Sabtu, 14 Julai 2012

Satu pagi bersama Dr.Jeffery G.Kitingan

Tags


DALAM politik tanahair, siapa yang tidak mengenali tokoh politik yang tidak asing lagi di negeri ini, Datuk Dr.Jeffery G.Kitingan.Kelibat dan tindakannya sering menjadi perhatian ramai penganalisis. Sama ada suka atau tidak, Dr.Jeffery menjadi salah satu personaliti yang sering diikuti perkembangan dan gerak langkah politiknya. Penggemar yoga yang sudah  lama  terlibat dalam bidang politik dan kegiatan sukarela dan NGO ini, masih satu faktor penting dalam perkembangan politik Sabah?


Datuk Dr.Jeffery G.Kitingan lahir pada 22 Oktober 1947 di Kampung Karanaan Tambunan. Ahli Politik yang banyak menulis buku ini agak terkenal dalam gelanggang politik Sabah kerana perjalanan politiknya yang banyak diwarnai kontroversi. MantanTimbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia (1994-1995) ini adalah pengasas dan Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang pertama pada 1985-1991. Beliau juga pernah menjadi Pengarah Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia di Kementerian Pembangunan Sumber (19850, Pengarah Yayasan Sabah (1985-1994). Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Negara (1994-1995), Ahli Dewan Undangan Negeri Bingkor (1994-1998) dan (2000-2004). Dalam bidang politik, Dr.Jeffery pernah menjadi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari tahun 2007 hingga 2010. Kini beliau memimpin STAR, sebuah parti oposisi di negeri ini.

Ikuti temubual Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN bersama Dr.Jeffery pada satu pagi di Sabah Golf and Country Club di Luyang mengenai pandangannya terhadap isu-isu semasa, pengalaman ketika kecil dan sebagainya.


UB:       Kalau mengikut pemerhatian Dr, setakat ini bagaimana sambutan rakyat terhadap parti pembangkang seperti STAR?
DR.J:    Sambutan macam luar biasa.Saya pun hairan juga kerana sudah lama saya berkecimpung dalam politik, iaitu sejak musim PBS dulu,saya mendapati sambutan rakyat kali ini luar biasa.Lebih luar biasa berbanding kebangkitan PBS dulu.

UB:       Apa faktor yang mendorong perkara itu?
DR.J:    Teknologi moden mempercepatkan aliran maklumat.Orang ramai terutamanya generasi muda memberi respon untuk menuntut perubahan.

UB:       Bagaimana tahap kerjasama antara parti pembangkang dalam PRU-13?
DR.J:    Kita memang terbuka untuk cari bentuk persefahaman.Sekarang pun kita sedang berbincang dengan parti tempatan, perbincangan sedang berjalan agar ada kerjasama.Jangan bertanding sesama sendiri.

UB:       Ramai berpendapat jika satu lawan satu, peluang pembangkang lebih cerah? Apa komen Dr?
DR.J:    Dari segi teori dan idealisme, memang peluang lebih cerah kalau satu lawan satu.Pandangan orang begitu. Bagi saya yang penting ialah jangan terlalu banyak saingan di antara pembangkang.Tetapi tidak semestinya dalam semua situasi banyak parti bersaing beri kesan yang sama.Malah di beberapa tempat yang strategik perlu ada dua tiga calon untuk pecahkan undi. Bagi saya ini terpulang kepada rakyat.Kita tidak boleh menghalang parti-parti untuk bertanding kerana ini adalah amalan demokrasi.Jadi terpulang kepada rakyat untuk menilai.Bagi saya rakyat perlu menumpukan kepada parti yang sepatutnya diundi dan kalau mereka buat sedemikian, saya rasa majoriti rakyat akan undi parti tertentu.Janganlah kita terlalu risau atau terikat kepada formula satu lawan satu.

UB:       Melihat kepada sejarah politik Dr, nampaknya Dr selalu berpindah parti. Dari PBS ke PBRS ke AKAR, kemudian PKR dan kini STAR.Mungkin ada alasan tertentu mengapa Dr bertindak begitu?
DR.J:    Pertama, tidak ada orang pindah parti tanpa sebab.Jadi bagi saya penyebab yang pertama adalah parti-parti yang saya ikut mestilah berpegang atau taat setia kepada perjuangan, dan bila mana ia menyimpang dari perjuangannya, sudah tentu saya meninggalkan parti itu,Mereka tidak lagi perjuangkan apa yang saya perjuangkan. Yang kedua, biasanya kalau tidak bersetuju dengan landasan parti, tidak suka cara mana parti itu berjuang dan memimpin, tiada sebab kita paksa diri kita bersama dengan parti itu.Begitu juga dengan pengundi-pengundi, dimana hari ini pengundi akan menyokong parti yang sesuai dengan aspirasi dan prinsip  mereka. Jadi bagi saya tiada yang salah. Yang salah ialah bila kita tinggalkan parti untuk kepentingan peribadi dan menyebabkan parti itu kehilangan kuasa.

UB:       Bagaimana Dr. melihat PRU ke-13 akan datang?
DR.J:    Saya melihat PRU ke-13, satu pilihanraya yang paling hebat, lebih hebat daripada pilihanraya yang lalu. Ini pilihanraya sebenar yang menentukan sama ada BN akan kekal memerintah atau tidak. Sama ada rakyat Malaysia dapat membawa perubahan dalam politik.Pilihanraya ini akan ditentukan oleh Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung , saya melihat akan merupakan peluang 50-50, kalau pun ada perubahan sedikit, mungkin sedikit saja. Sabah dan Sarawak akan menjadi penentu siapakah akan berkuasa. Parti-parti di semenanjung akan bersaing hebat, mungkin ada negeri akan terbang.Saya melihat advantage kepada Pakatan Rakyat (PR) di Semenanjung kalau tiada apa-apa perubahan. Ini bererti Sabah dan Sarawak akan menentukan pihak mana yang menang, tapi yang lebih penting di Sabah.

UB:       Kenapa Sabah penting?
DR.J:    Sebab Sabah dipanggil simpanan tetap BN.Lagi pula UMNO bertapak di Sabah.Jadi Sabah yang akan menjadi kuasa penentu.Di Sabah keinginan untuk perubahan terlalu tinggi disebabkan persepsi, memang dari segi kenyataan pun Sabah ini telah dipinggirkan. Banyak isu tidak diberi perhatian, isu minyak, isu Perkara 20. Banyak perkara tidak dipedulikan pemimpin pusat.Isu tanah tidak diselesaikan.Semakin hari semakin tenat.Isu ini termasuk isu PTI.Isu-isu ini memberi kesedaran kepada rakyat mengenai hak-hak mereka. Isu PTI misalnya, walaupun sudah disebutkan, dibangkitkan lebih 20 tahun tetapi nampaknya kerajaan tidak serius , perkara ini bagi mereka tiada sense of urgency. Kerajaan kelihatan tidak jujur dan ikhlas dalam menyelesaikan perkara ini.

UB:       Tetapi Kerajaan sudahpun menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Apa komen Dr?
DR.J:    Penubuhan RCI macam jangan tidak saja. Kalau dia mahu buat betul-betul, dia cepat-cepat buat.

UB:       Bagaimana Dr. melihat kepentingan politik nasional?
DR.J:    Saya rasa politik nasional memang penting. Sabah, Sarawak adalah komponen dalam membentuk Malaysia.Malaysia terbentuk dengan adanya Sabah dan Sarawak.Sabah Sarawak seharusnya menjadi pemain penting dalam politik nasional.Bukan dipinggirkan. Kita adalah rakan kongsi.Sama taraf.Inilah antara kegagalan kerajaan kita, pemimpin yang salah guna Projek Malaysia. Sepatutnya ia projek penggabungan untuk menaik taraf Malaysia sebagai sebuah kerajaan Persekutuan, sebagai sebuah negara yang baru. Sebab itu, pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak perlu ambil langkah-langkah yang penting untuk memperbetulkan peranan mereka dalam negara.Jangan biarkan Sabah Sarawak dipinggirkan dan tidak punya peranan penting dalam Malaysia.
Bagi saya Malaysia boleh melonjak jauh lagi dari segi politik dan pembangunan tetapi beberapa perkara harus dibuat. Kita kena laksana pendekatan baru, sistem baru.

Pendekatan baru ini penting disebabkan bentuk geografi kita jika dibandingkan dengan Semenanjung begitu jauh. Kita perlu pendekatan baru.Sebagai contoh dasar kabotaj yang baik untuk KL tetapi merugikan Sabah dan Sarawak. Selain itu keadaan budaya kita di Sabah juga berbeza.Di Sabah tidak timbul isu kaum atau agama. Bahkan kita semua campur adik dalam satu famili.

UB:       Bagi pandangan Dr, bagaimana untuk menjadikan Sabah setanding dengan Semenanjung jika dtinjau dari bentuk geografi kita  yang luas?
Dr.J:    Untuk mempercepatkan pembangunan, jika kita memerintah kita akan memperkenalkan pendekatan baru. Kita akan wujudkan mekanisme untuk memajukan Sabah. Asasnya sudah ada. Dahulu daerah-daerah di Sabah di bahagikan kepada lima buah residensi.Residensi punya sempadan tertentu. Ini akan memudahkan kita untuk menyesuaikan keadaan di Sabah dengan Semenanjung. Sebagai contoh, Keningau seluas 3,833 km persegi adalah seluas Perlis, Pulau Pinang dan Melaka jika digabungkan.Pensiangan lebih besar lagi iaiyu 6,000 km persegi. Keningau mempunyai satu Ahli Parlimen, satu pegawai daerah. Jika dibandingkan dengan tiga buah negeri yang mempunyai 83 Dewan Undangan Negeri, 26 Ahli Parlimen, iaitu jumlah yang lebih banyak dari Sabah sendiri. Keluasan tiga negeri itu,  tidakpun sama besar dengan Keningau. Ini yang perlu kita fikirkan. Kita  bukan hanya bergantung kepada kependudukan tetapi juga kepada keluasan dan potensi.

UB:       Mari kita beralih kepada soalan lain.Barangkali ramai juga yang ingin tahu di sebalik pelbagai kesibukan, apa hobi Dr di masa lapang?
Dr.J:    Biasanya saya buat senaman, yoga.Kadang-kadang main golf.Dulu saya suka main badminton, tapi selepas kemalangan, tidak lagi saya lakukan.

UB:       Biasanya apa buku yang Dr. selalu baca?
Dr.J:    Isu-isu semasa, perkembangan baru, dari segi sains dan tekmologi. Tapi minat saya dalam membaca buku lebih kepada pemikiran baru, falsafah mengenali diri dan sebagainya.

UB:       Pernahkah Dr.terfikir untuk menjadi ahli politik?
Dr.J:    Tidak pernah berfikir.tapi saya selalu memikirkan masyarakat, negeri ini dan macam mana saya boleh membawa perubahan.

UB:       Apa cita-cita Dr dulu?
Dr.J:    Dulu saya hanya ingin jadi pegawai kerajaan.

UB:       Mungkin keadaan sekarang jauh berbeza dengan keadaan dulu? Jauhkah sekolah dengan tempat tinggal Dr?
Dr.J:    Dulu kami jalan kaki pergi sekolah. Empat hingga 5 kilometer sehari. Kami tinggal di Kampung Karanaan, pergi ke sekolah di GPS Tambunan. Kemudian saya sekolah di St Theresa.Lepas itu di St Francis Keningau. Saya lari dari rumah.

UB:       Dr lari dari rumah? Bagaimana ceritanya?
Dr.J.     Saya lari dari rumah untuk bersekolah di St.Francis Keningau. Bapa saya tidak galakkan kerana mahu saya jaga adik-adik saya. Tapi ibu saya memberi galakan.Beliau bekalkan saya empat gantang beras dan duit sepuluh ringgit. Saya ikut kereta untuk sekolah di Keningau. Kemudian saya pindah lagi ke La Salle. Itupun bapa saya suruh saya kerja, tolong kau punya adik-adik, katanya.

UB:       Berapa adik beradik?
Dr.J:    Kami lima belas adik beradik.Saya anak kelima. Kalau kira dua mama, kami 18 semuanya.

UB:       Selepas sekolah, Dr terus ke Universiti?
Dr.J:    Lepas tingkatan enam, saya kerja di Jabatan Haiwan sebagai kerani. Tidak lama kemudian saya dipindahkan jadi Ketua Kerani di Jabatan Pertanian. Waktu itu saya menggantikan Tan Sri Joseph Kurup. Pada masa itu memohon biasiswa Rancangan Colombo.Bayangkan saya bersaing dengan ramai orang. Kemudian saya terpilih pergi ke Australia, menuntut di Western Australia, di Institute of Technology (kini Curtin University). Itu pun bukan dapat terus. Saya kena tukar dari Keningau ke Lahad Datu di Bahagian Pentadbiran Luar Bandar.Jadi keranai Pentadbiran Luar Bandar merangkap kerani mahkamah.
Balik dari belajar, saya di tempatkan sebagai Pegawai Eksekutif, di Pentadbiran Perkhidmatan Am Jabatan Ketua Menteri pada 1975-1976. Kerana waktu itu belum ada tugas tertentu, saya bagi tahu diri saya, saya buat kajian perjalanan dan fungsi operasi di JKM. Ketika itu saya dapati banyak kelemahan.Apabila ketua saya  ketika itu, Datuk Hassan Abdullah tahu saya buat kajian, beliau meminta saya  membuat kajian semua jabatan dan memberikan laporan kepadanya setiap hari. Di situlah bermulah penyusunan jabatan, kementerian beserta dengan dasar dan fungsinya. Kemudian saya naik pangkat sebagai  Penolong Pengarah/Ketua Pengurusan analisis, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri JKM 1976-1978. Saya mula menaik taraf jawatan-jawatan dan mengiktiraf kelulusan dari luar negeri.Sebelum itu belum dibuat dalam skim perkhidmatan, Saya susun semula jabatan. Kemudian saya menghadiri Kursus Certificate in Management Consultancy di Surrey United Kingdom pada tahun 1978.

UB:       Selepas itu?
Dr.J:    Bila saya balik, saya tubuhkan Unit Pemodenan dan Pentadbiran (SAMMU) /Sinar. Saya yang buat satu buku iaitu buku panduan Penjawat Awam. Selain itu, kami tubuhkan unit pemodenan pentadbiran di setiap daerah. Ketika itu Tan Sri Khalil sudah jadi Setiuasaha Tetap.

UB:       Bila pula Dr.ke universiti Harvard?
Dr.J:    Selepas itu saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard, Massachusetts USA hingga lulus Master of Public Administration (MPA) pada 1981. Kemudian saya mengambil Master of Arts in Law & Diplomacy (M.A.I.D) di TUFTS University pada 1983.Kemudian saya mengambil ijazah PhD dengan tajuk disertasi Political Stability & Economic Development in Malaysia yang dikelola bersama oleh Universiti Harvard dan Univeriti Tufts pada tahun 1984.

UB:       Jauh perjalanan Dr dalam mengejar ilmu pengetahuan.Semoga ini boleh menjadi contoh kepada generasi muda kita.Tentu banyak cerita yang boleh kita kongsikan pada masa yang lain.Terima Kasih
Dr.J:    Terima kasih juga kerana sudi menemubual saya.