DARI KOTA KINABALU, BERTEMU IRANUN DI JAKARTA
SEBELUM menaiki pesawat AirAsia AK6712 dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, kami sudah menetapkan agenda pertama dan utama sebaik tiba di Jakarta. Saya mencadangkan agar pertemuan itu diadakan di Blok M saja kerana ia lebih strategik dan dekat. Amai Hussin setuju saja kerana yang penting baginya ialah ada ruang untuk pertemuan yang membawa makna besar bagi kami itu.
Amai Hussin atau nama sebenarnya Akiah Haji Barabag, adalah salah seorang yang mempunyai komitmen kuat untuk mengukuhkan persaudaraan antara bangsa serumpun. Beliaulah yang mengatur perjalanan ke Jakarta, mencari waktu yang sesuai, membeli tiket asalkan hasrat bertemu rakan Iranun terlaksana.Saya lebih selesa memanggilnya Amai Hussin, kerana begitu caranya panggilan dalam menyebut seseorang dalam masyarakat kami. Ama (i) bermaksud bapa, Hussin pula adalah anak sulungnya.Maka dengan sendirinya, namanya Bapa si Hussin atau Amai Hussin dalam masyarakat kami.
Melalui SMS, saya memberitahu jadual kedatangan kami ke ibu negara Indonesia itu. "Kita jumpa kira-kira jam 9.00 malam). Nor Jamilah Dirampatan memberitahu bahawa beliau sudah menghubungi rakan-rakan tetapi pelajar Malaysia tidak dapat dihubungi kerana hujan lebat di sana.
Nor Jamilah, pelajar dari Marawi City itu, sedang menuntut di Universitas Agama Islam Negeri (UAIN) Syarif Hidayatullah di Jakarta dalam bidang perbankan syariah. Pagari Nor Jamilah, demikian kami menyebutnya, sudah mendirikan rumah tangga kira-kira tiga minggu sebelumnya dengan seorang pemuda dari Cibinong, Bogor, Yusup Burhanudin. Suaminya kini adalah Pengurus Pembangunan Sumber Manusia di Rumah Sakit Ibu dan Anak Annisa, sebuah hospital swasta Kecamatan Citeureup Bogor.
Dengan pagari Nor Jamilah Dirampatan (kami biasa meringkasnya pagari NJD) inilah kami mendapat maklumat bahawa terdapat ramai pelajar sebahasa dan sebangsa sedang menuntut di pulau Jawa. Sebilangan mereka berada di Jakarta tapi ada juga yang sedang belajar di kota Bandung dan sebagainya. Dalam grup Basa. Iranaon, sebuah grup yang menitikberatkan soal bahasa, budaya dan sejarah, ditekankan oleh pengasasnya adalah semua yang berkaitan dengan bangsa Iranaon.
"Kita fokus kepada sejarah Iranaon, bahasa, puisi, musik dan seni.Kita tidak bercakap mengenai politik. Kami tidak menggalakkan ahli membincangkan hal agama. Bangsa Iranaon adalah termasuk masyarakat di Ranao, sebahagian Maguindanao dan Basilan di Filipina, Iranun di Malaysia Timur dan Indonesia"
Basa Iranaon?. Ya, itu adalah sebutan yang dipersetujui kerana orang Maranao, Iranun, sependapat bahawa mereka pada asalnya dari Tasik Ranao.Sebutan Iranaon itu juga adalah sebutan diplomatis kerana antara orang Maranao, Iranun dan Maguindanao di Mindanao, masing-masing mengatakan bahawa merekalah yang lebih awal, dan lebih benar.
Demikian takrifan yang diberikan oleh pengasas grup yang kini ahlinya berjumlah 2191 orang itu, satu jumlah berlipat kali ganda daripada yang sebelumnya. Tetapi dalam banyak ahli itu, antara nama cepat menarik perhatian kami ialah pagari NJD. Beliau seolah-olah menjadi duta penghubung antara Iranun di Sabah Malaysia dan Maranao dan Iranun, juga Maguindanao dari Mindanao. Kemampuannya dalam bahasa Melayu, walaupun dalam bahasa Indonesia, dan kesanggupannya menterjemahkan posting dalam bahasa Melayu ke bahasa Maranaw atau Inggeris, menjadikan NJD, personaliti yang penting dan signifikan dalam merealisasikan cita-cita untuk mengukuhkan hubungan antara dua saudara yang terpisah sejak ratusan tahun lamanya.
Selain NJD, dan tentu sekali pagari ta Arata Wata dan beberapa nama penting seperti bapa Monib Abbas,Edris Tamano, Guib Munder,Alvin Maruhom,Khayrudin Tawano. Puteri Tawanna,Kalopindo sa Ranao, Bai Norline Balindong,Rayyan Makno,Anshari Alonto Al Haj,Joe Usopay Hamdag Cadar, Alih S,Anso,Princess Puteri Camsa,Nasser Aloz Nuska,Shaiya Pandapat,Princess Sam Alawi Ysmael, Putree Vaysha Marohombsar, Magdara L Tanggote,Sam S Mutin,Nord bin Hashim,agu' madakel pen (su da mabedtu ayau karata a ginawa yu), Bai Hajah Tunganai, Akiah Haji Barabag, Jmun Salina KB, Datu Masdan Nurasin, Parsat Ekong, Kibin Haji Samad, Andamen Mansaded,Aki Minanga, Punch Hasham,Jefry Jasin,dan banyak memberikan idea agar saudara sebangsa ini saling kenali mengenali, dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara mereka.
Dengan iktikad itulah kami sampai di Terminal 3, Bandara Soekarno Hatta jam 6.50 Waktu Indonesia Barat. Kang Acep Syahril, rakan penyair dari Indramayu sudah menunggu sambil menikmati kopi. Tidak lama kemudian kami menghubungi pak Wardhana, kenalan auntie Cikgu Maili di Jakarta, yang telah saya hubungi lebih awal untuk membawa kami keliling Jakarta.
Kemudian kereta meluncur laju ke Blok M, lebih tepat lagi Plaza Blok M. Melalui telefon Kang Acep, NJD memberitahu mereka dalam perjalanan dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Bukan namanya Jakarta, kalau bukan macet, saya teringat kata-kata seorang kawan saya.
Tidak lama kemudian Pagari NJD dan suaminya Datu Yusup sampai. Namun rakan-rakan lain pula tersalah tempat dan menunggu di bangunan seberang jalan. "Mereka sudah tiba," kata NJD ketika menghubungi rakanrakannya, tentu dalam bahasa Iranun. Kami beredar untuk mencari tempat makan. Kebetulan perut sudah lapar. Di kawasan berdekatan Bulungan itu, kami menemukan satu tempat makan, sambil duduk bersila.
Kami minta NJD untuk memesan makanan dan minuman. Dalam ruangan itu, kami duduk mengelilingi meja. Selain Kang Acep, dan Yusup, suami NJD, kami berkomunikasi dalam bahasa Iranun, sesekali dalam bahasa Melayu pada malam itu. Yusup memberitahu bahawa beliau belajar bahasa Iranun dan mengerti `maitu-maitu' atau sedikit dalam bahasa itu. Ketika majlis perkahwinan di Marawi City, belum sampai sebulan, sebelum itu, beliau kadang-kadang bertanya dalam hati sama ada berada di Indonesia atau di Filipina.
"Sudah berapa lama di Malaysia?" tanya Sadat Hadji Latif, yang agak terkejut setelah mengetahui ada orang yang satu bahasa dengannya, tinggal dan menetap di Malaysia. Pertanyaan itu agak lazim bagi generasi baru Maranao atau Iranun di Mindanao. Mereka tidak mengetahui kewujudan masyarakat Iranun di Sabah, yang jumlah antara 25,000 hingga 30,000 itu. Mereka menyangka bahawa masyarakat Iranun di Sabah itu, baru berhijrah ke sana.
Aneh juga kerana kami mendapati pertemuan antara Iranun Sabah dan Iranun Mindanao itu berlaku di satu tempat di Jakarta, Indonesia.Mungkinkah juga ada Iranun di Indonesia yang telah membentuk diasporanya sendiri, yang kami tidak ketahui?
Kepada Sadat, dalam bahasa Iranun, saya menjelaskan bahawa sepanjang pengetahuan saya, masyarakat Iranun itu, memang penduduk asal di Borneo. Dalam sejarah Filipina, ada mencatatkan kedatangan sepuluh datu dari Borneo. Mengikut tradisi lisan, terdapat hujah yang kuat bahawa kewujudan masyarakat Iranun di Sabah jauh lebih lama. Ini diakui sendiri oleh tokoh sekaliber Prof.Dr.Mamitua Saber, yang mendirikan Mamitua Saber Research Center di MSU. Namun ada juga sarjana yang menghubungkan kedatangan Iranun ke seluruh kepulauan Melayu itu dengan penyebaran agama Islam oleh Sharif Kabungsuwan. Bagaimanapun, ada juga sarjana, yang menyatakan bahawa migrasi Iranun itu berlaku apabila Bukit Makaturing meletus.
Sejarah membuktikan bahawa pada 1787, Raja Tempasuk sudah mengutuskan tiga anaknya, dan panglima perangnya untuk membantu Sultan Mahmud III untuk menghalau Belanda di Tanjung Pinang, dan setelah Belanda terusir, Sultan Mahmud serta kerajaannya memilih berundur dan memindahkan takhta kerajaan di Lingga. Karya sastera sejarah seperti Tuhfat Al Nafis, oleh Raja Ali Haji, dengan dibantu catatan dari orientalis menyatakan bahawa tarikh sebenar peristiwa itu ialah Mei 1787.
"Jadi sejak nenek moyang kami dulu, kami sudah menetap di Sabah," saya memberitahu Sadat, mahasiswa Maranao yang amat berminat mengenai sejarah itu.Tidak dinafikan juga bahawa ramai juga datu-datu Iranun yang datang kemudian, dan sekarang sudah antara tujuh hingga lapan generasi di Sabah.
"Saya sendiri masih generasi yang kelima kerana bapa kepada moyang saya itu dikatakan berasal dari Pualas, dan bila sampai ke Sabah, khabarnya kahwin pula dengan gadis Lotud dari Tuaran.Cerita ini berlaku lima atau enam generasi yang lalu," saya memberitahunya.
Bahkan Akiah Haji Barabag, rakan seperjalanan saya itu, moyangnya bernama Datu Gador, yang kini jika ditelusuri, warga beberapa buah kampung di Kota Belud itu mempunyai kaitan saudara.
Kita perlukan kajian dan penyelidikan yang mendalam supaya generasi kita tahu asal usul mereka. Teori kehadiran Iranun di Sabah perlu diselidiki lagi supaya sejarah yang kita tulis benar dan tepat adanya. Sekarang kita terpaksa bergantung kepada sumber lisan dan karya tulis para orientalis barat kerana tulis menulis Iranun terhenti sejak lama.Dahulu para orang tua kita menggunakan tulisan jawi, bahkan Kirim- yang berisi epik Iranun-darangen itu ditulis dalam aksara jawi.
Sadat kelihatan agak tertarik, pertama kerana beliau tidak pernah menyangka ada masyarakat Iranun di Sabah dan kedua barangkali kerana kami boleh berbicara dan berkomunikasi dalam bahasa yang sama.
"Sebelum ini saya tidak tahu," katanya. Rakannya Salman Salawa Kuwa itu orang Maguindanaon, yang tinggal dan membesar di Palawan. Saya memberitahu bahawa masyarakat Iranun boleh bertutur dan memahami 95 peratus bahasa Maranao, dan kira-kira 75 peratus bahasa Maguindanao. Mengikut kajian linguistik, bahasa Iranun, Maranao, Maguindanao, digolongkan dalam grup Bahasa Danao. Terdapat banyak pendapat yang berbeza, tapi hampir semuanya mengakui bahawa asal usul bahasa Maranao dan maguindanao itu berasal dari Iranun.
Seorang lagi, pelajar iaitu Aljor Ibni Basher, yang kami minta membacakan doa itu juga berasal dari Marawi City.Mereka sedang menuntut di sebuah universiti Libya yang mempunyai cawangan di Jakarta.
Khabarnya beberapa mahasiswa lain tersesat dan tidak dapat menjejaki kami. Namun pertemuan pada malam itu, sangatlah bererti bagi kami semua. Barangkali itu adalah salah satu pertemuan antara ahli Grup Basa.Iranaon, kerana kami mulai kenal melalui grup itu. Kami juga menjelaskan bahawa kami juga sedang menjejaki orang-orang Iranun yang dulunya `pelayag-layag, pelaug-laug, mangangayao' sehingga sampai di Reteh, Jambi, Riau, Bangka Belitung.Khabarnya, di Bangka Belitung mereka tidak mahu dipanggil lanun sebaliknya memanggil diri mereka orang Sawang. Entah sejauh mana benarnya, belum dapat dipastikan lagi, tetapi tokoh-tokoh seperti Yusril Ihza Mahendra pernah menulis mengenainya.Sayang sekali, kami tidak sempat terbang ke Tanjung Pandan dalam ekspidisi kali ini.
Kami amat berterima kasih dengan layanan yang diberikan oleh pagari NJD dan suaminya Datu Yusup. Setelah berkenal-kenalan dan bercerita kian kemari mengenai bangsa dan bahasa Iranun, tibalah waktunya untuk berpisah. Walaupun pada mulanya, kami merancang untuk menginap di hotel di jalan Cikini, tetapi Yusup mencadangkan untuk kami menginap di Hotel Santika. Bagaimanapun, malam itu kami menginap di Hotel Melawai II kerana hari sudah larut malam, dan kami perlu bangun pagi untuk meneruskan perjalanan keesokan harinya.
Ahad, 1 April 2012
Dari Kota Kinabalu, bertemu Iranun di Jakarta
✔
abd naddin
Diterbitkan 3:42 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments
Sejarah harus merupakan sejarah...
Teruskan penceritaan dan pengkajian kerana ia akan jadi pemangkin pengkajian generasi muda dan akan datang
Teruskan penceritaan dan pengkajian kerana ia akan jadi pemangkin pengkajian generasi muda dan akan datang