Entah berapa hari sudah Orang Tua Kumah meninggalkan kampungnya, di Kapitangan, sebuah kampung jauh di hujung pulau Banggi.
Saya tidak pasti. Dari Kapitangan, beliau ke Karakit sebelum naik feri ke Kudat. Bermalam beberapa hari di Kudat untuk `cari belanja' sebelum turun ke Kota Kinabalu kerana banyak `pengurusan'.
Bayangkan berapa banyak belanja yang diperlukan untuk `pengurusan' itu. Beliau hanya tersengih kepada saya ketika saya bertanya kepadanya.
"Saya tidak mahu pulang sebelum tuan menuliskan mengenai masalah kami," katanya.Saya dapat mengesan nada amarah dari percakapannya itu. Untuk meredakan rasa marahnya, saya mengajak beliau minum di Kedai Lilok.
Katanya beliau sudah makan, ketika saya mengajak beliau makan nasi berlauk ikan bakar. Akhirnya kami saja yang makan, Orang Tua Kumah hanya memesan minuman.
Kalau tak silap saya Kopi O.
Sambil menjamu selera, saya meminta beliau bercerita mengenai masalah yang dihadapinya. "Apa masalahnya beliau?". Orang Tua Kumah mengeluarkan puluhan keping gambar.Gambar-gambar itu menunjukkan tapak semaian getah, bibit getah yang dibuang, kuburan nenek moyang dan kawasan yang dikatakan oleh beliau sebagai tempat mereka sembahyang.
Kata OT Kumah, tanah itu seluas 50 ekar.Sebelum dijadikan tapak semaian bibit getah, tanah itu adalah lokasi mereka melakukan upacara sembahyang mengikut ada istiadat Kaum Dusun Bonggi.
Ingin saya nyatakan, kata OT Kumah, yang fasih berbahasa Melayu, bahawa dalam upacara sembahyang kawasan tanah tersebut digunakan bukan sahaja oleh penduduk Kapitangan malah seluruh suku kaum Bonggi di seluruh pulau Banggi.
Saya agak tertarik mendengar cerita yang disampaikan oleh OT Kumah, yang bertubuh kecil tetapi tegas dan sanggup menerima risiko kerana perjuangan terhadap tanah yang juga menjadi tempat mereka bercucuk tanam padi `cara pindah randah' semasa waktu musim sembahyang mengikut adat istiadat turun temurun.
"Tanah itu adalah tanah warisan daripada nenek moyang kami dan ia diperuntukkan sebagai kawasan sembahyang". Terdapat juga tanah perkuburan turun temurun, katanya sambil menjelaskan sebanyak 200 kuburan boleh ditemui di kawasan itu.
Saya tertarik dengan upacara sembahyang itu, yang dilakukan sekali dalam lapan tahun. "Boleh kami tengok?" saya bertanya kepadanya. Beliau berkata `belum ada aturan orang luar boleh menontonnya'.
Mengikut kebiasaan sembahnyang keturunan Dusun Bonggi, upacara adalah sekali dalam setiap lapan tahun.Ia bukan di buat di kawasan ladang, rumah dan sebagainya sebaliknya ia dibuat di dalam hutan.
"Rumah sembahyang yang kami buat di dalam hutan bukanlah rumah biasa dan memerlukan kawasan yang tidak luas iaitu kira-kira 900 kaki sahaja," katanya. Tempoh masa untuk membuat rumah sembahyang itu adalah lima bulan, atap dan dindingnya nipah manakala lantainya nibung.Saiznya pula adalah 140 kaki panjang dan 100 kaki lebar.
Orang Tua Kumah memberitahu terdapat dua cara mereka sembahnyang.Pertama, untuk penanaman padi sekali berladang sahaja. "Kami akan membina sebuah rumah sembahyang dalam hutan dan sembahyang dalam masa setahun sahaja.Kedua, untuk penanaman padi, dua kali berladang, kena dua kali membina rumah sembahyang dalam hutan dan tempoh sembahyang juga dua tahun".
"Apabila tempoh sembahyang telah habis tempohnya, rumah sembahyang itu akan ditinggalkan tanpa dirobohkan atau dibersihkan tetapi dibiarkan buruk sendiri", katanya.
Selain itu, terdapat juga pantang larang dalam kawasan rumah sembahyang itu. Mereka tidak dibenarkan memakai seluar atau baju, kasut, selipar, topi, lampu suluh, minyak wangi, syampu, sabun dan minyak rambut, kata OT Kumah. Mereka hanya dibenarkan memakai `santut' sahaja. Selain itu, mereka tidak dibenarkan meminum minuman seperti kopi, coca cola dan sebagainya. Selain itu, mereka tidak dibenarkan memakan ikan masin, ikan dipancing, telur ayam dan itik, minyak masak, mee goreng, kuih telur, kelapa, limau, garam, kicap,kunyit,ayam dan itik.
Jadi apa masalahnya beliau? Saya bertanya?
Mereka mahukan pampasan atau ganti rugi kerana penggunaan adat istiadat turun temurun itu, kata OT Kumah. Apa yang menyedihkan, tanah kampung itu digunakan untuk tapak semaian bibit getah, tetapi getahnya di tanam di tempat lain. Orang kampung minta agar diberikan bibit getah tetapi mereka berasa hampa kerana pihak berkenaan, kata OT Kumah, tidak sudi memberikan bibit getah itu sebaliknya lebih suka membuang atau menguburkan bibit getah yang tidak ditanam.
Beliau berkata, penduduk kampung Kapitangan tidak mendapat manfaat daripada bibit getah itu padahal tanah adat mereka digunakan sewenang-wenang untuk tapak semaian. Oleh sebab itu, mereka memohon agar penduduk diberikan pampasan dan tanah adat itu dikembalikan kepada penduduk kampung.
"Tulislah masalah kami tuan", katanya."Biar menteri baca, biar PM baca, saya bertanggungjawab asalkan hak asasi kami dikembalikan," kata OT Kumah kepada saya.
Sebenarnya saya lebih tertarik untuk merakam dan mencatat mengenai upacara sembahyang suku kaum Bonggi, tetapi OT Kumah bercerita mengenai tanah adat yang dulunya lokasi upacara sembahyang tetapi kini dijadikan tapak semaian getah, tanpa memberi manfaat kepada mereka.