Ahad, 11 November 2012

Awang Mohdzar Abd Samad,guru yang penuh pengalaman

Tags



AWANG MOHDZAR, GURU YANG PENUH PENGALAMAN

Tepat jam 8.40 pagi, seperti yang dijanjikan Cikgu Awang Mohdzar Abdul Samad masuk ke tempat pertemuan. Lokasinya Restoran Kedai mamak. Naib Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Sabah ini adalah seorang personaliti yang sentiasa menepati waktu.Dalam usianya, 72 tahun, beliau masih aktif dalam kegiatan pendidikan, kebahasaan, kesusasteraan dan kemasyarakatan dan dianugerahkan Tokoh Guru Daerah Papar bagi tahun 2012.

Awang Mohdzar Abdul Samad dilahirkan di Sindumin, Sipitang pada 7 September 1940. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Pekan Papar hingga lulus Darjah V pada tahun 1948-1953. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Primary VI di St.Joseph Primary School dari tahun 1954-1956 dan kemudian melanjutkan pelajaran di St.Joseph Secondary School hingga lulus Secondary One pada tahun 1957. Selepas itu, beliau menjadi guru pelatih di GPS Rampazan, Papar dari bulan Februari hingga Disember 1958 sebelum beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1959-1960. Selesai pengajiannya di Kent College, belaiu mengajar semula selama enam bulan di GPS Rampazan dari Januari hingga Jun 1961. Kemudian beliau dihantar bertugas di GPS Kawang sebagai Guru Terlatih pada Julai hingga September 1961 sebelum dihantar semula ke GPS Rampazan  pada bulan berikutnya hingga penghujung tahun itu. Pada 1962, beliau ditugaskan di GPS Pekan Labuan sebagai Guru terlatih BI dari Januari 1962 hingga April 1963. Beliau kemudian diarah bertugas selama tiga minggu di GPS Pekan Papar pada bulan Mei 1963. Selepas itu, Awang Mohdzar menjalani Kursus Pengajaran Bahasa Inggerus di Sydney, Australia Mei 1963 hingga Januari 1964.
Sekembalinya ke tanahair, beliau dilantik sebagai Guru Khas Bahasa Inggerisdi GPS Pimping Membakut pada Februari hingga Disember 1964, dan pada tahun 1965, ditugaskan di GPS Pengalat Besar Papar. Setelah itu, beliau dihantar sekali lagi bertugas di GPS Rampazan sebagai Guru Khas Bahasa Inggeris dari tahun 1966 hingga Januari 1968.
Selepas itu, Awang Mohdzar dilantik sebagai pengetua GJSS  Kiulu Tuaran ketika sekolah itu dibuka. dari Februari 1968 hingga Januari 1972. Sejak Februari 1972 hingga Januari 1974, beliau dilantik sebagai pengetua di GJSS Membakut . Kerjayanya sebagai pendidik meningkat lagi apabila dilantik sebagai pensyarah di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera (NVSTTC) di Kota Kinabalu pada Februari 1974 hingga Mei 1975. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Penyelia Kanan di Ibu Pejabat Jabatan Pelajaran Kota Kinabalu dari Jun 1975 hingga Januari 1976. Beliau dipindahkan ke Bahagian Pendaftaran Guru dan Sekolah Jabatan Pelajaran sebagai Penyelia Kanan pada Februari 1976 hingga Jun 1977.
Selepas itu, beliau bertugas sebagai Penyelia Sekolah (sekarang setaraf  PPD) di Pejabat Pelajaran Labuan  dari Julai  1977 hingga  Februari 1982. Kemudian beliau dilantik sebagai Penyelia Kanan di Bahagian Latihan dan Kurikulum Jabatan Pelajaran sabah dari Mac 1982 hingga Oktober 1989.  Sesudah itu, beliau dilantik sebagai Penyelia Kanan di Bahagian Pembangunan Jabatan Pelajaran Sabah dari bulan November 1989 sehingga bersara wajib pada 7 September 1995.
Sepanjang bertugas di Jabatan Pelajaran Sabah ialah Penyelaras Matapelajaran Kemahiran Manipulatif, Penyelaras Pra Sekolah Negeri Sabah dan Ahli Jawatankuasa, Persatuan Sukan, Kebudayaan dan Kebaikan Jabatan Pelajaran Sabah.
Selain itu, beliau juga aktif dalam Kesaruan Guru-Guru Kerajaan sabah (KGKS), Persatuan Belia SANYA, Badan Bahasa Sabah (BAHASA) dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Cawangan Negeri Sabah.Selepas 17 tahun bersara, beliau dianugerahkan Tokoh Guru Daerah Papar pada tahun 2012.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual Cikgu AWANG MOHDZAR ABDUL SAMAD (AMAS) sambil menikmati roti canai di sebuah restoran mamak di ibu negeri. Ikuti petikan temubual bersama beliau berkaitan pengalamannya dalam dunia perguruan, kenangan waktu kecil dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO:      Apa khabar cikgu? Terima kasih kerana sudi ditemubual untuk ruangan Sembang Sabtu. Orang lama pastinya mempunyai banyak pengalaman untuk dikongsikan bersama pembaca. Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu?
AWANG MOHDZAR ABDUL SAMAD (AMAS): Saya lahir di Sindumin, Sipitang pada 7 September 1940. Ini ada ceritanya. Ayah saya , Abdul Samad bin Abu Bakar berasal dari Kota Klias manakala ibu saya saya dari Mempakul. Ayah saya bekerja sebagai kerani di Pejabat Daerah Sindumin pada tahun 1940. Waktu itu, Jepun belum lagi datang. Ketika umur saya baru saja 40 hari, dia ditukar bekerja ke pejabat daerah Papar sebagai kerani. Dia dikenali dengan panggilan Kerani Samat. Ketika itu dalam masyarakat kita,  kalau kerja sebagai guru, jawatannya itu melekat dengan namanya, dipanggil cikgu. Kalau dia kerja sebagai Ketua Kampung, waktu itu dipanggil Orang Tua maka panggilan O.T itu melekat pada namanya. Begitu juga kalau Kerani, panggilan kerani itu melekat pada namaya. Itu sebabnya ayah saya dipanggil Kerani Samat kerana beliau bekerja sebagai kerani.
Dari usia saya 40 hari, ayah saya terus menetap di Papar sehingga bersara dalam jawatannya sebagai kerani di Pejabat Daerah Papar lalu menetap terus di Kampung Berundong,Papar. Beliau bersara pada tahun 1955.
Saya dibesarkan di Papar.Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Papar dan juga memulakan kerjaya sebagai guru, juga di Papar.

UB:       Di mana cikgu bersekolah dahulu?
AMAS: Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Papar pada tahun 1948 hingga 1953. Waktu itu ada dua jenis sekolah iaitu GPS dan NVS atau Native Voluntary School yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk kampung. Saya menuntut di GPS Papar hingga lulus darjah V, iaitu darjah tertinggi di sekolah ketika itu. Selepas itu, saya terpilih menerima biasiswa untuk belajar di sekolah mission iaitu di St Joseph Primary School dan kemudian di St Joseph Secondary School hingga Secondary One. Dulu ada Secondary One dan Secondary Two.
Disini ada ceritanya. Bila tamat darjah lima, itulah darjah tertinggi dalam sistem penjajah ketika itu. Pada tahun 1954, saya bersama enam orang yang lain terpilih mendapat biasiswa di sekolah misi. Kami ditempatkan di Primary 2 di St Joseph Primary School. Tentulah kami lebih `advanced’ kerana pelajaran telah kami ikuti di GPS Papar. Tapi waktu itu, setiap setengah tahun ada peperiksaan dalam aliran Inggeris. Bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris.

UB:       Selepas dari St Joseph, cikgu ke mana pula?
AMAS: Ketika berada dalam Secondary One, saya memohon jadi guru. Kemudian saya ditugaskan di GPS Rampazan,Papar.

UB:       Bagaimana minat cikgu timbul untuk menjadi seorang guru?
AMAS: Ketika menghantar barang seperti ikan salai untuk dikirim kepada pakcik saya di Keningau, saya selalu ke stesen keretapi. Di sana, saya melihat guru-guru pelatih yang segak dengan lencana mereka, baju seragam warna putih, seluar pendek. Saya melihat `uniform’ mereka segak. Itulah mulanya minat saya menjadi guru mula timbul.

UB:       Berapa lama di GPS Rampazan?
AMAS: Saya bertugas di GPS Rampazan sebagai guru pelatih  pada bulan Ferbruari hingga Disember 1958. Selepas itu, saya menjalani kursus di Maktab Perguruan Kent, Tuaran yang dikenali sebagai Kent College.

UB:       Cikgu, angkatan pertama yang belajar di Kent?
AMAS: Tidak. Kami yang kesembilan belajar di Kent College.Pengetua kami waktu itu masih orang putih.

UB:       Ada pensyarah melayu?
AMAS: Ada.Antaranya Datuk Haji Abdul Rahman Bernawi (ayah kepada Datin Hasnah Abdul Rahman), Datuk Haji Murshidi Nambi, Cikgu Bungsu Kurus, Cikgu Ghani Pendek (ayah kepada Datuk Sabdin Ghani), Cikgu Ahmad Tajudin.

UB:       Ramai pelajar waktu itu?
AMAS: Ramai juga tapi tidaklah seramai sekarang.Waktu itu, negara Brunei menghantar enam orang pelajar setiap tahun untuk belajar di Maktab Kent. Bila mereka datang, kebanyakan mereka adalah pelatih wanita, kami berkesempatan dipanggil senior.Tapi pada masa kami belajar kursus di sana iaitu pada 1959 hingga 1960, itu adalah kumpulan pelatih dari Brunei yang terakhir dihantar belajar ke Kent, kerana selepas itu, mereka mempunyai maktab perguruan sendiri.

UB:       Berapa elaun cikgu sewaktu di Maktab itu?
AMAS: Elaun kami hanya lapan ringgit. Lima puluh sen untuk untuk sport fund, lima puluh sen untuk scout. Dengan duit tujuh ringgit itu, belanja kami sebulan, untuk beli sabun, beli ubat gigi jenama gibbs. Tapi rakan-rakan dari pedalaman, masih boleh simpan duit mereka. Hanya selepas itu, elaun dinaikkan kepada RM80.00 sebulan, cukup besar waktu itu.

UB:       Gaji guru berapa?
AMAS: Gaji guru pelatih ialah RM105 sebulan manakala kalau guru terlatih ialah RM150 sebulan.Waktu itu, jumlah itu cukup besar.

UB:       Selepas tamat dari Maktab Kent, cikgu bertugas dimana pula?
AMAS: Saya dihantar bertugas semula di GPS Rampazan selama enam bulan. Sepanjang kerjaya saya sebagai guru, empat kali saya dihantar ke GPS Rampazan. Saya ingat empat kali saya bertugas di sekolah itu, guru besarnya ialah Cikgu Robert Tinus. Bahkan ketika ditugaskan kali keempat disana pada 1966, guru besarnya masih Cikgu Robert. Sebenarnya, selepas enam bulan iaitu Januari hingga Jun 1961 di GPS Rampazan, saya ditukarkan ke GPS Kawang dari Julai hingga September 1961, sebelum dihantar balik bertugas sebagai guru terlatih di GPS Rampazan dari Oktober hingga Disember. Selepas itu, saya dipindahkan pula ke GPS Pekan Labuan sebagai guru terlatih bahasa Inggeris dari Januari 1962 hingga April 1963 dan kemudian dipindahkan lagi di GPS Pekan Papar sebagai guru terlatih bahasa Inggeris selama tiga minggu iaitu pada bulan Mei 1963.

UB:       Tiga minggu saja?
AMAS: Ya, kerana selepas itu kami dihantar berkursus Pengajaran bahasa Inggeris di Sydney Australia selama Sembilan bulan iaitu Mei 1963 hingga Januari 1964.

UB:       Dimana cikgu berkursus di Sydney? Berapa orang?
AMAS: Saya berkursus di North Sydney English Training Centre di Sydney. Kami semua seramai 20 orang.Antaranya, arwah Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, arwah Datuk Omarbek, Cikgu Suhaimi Gilong, OKK Aliusin Amir dari Semporna, dan beberapa orang lagi termasuk empat guru dari sekolah Cina. Arwah Ghani Pendek, arwah Ghani Bagul, anaknya Idrus Ghani,seorang pegawai kanan kerajaan.

UB:       Mungkin ada kenangan tertentu sepanjang berada di sana?
AMAS: Kenangan? Memang banyak kenangan. Kami yang dua puluh orang itu menyambut kemerdekaan sewaktu berada di Sydney. Pada masa itu, ada sedikit kacau, seperti yang kami lihat di tv. Ketika itu kami tengok berita.Kami tinggal di satu private hotel, satu bilik dengan Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, kini sudah kembali ke rahmatullah. Oleh kerana badan kami kecil , arwah Ghani Bagul juga tubuhnya kecil, orang putih panggil kami `boy’. Bila kami tengok tv, dia kata, boy, your country is in trouble. Perkembangan berita kami nampak di televisyen. Waktu itu Sabah masih dikenali sebagai North Borneo. Kota Kinabalu waktu itu dikenali sebagai Jesselton.

Nasib baik kumpulan pelajar dari Sabah dijemput oleh persatuan pelajar Malaya atau Malayan Student untuk menghadiri jamuan bagi meraikan pembentukan Malaysia.

UB:       Dimana menginap sepanjang di Sydney?
AMAS: Kami menginap di Ellen Northwood Private Hotel dengan sewa tiga puluh ringgit duit kita. Ia dikenali sebagai Hotel Papar kerana kebanyakan guru dari Papar tinggal disana.Antaranya, arwah Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Ismail Sulaiman, Haji Bakrin Haji Putih, dan enam tujuh oarng yang lain.

UB:       Bila cikgu balik ke Sabah?
AMAS: Kursus itu berlangsung selama sembilan bulan. Ia dijalankan dibawah Rancangan Colombo atau Colombo Plan. Ketika pergi itu, kami naik pesawat Malayan Airways transit di Singapura dan terbang menggunakan pesawat Qantas.Ketika balik, kami naik pesawat Air India dan transit lagi di Singapura sebelum pulang ke Sabah. Kemudian kami dikenali sebagai English Specialist .

UB:       Kemudian cikgu bertugas dimana pula?
AMAS: Saya kemudian berkhidmat pula sebagai Guru Khas Bahasa Inggeris di GPS Pimping, Membakut dari februari hingga Disember 1964. Di sinilah saya bertemu jodoh orang Pimping iaitu Dayangku Mahani Pengiran Tajudin.Kahwin di kampung Pimping pada akhir 1964. Kami dikurniakan tiga cahayamata.

UB:       Oh begitu ceritanya. Lepas tu bertugas dimana?
AMAS: Saya ditugaskan di GPS Pengalat Papar pada tahun 1965.

UB:       Siapa murid yang cikgu masih ingat?
AMAS: Ada dua murid yang saya ingat iaitu Allahyarhamah Datuk Norjan Khan Bahadar dan adiknya Datuk Ghulam Khan Bahadar. Itu adalah antara murid yang berjaya pada masa itu.

UB:       Selepas itu?
AMAS: Selepas itu, saya ditugaskan pula ke GPS Rampazan, buat kali keempat.Tapi kali ini saya ditugaskan sebagai Guru Khas Bahasa Inggeris.

UB:       Dari Rampazan, dimana pula cikgu ditugaskan?
AMAS: Pada tahun 1968, satu peristiwa menjadi satu kejutan buat saya.Dengan kelulusan hanya Sabah Junior Certificate (SJC) dan pengalaman berkursus Bahasa Inggeris di Sydney, saya dilantik sebagai Pengetua Government Junior Secondary School (GJSS) Kiulu yang pertama. Waktu itu, sekolah itu masih menumpang di GPS Kiulu. Sekolah itu kini dikenali sebagai SMK Tun Fuad. Saya menjadi pengetua dengan dibantu oleh Peace Corp, Mr V Skinner. Kami mengajar 65 orang dalam dua kelas. Saya ingat Prof.Datuk Hamdan Adnan, pernah menjadi penolong saya ketika bertugas di sana. Selain itu, Ku Bahadur juga pernah bertugas di sana.

UB:       Siapa murid yang cikgu masih ingat lagi?
AMAS: Antaranya Datuk Jahid Jahim, kini Pembantu Menteri Belia dan Sukan.

UB:       Menarik perjalanan hidup cikgu. Apa pengalaman menarik disana?
AMAS: Pada masa itu jalan agak teruk tidak seperti sekarang.Kalau sekarang, dua puluh minit boleh sampai dari Tamparuli hingga ke Kiulu. Kalau dulu tidak boleh buat begitu.Kalau hujan tidak dapat dilalui kerana terpaksa tidur dalam kereta. Kereta saya ketika itu Volkwagen. Kadang-kadang terpaksa ditolak kerana melalui jalan yang begitu teruk.Kalau tidak dapat balik saya selalu menginap ditempat Cikgu Zaidun Julang.

UB:       Cikgu tidak takut dalam keadaan jalan yang begitu teruk?
AMAS: Tidak. Sudah menjadi tugas guru mendidik. Cuma saya pernah ada pengalaman balik waktu malam. Waktu itu, saya ada menitipkan daging di tempat cikgu zaidun.Daging lembu kalau tak silap. Saya terfikir mahu balik kerana pagi-pagi besoknya saya ada tugas. Jam 11.00 malam saya balik dari Kiulu. Saya pun balik tapi tak sampai sampai ke rumah.Ketika itu, saya ingat abru sampai dekat dekat Rangalau. Baru saya teringat saya ada bawa daging mentah, adalah dalam dua kilo. Akhirnya saya buang daging itu.Itu mungkin kepercayaan tahyul atau halusinasi  tapi benar-benar terjadi.Barulah saya dapat keluar dari sana, dan sampai di rumah kira-kira jam 5.00 pagi. saya tidak juga kehabisan minyak.saya rasa berpusing-pusing saja di sana. Hairan juga.

UB:       Selain cikgu, siapa lagi rakan cikgu yang dilantik sebagai pengetua pada masa itu?


AMAS: Ketika itu, antara pengetua yang baru dilantik, masing-masing di sekolah yang baru dibuka ialah Datuk Khamis Noyo di GSS Membakut, Datuk Matusin Awang Damit di GSS Weston, Datuk Haji Awang Damit Osman di GSS Kuala Penyu, Haji Sabli Mohiddin di GSS Bandau, Cikgu Raskan Asing di GSS Taun Gusi. Selepas empat tahun, saya ditukarkan pula ke GJSS Membakut sebagai Pengetua yang keempat di sekolah itu.

UB:       Kemudian, dari Membakut, Cikgu bertugas kemana pula lepas itu?
AMAS: Saya dilantik sebagai pensyarah di Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera Sabah (NVSTTC). Waktu itu, guru-guru NVS bertugas di sekolah-sekolah yang dibangunkan secara sukarela oleh penduduk kampung.

UB:       Lama jadi pensyarah?
AMAS: Saya menjadi pensyarah dari bulan Februari 1974 hingga Mei 1975. Selepas itu, saya dilantik sebagai penyelia kanan di Ibu Pejabat Jabatan Pelajaran pada 1975 . Jawatan penyelia ketika itu sama dengan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) sekarang ini. Saya pernah bertugas sebagai penyelia kanan, penyelia sekolah di Pejabat Pelajaran Labuan pada Julai  1977 hingga Februari 1982 sebelum dipindahkan semula ke ibu pejabat sebagai penyelia. Saya menjadi penyelia kanan di Bahagian Pendaftaran Guru, di Bahagiian Latihan dan Kurikulum, dan Bahagian Pembangunan hingga bersara pada 1995.

UB:       Mungkin ada pengalaman tertentu yang ingin dikongsikan?
AMAS: Ketika bertugas di Labuan, kami disuruh tanam pinang oleh Ketua Menteri ketika itu, Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri). Beliau mahu kami menanam pokok pinang untuk kecantikan sekolah. Ketika beliau datang ke Labuan, beliau minta laporan. Pokok pinang bukan mudah ditanam kerana keadaan tanah kurang subur. Jadi ketika mesyuarat itu, beliau tidak lagi mahu dengar alasan itu dan panggil ahli jawatankuasa tindakan daerah yang terdiri dari JKR, Jabatan Pertanian, Perancangan Bandar, disuruhnya berkerjasama sehingga projek tanam pinang itu berjaya dilaksanakan. Pegawai Daerah Labuan ketika itu ialah Haji Kula Haji Jamudin, kemudian arwah Jalumin Jahali, arwah fauzi Kaw dan Ali.

UB:       Oh ya, berbalik kepada zaman persekolahan.Cikgu masih ingat apa mata pelajaran yang diajar kepada murid?
AMAS: Antaranya ilmu alam yang waktu itu dikenali sebagai ilmu bumi, sains dikenali sebagai alam kejadian, sejarah dikenali sebagai tawarikh. Waktu itu tanpa sedar kita telah diajar dalam sastera melalui pelajaran bahasa Melayu. Buku yang diajar di sekolah ialah Chanai Bacaan dalam tulisan jawi dan Pelbagai Ceritera Melayu dalam romanised atau rumi. Waktu dulu pelajar terpaksa belajar dengan tekun. Mereka hormatkan guru.Jika mereka tidak dapat menjawab, mereka disuruh mulanya disuruh berdiri. Jika tidak dapat menjawab lagi , mereka  disuruh naik ke bangku, jika tidak dapat jawab lagi mereka disuruh naik ke meja. Antara rakan sekolah saya waktu itu ialah Matali Mahmud, Awang salleh Jipun, Haji Ali Hassan Latif, Hajah Fatimah , Datin Hajah Nining Salmah salleh, Datuk Haji Matiasin Surai, itu antaranya.Kalau tak dapat jawab, kita malu.Mahu tidak mahu kita terpaksa belajar bersungguh-sungguh.

UB: Banyak pengalaman menarik cikgu sepanjang menjadi guru. Tentu banyak yang boleh ditulis. Apa penghargaan yang cikgu terima?
AMAS: Saya dianugerahkan Tokoh Guru Papar 2012. Alhamdulillah.Memang saya sudah lama bersara iaitu 17 tahun selepas tahun 1995.

UB:       Terima kasih cikgu kerana member ruang dan masa untuk sesi temubual ini.
AMAS: Sama-sama.