SEJENAK
BERSAMA TOKOH SENIMAN, PM KUSARDY
Polim
Maulana Kusardy (PM Kusardy) lahir di Tegal tetapi dibesarkan di kota
Bandung,Jawa Barat. Beliau mula meminati seni sejak berusia lima tahun. PM
Kusardy mendapat pendidikan awal di Bandung sebelum melanjutkan pelajaran di
Universiti Padjajaran Bandung dalam bidang karya seni tari dan moden. Sejak
1968, beliau telah mencurahkan khidmat baktinya
membimbing dan mengajarkan seni persembahan seperti tarian, pencak silat
dan muzik etnik tradisi khususnya angklung di Malaysia, Singapura dan
Brunei. PM Kusardy merupakan salah
seorang pengasas Kumpulan Viatikara, sebuah kumpulan kesenian yang terkenal di
Indonesia. Sepanjang penglibatannya sebagai salah seorang koreografer tari yang
terkemuka, beliau telah membuat persembahan di hadapan tokoh-tokoh besar seperti
Bung Karno, Pak Harto, mantan Presiden Indonesia, Mantan Perdana Menteri
Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohammad, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens, dan
ramai lagi.
Wartawan
Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN bersama pensyarah Sekolah Pengajian Seni Universiti
Malaysia Sabah (UMS), Suhaimi Magi menemui PM Kusardy di rumahnya yang penuh
khazanah seni di Kampung Likas, pada satu pagi yang cerah untuk berkongsi
pengalaman sejak berkecimpung dalam dunia seni di Sabah pada tahun 1968.
UTUSAN
BORNEO: Bagaimana mulanya Pak Polim minat
dalam seni?
PM
KUSARDY: Saya mula minat dalam
seni sejak umur lima tahun di majalengka. Waktu itu saya masih kecil. Sebelum
pendudukan Jepun. Saya juga sering ke rumah Asisten Residen, ada pendopo,
tempat masyarakat selalu datang. Saya suka nonton wayang orang, satu-astunya
wayang orang di Cirebon, daerah pesisir Pulau Jawa.Waktu itu belum ada fikiran
untuk menjadi orang seni. Selepas itu, saya giat dalam bidang kesenian, juga
giat dalam pramuka (pengakap). Selepas agresi kedua, iaitu ketika Belanda
menyerang Republik, kami mengungsi lagi ke Bandung. Saya sekolah di sana,
meningkat dewasa dan terus mendalami ilmu kesenian . Di Indonesia, bersama
rakan-rakan, kami sempat menubuhkan Kumpulan Viatikara, sebuah kumpulan
kesenian yang cukup terkenal di Indonesia, dan telah membuat persembahan hingga
ke luar negeri
UB: Boleh Pak Polim ceritakan bagaimana
mulanya sampai ke Sabah?
PK: Ketika itu, Kumpulan Viatikara sedang
mengadakan persembahan di Sarawak. Malaysia dan Indonesia baru saja selesai
konfrontasi. Tun Datu Mustapha mahu kami datang ke Sabah. Kumpulan Viatikara
ada seramai 80 orang. Jadi kami diangkut menggunakan pesawat Hercules untuk
membuat persembahan di Sabah. Kami membuat persembahan buat pertama kalinya di
Semporna. Di atas pentas terbuka.Waktu itu Tun Sakaran, masih lagi menjadi
Menteri Belia dan Sukan.
Sebelum
itu, panglima Kodam II, AJ Witomo dan rakannya dari Angkatan Tentera Malaysia,
Tun Ibrahim Ismail bersungguh-sungguh untuk menjalinkan hubungan baik antara
dua negara serumpun melalui seni dan budaya. Kita harus bersahabat terutamanya
antara rakyat.
UB: Tahun berapa itu Pak?
PK: Tahun 1967.Itulah kali pertama Kumpulan
Viatikara membuat persembahan di Sabah.Selepas itu, ada beberapa kali lagi
Viatikara datang. Itu juga merupakan kali pertama angklung dipertontonkan di
sabah. Dengan rombongan artis seramai 80
orang dan diangkut dengan Hercules. Sudah tentu ia tidak lepas daripada peranan
yang dimainkan Panglima kodam II, AJ Witomo dan rakannya dari Malaysia, Jenderal
Ibrahim Ismail. Salah satu usaha untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan
Indonesia adalah melalui kebudayaan dan kesenian. Ketika itu saya, bersama Pak
Barli Sasmitawinata mengetuai rombongan manakala Udjo Ngalagena menjadi
konduktor dalam persembahan kami. Pak Udjo inilah yang menubuhkan Saung
Angklung Udjo, sekolah pertama dan satu-satunya sekolah angklung di Jawa Barat.
UB: Sejak berada di Sabah, dimana Pak Polim
pernah berkhidmat?
PK: Selepas persembahan Viatikara itu, saya
menerima tawaran untuk membimbing belia untuk mempelajari seni tari, pencak
silat dan muzik etnik tradisional. Selain membimbing organisasi belia,
institusi pendidikan, saya juga mengajar angklung untuk Orkestra Polis Diraja
Malaysia (PDRM), Wataniah, Maktab Perguruan Gaya, USIA serta kaum Ibu USNO.
UB: Selepas itu?
PK: Setelah itu saya menjadi Pengarah
Persatuan Kebudayaan Sabah pada 1977. Di sana saya menubuhkan Sinar Budaya
Sabah, sebuah kumpulan angklung yang pernah membuat persembahan ketika
pelancaran OISCA-Jepun. Bersama SBS inilah, kami banyak membuat persembahan
kepada Ketua-Ketua negara,pemimpin-pemimpin besar , mengadakan pertunjukan amal
dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Lion International.
UB: Apa antara kejayaan pak Polim?
PK: Antaranya ialah bersama SBS, kami telah membuat persembahan
taridra Puteri Sabah sempena Persidangan Majlis Raja-Raja yang pertama di Kota
Kinabalu pada 1980. Persembahan itu mendapat pujian dari ramai kalangan. Pada
tahun 1999 pula, sewaktu bertugas di KBRI di Bandar Seri Begawan, saya diminta
oleh DYMM Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bokiah untuk menjadi Ketua Koreografi
Majlis Perasmian dan Penutupan Sukan Sea ke-20 . Waktu itu, saya mengetuai
kira-kira 40 koreografer dari seluruh Asia Tenggara untuk mengadakan persembahan
pada majlus perasmian dan penutupan dalam acara gilang gemilang itu.
UB: Difahamkan Pak Polim juga membimbing
pelajar sekolah untuk mempelajari angklung?
PK: ya, benar. saya pernah membimbing pelajar
SMK Sanzac, SK St Joseph, SK Tanjung Aru II dan SK Stella Maris untuk belajar
angklung.
UB: Apa istimewanya muzik angklung Pak?
PK: Angklung adalah sejenis alat muzik yang
diperbuat daripada buluh dalam kategori idiofon.Ia lazimnya terdiri dari dua
hingga empat tiub yang diikat pada rangka yang dikenali sebagai
`ancak'.Angklung biasanya digetarkan agar ia berlaga antara dua bahagian.Angklung
tidak dipukul tetapi ia menghasilkan bunyi kedua bahagian alat muzik ini
berlaga ketika ia digetarkan. Antara kebaikan mempelajari angklung ialah
Angklung boleh mendidik disiplin diri, supaya mereka lebih fokus, menumpukan
perhatian, ekpresif dan proaktif.Ia juga boleh meningkatkan kemahiran,
menumbuhkan keyakinan diri dan semangat berpasukan.
UB: Oh ya.Bagaimana perasaan bapak ketika
mula-mula sampai ke Sabah?
PK: Saya gembira sekali. Waktu itu, Ketua
Menteri Sabah, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun adalah penggemar seni.Tun
pandai main muzik.Main biola, makanya dia suka angklung. Di Sabah, selain
menjadi Pengarah Persatuan Kebudayaan Sabah, saya juga pernah berkhidmat di
bahagian protokol Jabatan Ketua Menteri ketika zaman Datuk Harris. Kami berpejabat
di Bangunan Sekretariat sebelum pindah ke Yayasan Sabah.Pengarahnya waktu itu,
Datuk Benedict Shim.
Seperti
yang saya akatakan tadi, kami juga sempat mengadakan pertunjukan Putri Sabah
ketika Persidangan Majlis Raja-Raja. Itu yang menarik, satu kenangan yang
manis.
UB: Sewaktu bersama Viatikara, siapa saja yang
pernah melibatkan diri dalam kumpulan itu?
PK: Antaranya ialah Pak Adam Malik dan Ibu
Nely. Adam Malik pernah menjadi Naib Presiden Indonesia. Selain itu, kami juga
pernah mengadakan persembahan ketika perasmian Hotel Indonesia.Kami membuat
persembahan di depan tokoh-tokoh seperti Bung karno.
UB: Apa beza kegiatan seni dulu dan sekarang?
PK: Memang jauh, maklumlah dulu belum ada
apa-apa.
UB: Bagaimana pak Polim melihat dunia seni di
Sabah khususnya seni tari?
PK: Di sini banyak yang menarik, yang asli,
yang belum digilap lagi.Ini cabaran kepada seniman-seniman muda. dalam dunia
seni, tidak seperti olahraga, yang ada ukurannya misalnya berapa jauh
lompatannya, berapa meter, dalam seni ukurannya subjektif. Usia seni lebih
panjang berbanding usia manusia.
UB: Mungkin pak Polim mempunyai kenangang
tertentu bersama tokoh-tokoh pemimpin Sabah?
PK: Banyak sekali kenangan bersama
pemimpin-pemimpin dan tokoh tokoh di Sabah.
UB: Ada kenangan bersama Tun Mustapha?
PK: Wah banyak. Tapi satu kali ketika
menyambut ketibaan beliau di lapangan terbang, suasana sempat heboh sedikit
kerana ketika tiba itu, beliau mahu disambut dengan nyanyian lagu kebangsaan
diiringi angklong. Kami sempat protes tapi Tun sendiri yang minta.Katanya,
tidak susah, saya juga yang sambut tabik hormat itu.Biasanya, ia disambut
menggunakan band polis.tapi entah kenapa waktu itu, beliau mahu diiringi angklung.
UB: Kalau dengan Tun Fuad? Ada kenangan manis?
PK: Tun Fuad Stephens, waktu sebelum
kemalangan itu, ketika satu majlis di Labuan, dia menyanyi lagu burung kakak
tua, dalam bahasa kadazan dusun, diringi angklung.Itulah kenangan terakhir
bersamanya.