PERTEMUAN
SINGKAT DENGAN PENYAIR BRUNEI, SALMI MESRA
DALAM
kunjungan singkat ke Negara Brunei Darussalam, kira-kira seminggu sebelum Aidil
Fitri, salah satu agenda penting ialah bertemu dengan penyair Salmi Mesra.
Kami
cuba memberikan kejutan kepadanya. Setibanya di Kuala Lurah itu sebaik keluar
dari sempadan Limbang, kami menghubunginya tanpa memberitahu kampi sedang
berada di Brunei ketika itu. Rumahnya di Sengkurong. Beliau telah beberapa kali
mengajak kami ke rumahnya di Brunei tetapi waktu tidak mengizinkan untuk kami
bertamu lama-lama.
Saya
mulai mengenali Salmi Mesra melalui antologi puisinya Garis-garis Hitam yang
terbit tahun 1979. Boleh dikatakan ia adalah antara kumpulan puisi pertama dari
Brunei yang pernah saya baca. Berpuluh tahun kemudian, kami sama-sama diundang
ke Universiti Prince of Songkhla di Pattani untuk membentangkan kertas kerja
dalm Seminar Pengajian Melayu Nusantara yang pertama kali diadakan di
universiti itu.
Dari
sana, kami berkenalan lebih dekat lagi. Salmi mengajak kami untuk berkunjung ke
Brunei tetapi kami tidak dapat memenuhi beberapa jemputan ke negara itu
sehinggalah pada minggu terakhir Ramadan apabila kami tiba-tiba memutuskan
untuk berkunjung ke salah satu negara Asean itu.
Salmi
Mesra atau nama sebenarnya Haji Abdul Hamid bin Tamat dilahirkan di Kampung
Sengkurong, Brunei Darussalam pada 28 Ogos 1942. Beliau menerima pendidikan
awal di kampungnya pada tahun 1948 kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah
Arab Al-Junied Singapura pada tahun 1954-1961. Selepas itu, beliau memasuki
Kolej Islam Kelang pada tahun 1962.Kemudian beliau belajar bahasa Inggerisw di
Maktab SOAS, Brunei.
Beliau
seorang yang aktif dalam dunia kesusasteraan sejak masih di bangku sekolah
lagi. Salmi Mesra adalah salah seorang penyair Brunei yang terkenal di
Nusantara. Aktif dalam pelbagai persatuan penulis, belia dan budaya, beliau
pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu
Singapura (4PM) pada tahun 1960. Sekembalinya ke Brunei, beliau terus aktif
dalam Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) sebagai Setiausaha II
(1982/83). Beliau pernah memimpin belia di kampungnya, di samping pernah
menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Brunei (1966). Beliau juga pernah
menjadi Penolong Setiausaha Persatuan Gasing Kebangsaan Brunei Darussalam
(PERGAB) Daerah Brunei Muara.
Salmi
telah berkhidmat dengan Kerajaan Brunei dengan menduduki berbagai jawatan yang
berkaitan dengan agama Islam, antaranya Guru Agama, Kerani Menaip Jawi, Penolong
Setiausaha Penerangan dan tabligh, Pegawai Perpustakaan, Penolong Pengarang,
Pengarang, Pegawai Perhubungan Haji Negara Brunei (1981,1985,1987), Penolong
Pegawai Perkembangan Ugama (Ketua Bahagian Dakwah dan Tabligh Daerah Tutung dan
Belait) di Jabatan Hal Ehwal Ugama, Penyelia Banci Penduduk dan Perumahan
(1971,1981,1985,1991) dan terakhir sebagai Penolong Pegawai Perkembangan Ugama
di Bahagian Pentadbiran dalam perkara-perkara perumahan sehingga bersara pada
tahun 1994.
Bagi
mengenang jasanya yang tekah berkhidmat selama 31 tahun dengan Kerajaan Brunei
Darussalam, Sultan Brunei telah menganugerahkan bintang jasa Pingat Kerja Lama
(PKL) dan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah
Keempat (SUB) dan Pingat Jubli Perak (PJP).
Beliau
juga menerima ijazah Doktor Kehormat dalam Kesusasteraan Melayu dari Philippine
islamic University dan Darjah dato Paduka Utama Diraja Yang Amat Berhormat
Darjah Utama (DPUM) dari Sultan Haji Mohammad Ali Ashgar bin Sultan Sani pada 3
Julai 2004.
Dalam
bidang kesusasteraan, beliau telah banyak menghasilkan karya dalam bentuk
rencana, puisi, kritikan sastera. Salmi Mesra juga telah menghasilkan antologi
puisi persendirian, antaranya Garis-Garis Hitam, Sentuhan Jiwa dan Dalam
Perjalanan. Puisi-puisinya juga termuat dalam pelbagai antologi penulis sama
ada di Brunei dan negara-negara Asean. Beliau juga pernah menjadi Fellow atau
Penulis Tamu di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial,
Universiti Brunei Darussalam (2004-2005)
Salmi
mula menulis pada tahun 1956. Sajak pertamanya tersiar dalam Utusan Kanak-Kanak
(Singapura) pada 13 November 1956. Puisi beliau tersiar dalam media di Brunei,
Singapura dan Malaysia. Antara akhbar yang pernah menyiarkan puisinya ialah
Utusan Kanak-Kanak, Utusan Pemuda. Muda-Mudi, Suara Belia, Berita Brunei,
Sinaran Suci, Bintang Harian, Borneo Bulletin, Al-Huda, Karya dan Bahana
Dalam
dunia kesusasteraan di Brunei, Salmi merupakan salah seorang penyair penting.
Beliau tergolong ke dalam angkatan 50-an hingga 60-an dan seangkatan dengan
penyair-penyair seperti Yahya M.S, Adi Rumi, Badaruddin H.O, Adi Marhaen, A.S
Isma dan K.Manis.
Pada
pagi Isnin 13 Ogos itu, kami menghubunginya lagi. Ternyata beliau tidak ada di
rumah. Kami berusaha mencarinya, dan kemudian apabila berjaya bercakap
dengannya, kami berjumpa di satu tempat sebelum berangkat pulang. Beliau agak
terkejut tetapi gembira. Cuma beliau agak hampa kerana kami tidak dapat
bermalam di rumahnya. Dalam pertemuan singkat itu, beliau menghadiahkan saya beberapa
buah antologi puisi hasil karyanya sebagai oleh-oleh.
1 comments so far
Teruskan perjuangan