UTAMAKAN KEIKHLASAN DALAM PERJUANGAN
KEIKHLASAN amatlah penting dalam perjuangan. Perjuangan tanpa keikhlasan, tidak akan mampu bertahan lama, kata Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ampong Puyon, tokoh yang diiktiraf oleh negara atas sumbangannya ke arah pembinaan bangsa dan negara sempena Hari Malaysia pada tahun 2009. Beliau seorang yang sangat dedikasi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap perjuangan. Sejak 1991 hingga kini, Tan Sri Ampong adalah Ketua UMNO Bahagian Sandakan dan dilantik sebagai Pengerusi Angkatan Hebat. Beliau juga adalah Timbalan Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sejak 1994 hingga kini.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau di ibu pejabat USIA pada 27 Disember lalu untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau dalam perjuangan politik, kemasyarakatan dan sebagainya.
Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Ampong Haji Puyon dilahirkan di Sandakan pada 9 Disember 1939.
Ayahnya ialah Panglima Puyon bi n Panglima Adam manakala ibunya Sinag bte Halon.Beliau adalah anak lelaki pertama dalam sepuluh adik beradik..Selepas lulus dari SM St Michael Sandakan, beliau bekerja sebagai Pembantu Perikanan di Jabatan Perikanan di Kudat. Selepas itu, beliau menjadi Setiausaha USNO Bahagian Sandakan. Beliau telah dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik pada tahun 1964-1972.Pada tahun 1972 hingga 1975, Tan Sri Ampong menjadi Pengerusi Lembaga Letrik Sabah (LLS). Pada tahun 1978-1982, beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Labuk Sugut. Kemudian pada tahun 1985-1986, beliau terpilih sebagai ADUN Sugut. Selain itu, beliau juga menjawat jawatan sebagai Naib Presiden USNO 1978-1991 dan Pengerusi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) 1978-1985.
Beliau kini merupakan Ketua Bahagian UMNO Sandakan sejak 1991 dan Timbalan Pengerusi BN Sandakan sejak 1995. Selain itu, Tan Sri Ampong juga adalah Timbalan Yang di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru SMK Sandakan, dan Pengerusi PIBAGU SK Sungai Anib Sandakan. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi SAFODA (1994-2001), Ahli Pemegang Amanah Yayasan Sabah (1994-1999), Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) 1989-1994, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1993-1995,Pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) 1997 dan jawatan-jawatan lain.
Antara Bintang kebesaran yang dianugerahkan kerana jasa-jasa beliau ialah Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 1967, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 1969, Jaksa Pendamai (JP) Pahang, 1972, Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) 1993, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) 1994, Kesatria Mangku Negara (KMN) 1992 dan Pingat Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 2009. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Sri Hajah Armah Haji Amirali dan dikurniakan lima orang anak.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau di ibu pejabat USIA pada 27 Disember lalu untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau dalam perjuangan politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Ikuti petikan wawancara dengan beliau.
UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman ketika bersekolah dahulu?
TSHAP: Ketika bersekolah dahulu, kami tiada kasut.Hanya berkaki ayam saja ke sekolah.Bawa bekal ubi kayu, ubi manis, kopi dan sebagainya. Alat tulis pun bukan macam sekarang. Dulu hanya pakai kalam batu. Tetapi kami sudah hafal sifir satu hingga sifir 12 ketika dalam darjah satu.Kanak-kanak sekarang, belum tentu hafal sifir, walaupun mereka duduk di sekolah menengah.
UB: Ketika di sekolah, mungkin ada cikgu yang menjadi favourit Tan Sri?
TSHAP: Antara cikgu saya dulu ialah Cikgu Piut, orang Sandakan.Kemudian Cikgu Said Haji Mansor, iaitu bapa kepada Datuk Nonie Said. Cikgu Maarof, cikgu yang paling saya gemari, Cikgu Osman dan banyak lagi yang saya tak ingat.
UB: Dimana Tan Sri sekolah dahulu?
TSHAP: Saya dulu sekolah di St Michael Sandakan. Bila saya habis sekolah tidak ada kerja.Masa itu
Kalau kau mahu kerja, jadi pendaftar kad pengenalan.Dapat tugasan pertama di Kinabatangan. Itu jam gambar pakai filem. Jadi saya berjalan dari Sanadakan, ke tempat seperti Abai,Lamag, Pintur, Karamuak sampai Tongod. Tahun 62. Pakai Bot sebelum merdeka.
UB: Apa cita-cita Tan Sri ketika kecil?
TSHAP: Matlamat saya ketika itu, kalau saya dapat kerja polis atau tentera.Tapi matlamat itu tak kesampaian. Saya seronok tengok orang pakai uniform. Kemudian ada jawatan, saya apply di Jabatan Perikanan di Kudat, sebagai pembantu perikanan. Di sanalah saya terjumpa Tun (Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun).
UB: Itu pertama kali jumpa Tun?
TSHAP: Sebelum itu saya pernah jumpa Tun di District Conference di Sandakan. Kami budak-budak sekolah suka mahu tengok rupa Tun Mustapha.Kami dapat tengok Tun dari luar. Orangnya tidak juga besar tapi kenapa orang takut. Saya terfikir alangkah baiknya kalau dapat mendampingi dia. Jadi selepas dapat tawaran untuk bekerja di Jabatan Kerajaan, saya pun naik kapal terbang DC 3 dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Kemudian dari Kota Kinabalu ke Kudat naik kapal yang lebih kecil, yang hanya muat untuk lapang orang. Kapal terbang dulu pakai kipas.Kalau naik, bahagian belakangnya dulu yang terangkat. Wah, seronok mula-mula naik kapal terbang.
Saya pun kerja di Jabatan Perikanan tapi banyak waktu yang dihabiskan di tengah laut. Waktu itu Pengarah Perikanan ialah Chin Fui Kong dan Pengarah Pertanian VN Pillai, kalau tak silap saya.
Bila sudah kerja, entah knapa saya disuruh pergi laut untuk latihan. Saya ikut John Edward Trawler untuk menarik ikan. Mengambil udang dan sebagainya.Tiap-tiap malam memukat, tiap-tiap empat jam ada makan-ada minum.Mendarat ke darat selepas dua hari atau tiga hari.Itu jam saya tinggal di tempat Cikgu Sabli Mohiddin. Dia bilang lebih baik tinggal tempat dia daripada tinggal di tempat orang, Saya berterima kasih kepada Cikgu Sabli. Saya hanya berbeza beberapa tahun dengan dia.Cikgu Sabli tua sedikit.
UB: Bagaimana ceritanya terjumpa Tun?
TSHAP: Satu hari Cikgu Sabli memberitahu Tun bahawa ada anak Panglima Puyon tinggal di rumahnya.Jadi Tun cakap Cikgu bawa dia jalan sini kalau ada masa lapang. Mendengar permintaan itu, saya sangat gembira. Pucuk dicita ulam mendatang. Jadi saya pun datang ke rumahnya. Toh Puan tanya, kita siapa? saya menjawab, saya Ampong. Saya disuruh duduk. Ketika itu, saya nampak Tun sedang menaip, pakai dua jari. Tidak lama kemudian, dia datang sambil berkata, kau punya bapa saya kenal.Waktu Kongres Usno dulu dia datang. Bagus yang muda-muda tolong Usno.Kita mahu merdeka, katanya. Mendengar perkataan kita mahu merdeka itu, saya terus setuju. Bila Tun bertanya, bagaimana dengan kerja saya di Jabatan Perikanan, saya memberitahu, saya ambil keputusan saya sokong Datu. Ketika itu, beliau belum mendapat gelaran Tun lagi.
Kemudian saya meletakkan jawatan. Chin Fui Kong dan VN Pillai datang pujuk.Ketika itu saya baru kira-kira dua bulan kerja.Mereka menasihatkan saya supaya mempertimbangkan semula memandangkan peluang saya terbuka sebagai bumiputera. Mereka minta saya jangan meletak jawatan tapi sebaiknya ambil cuti dahulu. Chin berkata, saya suka kau sebab kau bumiputera.Bagus juga majikan saya itu tetapi cita-cita saya lebih tinggi untuk mahu merdeka.
UB: Ketika itu berapa gaji yang Tan Sri terima?
TSHAP: Masa itu gaji saya hanya 175 ringgit sahaja.
UB: Apa reaksi keluarga selepas Tan Sri berhenti kerja?
TSHAP: Keluarga saya hairan ketika saya pulang ke Sandakan.Mama tanya sama saya, kenapa kau berhenti. Saya berkata, kita mahu merdeka. Mama saya tanya lagi, apa itu merdeka? Saya katakan kita mahu merdeka, mahu kerajaan sendiri dan lepas dari cengkaman orang putih. Saya tidak bimbang kerana saya biasa susah. Keluarga saya mempunyai kelong. Kalau hari enam, saya ikut ambil atap.Waktu itu kelong kami banyak ikan.Saya ambil atap ikut ayah saya. Saya pernah susah. Itu sebabnya saya susah hati kalau tak boleh tolong.Kalau nampak orang susah, mesti mahu tolong. Kalau tak dapat tolong, sekurang-kurangnya kasih minum. Kalau susah betul betul susah. kita mesti tolong. Ayah saya pesan, kalau kamu ada rezeki, jangan kamu tunggu orang susah buka mulut. Cuma kerana duit kita terhad, jangan pula minta tambah, kerana yang ikhlas tadi, jadi tidak ikhlas.
UB: Tan Sri meletakkan jawatan pada 1962 dari Jabatan Perikanan? Selepas itu, apakah Tan Sri terus menceburkan diri dalam politik?
TSHAP: Selepas berhenti kerja , saya menjadi Setiausaha USNO Bahagian Sandakan. Waktu itu bahagian Sandakan sangat luas sekali, belum dibahagi kepada Labuk dan Kinabatangan. USNO Bahagian Sandakan waktu itu diketuai oleh OKK Sabran. Saya setiausaha. Itu jam setiausaha kerjanya tukang karang surat, tukang taip.Ini kerja waktu itu. Jika tak silap, pada tahun 1962 itu juga , kami telah dihantar selama tiga bulan kursus di pejabat UMNO. Bersama Cikgu Othman Sidik, Norisah,Kamariah, Sulaiman Mokthar.Itu jam Tan Sri Aishah Ghani, masih kerja di di New Straits Times. Saya tinggal di New Hotel walaupun pada waktu itu saya ditawarkan untuk menumpang di tempat Aishah Ghani. Itu adalah antara persiapan kerana mahu merdeka. Balik dari sana, saya menjadi lebih aktif, menjadi ketua Usno cawangan, Ahli Jawatankuasa Bahagian, Naib Ketua, Timbalan sehingga menjadi Ketua Bahagian USNO. Alhamdulillah, semua itu dapat dijalani dengan baik. Bahagian Sandakan ketika itu adalah satu bahagian yang luas kerana ia merangkumi Labuk dan Kinabatangan.
UB: Selepas itu?
TSHAP: Saya dilantik sebagai ADUN dilantik pada tahun 1964. Jika tidak silap, saya adalah ADUN termuda ketika itu. Ketika itu, Datuk Pengiran Galpam dilantik sebagai senator.
UB: Jika tak salah saya, Tan Sri pernah menjadi Ahli Parlimen Jambongan?
TSHAP: Saya menjadi Ahli Parlimen Labuk Sugut pada tahun 1978-1982 meliputi Jambongan. Kawasan itu adalah kawasan sangkar maut kerana kawasan itu susah dimenangi, apathalgi saya bertanding di sana sebagai orang luar. Ketika itu peruntukan parlimen hanya kira-kira RM100,000 bukan seperti sekarang RM1.5 juta.Jadi dengan peruntukan itu saya agihkan kepada Sugut, Beluran dan Sibuga.
UB: Bagaimana ceritanya sehingga Tan Sri bertanding di Jambongan?
TSHAP: Saya diminta dan diarahkan bertanding sebagai calon di Jambongan. Ketika saya tanyakan kepada Tun, beliau meminta saya mengambil peluang itu, dan jumpa dengan orang-orang disana. Ini orangnya yang perlu ditemui, kata Tun, dan saya datang menemui mereka. Kerana tidak cukup duit, saya pernah gadai tanah untuk menyertai pilihanraya. Kalau tidak jual tanah, saya mungkin ada duit sikit.Itu jam memang perjuangan. Ketika itu saya sudah dapat mengesan bakat kepimpinan Datuk Surady. Dia tidak banyak cakap, kuat bekerja.
UB: Sewaktu dulu, pernahkah Tan Sri melobi sebagai calon?
TSHAP: Sejak dulu lagi saya tidak pernah melobi sebagai calon atau jawatan. Kita orang tua, tidak elok meminta. Bahkan sebagai ketua Bahagian, saya selalu mengingatkan agar apabila senang, jangan lupa orang susah.Orang yang suka menolong, akan digandakan rezeki.
Lagi satu, saya selalu tekankan, dalam perjuangan mesti ada keikhlasan.
UB: Bagaimana keadaan politik pada ketika itu?
TSHAP: Pada ketika itu semangat begitu tinggi.Orang menyokong tanpa pakai duit.Semuanya begitu bersemangat kerana baru merdeka.
UB: Oh ya. Sewaktu Perang Dunia Kedua, berapa umur Tan Sri?
TSHAP: Ketika Perang Dunia Kedua, saya sudah besar. Saya lahir pada tahun 1935 walaupun dalam kad pengenalan saya lahir tahun 1939.Maklumlah keadaan pada ketika itu.Ketika Jepun menjajah negeri ini, saya sudah besar.Saya ingat saya pernah dipukul Jepun kerana tidak menundukkan kepala. Selepas itu kami disuruh oleh bapa untuk lari berpindah sementara beliau tetap berada di kampung iaitu di Bokara. Jadi kami lai ke Lupak Meluas,Tronglit,Lok Mahad ,Kamoung Gas, Pulau Shanghai ddan sebagainya. kami makan ubi kayu, ubi manis dan sebagainya.
UB: Bagaimana pula Tan Sri terlibat dalam sukan?
TSHAP: Ketika muda dulu saya aktif dalam pelbagai jenis sukan. Jadi pemain hoki, pelari untuk 200, 400 meter. Pokoknya saya terlibat dalam banyak jenis sukan. Saya menjadi Presiden Persatuan Tinju Amatur Sabah selama sepuluh tahun.Saya juga memegang jawatan dalam persatuan hoki, bola keranjang dan sebagainya.
Ketika di Sandakan dahulu, saya aktif dalam Persatuan Angkatan Baru, sebuah persatuan yang bergiat dalam bidang sukan dan kebudayaan. Pasukan Bolasepak Persatuan angkatan Baru adalah antara persatuan bolasepak yang terkuat. Antara rakan saya ketika itu, Cikgu wahab Osmani, Cikgu Mahmud Rahim, Sabar Kontal, antara penggerak-penggeraknya. OKK Hasbollah Asgali dan sebagainya. Persatuan ini diasaskan oleh Sarjan Aruliah, dan Cikgu Haji Munjong yahya.
UB: Berapa jam tidur dalam sehari?
TSHAP: Saya tidur tiga jam sehari. Biasa bangun jam 4.00 atau 4.30 pagi.Masuk tidur biasanya jam 12.30 malam. Biasanya sebelum tidur, saya baca buku.
UB: Tan Sri baca buku apa?
TSHAP: Macam-macam. Kalau kita tidak baca buku, ilmu pengetahuan kita tidak bertambah.Ilmu pengetahuan memang sangat penting.
UB: Baca akhbar juga? Apa suratkhabar yang dibaca?
TSHAP: Saya baca semua suratkhabar. Saya baca untuk dapatkan maklumat mengenai peristiwa dan isu-isu terkini.
UB: Tentu sekali Tan Sri banyak pengalaman. Apa pengalaman lucu yang pernah dialami?
TSHAP: Ada satu peristiwa lucu ketika pertama kali ke Perth. Ketika naik teksi balik ke hotel. Pemandu teksi tanya, hotel mana tempat saya menginap. Ketika itu saya terlupa nama hotel. Pemandu teksi tak mahu bawa saya.Tapi tak lama kemudian, saya ingat hotel tempat saya menginap itu Forest Hotel.
UB: Oh ya, apa pandangan Tan Sri terhadap konsep 1Malaysia?
TSHAP: Konsep 1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan jelas membawa kesan kepada rakyat. Melalui konsep ini, rakyat sentiasa didahulukan.Melalui konsep 1Malaysia, Malaysia menjadi negara contoh di dunia.
UB: Apa nasihat Tan Sri kepada generasi baru khususnya pemimpin muda?
TSHAP: Kepada orang muda, bila masuk parti,jangan terlalu berharap dapat jawatan. Sebaliknya terus berjuang kerana hanya mereka yang tahan diuji yang akan berjaya.Jangan putus asa sebaliknya terus berjuang dengan penuh keikhlasan.Jangan malu kalau ditegur. Tak usaha bergrup-grup (berpuak-puak).
UB: Apa falsafah hidup Tan Sri?
TSHAP: Dalam hidup ini, lebih baik kita banyak kawan. Kalau cari musuh, bukan untuk diajak berkawan tetapi sebaliknya kita cari cara agar musuh kita berubah menjadi kawan kita. Dalam perjuangan kita mesti ada keikhlasan. Tanpa keikhlasan, sesuatu itu tidak kekal lama.Kalaupun kita menang, jika tanpa keikhlasan, ia tidak dapat bertahan lama.