SAYA SUSAH HATI KALAU TAK DAPAT BANTU ORANG: DATUK JOHN OT GANI
BARANGKALI hampir semua orang yang berkecimpung dalam arena politik Sabah, mengenal nama tokoh berpengalaman ini. Beliau bukan saja salah seorang veteran dalam politik Sabah tetapi banyak tindakannya yang mendapat sorotan banyak pihak, bukan saja golongan rakyat malah kalangan media.
Sebelum ini, beliau pernah menjadi senator selama enam tahun.Kemudian beliau bertindak secara drastik, melepas semua jawatan dalam parti dan kerajaan dan menjadi ADUN Bebas dalam tempoh 2004-2008.
Datuk John OT Gani dilahirkan dan dibesarkan di kota kecilnya, Kuala Penyu sebagai anak ketiga daripada 13 orang adik beradik. Di gelanggang politik, beliau menapak tangga demi tangga, bermula dalam Pergerakan Pemuda USNO Cawangan, USNO Bahagian Kuala Penyu,Ahli Majlis Tertinggi USNO hinggalah ke jawatan Naib Presiden USNO.
Ketika UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah, pada 21 Februari 1991, beliau menjadi antara orang pertama dari suku KDM yang menyertai UMNO. Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting ketika berada dalam UMNO antaranya Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Bendahari Bahagian UMNO Beaufort dan Ketua Penerangan UMNO Beaufort
Bertanding dalam pilihanraya buat kali pertama pada tahun 1981 tetapi kalah, beliau terus gigih berjuang mempertahankan prinsip dan keyakinannya dalam politik. Pada tahun 1985, beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu tetapi hanya bertahan selama sepuluh bulan lima hari apabila pilihanraya terpaksa diadakan semula pada tahun 1986 ekoran situasi politik yang tidak menentu.
Bagaimanapun bintangnya dalam politik terus menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari tahun 1991 hingga 1997. Sebagai seorang senator, beliau telah banyak memperjuangkan kepentingan rakyat. Selepas tamat tempoh perhidmatannya di Dewan Negara, Datuk John OT Gani dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Sinora, sebuah `public listed company' pada tahun 1998. Syarikat ini berjaya mendapat konsesi balak seluas satu juta hektar di Papua New Guinea (PNG).
Dalam tahun 2004, beliau sekali lagi membuat membuat kejutan apabila meletakkan semua jawatannya dalam parti, dan meninggalkan gaji yang lebih besar daripada gaji yang diterima oleh menteri, untuk mendengar suara rakyat yang mahukan perubahan. Datuk John bertanding dalam pilihanraya 2004 sebagai calon Bebas, dan menang dengan majoriti yang selesa iaitu sebanyak 2018 kelebihan undi.
Namun demikian, beliau gagal mempertahankan kerusi dalam PRU-12 akibat keadaan yang tidak memihak kepadanya.Meskipun begitu, sebagai tokoh yang berpengalaman luas dan popular di kalangan rakyat, Datuk John sentiasa menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat yang mengajukan permasalahan mereka seperti sebelumnya.
Kini setelah beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat, Datuk John banyak menghabiskan masanya di kampung halamannya di Batu Linting, berkebun kelapa sawit dan buah-buahan serta menternak kambing. Bagaimanapun, beliau masih bergerak aktif dalam politik sebagai salah seorang tokoh oposisi yang disegani oleh kawan dan lawan. Beliau dikurniakan lapan orang anak, empat laki dan empat perempuan hasil perkongsian hidupnya dengan Datin Rozy Fung. Beliau kini mempunyai 21 cucu.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemui di salah sebuah kafe terkemuka di ibu negeri dalam satu temubual santai yang menyentuh pelbagai topik sejak beliau menceburkan diri dalam politik. Ikuti petikan temubual bersama tokoh yang sentiasa merakyat ini.
UTUSAN BORNEO: Terima kasih Datuk kerana sudi memenuhi permintaan kami untuk sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Sejak bila Datuk menceburkan diri dalam arena politik?
DJG: Saya mula menyertai politik pada tahun 1971. Kebetulan bapa saya OT Gani bin Sair merupakan pejuang USNO. Ketika USNO jatuh 1975, dia masih orang kuat USNO.
Dalam parti, saya bermula dari bawah, naik tangga demi tangga. Pada awalnya, saya aktif di pergerakan pemuda USNO Cawangan, kemudian bergerak dalam USNO Bahagian Kuala Penyu. Selepas itu menjadi Ahli Majlis Tertinggi dan jawatan terakhir saya dalam USNO ialah sebagai Naib Presiden USNO.
UB: Datuk pernah mengalami proses kalah menang dalam politik. Bila kali pertama Datuk bertanding dalam pilihanraya?
DJG: Saya mula bertanding dalam pilihanraya 1981 atas tiket USNO tetapi kalah pada ketika itu.Kemudian saya bertanding dalam pilihanraya 1985 dan menjadi wakil rakyat di DUN Kuala Penyu sehingga 1986 iaitu selama sepuluh bulan lima hari sehingga pilihanraya terpaksa diadakan semula di seluruh negeri ekoran keadaan politik yang tidak menentu.
UB: Selepas 1986 itu, apa yang Datuk lakukan?
DJG: Saya terus berjuang dalam politik.Terus mendekati rakyat dan memperjuangkan kepentingan golongan bawahan, golongan akar umbi yang perlukan pembelaan. Saya pernah susah.Hidup kami dulu miskin. Ibubapa terpaksa memotong getah untuk membiayai persekolahan kami. Kadang-kadang duit RM1.20 sen untuk school fees (yuran sekolah) tidak dapat bayar. Kami tiga beradik bersekolah di sekolah misi St Augustine ketika itu. Malahan kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah.Bukan ada kasut...Kami terpaksa berkaki ayam namun ia tidak mematahkan semangat kami. Jadi itulah sebabnya saya mudah simpati kepada permasalahan rakyat kerana saya juga pernah merasai kemiskinan.
UB: Sebagaimana yang kita ketahui, UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah pada tahun 1991. Dimana Datuk ketika itu?
DJG: Apabila UMNO mengembangkan sayapnya pada 21 Februari 1991, saya adalah antara orang dari kalangan KDM yang menyertai UMNO. Saya pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan memegang beberapa jawatan, antaranya Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Bendahari Bahagian UMNO Beaufort dan Ketua Penerangan UMNO Beaufort sehinggalah tahun 2004.
UB: Apa sebenarnya yang mendorong Datuk melepaskan jawatan dalam UMNO dan bertanding sebagai calon Bebas dalam tahun 2004?
DJG: Ketika itu rakyat menuntut perubahan. Saya terpaksa berkorban kerana kepimpinan tidak mahu mendengar kehendak rakyat kerana mereka terlalu kuat. Walaupun saya terpaksa melepaskan jawatan dan meninggalkan gaji yang boleh dikatakan lebih besar daripada menteri tapi demi memenuhi aspirasi rakyat, saya mengambil risiko. Saya fikir kepimpinan atasan tidak merasa apa yang rakyat rasa. Mereka rasa masih kuat hingga sampai ke tahap tidak peduli orang.
UB: Sejak menyertai oposisi, bagaimana hubungan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan?
DJG: Perhubungan kami masih baik.Kami tetap kawan kerana yang berbeza hanya ideologi politik. Malah ramai di antara mereka sentiasa datang jika ada rumah terbuka hari krismas yang saya adakan tiap-tiap tahun di Batu Linting. Malah sebagai rakan lama dalam politik, ada masanya kami duduk berbual, minum kopi.
UB: Mungkin itu sebabnya politik Sabah dikatakan unik.Apa komen Datuk?
DJG: Di Sabah, walaupun berbeza fahaman politik, mereka masih boleh duduk sama-sama minum di kedai kopi. Tiada masalah di kalangan pemimpin kerana yang berbeza hanyalah parti. Mereka masih kunjung mengunjungi jika ada majlis rumah terbuka, majlis kahwin, kematian dan semuanya.Perpaduan di kalangan rakyat tidak tergugat meskipun mereka berlainan ideologi politik.Itu yang menyebabkan politik Sabah unik dan istimewa. Lagi pula, perhubungan antara kaum masih kukuh kerana terdapat kaitan saudara di kalangan mereka.
UB: Bagaimana Datuk melihat pembangunan jika dibandingkan dulu dan sekarang?
DJG: Memang banyak perubahan, kalau dibandingkan antara zaman penjajahan dan zaman kita merdeka.
UB: Berapa umur Datuk ketika pembentukan Malaysia? Apa perasaan Datuk ketika itu?
DJG: Saya masih dibangku sekolah pada ketika itu. Saya lihat orang sibuk berkempen untuk penubuhan Malaysia pada 1963.
UB: Apa perbezaan dulu dan sekarang?
DJG: Perbezaan memang ada. masa sekarang, kita perhatikan jika pemilihan calon, berpuluh-puluh orang mahu jadi calon.Dulu kebanyakan orang bertolak-tolak.
UB: Setiap rumah terbuka Krismas, saya perhatikan ramai orang berkunjung ke rumah Datuk dari pelbagai lapisan masyarakat? Apa rahsianya?
DJG: Seperti yang saya katakan tadi, saya sentiasa dekat dengan golongan akar umbi meskipun tidak lagi menjadi wakil rakyat mereka. Tradisi rumah terbuka ini saya telah adakan sejak bertahun-tahun dahulu, dan sentiasa dikunjungi rakan taulan, jauh dan dekat. Tuhan menjadikan kita berbangsa-bangsa, yang penting kita saling hormati menghormati.Kita hormat agama lain, orang lain hormati kita.Itu yang menyebabkan perpaduan kita di Sabah terus kukuh walaupun berlainan anutan agama dan berbeza ideologi politik.
Apa yang membanggakan saya, setiap Krismas, anak-anak saya (yang telah memeluk agama Islam) banyak membantu walau tidak seagama. Kalau Krismas, dia orang (mereka) semua turun, anak-anak dan menantu-menantu saya yang mengaturnya. Dia orang yang memasak kalau hari krismas. Jadi keluarga kami sentiasa harmoni.Malah keluarga kami rapat.
UB: Masih ramai orang yang datang minta tolong Datuk?
DJG: Rakyat datang minta tolong dengan saya tidak kira siang atau malam. Sudah menjadi kebiasaan saya melayan mereka.Jika mereka menelefon, kalau saya tidak dapat menyambutnya, kerana sesuatu kesibukan,satu hari kemudian saya mesti telefon mereka balik. Saya sentiasa suka bersama rakyat.Ini cara saya melayan mereka.Ini bikin saya gembira. itu sebab masih ramau yang bersama saya. Biasanya, kalau ada masa lapang, saya suka duduk di kedai kopi di Kuala Penyu. Saya cari kedai yang paling ramai orang duduk. Saya tidak suka sendiri.Saya suka mendengar keluh kesah mereka, saya suka mendengar permasalahan mereka, feed back mereka dan sebagainya.
UB: Jika tak silap, Datuk pernah bertugas di luar negara? Boleh ceritakan sedikit pengalaman sewaktu di luar negara?
DJG: Saya pernah bertugas sebagai pengerusi sebuah syarikat `public listed company' , Syarikat Sinora yang diberi konsesi di Papua New Guinea. Ketika itu negara yang baru merdeka.Bila-bila masa, ada rusuhan ketika itu. Saya mendapat banyak pengalaman di sana.Kebetulan duta kita di sana waktu itu cukup baik.Orang Pulau Pinang.Kami selalu berjumpa sewaktu di sana. Di Port Moresby, ibu kota PNG, itu banyak sekali restoran makanan laut, kebanyakannya dikuasai oleh peniaga berbangsa Cina.
UB: Apa pengalaman sepanjang Datuk menjadi Senator?
DJG: Sebenarnya saya menjadi Senator dari tahun 1991-1997.Sepanjang menjadi Ahli Dewan Negara, banyaklah pengalaman yang dilalui.Kita berjumpa banyak tokoh, berkongsi pengalaman dengan mereka.Kita beruntung dapat boleh mempelajari pengalaman mereka tiap kali persidangan.
UB: Berbalik kepada persoalan di Kuala Penyu. Secara jujur, bagaimana Datuk melihat potensi Kuala Penyu dari segi pembangunan?
DJG: Kuala Penyu mempunyai potensi yang sangat besar untuk dibangunkan jika kemudahan-kemudahan asas dapat disediakan oleh kerajaan. Tapi sekarang bagaimana pelabur mahu melabur, jika bekalan air tak ada, jika bekalan elektrik tak menentu. Sebelum sesebuah syarikat menanamkan pelaburan, mereka akan melihat dahulu sama ada tempat itu ada bekalan air yang mencukupi, bekalan elektrik dan jalan yang baik. Dalam bidang pelancongan, misalnya, banyak tempat di Kuala Penyu yang boleh dimajukan.Tetapi bagaimana orang boleh melancong, kalau tak dapat mandi kerana tak ada air. Bahkan ada kilang baja di kawasan Kuala Penyu, yang hampir tiap hari angkat air.Paip baru diganti tapi tak ada air.Bekalan elektrik pula, tiga empat kali black out.Perkara ini telah kita suarakan dulu tetapi tidak diberikan perhatian.
Dalam Majlis Rumah Terbuka Krismas, yang turut dihadiri Datuk Seri Panglima Lajim Haji Okin, perkara ini saya bangkitkan semula kerana ia masalah rakyat.Baiknya Datuk Lajim ini ialah dia tidak menyembunyikan kelemahan kerajaan. Dia minta agar masalah itu segera ditangani kerana kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit tetapu masih gagal menangani masalah yang dihadapi rakyat. Ini jelas merugikan rakyat kerana wang kerajaan adalah wang rakyat.Kerajaan kutip cukai daripada rakyat. Jadi rakyat wajar menagih janji untuk mendapatkan kemudahan asas yang lebih baik.
UB: Oh ya, Datuk dikenal agak rapat dengan arwah Tun Datu Mustapha ketika hayatnya. Apa kenangan yang tidak boleh dilupakan bersama beliau?
DJG: Banyak kenangan bersama arwah Tun. Beliau mengganggap saya sebagai saudaranya. Sewaktu dia di SemenanjungKadang-kadang dia panggil ke Singapura, untuk ambil kad jemputan. Dia suruh saya tinggal di hotel penginapannya kepada pengurus hotel, dia katakan, `layan dia baik-baik, ini aku punya saudara'. Cuma diakhir hayatnya, dia berasa seolah-olah dipinggirkan, tidak dibawa berunding, itu yang menyebabkan beliau Tun kecil hati.
UB: Apa falsafah hidup Datuk?
DJG: Kalau ada orang yang minta bantuan, saya mesti bantu sekadar yang termampu.Kalau tidak dapat tolong hati saya susah. Saya tidak pernah marah orang, tapi orang marah saya mungkin ada. Saya sentiasa suka bersama rakyat, sebab itu kalau ada sesautu majlis, begitu ramai orang datang.Ini semuanya membuat saya gembira.
2 comments
mohon share ya di blog saya
http://iniakupunyasendiri.blogspot.com/
terima kasih.semoga bermanfaat untuk pembaca