dan Pentadbiran Perniagaan diperolehinya dari Sam Houston State University, Texas. Beliau juga memiliki Sijil Kepujian dalam bidang Pengurusan dan Penilaian Pelaburan (PIAM) dari Universiti Harvard.

Beliau kini beliau menjawat jawatan sebagai perunding korporat di Perbadanan Pinjaman Sabah sejak Januari 2010. Beliau bertanggungjawab dalam bidang kewangan, akaun, Pembiayaan pinjaman, Sumber Manusia, Pentadbiran dan hartanah. Sebelum itu, beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pinjaman Sabah (1995-2009). Beliau juga pernah berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Tanah (ALDO) Jabatan Pertanian 1976-1979, Pegawai Latihan Kanan di Kementerian Pembangunan Perindustrian 1979-1981, Pengarah Tugas Khas Belia di Kementerian Pembangunan Perindustrian, 1981-1983 dan Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian 1987-1995 dan memiliki 35 tahun pengalaman dalam perkhidmatan kerajaan dan korporat.

Selain jawatan Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS) yang dipegangnya sejak 2004, Haji Abdullah juga memegang jawatan sebagai Club Service Director, Rotary Club Luyang (2009-2012), Pengerusi Lembaga, SASS Plantation Sdn Bhd (2010-2012), Ahli Majlis Society Agricultural Scientist of Sabah (SASS) sejak 1998, Timbalan Pengerusi Yayasan Kota Belud, Pengarah Lembaga Koperasi Khidmat Bhd, Bendahari Majlis Gabem (Gagasan Badan Ekonomi Melayu Sabah (2009-2011) dan Bendahari Persatuan Bekas Pelajar Maktab Sabah (OSCA) 2010-2012

Sebelum itu beliau pernah menjadi Presiden Rotary Club Luyang (2006-2007), Yang di Pertua PIBG SK Sri Gaya (2003-2007), Presiden Society Agricultural Sceintist of Sabah (SASS)- 2006-2009, Pengerusi Koperasi Perbadanan Pinjamam Sabah (2000-2007), Ahli Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Sabah 2003-2007 dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB) 1979-1985.

Sebagai Ahli Korporat, beliau juga memegang banyak jawatan lain termasuklah Pengerusi Greentech Outlook (Sabah) Sdn.Bhd (pengurusan sisa buangan), Pengerusi Rafflesia Medical Centre (hospital), Pengerusi Weston Wetland Sanctuary Sdn.Bhd (pelancongan), Pengerusi Ask Victory Sdn.Bhd (Perubatan dan Bekalan Peralatan). Beliau juga Timbalan Pngerusi Permodalan Capital Bhd (kewangan) Penasihat Korporat Syarikat Serimas Sabah Sdn.Bhd, Penasihat Telakbana Sdn Bhd. Penasihat Alapbana Sdn.Bhd (pembinaan) dan Alternate Director-Rejoice Tours & Travel Services Sdn.Bhd. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Rusnah Ariffin dan dikurniakan enam orang anak.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemui beliau untuk meninjau pendapatnya mengenai usaha-usaha melestarikan dan memulihara Budaya bajausama seterusnya menjadikannya sumber ekonomi pendapatan masyarakat luar bandar khususnya masyarakat Bajausama Pantai Barat yang lebih suka dikenali sebagai Sama.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan ini. Bolehkah Datuk jelaskan mengenai tujuan penubuhan PSS?

DHAS: Terima kasih denakan. Tujuan penubuhan Persatuan Sama Sabah (PSS) lebih kepada usaha untuk mengumpulkan masyarakat kita, orang-orang kita dalam satu wadah. Dalam satu persatuan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim di antara kita.Pada masa yang sama kita juga berusaha untuk memelihara seni budaya kita supaya tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain di negara ini.

PSS juga lebih fokus kepada pendidikan, kegiatan-kegiatan sosial dan kemasyarakatan serta kegiatan pembangunan ekonomi.

UB: Apa pendekatan yang diambil oleh PSS dalam mencapai matlamatnya?

DHAS: Sebagai sebuah NGO, kita mengambil pendekatan dengan masyarakat.Kita menggalakkan mereka untuk mengenal potensi-potensi yang boleh dimajukan dalam bidang budaya. Kita menanamkan bahawa pemuliharaan budaya itu bermula daripada kita. Kita haruslah menunjukkan bahawa kita mampu sebelum kita boleh memimpin orang lain. Seperti kata orang putih `everything must begin with you'.

Selain itu, kita juga bekerjasama dengan NGO-NGO dan badan-badan lain untuk kepentingan masyarakat. Sebagai contoh kita mengadakan kerjasama dengan Rotary Club untuk kerja-kerja komuniti seperti pembinaan air graviti di kampung-kampung, dan banyak lagi bentuk kerjasama lain yang kita buat semata-mata untuk kepentingan masyarakat.

UB: Apa yang ingin dicapai oleh PSS?

DHAS:Kita mahu supaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara kita saling kenal mengenali antara satu sama lain.Jika kita saling kenal mengenali, sudah tentu kita dapat membina satu masyarakat yang bersatu padu. Dengan masyarakat yang bersatupadu itu kita dapat pula membina negara yang kukuh.

UB: Selain jawatan sebagai Presiden PSS, kami difahamkan bahawa Datuk juga terlibat dalam banyak persatuan NGO. Apa yang menyebabkan Datuk tertarik dengan kegiatan sukarela?

DHAS: Saya memang berminat menyertai gerakan-gerakan sukarela. Semangat kesukarelawanan ini amatlah baik dan bermanfaat.Misalnya saya banyak bergaul dengan golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera, akauntan dan sebagainya, ketika menyertai kelab Rotary. Dalam kelab ini, selalunya yang dibincangkan ialah bagaimana membantu orang lain yang tidak berkemampuan, yang kurang bernasib baik. Kemudian kita dapat melihat betapa ahli-ahli kelab, walaupun mereka terdiri daripada golongan yang telah berjaya, kaya mewah dan sebagainya, tetapi mereka masih sanggup memikul guni beras, gula dan bantuan lain untuk diberikan kepada penduduk-penduduk luar bandar yang tersisih walaupun dengan berjalan kaki. Semangat sukarelawan seperti ini wajar dicontohi. Menyertai banyak persatuan sukarela ini membawa banyak manfaat untuk kita. Jika kita mempunyai ramai kawan, ramai kenalan, kehidupan akan menjadi lebih gembira dan sebarang cabaran yang kita temouhi akan menjadi lebih mudah.

UB: Berbalik kepada PSS. Apa perancangan untuk memajukan masyarakat Sama?

DHAS: Kita mempunyai banyak perancangan untuk memajukan sukukaum sama agar sebaris dengan sukukaum lain di negeri ini.Kita mempunyai perancangan masa depan, bukan saja dalam pembangunan budaya malah dalam pembangunan ekonomi untuk membangunkan masyarakat kita.

UB: Tidakkah PSS dilihat akan menimbulkan persaingan dengan persatuan suku-suku kaum lain?

DHAS: Kita tidak bersaing, bahkan kita saling melengkapi. Baru-baru ini kita telah menghimpunkan persatuan-persatuan Majlis Gabungan Sukukaum Bumiputera Sabah (GPSBS) dimana saya kordinatornya. GPSBS itu dianggotai oleh 13 persatuan antaranya USBO, Persatuan Kedayan Sabah, Pertubuhan Sama Sabah, Persatuan Bangsa Sungai Sabah, Persatuan Bumiputera Iranun Sabah, Persatuan Ubian Sabah, Persatuan Murut Sabah, Persatuan Rungus, Persatuan Tobilong, Persatuan Bugis, Persatuan Bangsa Brunei Sabah dan lain-lain. Kita bergerak seiring untuk mencapai matlamat kita.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai Pesta Seliu-Liu yang dijangka diadakan Oktober ini?

DHAS: PSS bercadang untuk menganjurkan Pesta Seliu-Liu, yang dijangka akan diadakan pada Oktober depan. Pesta Seliu-Liu itu akan menjadi satu pesta yang menghimpunkan seluruh masyarakat untuk menyaksikan budaya Sama, antaranya Usunan, kuda berhias, sepak manggis, betitik, pelamin dan sebagainya. Kita akan menganjurkan pesta itu sebagai acara tahunan. Buat permulaan, kita akan membuatnya secara kecil-kecilan dahulu. Kita juga mahu menjadikan pesta itu mendapat pengiktirafan kerajaan, sama seperti Pesta Gasing (GATA) di Sipitang, sama seperti Pesta Kaamatan, Pesta Kalimaran, Adau Janang Gayuh, Pesta Jagung, Pesta Bengkoka dan sebagainya.

Pesta ini dibuat semata-mata untuk menghidupkan dan melestarikan budaya Sama.

UB: Oh ya. Bercakap mengenai budaya Sama ini, apa komen Datuk mengenai generasi muda kita yang kurang meminati budaya?

DHAS: Mereka harus didekati supaya lebih mencintai budaya. Saya sendiri sejak kecil lagi sudah pandai `titik' (betitik-bermain kulintangan). Saya fikir kita harus memulihara dan memelihara budaya kita. Kekayaan budaya menunjukkan ketinggian bangsa. Malahan dahulu, kebolehan atau kemahiran seseorang dalam masyarakat kita itu dinilai sama ada beliau itu boleh bermain betitik atau pencak silat. Jadi dengan menguasai seni budaya ini memberikan kelebihan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.Bahkan untuk mencari menantu pun, dalam masyarakat Sama pada masa dahulu, diukur dengan kepandaian bersilat dan juga betitik itu. Sekilas memang kelihatan agak remeh tetapi ini menunjukkan masyarakat kita dahulu betul betul menjaga budaya, kerana tinggi budayanya maka tinggi tamadunnya, tinggi peradabannya.

UB: Saya tertarik dengan idea Datuk mengenai gagasan untuk membina rumah kebudayaan dan kampung budaya itu? Boleh Datuk jelaskan serba sedikit?

DHAS: Kita berhasrat untuk mewujudkan kampung budaya Sama. Kita akan perkenalkan budaya Sama (bajausama) seperti cara hidup, kesenian, makanan dan sebagainya. Misalnya sebaik memasuki kampung budaya itu, kita akan pelawa pengunjung atau pelancong untuk menunggang kuda, menunggang kerbau. Mereka akan dibawa berkeliling ke satu kampung orang Sama (bajausama) yang dipilih dan mereka kemudian akan dibawa melihat cara hidup mereka seperti menanam padi dan sebagainya. Kemudian mereka akan dihidangkan dengan makanan, seperti `buas pinoyot diom saging' (nasi dibalut daun pisang). Selepas itu mereka akan dibawa mnenyaksikan persembahan kesenian seperti tarian limbai, tarian kuda pasu. Mereka juga akan dibawa melihat kekayaan budaya seperti usunan, kuda berhias dan sebagainya. Rumah-rumah tradisi kita, boleh dibina dan dibangunkan.

Ini semua akan menjadikan tarikan pelancong. Berdasarkan pengalaman saya, pelancong luar negeri suka dengan keunikan budaya kita. Di sini juga kita akan dapat memperlihatkan mengenai adat budaya Sama yang santun, tuturkatanya sopan dan sebagainya. Semua ini menjadi satu pakej untuk mempelihatkan ketinggian peradaban kita, tamadun kita. Semua ini berpotensi untuk kita membangunkan budaya kita,melestarikannya. Dengan sendirinya kelak, jika budaya kita dapat dilestarikan, ekonomi orang-orang kita, masyarakat kita akan turut dapat dibangunkan.

Sudah tentu dengan adanya kesungguhan masyarakat kita, Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membantu melestarikan budaya dan membantu segala prasarana yang diperlukan kerana ia juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara.

UB: Oh ya. Bercakap mengenai budaya Sama ini, apa komen Datuk mengenai generasi muda kita yang kurang meminati budaya?

DHAS: Mereka harus didekati supaya lebih mencintai budaya. Saya sendiri sejak kecil lagi sudah pandai `titik' (betitik-bermain kulintangan). Saya fikir kita harus memulihara dan memelihara budaya kita. Kekayaan budaya menunjukkan ketinggian bangsa. Malahan dahulu, kebolehan atau kemahiran seseorang dalam masyarakat kita itu dinilai sama ada beliau itu boleh bermain betitik atau pencak silat. Jadi dengan menguasai seni budaya ini memberikan kelebihan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.Bahkan untuk mencari menantu pun, dalam masyarakat Sama pada masa dahulu, diukur dengan kepandaian bersilat dan juga betitik itu. Sekilas memang kelihatan agak remeh tetapi ini menunjukkan masyarakat kita dahulu betul betul menjaga budaya, kerana tinggi budayanya maka tinggi tamadunnya, tinggi peradabannya.