Sabtu, 12 November 2011

Pertemuan di Kafe, nota mengenai Ruhaini

Tags

PERTEMUAN DI KAFE, NOTA MENGENAI RUHAINI

KAMI sengaja duduk di penjuru kafe itu. Sambil menikmati makanan sambil mengunyah sastera. Pertemuan seperti itu jarang terjadi tetapi insan seni seperti kami sering mengharapkan adanya ruang untuk saling bertukar fikiran dan pandangan mengenai dunia penulisan yang sedang kami geluti itu. Percakapan mengenai kesusasteraan seperti tak ada penghujungnya. Selalu ada yang menarik untuk dibicarakan apatahlagi jika berkaitan isi inti karya, sikap penulis, penyair dan sebagainya sertai bagaimana kita harus berpacu dengan waktu untuk memastikan dunia sastera kita seiring maju dengan dunia sastera di tempat lain.

Demikian pada tengahari itu, kami duduk di bangku berlatarkan hutan hujan khatulhistiwa-meskipun hanya imaginasi pelukis, tetapi suasana yang dihadirkannya mampu menjernihkan perbualan kami mengenai persoalan-persoalan sastera.

Apa perkembangan sastera kita sekarang? tanya Laliman Ahmad, budayawan dan pemikir sastera yang tidak asing lagi di negeri ini. Sebenarnya, sastera Sabah terus berkembang dengan kehadiran ramai penulis generasi baru yang berpotensi. Beberapa nama boleh disebut untuk mewakili dunia sastera Sabah ketika ini tetapi salah seorang penulis yang dianggap penting ialah Ruhaini Matdarin.

Ruhaini Matdarin, penulis novelis yang sedang mengukir namanya, bukan setakat di sabah tetapi hingga ke peringkat nasional. Namanya sebaris dengan penulis lain di negara ini apabila karya-karyanya pernah memenangi peraduan di peringkat kebangsaan. Ruhaini, lulusan sarjana muda kewangan dari sebuah universiti tempatan ini, tidak syak lagi merupakan seorang penulis yang layak dibanggakan . Karya-karyanya membicarakan cakupan tema yang luas, malah sekarang cenderung kepada realisme magis, kerana didukung oleh pengetahuan dan pembacaannya yang luas.

Antara kelemahan penulis kita ialah kurang membaca. Tidak semuanya tetapi kalau penulis baru rajin menelaah karya-karya besar sudah pasti mereka mampu menghasilkan karya-karya yang besar juga. Bagaimanapun, terdapat beberapa penulis memang rajin membaca buku-dan berdasarkan berita dari facebook- ada yang sudah memiliki buku-buku penulis besar, sebahagiannya terpampang dalam facebook mereka. Ini sudah tentu merangsang penulis lain untuk membaca lebih banyak lagi.

Memang terdapat impian untuk mengadakan pertemuan sambil minum secangkir kopi sambil bicara mengenai buku. Dulu pernah diadakan aktiviti seperti itu, tetapi jika dapat dihidupkan kembali, tak perlu ramai, cukup empat lima orang, sudah memadai untuk memperkaya wawasan dan berkongsi ilmu dan maklumat mengenai sastera.

Dalam pertemuan yang singkat itu juga, Ruhaini sempat menghadiahkan novel Nisan, karya beliau yang pernah memenangi Hadiah Sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah. Sayembara Menulis Novel Kerajaan Negeri Sabah Siri 1 anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) diadakan buat pertama kali.

Novel Nisan setebal 292 halaman diterbitkan oleh Penerbitan Melur, Kajang Selangor Darul Ehsan. Saya belum sempat membacanya tetapi seperti yang tertulis di kulit buku ini,Novel Nisan mengisahkan tentang Nesan, anak kepada seorang pengusaha batu nisan yang berjaya, berada dalam dilema apabila ayahnya sering meracau melihat arwah ibunya.

Ragamnya mengalahkan anak kecil dan dia kemudian disahkan doktor pakar bahawa di dalam otaknya terdapat gumpalan tisu. Nesan berasa tertekan kerana menyedari hayat ayahnya semakin singkat, dia mengalami konflik sama ada merawat ayahnya secara tradisional atau menghantarnya ke hospital untuk menerima rawatan secara moden. Nesan juga tersepit dengan kisah cinta dengan beberapa gadis pujaannya.

Nasib keluarga ini mendapat simpati masyarakat berbilang kaum dan kisahnya digambarkan sedemikian rupa oleh penulis sehingga menyentuh perasaan, sekali gus memberi semacam inspirasi kepada pembaca. Garapan novel ini serba indah, penuh simbol dan berfalsafah.Tema, teknik, gaya bahasa, aspek psikologi dan keupayaan naratif penulisnya diolah secara bersahaja tetapi lancar.

Khalayak sastera kita memang mengharapkan lahirnya ramai penulis seperti Ruhaini Matdarin. Beliau gigih menulis dan menghasilkan karya yang layak dibanggakan. Nama-nama lain seperti Pena Alam, Faridah Abdul Hamid, Dayangku Mastura, Ismi Nailofar, serta sederetan nama penulis seangkatan mereka mungkin sedang aktif menghasilkan karya. Dunia sastera juga sedang menantikan khabar mengenai Noraini Osman, Yong Allesia, Welin Ebal, Witer Gunik, Amelly Ann Kising, Katherina Tati, Ony Latifah Osman, Yatim Ahmad, Umadi Polot, Alung Nur Hakim, Suili Bakar ANS, Ramlee Jalimin Jainin, Nandra Hitong, Mabulmaddin Shaiddin,Norawi Haji Kata, Jair Sulai, Saik Dalwis, NR Rahim, Raymond Majumah dan sebagainya. Puisi Jair, Norawi dan Raymond Majumah tersiar dalam majalah Dewan Sastera, tapi mana nama yang lain?

Setidak-tidaknya pertemuan di Kafe Hutan Hujan itu mampu menghidupkan lagi usaha untuk menjadikan sastera kita berkualiti dan bererti.