Khamis, 29 Disember 2011

Pertemuan yang dinantikan-satu catatan peribadi

Tags

Jika berangkat jam 7.00 pagi dari Kota Pontianak, bas Damri akan tiba jam 7.00 pagi keesokan harinya di Brunei. Tetapi ibu Tini tidur satu malam di Miri, Sarawak, menginap di tempat pakcik Nordin di Bandar Baru Permai Jaya.
Keesokan harinya, beliau menaiki bas dari Miri jam 8.00 pagi dan sampai di Kota Kinabalu kira-kira jam 9.00 malam.
Satu malam di Kota Kinabalu, ibu Tini berangkat lagi dari Terminal Inanam jam 7.00 pagi dan tiba jam 6.00 petang di Tawau, di Pantai Timur Sabah.
Bayangkan berapa jauh jarak yang ditempuh oleh ibu Tini.Bayangkan berapa jam ibu Tini perlu duduk dalam bas, hanya semata-mata untuk menunaikan hasrat untuk bertemu keluarga yang terpisah sejak lima generasi yang lalu.
Kisahnya bermuara daripada Muhd Arif. Sebelum dilantik sebagai kadhi Kerajaan Kesultanan Bulungan, Muhd.Arif Syafie telah mendirikan rumahtangga dengan Nur'ain di Pontianak, yang terletak Kalimantan Barat sekarang ini.Beliau mempunyai beberapa orang anak, antaranya Aminah, dan Idris yang di kemudian hari menyusulinya ke Tanjung Selor.
Di Tanjung Selor, di tempat yang kini dikenal tanah seribu, Muhd.Arif berkahwin dengan Ainun Jariyah yang juga dikenali sebagai Ibom,keturunan suluk dan berdarah bangsawan dari Ipil,Sulu.
Antara anak mereka (di tanjung selor) ialah Mohd.Salleh.Adik beradik Mohd Salleh ialah Radiah, Ahmad dan Idris. Antara anak Mohd.Salleh pula ialah Zubaidah, Berlian, Ahmad,Ramlah,Yahya,Salim,Kalsum dan Osman.
Berlian adalah ibu kepada mertua saya,Nurdin bin Hassan.
Sementara itu, anak Muhd.Arif Syafie yang berada di Pontianak ialah Aminah. Aminah berkahwin dengan Mohd.Ali bin Mahmuddin.Mereka melahirkan anak bernama Ahmad, Abdullah dan Mohd.Amin. Antara anak-anak Abdullah pula ialah Zawawi, Siti Hamnah, Siti Dasimah,H.Abdurrauf, Wagimah dan Rahimah manakala anak Ahmad pula bernama Usman, yang salah seorang anaknya bernama Hassan.Abdullah merupakan ayah kepada Haji Abdurrauf manakala Wagimah ialah ibu kepada Ibu Dra.Agustini.

Dra Agustini inilah yang sanggup menempuh perjalanan beratus kilometer jauhnya dari Kota Pontianak untuk bertemu keluarga yang ada di Tawau, kerana sebahagian lagi keluarga berada di Tanjung Selor,Kalimantan Timur.

Uniknya, walaupun pelbagai usaha dilakukan kedua pihak untuk menjejaki keluarga, mereka tidak pernah bertemu. Mertua saya, Nurdin bin Hassan (kini telah kembali ke rahmatullah) semasa hidupnya sentiasa berkirim surat dengan Usman Ahmad iaitu ayah kepada Pak Hassan selain kepada Osman Kari, yang juga keluarganya. Anak Osman Kari yang bernama Nordin, pada usianya kira-kira 18 atau 20 tahun, pernah sampai ke Tawau untuk mencari sepupunya, iaitu mertua saya, yang juga bernama Nurdin tetapi tidak bertemu.Sehingga akhirnya dia pulang, sangkut di Miri, bekerja di Offshore dan berumahtangga di sana.Osman Kari ini juga adalah mertua kepada Ibu Dra Agustini.

Surat yang begitu lama tersimpan itu akhirnya ditemui, dan disiarkan melalui blog www.keluargakitabersama.blogspot.com. Tetapi hanya apabila saya bergabung dalam facebook dan berkenalan dengan seorang pemuda yang baik hati, Herry Uswanda, yang sanggup bermotosikal di tengah musim hujan untuk mencari keluarga di Gang Mempelam, dan alhamdulillah beliau dapat menemuinya.

Setelah itu, kami kemudian berangkat ke Kota Pontianak http://www.keluargakitabersama.blogspot.com/2010/10/kenang-kenangan-ketika-di-pontianak.html dan dengan izin Allah yang maha pengasih, kami akhirnya bertemu pada satu malam selepas maghrib di Hotel Muslim Kota Pontianak.Dari sana, Pak Hassan membawa kami bertemu keluarga, Ibu Hasanah dan Rosdiah. Dan kemudian bertemu pula dengan Haji Abdurrauf yang kami panggil abah. Dan pada malam, sebelum saya dan isteri, Fauziyah berangkat pulang, lobby Hotel Muslim itu penuh apabila keluarga Abah berkumpul untuk bertemu pada malam itu.
Pada kunjungan kedua ke Pontianak, saya hanya sempat bertemu dengan Abah dan kesemua anak lelakinya,Rusman Najib, bang Nanang, abang yang menjadi lurah di Sintang, Rusnadi dan anak-anaknya yang lain dan kami sempat minum di sebuah restoran, tidak jauh dari Museum Pontianak.
Bagaimanapun, selepas saya balik dari Mempawah, kami tidak sempat bertemu kerana hujan ribut mengakibatkan banjir memukul Sungai kapuas menyebabkan berpuluh rumah hanyut.

Ibu Tini yang berkunjung ke rumah pamannya, Haji Abdurrauf merasa agak teruja untuk bertemu keluarga dan setengah kesal bertanya kenapa tidak diberitahu mengenai kunjungan kami itu.Sebenarnya tidak sempat diberitahu kerana kami berkunjung hanya sehari ke kota Khatulhistiwa.

Sejak itu kami sentiasa berkomunikasi melalui telefon, sms dan facebook. Kira-kira setahun lima bulan kemudian, iaitu 27 Disember, Ibu Tini, anaknya agus yang entah kenapa dipanggil mokmok itu, dan fazirah, anak pakcik Nurdin dari Miri, tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 9.00 malam.

Bersama Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Tuan Haji Abdul Hakim Haji Gulam Hassan, kami menyambut ibu Tini di perhentian bas yang terletak di depan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Ketika minum di Seri Sempelang, Asia City, ibu Tini sempat bercerita mengenai perjalanan mereka. Tentang istilah `bertolak' yang agak asing bagi mereka di sana, dan juga mengenai panggilan `auntie' dan `uncle' yang agak asing bagi telinga mereka disana.Tentang kebiasaa ibu Tini membawa bekal dalam perjalanan kerana susahnya mencari restoran Muslim di Miri dan juga cerita mengenai keluarga, dan sebagainya. Kebetulan ibu Tini punya kegemaran memasak. Saya bercerita ketika kunjungan ke Pontianak itu, tidak lama selepas kejadian pesawat tergelincir di Bandara Supadio dan kebetulan wartawan Tvone yang meliputnya ialah ,Tutwuri Handayani, adik ibu Tini sendiri.

Dra Agustini adalah guru matematik di SMA Negeri 8,Pontianak. Kalau bukan cuti sekolah,akan sukar bagi beliau untuk datang ke Sabah, menempuh perjalanan kira-kira 64 jam dalam bas pergi balik Kota Pontianak-Kuching-Miri-Brunei-Kota Kinabalu-Tawau

Beliau juga sempat memperlihatkan mengenai silsilah keluarga, dan foto-foto perkahwinan mereka. Keesokan harinya, pada 28 Disember, mereka berangkat ke Tawau dengan bas Tung Ma.

Jika tidak salah, ketika ini, menurut telefon isteri saya, Fauziyah, mereka sedang menjamu selera bersama keluarga di Tawau, di rumah Ain, di Taman Green.

Alhamdulillah, syukur padaMu Ya Allah kerana mempertemukan keluarga kami.Semoga memperkukuhkan tali silaturrahmi untuk kami menyempurnakan amanahMu untuk menyebarkan persaudaraan, kedamaian dan kesejahteraan di bumiMu ini.