DATUK SURADY,PEMIMPIN AKAR UMBI YANG BERSAHAJA
PENAMPILAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut, Datuk Haji Surady Kayong sentiasa bersahaja. Malah sikapnya tidak berubah, sama seperti dahulu sebelum bergelar pemimpin. Pembawaan dan pendekatannya tetap konsisten sama ada ketika menjadi pembantu menteri atau sewaktu menjadi wakil rakyat biasa. Pemimpin yang sentiasa dekat di hati rakyat ini sentiasa rajin turun padang untuk meninjau masalah rakyat di kawasannya.
Beliau dilahirkan pada 17 Mei 1960 di Pantai Buring, Sugut kira-kira 100 km dari Beluran. Anak ketiga dari lapan adik beradik, Surady adalah pelajar pertama dari kampungnya yang menduduki sekolah menengah di SMK Sandakan pada tahun 1973. Sebelum itu, beliau mendapat pendidikan awal di SRK Terusan Sugut dari tahun 1970 hingga 1972. Beliau menduduki peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) pada 1976.
Selepas lulus MCE , Surady menjadi pembantu kepada Ketua Bahagian USNO Sugut, Mohd.Said Imam Kuyung. Kemudian beliau menjadi Penolong Setiausaha Bahagian USNO dan menjadi Pemangku Ketua Bahagian USNO pada tahun 1984. Pada tahun 1985 hingga 1990, beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian USNO Sugut.
Pada tahun 1987-1990, beliau berkhidmat Bahagian Hal Ehwal Khas (BHEK) yang kini dikenali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).Selain itu, bBeliau pernah menjadi Setiausaha Bahagian UMNO Jambongan pada tahun 1990-1994, yang ketika itu diketuai oleh Datuk Seri Musa Haji Aman.
Pada Penghujung 1994, beliau dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beluran hingga 2008. Beliau bertanding dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri dan menang kerusi Sugut dari tahun 1994 hingga sekarang. Surady pernah menjadi Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam tempoh 1994-2004. Di tengah kesibukannya, beliau sempat menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam komunikasi daripada UTM pada tahun 2007.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada satu pagi awal minggu ini di salah sebuah restoran di ibu negeri. Dalam sesi wawancara itu, Surady menjawab pelbagai pertanyaan sekitar pengalaman sewaktu bersekolah, pengalaman dalam politik, ketika berhadapan dengan kerenah masyarakat dan sebagainya.Ikuti petikan wawancara dengan pemimpin yang sentiasa bekerja keras untuk kesejahteraan masyarakatnya ini.
UTUSAN BORNEO: Berapa jarak antara Pantai Buring, tempat kelahiran Datuk dengan Bandar Sandakan?
DSK: Jarak antara Pantai Buring dengan Bandar Sandakan memang agak jauh. Lebih-lebih lagi pada ketika itu, tiada jalanraya. Orang kampung terpaksa menggunakan perahu atau bot untuk ke Sandakan.Itupun memakan masa kira-kira Sembilan jam perjalanan.Jika dibandingkan dengan sekarang, amat jauh berbeza. Sekarang dalam tempoh dua jam setengah, kita boleh sampai ke Kota Kinabalu menggunakan jalan darat dari Pantai Buring.
UB: Kenapa tempat itu dipanggil Pantai Buring?
DSK: Dulu ada satu orang tua...dia suka duduk di tepi pantai.Orang tua ini namanya si Buring. Beliau suka melihat keindahan pantai.Lama kelamaan tempat itu di panggil Pantai Buring.
UB: Jadi waktu itu belum ada jalan raya? Bagaimana Datuk ke sekolah?
DSK: Ketika itu kami ke sekolah dengan menggunakan perahu, dari Pantai Buring, di Sugut berdayung hingga ke Sekolah Rendah di Terusan Sugut. Di sana, kami tinggal di pondok-pondok yang dibina berdekatan sekolah. Di sana kami masak sendiri, makan sendiri tanpa ibu bapa. Usia kami ketika itu kira-kira Sembilan tahun. Dalam usia sebegitu, kebanyakannya sudah boleh mengurus diri sendiri, basuh pakaian, masak sendiri dan sebagainya. Seminggu atau dua minggu sekali kami pulang kampung, berdayung lagi di Sungai Sugut.
UB: Datuk tinggal dipondok-pondok itu sendirian? Apakah ibubapa menunggui Datuk di sana, maksud saya di sulap-sulap (pondok-pondok) itu?
DSK: Ibubapa kami hanya menghantar sampai ke sana saja.Mereka meninggalkan kami sendiri. Pada masa itu, saya dan dua orang adik saya juga ikut bersama dalam pondok-pondok sementara yang dibina itu. Waktu itu tidak ada asrama seperti sekarang. Tapi kanak-kanak berusia Sembilan tahun, pada masa itu sudah boleh menguruskan diri masing-masing.Pondok-pondok itu didirikan dekat sekolah.
Ketika itu keadaan kami memang teruk. Kami hidup sendiri-sendiri. Ramai yang tidak melanjutkan pelajaran kerana keadaan miskin.Namun ramai juga yang meneruskan persekolahan. Saya menjadi orang pertama dari Sungai Sugut yang masuk sekolah menengah.
UB: Sungai Sugut tu tidak berbahaya kah Datuk?
DSK: Bahaya tu memang bahaya. Sungai Sugut ketika itu terdedah kepada ancaman buaya.Buaya di kiri kanan sungai.Tapi buaya-buaya itu tidaklah mengacau orang.
UB: Siapa kawan sepersekolahan Datuk ketika itu?
DSK: Antaranya Aspah Abdullah Sani, sekarang Timbalan Pengerusi MUIS itu rakan sekolah dan rakan sekampung saya. Selain itu, Raymond Adrin Lapingan, Japirin Lapingan dan lain-lain lagi.
UB: Waktu itu belum ada enjin?
DSK: Belum ada. Kami pakai pendayung saja.Pakai dayung pergi sekolah dengan perahu yang dipanggil oleh orang kampung sebagai `damas’. Buatan sendiri.Perahu ini dibuat daripada batang balak yang ditebuk, di buat lubang. Inilah yang kami gunakan ke sekolah ketika itu.
UB: Dimana Datuk bersekolah menengah?
DSK: Saya menduduki sekolah menengah di SMK Sandakan. Kami terpaksa menaiki perahu Sembilan jam dari Pantai Buring ke Sandakan pada ketika itu.
UB: Jauh juga ya?
DSK: Jauh…bahkan ada orang-orang dulu yang sampai bercucu, tidak mempunyai kad pengenalan, bahkan ada yang sampai meninggal tidak mempunyai mykad. Begitu sukarnya untuk ke Sandakan ketika itu, perlu mengharung lautan, Sembilan jam, dengam ombak besar untuk sampai ke Sandakan. Tapi sekarang jauh berbeza. Orang boleh keluar KK hampir setiap hari asalkan dia mahu.
UB: Sekarang masih ramai yang tidak mempunyai kad pengenalan di Sugut Datuk?
DSK: Masih ada lagi. Saya telah meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat pendaftaran bergerak.Setakat ini mereka telah lapan kali masuk untuk mendaftar dan membuat mykad, membuat surat beranak kepada penduduk terbabit.
UB: Siapa rakan sekelas Datuk di sekolah menengah?
DSK: Antaranya Datuk Samsudin Yahya, ADUN Sekong. Itu antara rakan sekelas saya di sekolah menengah.
UB: Apa pekerjaan utama penduduk Pantai Buring?
DSK: Kebanyakannya hidup sebagai petani. Mereka banyak bergantung kepada hasil hasil pertanian untuk menyara hidup.
UB: Keluarga Datuk juga bekerja sebagai petani?
DSK: Ya. Ayah saya,arwah Kayung bin Mustapha meninggal ketika saya berusia dua tahun. Ibu saya Juhurah binti Majid berkahwin lagi dengan Haji Bukag Inting. Mereka inilah yang membesarkan kami sehingga dewasa. Walaupun hanya sebagai petani tradisional, tetapi mereka masih mampu menyara hidup kami sekeluarga.
UB: Bagaimana Datuk mula-mula terlibat dalam politik?
DSK: Saya mula terlibat dalam politik pada tahun 1976, iaitu sebaik-baik tamat MCE. Ketika itu, Berjaya baru saja mengambil alih pemerintahan.USNO dan Berjaya adalah parti dominan pada ketika itu. Pada mulanya saya menjadi Pembantu kepada Ketua Bahagian USNO Sugut, Mohd.Said bin Imam Kuyung.Selepas itu, saya menjadi Penolong Setiausaha Bahagian USNO. Kemudian pada tahun 1984, saya menjadi Pemangku Ketua Bahagian USNO Sugut.Seterusnya pada tahun 1985-1990, saya menjadi Ketua Bahagian USNO Sugut sehinggalah pada tahun 1991, apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah. Saya dilantik sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Jambongan.Ketika itu, Ketua Bahagian UMNO Jambongan diketuai oleh Datuk Seri Musa Haji Aman. Saya menjadi Setiausaha Bahagian dari tahun 1991 hingga 1994.
Kemudian pada penghujung 1994, saya dilantik sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Beluran. Selepas itu, saya menjadi Ketua Bahagian UMNO Beluran sehingga tahun 2008.
Dalam pilihanraya 1994, saya menang kerusi DUN Sugut. Dalam tempoh 1994-2004, saya pernah menjawat jawatan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Pembantu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan.
UB: Setelah tidak lagi menjadi Pembantu Menteri, apa jawatan Datuk sekarang?
DSK: Saya menumpukan sepenuh masa kepada tugas sebagai wakil rakyat selain jawatan sebagai Pengerusi Borneo Samudera Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan. Sekarang saya mempunyai lebih banyak masa untuk menumpukan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
UB: Apa cabaran yang Datuk hadapi sepanjang menjadi wakil rakyat?
DSK: Memang banyak cabaran. Apatah lagi di Sugut terdapat ramai lagi rakyat yang miskin, tidak mempunyai punca pendapatan, tidak mempunyai pekerjaan dan sebagainya. Setiap hari kita berhadapan dengan masalah rakyat, yang memerlukan bantuan dan juga sokongan.
UB: Selalunya apa masalah yang diadukan oleh rakyat kepada Datuk?
DSK: Biasanya, aduan rakyat melibatkan masalah perubatan, kesihatan, masalah kemiskinan, masalah anak sekolah dan sebagainya. Itu memang biasalah. Klinik ada, tapi letaknya berjauhan.Jalan perhubungan susah. Hampir kesemuanya menggunakan jalan sungai.Ada klinik di Tangkarason, ada di Sungai-Sungai, Klinik Desa, kemudian di Simpangan, semua ini letaknya agak jauh.Jadi berharap semoga kerajaan membina lebih banyak kemudahan kesihatan untuk rakyat.
UB: Kebanyakan jalan perhubungan hanya melalui sungai Datuk?
DSK: Dari Pantai Buring ke Sandakan atau dari Pantai Buring ke Beluran menggunakan jalan sungai. Sugut ini kawasannya kira-kira seluas negeri Pahang.Jadi bayangkanlah betapa sukarnya.
UB: Jalan sungai hingga sekarang?
DSK: Tidak lagi seperti dulu. Di bawah kerajaan Barisan Nasional, jalan perhubungan telah dibina dari Kanibongan ke Sapi Nangoh menelan belanja kira-kira 400 juta pada tahun 2000. Jalan itu siap digunakan pada tahun 2003. Bila ada jalan raya, pembangunan juga dapat dinikmati oleh rakyat.
UB: Selain jalan raya, apa lagi yang dibangunkan di Sugut?
DSK: Sejak BN memerintah, banyak kemajuan yang telah dinikmati oleh penduduk Sugut.Kita berusaha untuk membangunkan Sugut dalam pembangunan ekonomi, swasta.Kita berusaha untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang pertanian.
Selain itu saya telah memohon kepada Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta untuk membangunkan sebuah ladang kelapa sawit seluas 41,000 ekar untuk rakyat untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung, yang kebanyakannya hidup di bawah paras kemiskinan. Sebanyak 500 keluarga telah mendapat manfaat daripadanya dengan purata pendapatan RM600 hingga RM700 sebulan, dimana hasil sawitnya dijual kepada syarikat perladangan kelapa sawit.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai Program Bantuan Rumah (PBR) di Jambongan? Khabarnya projek itu membawa banyak manfaat kepada rakyat?
DSK: Sebanyak 30 buah rumah PBR telah dibina dengan tambahan 60 buah rumah lagi yang sedang dibina di Pulau Jambongan. Mereka yang terpilih untuk program itu juga terlibat dalam projek ternakan balat dalam sangkar. Semua ini dilakukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di pulau Jambongan. Ia juga diharap dapat mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.
UB: Disebalik kesibukan sebagai wakil rakyat, mungkin ramai yang ingin tahu bagaimana Datuk mengagihkan masa?
DSK: Dalam satu minggu, saya dua kali masuk kawasan. Berkereta dari Kota Kinabalu ke Sugut sekarang hanya memakan masa kira-kira 3 jam perjalanan menggunakan jalan Pitas-Kanibongan-Paitan.
UB: Apa hobi Datuk jika ada masa terluang?
DSK: Minat saya kalau ada masa, ialah picnic, berkelah bersama keluarga atau rakan-rakan. Jika ada masa lapang, saya juga suka masuk ke ladang-ladang kelapa sawit dan sebagainya.
UB: Datuk suka baca buku?
DSK: Ya, tentu sekali. Saya suka baca buku dalam bidang sejarah, politik, buku mengenai pelancongan dan sebagainya.
UB: Apa potensi pelancongan yang boleh dimajukan di Sugut?
DSK: Memang banyak potensi pelancongan yang boleh dimajukan. Banyak pulau-pulau yang cantik, di Jambongan sendiri, di Sugut dan sebagainya. Kini dengan adanya jalan perhubungan yang lebih baik, kita berharap agar potensi-potensi pelancongan yang menarik ini dapat dikembangkan.
UB: Oh ya, apa harapan Datuk terhadap Sugut?
DSK: Saya bercita-cita agar Sugut dapat dimajukan dari pelbagai sudut, dalam bidang ekonomi…dalam bidang pertanian… pelancongan….dalam bidang pendidikan dan sebagainya. Selain itu, saya bercita-cita mahu menjadikan kawasan Sugut maju dan membangun.
UB: Tapi bagaimana keadaan di Sugut sekarang?
DSK: Sugut kini berkembang maju dalam pembangunan. Tapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan.Bekalan elektrik, air dan sebagainya. Pendapatan rakyat sekarang semakin bertambah kerana adanya sistem perhubungan yang lebih baik. Kini ramai yang mengusahakan tanah pertanian. Bahkan lebih 80 peratus penduduk sekarang, memiliki kereta. Ini satu perubahan berbanding dahulu dimana bukan saja kereta tidak ada, malah jalan perhubungan pun masih menggunakan sungai.
Selain itu, kerajaan juga sedang membangunkan kira-kira 20,000 ekar tanah untuk projek agropolitan, yang sudah tentu membawa manfaat kepada rakyat. Sebanyak 80 peratus penduduk Sugut memiliki tanah.Jadi saya berharap Sugut dapat dibangunkan dan membangun sedikit masa lagi.
UB: Sebut pasal pendidikan, apakah orang tua Datuk ketika itu memberi galakan kepada Datuk dalam pelajaran?
DSK: Mereka sangat memberi galakan. Mereka yang paling bangga jika anak mereka berjaya.Mereka prihatin terhadap pelajaran anak-anak, daripada kecil hingga dewasa. Malah mereka sangat menitik beratkan pelajaran. Berbanding dengan sikap masyarakat pada umumnya ketika itu, yang tidak begitu menggalakkan anak-anak mereka untuk belajar lebih tinggi.Mereka berkata, tanpa pelajaran pun mereka boleh hidup….kenapa juga kami… tiada pelajaran boleh hidup.
Untuk apa belajar tinggi-tinggi, tanah banyak untuk diteroka, kita masih boleh hidup juga...Itulah sikap sebilangan orang tua pada zaman dahulu, yang enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
Tetapi sikap mereka itu berubah, apabila Jabatan Pelajaran pada waktu itu sentiasa memastikan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.Malah bagi mereka yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah, diancam untuk dihantar ke penjara, dihukum dua tahun penjara jika tidak menghantar anak-anak ke sekolah.Gertakan itu ternyata berkesan dimana ramai ibubapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.
Berbanding waktu dahulu, bermula daripada saya…saya anak pertama kampung kami yang belajar sekolah menengah di Sandakan. Kini terdapat lebih 300 anak-anak Sugut yang masih berada di universiti, sama ada dalam dan luar Negara yang masih menuntut dalam pelbagai bidang ilmu. Keadaan ini sangat menggalakkan berbanding dahulu. Mereka yang masuk universiti juga mendapat bantuan daripada Yayasan Sugut untuk meneruskan pelajaran.
UB: Menurut Datuk, apa yang menyebabkan mereka enggan menghantar anak ke sekolah waktu itu?
DSK: Pertama, sebab tiada keupayaan, kedua;mungkin mereka tidak mahu berpisah dengan anak-anak mereka yang masih kecil, ketiga mungkin mereka tidak mempunyai kesedaran terhadap pentingnya pelajaran. Tapi sekarang sudah jauh berubah.
UB: Oh ya, siapa idola Datuk? Pemimpin yang Datuk minati?
DSK: Saya meminati Tun Dr.Mahathir Mohammad , mantan Perdana Menteri kita. Selain itu, pemimpin yang saya kagumi ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, PM kita sekarang dan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Saya meminati Tun Dr.Mahathir kerana kemampuannya mentadbir Negara, membawa kemajuan hingga menjadikan Malaysia sebuah Negara membangun yang disegani, Datuk Seri Najib pula kerana pendekatannya kepada rakyat, sentiasa mendahulukan rakyat dalam kepimpinannya dan Datuk Musa pula kerana kemampuannya dalam mengurus ekonomi dan membangunkan negeri ini.
UB: Apa seruan Datuk kepada rakyat di Sugut?
DSK: Saya menyeru mereka untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).Kita yakin bahawa hanya kerajaan BN saja yang boleh membangunkan negeri dan membela rakyat.Sementara pembangkang hanya bercakap ikut sedap hati mereka saja. Kita tidak mahu seperti kata pepatah, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.
UB: Oh ya? Bagaimana sambutan rakyat terhadap Datuk di kawasan?
DSK: Alhamdulillah, sambutan rakyat terhadap program-program yang kita laksanakan amatlah baik. Setiap program lawatan atau turun padang ke kampung-kampung, mereka sentuasa member layanan yang menggembirakan.Itu sebabnya biarpun penat, tapi kita seronok berjumpa dengan rakyat.