Ahad, 3 Jun 2012

puisi ternyata mampu membuat kita rasa tidak selesa

Tags

PUISI ternyata mampu membuat kita rasa tidak selesa.

Entah apa yang akan terjadi di tahun-tahun yang mendatang, kita pun tidak pasti.Ketidaktentuan dan ketidakpastian berlarutan sepanjang malam sehingga saya terbangun keesokan harinya. Selepas membaca puisi itu saya turut diterpa kebimbangan-kebimbangan, khuatir akan masa depan.

Puisi bertajuk "Aku bimbang, khuatir" karya Dr.Wan (Prof Dr.Wan Mohd.Nor Wan Daud), seorang cendikiawan yang tidak asing lagi, bukan saja di Malaysia malah di dunia Islam, sungguh membuat kita ikut dalam kebimbangan dan kekhuatiran yang disuarakannya.

'Aku sungguh bimbang sekali, bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi', kata Dr.Wan. `Bukan kerana tiada pemimpin berwibawa di setiap bidang/ bukan kerana pertumbuhan ekonomi tidak cemerlang/ bukan kerana suasana politik yang tidak aman/bukan kerana rakyat jelata malas berusaha siang malam'.

Kalau bukan kerana itu, kerana apa? Kita sebagai pembaca ikut bertanya kepada penyair. Jelasnya, `Aku khuatir umat kita tidak akan bangkit lagi/ kerana pemimpin berwibawa di setiap bidang tidak didengarkan/ suara mereka yang berani-benar tentu tidak menyedapkan/cadangan mereka mengislahkan perkara mengambil masa/bukan untuk cepat mencari untung mengira laba/bukan juga untuk menangi pilihan raya 'kan tiba/bukan untuk menagih liputan media massa/hanya inginkan kejayaan berkekalan/mendapat keredhaan di dua kehidupan'.

Puisi ini membuat saya berfikir dan merenung jauh. Kata Dr.Wan dalam puisinya yang memikat tetapi membuat saya terdiam dan khuatir kalau-kalau umat kita tidak akan bangkit lagi kerana `pertumbuhan ekonomi cemerlang tidak digunakan/untuk mengukuh akhlak tinggi di peringkat atasan/yang mudah berubah dengan longgokan kekayaan/yang takabbur lalu merendah bidang tak menguntungkan'.

Profesor yang telah menghasilkan berpuluh-puluh makalah dan menerbitkan puluhan buku ini menyatakan ketakutannya bahawa umat kita tidak akan bangkit lagi, walau ekonomi melambung tinggi. Sebabnya kerana 'umatku sibuk membeli saham menjual budi/anggap sekolah, madrasah tidak bererti jika gagal meningkat gaji/universiti tidak dinilai secara insani,hanya patuh nafsu industri/yang sering berubah mengikut pasaran/pasaran berubah mengikut perasaan'.

Saya setuju kita gagal menilai universiti secara insani sebaliknya kita terlalu patuh pada `nafsu industri'. Industri  banyak menentukan kehidupan kita. Kebimbangan Dr Wan yang lain ialah apabila rakyat 'tidak berani menyata kata walau hak didusta selalu/tidak sanggup membuka mata walau muka diconteng selalu/tidak malu membuat fitnah walau berada di pintu Kaabah/tidak gentar pada al-Haqq kerana takut hilang anugerah.



Dalam buku `Mutiara Taman Adabi' yang terbit buat kali pertama pada tahun 2003 itu, penyair pemikir itu turut bimbang `kerana yang malas selalu diganjari/kerana pandai memuji tinggi/kerana terlalu tunduk mematuhi/tanpa mengira ajaran amaran ilahi/tanpa mengikut undang-undang negeri/ulama dapat dibeli,hakim dapat ditakuti'.



Bagaimana kita akan bangkit semula melawan musuh, tanya Dr Wan, jika ayam jantan yang senang berkokok setiap subuh/membuka mata bangsa,menjernihkan yang lama keruh/di potong lidahnya, di sepak terajang si anak bodoh?.



`Aku sungguh bimbang kita akan terus begini/kerana puyuh pentadbir diangkat mengawal helang ilmi/tata-cara sekolah rendah di guna-pakai di universiti tinggi/kaedah mengurus wang dipertuhankan, dianggap suci/diguna membangun insan,menilai sumbangan ulama dan Nabi.

Rangkap sajak Dr.Wan seterusnya lebih menggigit lagi. Katanya `Kita akan terus begini seribu tahun lagi/kerana tabiat buruk membazir sentiasa ulangi:

suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap/membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap/menebang pokok Meranti tinggi, rendang dan tegap/semata-mata kerana benci dengki dan hasad!.


Selanjutkan Dr.Wan, yang hasil tulisannya dalam bahasa Melayu dan Inggeris telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia,Turki,Jepun,Parsi, Rusia dan Bosnia melahirkan rasa pesimis dan mempertanyakan `Bagaimana kita akan bangkit semula/memimpin dunia mendapat syurga?

'Jika ibu bapa pintar melahir anak cuma/jika pelajar hanya mahu lulus periksa dan cari kerja/jika guru,pensyarah kehilangan arah/ilmu terpaku di dada ijazah/jika peniaga bermain politik, bertuhankan laba/Ahli politik memperniaga prinsip dan akhlak segala/jika cendekiawan cuma mengikut dan membuat komentar-cekap mengubah fakta,meminda makna, mengejar kuasa/ Adam akan menyesal dan iblis berkenduri besar.

Saya kira kita tidak mungkin mampu bangkit lagi, sekiranya kita, meminjam kata-kata Dr.Wan, `suka merungkai semula ikatan yang telah diikat kejap,membuka kembali tenunan halus nan telah lama siap'. Kita tidak akan bangkit lagi sekiranya kita menebang pokok meranti tinggi, rendang dan tegap, semata-mata kerana benci, dengki dan hasad.

Masih relevankah puisi ini dalam dunia kehidupan kita sekarang? di tengah-tengah caci maki, fitnah memfitnah di alam nyata atau di dunia maya, saya fikir puisi ini mampu membuat kita merenung dan berfikir, mampu menggoncang dan membuat kita turut bimbang dan khuatir, kalau-kalau kita akan terus begini seribu tahun lagi.

3 comments

Puisi yang mengesankan..lalu emosiku berubah Khuatir...

Puisi yang mengesankan.. terus emosi berubah khuatir

terima kasih.puisi ternyata membuat kita berfikir