Hanafi beria-ia
membawa kami menyaksikan air terjun di pancur itu. Bukan selalu kalian datang,
katanya. peluang itu tidak harus dilepaskan. Beliau bersama rakan-rakannya
membonceng kami dengan motosikal untuk ke tempat air terjun, kira-kira lima
minit dari tempat kami menginap.
Dan benar air terjun
itu benar-benar cantik dan menakjubkan.Tujuh tingkat.Tempat itu selalu menjadi
tempat tumpuan masyarakat di sekitar Narathiwat dan kawasan selatan siam.
Pelancong jarang datang kerana daerah itu masih bergolak. Tetapi lokasi air
terjun itu memang menarik.
Selepas mengambil
gambar, kami dibawa menyaksikan kawasan istana raja, salah satu daripada tujuh
raja di Pattani. Bagaimanapun, kami terpaksa meninggalkan keindahan itu kerana
perlu ke Teluk Manak.
Di Teluk Manak, kami
ke Masjid Wadi Hussin, sebuah masjid kayu tertua yang dibina tanpa menggunakan
paku. Masjid itu berusia kira-kira 250 tahun. Kebanyakan penduduk di kampung
itu adalah orang Islam yang saleh. Majoritinya adalah keturuna Arab Hadrami
dari Yaman. Keluarga Al-Idrus. Nik Rakib memberitahu lebih 300 penduduk kampung
itu kini menjadi warga Arab Saudi. Salah seorang daripadanya kini menjawat
jawatan Timbalan Menteri Pendidikan di Arab Saudi.
Saya diminta oleh Nik
Rakib untuk bercakap sedikit kepada jemaah Masjid selepas wakil dari Brunei.
Selepas mengucapkan salam dan terima kasih atas jemputan yang diberikan, saya
menceritakan tujuan kedatangan kami untuk melawat ke masjid tertua itu. Di
samping itu, saya berkata, kami juga teringat mengenai peristiwa Tak Bai, pada
2004, dimana 26 orang khabarnya dikebumikan di kawasan masjid itu. Saya agak
hairan bagaimana mangsa Tak Bai yang sepatutnya boleh sampai dalam masa satu
atau dua jam ke Pattani, tetapi mengambil masa kira-kira lapan jam untuk sampai
ke sana. Semua mangsa yang dilonggokkan dalam lori, meninggal dunia dalam
kejadian itu. Setengahnya tak dapat lagi dikenali mayat mereka.
Saya juga menyatakan
rasa terharu kerana berpeluang melawat kampung yang terkenal dan mempunyai
kedudukan yang penting dalam sejarah pengembangan Islam di Pattani. Imam Ramli
Ahmad mempelawa kami bermalam tetapi kami memberitahu banyak lagi tempat yang
perlu kami kunjungi.
Alhamdulillah,
selepas saja melawat masjid Wadi Hussin, van yang dipandu Hanafi terus meluncur
ke Narathiwat.
Perut agak lapar
juga. Kami menuju ke Nasir Seafood.Tom yamnya agak sedap, entah kerana memang
sedap atau kerana kami yang kelaparan.