Sabtu, 18 Februari 2012

Lakukan apa yang orang lain tidak lakukan

Tags

LAKUKAN APA YANG ORANG LAIN TIDAK LAKUKAN

LAKUKAN apa yang orang lain tidak lakukan, kata Tokoh Guru Negeri Sabah 1999, Dr (H) Haji Abdul Aziz Haji Ahmad. Tapi pastikan apa yang kita lakukan itu menemui kejayaan, katanya. Sejak bersara dari perkhidmatan pendidikan, beliau menceburi bidang perubatan homeopathy. Bagaimanapun, Mantan Pengetua Maktab Perguruan Kent, Tuaran ini juga dikenali sebagai seorang penulis Sabah yang prolifik di tahun 60-an dan 70-an dengan nama Madah Aryani. Di celah-celah kesibukannya, Utusan Borneo sempat menemuinya di pejabatnya di tingkat bawah Wisma MUIS untuk berkongsi pengalaman dengan beliau.

DR (H) Haji Abdul Aziz Haji Ahmad dilahirkan pada 7 Januari 1943 di Kota Klias, Beaufort. Beliau mendapat pendidikan rendah di GPS Kota Klias Beaufort sehingga darjah 5. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Grossman Memorial School Kuala Penyu sehingga lulus darjah Enam pada tahun 1957. Lima tahun kemudian, iaitu pada Mac 1962,beliau dilantik sebagai guru pelatih di Sekolah Rendah Kerajaan Mempagar Beaufort.

Setelah mengajar selama lapan bulan, beliau terpilih memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran pada 2 Januari 1963. Selepas lulus pada Oktober 1965, Abdul Aziz dihantar bertugas di SRK Pekan Weston Beaufort. Beliau kemudian ditukar ke SK Pekan Keningau pada akhir 1966 sehingga penghujung 1968. Pada awal 1969, Abdul Aziz bersama 30 orang guru dari Sabah terpilih Kursus Latihan Perguruan Lanjutan di Maktab Perguruan Bahasa di Kuala Lumpur selama 9 bulan. Sekembalinya ke Sabah, beliau ditempatkan mengajar sebagai Guru Penolong Kanan di SMK Keningau pada 2 Januari 1970 hingga 31 Disember 1971. Pada 2 Januari 1972, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengetua SMK Menumbuk sehingga April 1974.Kemudian Abdul Aziz dihantar berkursus di Maktab Perguruan Ilmu Khas di Cheras Kuala Lumpur hingga Disember 1974.

Pada tahun 1975, Abdul Aziz dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Gaya sebelum ditukarkan ke Maktab Perguruan Kent Tuaran dan bertugas di sekolah itu sehingga Mei 1976.

Setelah lulus dalam peperiksaan STPM, beliau diterima belajar di Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam bidang Bahasa dan Komunikasi pada April 1980.

Kerjaya Abdul Aziz semakin melonjak dan dilantik sebagai Pengetua SMK Pengiran Omar Sipitang sehingga 30 Mei 1981. Selepas itu, beliau ditukarkan ke SM Sanzac sebagai Pengetua pada 1 Jun 1981 hingga 30 Jun 1982.

Pada 1 Julai 1982, Abdul Aziz memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Pendidikan (Pengelola) Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Negeri Sabah sehingga 30 November 1988. Beliau kemudian dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara dari 1 Disember 1988 hingga 15 November 1992.

Pada 17 November 1992, Abdul Aziz dilantik menjadi Pengetua Maktab Perguran Kent Tuaran sehingga beliau bersara pada tahun 7 Januari 1998.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk mewawancara beliau di pejabatnya, Metro Perubatan Homeopathy, di Tingkat Bawah Wisma Muis Kota Kinabalu. Setelah bersara, Abdul Aziz menekuni bidang homeopathy dan merupakan orang pertama di Sabah yang melibatkan diri dalam bidang homeopathy. Beliau berkelulusan Doctor of Homeopathic Medecine melalui The Open International University, Medical Science for Asean Countries. Ikuti petikan wawancara dengan beliau mengenai kenangan semasa kecil, pengalaman pahit manis sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan.

UTUSAN BORNEO: Apa khabar cikgu. Terima kasih kerana sudi diwawancara. Boleh ceritakan sedikit mengenai masa persekolahan cikgu sewaktu kecil dahulu.Berapa jauh jarak antara rumah dengan sekolah? Cikgu naik apa ke sekolah?

DR AZIZ: Jauh juga. Kami berjalan kaki dari Kampung Melabau ke Kota Klias.Kira-kira 5 kilometer. Jalan kaki tiao-tiap hari atau pakai perahu.Jam 5.00 pagi berdayung dengan kawan-kawan. Perahu kami pernah terbalik, habis karam...tahulah budak-budak. Bukan saja basah, lemas saja tidak.

UB: Siapa kawan-kawan cikgu ketika itu?

DR AZIZ: Antaranya Osman Abdul Latif...sudah pencen.Yahya Hidup sudah pencen...Omar Maidin sudah pencen...Itu antara yang masih saya ingat.

UB: Selepas tamat sekolah rendah, cikgu kerja sebagai apa?

DR.AZIZ: Selepas tamat darjah enam, saya bekerja di Beaufort Estate sebagai mandur. Menanam biji getah. Selepas itu, saya kerja kayu balak di Chong Chaw Lung. Kemudian barulah saya menjadi guru pelatih di SK Mempagar Beaufort pada tahun 1963. Saya memasuki Maktab Kent pada tahun 1965 dan setelah lulus, saya ditempatkan di GPS Weston, kemudian SMK Keningau sebelum mengikuti kursus di Maktab Perguraun Bahasa. Selepas itu, saya dirugaskan sebagai Penolong kanan SMK Gunsanad. Saya jadi pengetua dari tahun 1972-1974 dan kemudian pada 1975 hingga 1976 bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Gaya. Pada 1976-1979, saya mengikuti pengajian dalam bidang bahasa dan komunikasi di UKM. Selepas itu saya dilantik sebagai pengetua di SMK Pengiran Omar Sipitang dari tahun 1980-1982. Dari tahun 1982, saya dilantik sebagai pengetua SM Sanzac.Dari tahun 1982 hingga 1988, saya bertugas di ibu pejabat sebagai Penolong Pengarah Pendidikan atau sebagai sebagai pengelola KBSR. Kemudian saya ditugaskan pula di Maktab Perguruan Kent sebagai penhgetua sehingga 7 Januari 1998.

UB: Siapa agaknya guru yang berpengaruh dalam hidup cikgu?

DR.AZIZ: Cikgu Hamzah Haji Baba, Guru Besar SK Weston...sebab dia ada prinsip. Dia seorang yang dedikasi.Dia mahu murid dan guru dibawah pengawasannya agar selalu `punctual', tepat waktu. Beliau juga bekerja tanpa mengira waktu.Pukul 6.30 pagi sudah berada di sekolah tiap-tiap hari. Guru-guru dahulu mengadakan kelas tambahan, tidak berbayar, tidak berkira.Guru-guru dahulu bekerja secara sukarela...banyak sukarela.

Seorang lagi ialah Haji Berudi Ahmad, kerana beliaulah yang menukarkan nama saya daripada Mohd jais bin Ahmadkepada Abdul Aziz bin Ahmad.Jadi nama saya dalam sijil darjah lima, Mohd Jais manakala dalam darjah enam, Abdul Aziz. Kebetulan anaknya yang baru lahir juga diberi nama Abdul Aziz.Itu saya tak pandai lupa.

UB: Apa pengalaman cikgu yang tidak dapat dilupakan sepanjang perkhidmatan pendidikan?

DR.AZIZ: Dalam perkhidmatan pendidikan, saya rasa puas hati dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).Saya memegang jawatan Pengelola KBSR Negeri Sabah dari 1 Julai 1982 hingga 30 November 1988. Sebagai pengelola KBSR, saya berpeluang menjelajah ke seluruh pelusuk Sabah. Saya pernah sampai ke sekolah-sekolah ulu sungai seperti Long Pasia dan Meligan di Sipitang, pulau Banggi, Belambangan di Kudat dan pulau-pulau di Sandakan. Selain itu, kami pernah membuat ekspedisi penyeliaan KBSR dari Nabawan, Pensiangan melalui jalan darat hingga ke Pulau Sebatik di Tawau,Kunak, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Ranau, Kota Belud,Kota Marudu,Pitas,Kudat dan kembali ke Kota Kinabalu dalam jangkamasa hampir dua minggu.

Saya juga berpeluang hampir setiap minggu menghadiri mesyuarat kursus dan taklimat KBSR di Pusat Kurikulum di Kementerian Pelajaran di Jalan Duta, selain menghadiri mesyuarat KBSR di setiap negeri di Malaysia khususnya di sekolah-sekolah KBSR.

Sesungguhnya tugas ini mencabar kemampuan bertugas seseorang pegawai.Ini disebabkan program KBSR itu bakal dijadikan teras Pendidikan Negara pada masa itu.Saya memegang jawatan itu selama enam tahun, dan alhamdulillah, tugas itu dapat untuk menjayakan KBSR itu dapat dijayakan dengan sempurna.

Selain itu sewaktu menjadi Pengetua Maktab Perguruan Kent, saya banyak buat perubahan.Banyak bangunan terbengkalai, termasuk beberapa blok asrama yang terbengkalai selama 12 tahun telah dibaik pulih dalam waktu yang singkat. Saya telah berjaya mengubah fizikal maktab itu dalam masa yang singkat, selain membina lanskap , taman-taman bunga supaya kelihatan indah.

Pada masa pentadbiran saya juga, saya telah memulakan program pertukaran guru Sabah/Sarawak dan guru pelatih dari Semenanjung datang ke Sabah. Saya menerima banyak kritikan juga. Tapi saya biarkan kerana itu adalah arahan pihak kementerian. Waktu itu Menteri Pelajaran, Datuk Dr.Sulaiman Daud. Akhirnya langkah itu diterima.Itu satu kejayaan di zaman saya.

UB: Oh ya. Ada keluarga cikgu yang mengikuti jejak langkah sebagai pendidik?

DR.AZIZ: Empat orang anak saya jadi guru iaiatu Rohaidah Abdul Aziz, Hafizah Abdul Aziz, Noorazlan bin Abdul Aziz dan Noorazwan Abdul Aziz. Bolehlah dikatakan kami keluarga guru.Selain itu, adik beradik saya ada juga yang menjadi guru iaiatu Cikgu Salmahani Ahmad dan Cikgu Rayahani Ahmad.

UB: Barangkali ibubapa juga banyak mendorong kejayaan cikgu?

DR.AZIZ: ya...bapa saya, Haji Ahmad bin Abdul Karim hanya seorang petani, ibu saya, Hajah Atiah binte Omar juga seorang petani.Saya fikir diri dorongan untuk berjaya dari diri sendiri. Di Kampung saya, saya orang pertama masuk maktab, saya orang pertama ikut kursus di KL, saya orang pertama masuk universiti. Orang pertama jadi pengrtua. Semua pertama.

UB: Mungkin ada pengalaman pahit manis yang boleh dikongsikan bersama?

DR.AZIZ: ketika cuti maktab, saya kerja kayu balak di Chung Chaw Lung.Masa di Maktab bila cuti, saya kerja menarik kayu balak.Bukan kerja mudah.Bukan senang pakai gergaji, tarik pakai bahu.Jam 4.00 pagi saya sudah bangun, berkerja untuk menarik kayu balak ke atas rel, yang dibina seperti rel keretapi.Itu yang seronok. Gaji masa itu antara RM15-RM18 ringgit sehari.Waktu itu boleh dikira gaji yang lumayan.Bila pulang dari cuti, agak `loaded' juga. Kalau tidak kerja kayu balak, saya kerja potong getah.

UB: Wah, banyak pengalaman yang cikgu lalui. Sewaktu jadi pegawai pendidikan dahulu, apa pengalaman lain yang boleh dikongsikan. Barangkali cikgu banyaki pengalaman di luar negara?

DR.AZIZ: Saya pernah menghadiri kursus pemilihan guru di Jordan Hill College di UK. Selain itu, ketika menjadi presiden Persatuan Guru-Guru Bumiputera Sabah, saya pernah mengikuti Pertemuan Guru sedunia, di Panama City. Saya pernah juga menghadiri Seminar Guru-Guru Antarabangsa Sedunia di Hong Kong sebagai wakil KGBS. Selain itu, saya pernah mewakili pengetua maktab perguruan ke Seminar Perguruan yang berlangsung di Bandar Seri Begawan malah pernah mengikuti lawatan Kementerian Pendidikan ke sekolah bandar dan luar bandar di Manila, Filipina dan Bangkok, Thailand.

UB: Apa beza dunia pendidikan dahulu berbanding sekarang?

DR.AZIZ: Peluang pendidikan sekarang lebih terbuka.Lebih luas dan banyak memberikan peluang.Sekarang ada banyak biasiswa.Kalau dulu peluang terhad, tempat pun agak terhad juga.Dulu susah dapat biasiswa.Sekarang biasiswa yang menunggu kita.

UB: Oh ya.Apa falsafah hidup cikgu?

DR.AZIZ: Falsafah hidup saya? Buat apa yang orang tidak buat.Lakukan apa yang orang tidak lakukan dan pastkkan apa yang kita lakukan itu menemui kejayaan.

UB: Sudah lama cikgu bergiat dalam perubatan Homeopathy?

DR.AZIZ: Ini salah satu contoh bidang yang orang lain tidak buat.Saya orang pertama di Sabah yang melibatkan diri dalam perubatan homeopathy iaitu sejak 1995 hingga sekarang. Banyak masa saya gunakan untuk meneroka ilmu baru, pengetahuan baru seperti dalam perubatan herba, selain mendalami lagi bidang keagamaan.Berserah diri kepada Yang Maha Esa.Itu kan tujuan hidup kita