Sabtu, 17 September 2011

Satu catatan di Puncak Iqra'

Tags


SATU CATATAN DI PUNCAK IQRA'

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

KAMI sengaja singgah di Puncak Iqra' pada tengahari itu.Sekadar untuk bersalaman dengan penulis, wartawan, sasterawan Haji Hussain Qassau. Lama tidak bertemu pemikir bahasa dan sastera ini. Kerana itu, sejak awal lagi kami merancang akan singgah selepas menghadiri majlis perkahwinan Nur Ashikin Ashan anak seorang penulis, Rosyanti Haji Mohammad dan KK Ashan Moksin dengan pasangannya Mohd.Noorhazri Mohd Jaini di Kampung Melagui Kelatuan Papar pagi itu.

Selepas menjamu selera dan Mat Congo menyanyikan satu lagu yang digemarinya, kami berangkat meninggalkan majlis. Setiausaha IPS, Jasni Yakub dan isteri, Ahli kehormat IPS, Muhammad Haji Salleh pulang ke tempat masing-masing manakala kami singgah ke Puncak Iqra'.

Haji Hussain sedang memerhatikan anggota keluarga dan pekerjanya membersihkan dan mengemaskan Puncak Iqra' kerana beliau dijadual mengadakan Rumah Terbuka Hari Raya pada 24 September nanti. Puncak Iqra' yang terletak di atas bukit adalah satu tempat yang istimewa. Pokok-pokok yang ditanam bernuansa sastera kerana nama dan karya penyair diabadikan di kawasan itu. Selain itu, Bung Hussain-begitu kami memanggilnya, memiliki koleksi buku yang lumayan banyaknya. Rumahnya hampir menyerupai sebuah perpustakaan yang dipenuhi dengan rak rak buku, dari pelbagai tajuk, yang dikumpulnya sejak berpuluh tahun lalu.

Beliau merupakan penulis antara penulis paling prolifik pada awal tahun 70-an. Sebagai wartawan, beliau pernah bertugas di beberapa buah akhbar tempatan termasuk Harian Ekspress dan Sinar USIA. Beliau pernah bertugas dalam dunia persuratkhabaran di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau pernah bertugas membuat liputan di beberapa negara seperti Korea Selatan. Malah beliau meliput beberapa peristiwa penting dalam sejarah negeri Sabah.

"Bila lagi kita adakan program di sini?" Saya bertanya Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin. Haji Hussain telah menawarkan tempat untuk berbengkel malah rumah yang ada boleh menampung 20 hingga 30 orang. Kita boleh merasakan angin perbukitan, membakar ikan atau jagung atau kalau mahu makan ayam, kita boleh menangkap dan menyembelihnya," katanya. Hasrat untuk mengadakan aktiviti sastera dan budaya di Puncak Iqra sudah lama terakam dalam fikiran tetapi hanya menunggu waktu untuk direalisasikan.

Percakapan kami berkisar mengenai senario semasa dan isu-isu sastera dan bahasa. Respon beliau terhadap usaha mengaktifkan MBSS. ADUN Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif yang juga seorang sasterawan nusantara,Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas bersama Ketua Satu IPS, Sukor Haji Usin, Yang Di Pertua Bahasa, Jasni Matlani, Pengarah Penerangan Sabah, Datuk Almain Ajirul, pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah, Puan Ramlah Amir yang merupakan penaja MBSS telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman di kediamannya di Seri Gaya untuk membincangkan usaha untuk menyemarak dan memartabatkan sastera Sabah.

Berdiri di Puncak Iqra' memang mengilhamkan. Penulis dan sasterawan yang ingin berkunjung hanya perlu melalui jalan ke Kampung Dambai, melintasi landasan keretapi, jambatan dan mengikiti jalan di pinggir bukit, menyaksikan sawah padi sebelum sampai ke Puncak Iqra yang penuh dengan pokok-pokok buah-buahan, yang barangkali berbuah jika sampai musimnya.

Sambil duduk di bawah pohon mangga itu, perbualan kami sekitar acara-acara sastera yang bakal diadakan tidak lama lagi. Banyak juga program yang akan diadakan nanti antaranya Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 yang akan diadakan pada 29 September nanti. Hasyuda Abadi terpilih sebagai pemenang Hadiah Utama manakala Ailin Nor, Raymond Majumah, Amini Gawis, Sahara Jais dan Ramli Jusoh turut terpilih sebagai pemenang dalam peraduan itu.

Satu lagi program yang tidak kurang pentingnya ialah Konsert Perdana Lagu Puisi anjuran bersama DBP Cawangan Sabah,Kementerian Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar,Jabatan Penyiaran Sabah,Sempena Sambutan Hari Jadi Rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah akan diadakan pada 3 dan 4 Oktober 2011,di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah.

Semoga selepas Hasyuda Abadi menghadiri pertemuan penulis Asean-Korea (Korean Asean Poet Literature Festival) yang akan diadakan di Pekan Baru Riau pada Oktober, aktiviti pembacaan puisi di Puncak Iqra dan Ekspedisi IPS berkeretapi ke Tenom dan beberapa program lain akan dapat dilaksanakan.

Selepas beberapa ketika, kami memohon untuk datang di lain waktu. Puncak Iqra' sentiasa menggamit rindu penulis untuk sering datang bertandang. Kelihatan sawah padi indah terbentang, juga perkampungan yang aman, keretapi yang bergerak di landasan,angin yang bertiup dan suasana damai yang mengilhamkan, kami pun berangkat meninggalkan puncak Iqra.