Rabu, 30 November 2011

Ramlee Jalimin Jainin, tokoh penulis dari pedalaman

Tags

“Kalau sejuk-sejuk begini, saya lebih suka minum Chinese tea,” kata Cikgu Ramlee Jalimin Jainin. “Minuman ini bagus untuk menghalang selesema,” katanya selepas kami bertukar-tukar khabar. Hari itu petang bergerimis.Tetapi tepat jam 5.00 petang, kami sudah berada di Restoran Islamic Kampung Air, tempat yang dijanjikan untuk kami bertemu.

“Saya menulis mulai tahun 1977.Waktu itu saya lebih cenderung menulis rencana dalam majalah sarina, menggunakan nama R.Jalimin Jainin.,” katanya.Ketika itu, beliau pernah menulis artikel mengenai beberapa faktor kemunduran bumiputera di Sabah, dan disiarkan dalam akhbar Bacaria. Selain itu, beliau juga pernah menulis dalam Mingguan Islam, “tapi tidak lama, hanya empat keluaran sahaja,” katanya.

Dalam bidang puisi pula, Ramlee Jalimin Jainin sudah menghasilkan lebih 200 puisi. Beliau mula menulis puisi sejak tahun 1979. “Yang sebetulnya, saya banyak menulis berkaitan bidang pendidikan, dunia guru dan pelajar dan sebagainya”. Begitu juga cerpen, walaupun jumlahnya tidak banyak, sekitar 10 cerpen tetapi beliau banyak menyingkap bidang perguruan.

“Kita menulis mengenai perasaan dan fikiran kita mengenai alam sekeliling kita, menghasilkan puisi-puisi yang akrab dengan guru,” katanya lagi.

Tokoh penulis dari pedalaman ini dilahirkan di Kampung Bayangan Keningau pada tahun 1959.Beliau mendapat pendidikan awal dari SK Binaung 1965-1968, dan SK Luagan 1969-1973. Selepas itu di GPS Bingkor 1972, SMK Gunsanad 1973-1977 dan Maktab Perguruan Kent Tuaran 1980-1981.

Antara sekolah yang pernah menjadi tempatnya berbakti ialah SK Paitan, SK St James Keningau, SK Bunga Raya Keningau dan kini beliau menjawat jawatan Guru Besar SK Karamatoi.

Pada mulanya beliau lebih tertarik untuk menceburi bidang kewartawanan.”Bakat itu diasah dengan banyak menghadiri kursus-kursus deskritif dan kreatif anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, Sabah Times, serta anjuran diadakan oleh pihak penerbitan akhbar lain” katanya.

Malah kerana begitu taksubnya kepada bidang penulisan, Cikgu Ramlee pernah bercuti dua bulan tanpa gaji selang tiga tahun, lLalu menyeberangi lautan Cina Selatan untuk meningkatkan pengetahuan dalam kewartawanan. Penulis dari Sabah yang pertama menghiasi Majalah tabloid BACARIA selama setahun. Majalah Islam, Mingguan Perdana, Sarina (selama 3 tahun), Sabah Times dan Utusan Borneo.

Nama sebenar Mabirin @Ramlee@Jalimin bin Jainin,Beliau sering menggunakan nama Ramlee Jalimin Jainin, R.Jalimin Jainin, Tinta Dewata, Tinta Alam dan Suara Alam.

Beliau pernah mengikuti kursus penulisan selama setahun dari Pustaka Wilayah Kuala Lumpur secara koresponden sahaja dan berjaya mendapat sijil kewartawanan. Dalam bidang kewartawanan juga, beliau pernah mendapat bimbingan daripada Emin Madi,Johan Aziz, Malungun dan sebagainya.

Pada tahun 80-an,beliau pernah mengikuti kursus kewartawanan anjuran Sabah Press Club di Keningau, yang ketika itu diketuai Teddy Chin.Waktu itu, mereka dibimbing oleh Prof.Hamdan Adnan, Ilias Haji Zaidi, Dr.Acharal Mehra.

”Kami seramai 20 orang,” katanya sambil menyebut antara yang diingatnya ialah Lichong Angkui,Johan Aziz, Uhim Wong, Christopher Bubod.Noor AH Abadi, A Jalil Madarin, Awang Ahmad Ongkang, Arifin Rukot. ”Saya lupa sudah nama peserta yang lain,” katanya.

Disamping itu berjinak-jinak dalam penulisan sajak dan cerpen. Cerpen pertama yang ditersiar diSabah Times 1983, Di Lembah Sepi, dan sajak yang bertajuk Orang-Orang Kota

Ramlee pernah berguru kepada Dino SS, Othman Puteh, A. Samad Said, Hamdan Adnan (Kini Prof. Madya Dr.) Hj. Illias Zaidi, Ratnawati Jamil,Hj. Ismaily Bungsu, dan lain-lain lagi. Pernah mengikuti pembelajaran secara jarak jauh di Universitas Nasional Indonesia( Jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Indonesia 1996/1997)

Pernah mengikuti kursus teater di bawah bimbingan Pro. Madya Dr. Mohammad Ghouse Nasiruddin (USM) 1983/1984 dan di bawah Puan Salbiah Jabrin dan Shariff Ismail,Nasriadi Abdullah dalam bidang tarian dan kejurulatihan tarian dari Badan Budaya Kuala Lumpur 1987.

Dalam kegiatan berpersatuan, banyak persatuan yang telah ditubuhkan seperti Angkatan Belia Kinabalu Sabah (ABKIS) bersama Henry Dulasim (Mohd Khairy Abdullah), Badan Bahasa Nabawan/Keningau. Persatuan Wartawan Pedalaman Keningau (IJA). Angkatan Gabungan Penulis-penulis Keningau (Anggerik) bersama Sitti Rahmah G.Ibrahim dan lain-lain. Kini giat sebagai ahli jawatankuasa dalam Anak Teater Keningau bersama dengan Nandra.

Beliau telah brjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Pendidikan dan Pembangunan Sosial daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kini menyambung kuliahnya di peringkat sarjana.

Hingga kini beliau masih aktif menulis.Tetapi antara peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah apabila manuskrip novelnya musnah bersama laptopnya yang terbakar dalam tragedi kebakaran di Rumah Guru di Bingkor pada 2010.

Namun beliau berazam untuk menerbitkan buku `pakai duit sendiri’ dengan mengantologikan puisi-puisi dan cerpennya.

“Cerpen mutakhir saya ialah Persidangan Rimba, yang mengisahkan mengenai rasa tidakpuas hati mergastua terhadap aktiviti-aktiviti pembalakan.Jika pembalakan diteruskan, habitat mereka akan terancam dan dimana binatang-binatang itu akan tinggal, kalau hutan ditebang, pokok ditebang dan sebagainya”, katanya.

Dikurniakan tujuh orang anak, tetapi hanya seorang,kata Cikgu Ramlee iaitu anak bungsunya, seorang perempuan, bekerja sebagai guru, yang meminati bidang penulisan.

Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai guru besar, tetapi beliau tetap bertekad untuk terus menulis dan terus menambahkan ilmu di dada.

“Masih banyak karya saya belum tersiar,” katanya mengakui. “saya akan terus menulis merakamkan denyut, keresahan dan kegelisahan masyarakat untuk menikmati kehidupan yang sejahtera dan bermanfaat untuk sesama manusia,” katanya sebelum kami beredar setelah gerimis reda.