Ahad, 26 Ogos 2012

Fikiran yang menerawang dari Ujong Jalan ke Ujong Pandang

Tags



Fikiran yang menerawang dari Ujong Jalan ke Ujong Pandang

KETIKA tiba di Kampung Ujong Jalan itu, saya tiba-tiba diserbu beberapa pertanyaan.
Apakah kami telah tiba di penghujung perjalanan? Apakah tempat itu berada paling hujung atau di hujung manakah kami sedang berada?
Persoalan itu terus bermain-main di kepala saya ketika kami sedang menunggu giliran menaiki feri menyeberangi Sungai Pandaruan di Mukim Bangar, Daerah Temburong Brunei.

Sebuah jambatan tidak lama lagi akan dibina untuk menggantikan perkhidmatan feri itu, yang hanya memuatkan lapan hingga sepuluh kenderaan sekali jalan. Padahal sungai yang diseberangi itu bukanlah lebar sangat. Kami menunggu agak lama untuk dapat ke seberang memasuki daerah Limbang di Sarawak. Sebelum sampai ke Kampung Ujong Jalan itu, kami melalui beberapa pemeriksaan imigresen. Pasport kami dicap sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan. Tetapi proses menunggu giliran menaiki feri itulah yang agak membosankan juga.

Nama Kampung Ujong Jalan itu merangsang fikiran saya untuk memikirkan sebab musabab mengapa  kampung itu diberi nama Ujong Jalan. Mungkinkah kerana ia terletak di perbatasan.  Garis sempadan yang menentukan wilayah dan kedaulatan sesebuah negara. Kemudian saya teringat pula sebuah kota yang bernama Ujung Pandang di Sulawesi. Saya tidak pernah ke sana dan belum berpeluang menanyakan mengapa tempat itu dinamakan Ujung Pandang.

Penantian yang lama agak mengganggu. Saya sempat menanyakan kepada diri saya sendiri, perlukah lagi perhubungan antara warga dipersulit oleh feri yang bergerak agak perlahan itu. Tetapi tanpa feri itu, bagaimana pula orang-orang boleh menyeberangi sungai?. Sudah berapa lama, feri itu-juga pekerja feri itu menyumbangkan jasa dan memainkan peranan memudahkan perhubungan antara Sabah,Sarawak dan Brunei?

Tidak lama lagi jambatan akan dibina bagi menghubungkan dua tebing yang terpisah, sesekali oleh air keruh yang mengalir entah ke mana. Dengan terbinanya jambatan di Pandaruan itu kelak, hubungan antara dua negara Malaysia- Brunei akan lebih lancar dan rakyat di Sabah, Sarawak dan Brunei boleh menjalin silaturrahim yang lebih erat lagi.

Kami bernasib baik pada hari itu kerana menunggu tidak sampai satu jam di Kampung Ujong Jalan itu. kadang-kadang ada yang menunggu sehingga dua jam untuk mendapat giliran. Di tengah-tengah penantian itulah saya teringat cita-cita murni untuk mewujudkan Komuniti Asean Menjelang 2015.

Komuniti Asean 2015 atau lebih dikenali Masyarakat Ekonomi Asean 2015 akan meningkatkan semangat kerjasama dan kekitaan di kalangan warga Asean dalam tempoh kira-kira empat tahun lagi.

“Semangat kerjasama dan kekitaan antara masyarakat ASEAN adalah bertepatan dengan moto ASEAN "Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti", kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari ASEAN Ke-43.

Katanya, dalam mewujudkan komuniti ASEAN yang bersepadu, perhubungan antara masyarakat adalah satu elemen yang tidak boleh dinafikan kepentingannya.

Bagi meningkatkan tahap perhubungan dan interaksi antara masyarakat Asia Tenggara, kesalinghubungan serantau melalui pembangunan jaringan prasarana fizikal, perdagangan, pelaburan, pelancongan, integrasi budaya, teknologi maklumat dan komunikasi juga perlu ditingkatkan, katanya.

Empat tahun lagi, kesepakatan pemimpin Asean untuk mewujudkan Komuniti Asean 2015 seperti yang dipersetujui melalui Bali Concord 2003 itu dijangka akan terlaksana. Waktu itu kita akan menyaksikan barangan kita bereadr dengan bebas di sepuluh negara Asean tanpa banyak sekatan.

Mobiliti warga akan lebih mudah. Negara-negara Asean akan menjadi satu komuniti yang mempunyai tiga asas utama iaitu politik dan keamanan, ekonomi dan sosio budaya menjelang 2015.

Cita-cita murni untuk mewujudkan Komuniti Asean 2015 itu kini menjadi bahan perbincangan di kalangan warga Asean. Malah ketika berjunjung ke Pattani, di selatan Thailand, pertanyaan sekitar Komuniti Asean 2015 itu banyak diajukan oleh mahasiswa ketika kami berkunjung ke Prince of Songkhla University. Bahkan ketika berkunjung ke Phnom Penh, bulan Ramadan yang lepas, perkara berkaitan Komuniti Asean 2015 itu turut ditanyakan.

Mungkin hasrat mewujudkan Komuniti Asean 2015 itu belum dibayangkan oleh pemimpin-pemimpin ketika Asean didirikan pada 45 tahun lepas iaitu 1967. Ini satu perkembangan yang baik melebihi apa yang dimpikan oleh pengasas-pengasas Asean. Keperluan untuk mengadakan Komuniti Asean itu, barangkali terwujud selepas munculnya Blok Ekonomi di Eropah, Blok Ekonomi bekas negara Komunis iaitu selepas era perang dingin.

Tidak syak lagi Asean perlu bersatu jika tidak ingin kehilangan daya saing. Asean yang mempunyai penduduk  berjumlah 500 juta orang itu mampu menjadi kuasa ekonomi yang berpengaruh. Memang terdapat cabaran kerana tentu sekali tingkat dan taraf ekonomi yang berbeza antara satu sama lain.

Namun masyarakat di negara-negara Asean haruslah terlibat aktif dalam menentukan kejayaan Komuniti Asean 2015 itu, kata saya dalam hati. Sebelumnya memang saya pernah terbaca berita-berita mengenai Komuniti Asean 2015 itu tetapi saya tidak pernah memikirkannya secara serius kecuali ketika terkandas beberapa ketika sambil menunggu giliran menyeberangi sungai di Kampung Ujong Jalan itu.

Ujong Jalan.Nama yang menarik. Sama menariknya dengan Ujong Pandang. Alangkah baiknya jika ada penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Ujong Pandang, yang kini diberi nama Makassar itu. Sekarang jika ingin melawat Makassar, kita terpaksa melalui Kuala Lumpur sebelum ke Makassar.

Pembukaan jalur penerbangan KK-Makassar dan KK Pare-Pare diharapkan dapat meningkatkan konektivitas antara wilayah BIMP-EAGA dan memudahkan people to people contact yang akhirnya dapat membuka peluang kerjasama di sektor pelancongan, perdagangan dan tenaga kerja yang lebih baik, kata Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid.Katanya pembukaan jalur penerbangan KK-Tawau-Tarakan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Ketika fikiran menerawang ke pelbagai persoalan itu, kami sedang berada dalam feri menyeberangi sungai, yang sebenarnya tidak berapa jauh itu.


***Ujong Jalan adalah nama sebuah kampung di Mukim Bangar, Temburong Brunei manakala Ujong Pandang ibu kota Sulawesi Selatan.Kini lebih dikenali dengan nama Makassar