KEE
AYUB, PEMAIN BOLASEPAK SABAH, KINI JADI KETUA DAERAH
DALAM
sebuah pasukan bolasepak, seorang penyerang sama pentingnya dengan seorang
pemain tengah atau pemain pertahanan. Tetapi semuanya itu tidak bererti tanpa
kehadiran seorang penjaga gol. Peranan seorang penjaga gol sama pentingnya
dengan seorang penjaring gol. Malah dalam sebuah perlawanan yang pemenangnya
ditentukan dengan sepakan penalti, kemampuan penjaga gol menjaga gawangnya
sentiasa menjadi buah bibir di kalangan peminat.
Bermain
di posisi penjaga gol, kehebatan Kee Ayub tidak dapat dinafikan pada era
kegemilangannya. Beliau bukan saja bermain mewakili Tawau malah pernah
mengharumkan nama negeri ini apabila terpilih sebagai penjaga gol Sabah dalam
Piala Borneo (Borneo Cup) pada 1968-1970. Cintanya kepada bolasepak bermula
sejak masih remaja ketika aktif dalam PKMT yang kini dikenali sebagai Persatuan
Kemasyarakatan Melayu Tawau.
Setelah
melalui liku-liku kehidupan dan menempuh pelbagai pengalaman dalam kerjayanya
sebagai kakitangan kerajaan yang berdedikasi, kini sejak 2006, beliau dilantik
sebagai Ketua Daerah Tawau yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya (OKK).
OKK
Haji Mohd.Ayub Kee Abu Bakar dilahirkan pada 28 Mei 1949 di Jalan Utara, (berdekatan
Hospital Tawau sekarang). Ayahnya, OKK Kee Abu Bakar Kee Abdullah adalah Ketua
Daerah Tawau yang pertama manakala ibunya, seorang wanita yang tabah telah
membesarkan beliau serta tujuh adik beradiknya selepas pemergian ayahnya pada
1953 ketika Kee Ayub berusia enam tahun. Beliau mendapat pendidikan awal di
Government Primary School (GPS) Tawau sebelum melanjutkan pelajaran menengah di
SM St Patrick hingga Tingkatan 5.
Bagaimanapun
keperitan hidup yang dialami keluarganya, memaksa Kee Ayub untuk mencari kerja
sebaik tamat persekolahan. Beliau diterima bekerja di Pejabat Daerah Tawau
kemudian ditukarkan sebagai Penyelia Pendaftaran di OPEC sebelum dipindahkan ke
Jabatan Perubatan sebagai Kerani Hasil di Hospital Tawau. Selepas itu, beliau
bertugas pula di Jabatan Kastam sebagai Kerani Cukai. Setelah itu, beliau
bertugas pula sebagai Ketua Kerani di Pejabat Daerah Kota Kinabalu. Selepas
beberapa tahun, beliau bertukar semula ke Pejabat Daerah Tawau sebagai Kerani
Besar. Kerjayanya meningkat selangkah lagi apabila dilantik sebagai ADO Luar
Bandar. Kemudian apabila Pejabat Daerah Tawau dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran
Tawau (MPT), Kee Ayub dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Luar Bandar hingga
bersara pada tahun 2005. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ketua Daerah
Tawau. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Ridah bte Nawab Khan dan
dikurniakan tiga orang anak.
Selain
tugasnya sebagai Ketua Daerah, OKK Haji Mohd Ayub juga bergiat aktif sebagai
Timbalan Presiden PKMT, sebuah persatuan yang penting dan berpengaruh di Pantai
Timur Sabah. Selain itu, beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Pemadam Daerah Tawau
dan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Tawau.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau pada satu
petang di pejabatnya di bangunan MPT untuk berkongsi pengalamannya sebagai
pemain bola sepak yang terkenal pada zamannya, penggerak PKMT dan tugasnya sebagai
Ketua Daerah
UTUSAN
BORNEO: Boleh ceritakan sedikit mengenai penglibatan OKK dalam bidang sukan
khususnya bolasepak.Saya mendapat tahu, OKK dulu pernah main bola untuk PKMT.
Main di posisi apa?
OKK: Saya bermain sebagai goalkeeper, penjaga
gol untuk pasukan PKMT. Dulu PKMT mempunyai pasukan bolasepak yang kuat.Sering
bermain di final kejohanan bolasepak liga Tawau. Malah sering menjadi johan.
UB: OKK bermain sewaktu pasukan Tawau
dikalahkan oleh pasukan Hong Kong 11-0 itu?
OKK: Tidak. Waktu itu saya masih kecil lagi. Ada
sepupu saya yang bermain. Saya hanya membantu untuk memasang tirai penutup
padang bola yang dibikin dari karung guni. Padang bola ditutup dengan karung
guni kerana perlawanan persahabatan itu dikenakan bayaran tiket. Lima puluh sen
untuk kanak-kanak dan satu ringgit untuk orang dewasa. Saya ikut membantu
Allahyarham OKK Haji Ahmad Kreah untuk memasang tirai untuk menutup padang
Tawau.
UB: Tiada yang menyelinap untuk menonton
perlawanan?
OKK: Kebanyakan orang membayar sanggup membayar
tiket untuk menonton bola. Mungkin ada seorang dua orang tetapi ribuan yang lain
beratur untuk membayar tiket.
UB: Selain Hong Kong, ada pasukan lain yang
mengadakan perlawanan persahabatan waktu itu?
OKK: Kami sering mengadakan perlawanan
persahabatan dengan pasukan lain.Kami pernah menbantu PKMT menentang pasukan sepak bola dari Tarakan dan
sebagainya. Pernah juga kapal perang singgah di Tawau dan kami mengadakan
perlawanan persahabatan. Selepas itu, banyak lagi perlawanan persahabatan yang
diadakan di padang Tawau.Waktu itu saya sudah bermain bola. PKMT mempunyai
pasukan bolasepak yang terkenal.
UB: Semua perlawanan dikenakan tiket?
OKK: Kalau pasukan local, free. Tapi kalau
melibatkan pasukan luar negara, baru dikenakan bayaran tiket. Ketika itu, kalau
ada perlawanan bola, padang selalu penuh. Pasukan Kastam pun main, pasukan
renjer dan sebagainya.Semua lapisan masyarakat datang berbondong-bondong untuk
menonton perlawanan itu.
UB: Main di padang yang dekat balai polis tu?
OKK: Ya. Kami bermain di padang Bandar yang
terletak berdekatan Balai Polis, dekat juga dengan Hong Kong Shanghai bank.
Dulu di sana ada Tawau Sport Club, swimming pool (kolam renang). Itu sebabnya
padang selalu penuh jika ada perlawanan kerana ia menjadi tempat tumpuan orang
ramai.
UB: Selepas itu OKK bermain dimana pula?
OKK: Saya bermain untuk PKMT. Saya pernah dipilih
mewakili Sabah dalam Borneo Cup. Saya bermain sebagai goalkeeper. Borneo Cup
melibatkan tiga pasukan iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei. Saya sempat berada
dalam satu pasukan dengan James Wong dan Hassan Sani ketika bermain untuk
Borneo Cup itu. Waktu itu saya berusia 22 tahun. Zaman kemuncak saya dalam
perlawanan bolasepak.
UB: Selain OKK, siapa lagi pemain dari Tawau
yang pernah bermain untuk Sabah, yang sezaman dengan OKK?
OKK: Arwah Padilah Kreah.Beliau juga pernah
bermain untuk Sabah dalam Borneo Cup.
UB: Apa kejohanan lain yang ada di Tawau
ketika itu?
OKK: Dulu ada liga.Liga Tawau.Pasukan yang hebat
antaranya Wallace Bay, Table yang dijuluki dengan nama Pasukan Kilat. Antara
strikernya ialah Yusof , bapa kepada mantan Striker sabah, Suharmin Yusof,
Pasukan PKMT, pasukan Bombalai yang dijuluki dngan Pasukan Guntur, Ladang
Imam,Pasukan Renjer
UB: Apa faktor kekuatan pasukan bolasepak
PKMT dulu?
OKK: Dulu orang main dengan semangat, mestipun
mereka tidak ada jurulatih bertauliah. Antara pembimbing atau jurulatih ketika
itu ialah OKK Haji Ahmad Kreah.
UB: Selepas tidak lagi bermain bola, apa
kegiatan OKK?
OKK: Saya menjadi jurulatih Pasukan Tawau dari
tahun 1984 hingga tahun 90-an.
UB: Selain bolasepak, apa sukan lain yang OKK
ceburi?
OKK: Tenis. Saya menjadi Presiden Pasukan Lawn
Tenis Tawau. Dalam sukan tenis, kami pernah bermain melawan Wali Kota Tarakan,
pernah main di Malinau, Indonesia dan sebagain
UB: Tahun berapa OKK aktif dalam PKMT?
OKK: Saya aktif dalam PKMT sejak tahun 1965.
Waktu itu saya masih bersekolah lagi. PKMT memang terkenal kerana kegiatan
olahraga, sukan, bolasepak, bidang agama, kugiran sdan sebagainya.
UB: Bagaimana keadaan kehidupan OKK dulu ya?
OKK:
Dulu keadaan susah. Selepas arwah ayah
meninggal pada tahun 1953, arwah ibu yang berjuang menghidupkan kami tujuh
beradik. Ibu sendiri yang cari nafkah, berjualan, selepas bapa meninggal.
Dialah yang kasih hidup kami.Waktu itu saya berumur enam tahun.Belum ingat
apa-apa.Keluarga tidak berkeupayaan. Itu sebabnya tidak dapat bersekolah
tinggi.
UB: OKK sekolah dimana dulu?
OKK: Saya bersekolah rendah di Government
Primary School (GPS) Tawau sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah
St.Patrick hingga Tingkatan Lima.
UB: Selepas itu, OKK terus kerja?
OKK: Selepas sekolah saya mencari
kerja.Mula-mula saya bekerja di Pejabat Daerah Tawau kemudian ditukarkan
sebagai Penyelia Pendaftaran di OPEC sebelum dipindahkan ke Jabatan Perubatan
sebagai Kerani Hasil di Hospital Tawau. Selepas itu, saya bertugas pula di
Jabatan Kastam sebagai Kerani Cukai. Setelah itu, saya bertugas pula sebagai Ketua
Kerani di Pejabat Daerah Kota Kinabalu. Ketika bertugas di sana, saya bertemu
jodoh dengan isteri saya, Ridah bte Nawab Khan. Selepas beberapa tahun,
saya bertukar semula ke Pejabat Daerah
Tawau sebagai Kerani Besar. Kemudian
dilantik sebagai ADO Luar Bandar. Apabila Pejabat Daerah Tawau dinaik
taraf kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT), saya dilantik sebagai Pegawai
Pembangunan Luar Bandar hingga bersara pada tahun 2005. Pada tahun 2006, saya
diamanahkan sebagai Ketua Daerah Tawau.
UB: Sebagai Ketua Daerah, biasanya apa aduan
yang diadukan oleh orang ramai kepada OKK?
OKK: Antaranya pertikaian tanah, isu tuntut waris dan sebagainya. Saya juga pernah
menerima aduan mengenai suami isteri yang bertengkar, bergaduh. Mereka datang
ke pejabat, menangis-nangis mahyu bercerai.Biasanya mereka yang datang itu,
pagan, tidak beragama, iaitu kes yang selalu diajukan kepada Mahkamah Anak
Negeri.
UB: Apa tindakan OKK selepas menerima aduan
seperti itu?
OKK: Kita nasihatkan mereka supaya berdamai.
Perbalahan suami isteri kita cuba selesaikan. Kita cuba usahakan agar mereka
tidak bercerai.
UB: Dulu sewaktu ayah OKK menjadi Ketua Daerah
Tawau yang pertama, mungkin ada perbezaan cara orang mengadu?
OKK: Saya tidak sempat melihatnya.Ayah saya
meninggal sewaktu saya berusia enam tahun. Tapi menurut cerita orang, orang
yang ada masalah, misalnya perbalahan suami isteri itu datang ke rumah.Tidur di
rumah. Arwah ayah tidak beri kata putus sebaliknya menenangkan mereka, minta
mereka datang dalam tempoh satu minggu. Kalau tidak selesai lagi, mereka boleh
datang semula. Biasanya mereka tidak
datang kerana segan dengan beliau.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai sejarah
Ketua Daerah?
OKK: Ini merupakan institusi pentadbiran yang
tertua di negeri ini. Pentadbiran penjajahan British tidak akan mendapat
kerjasama dengan masyarakat bumiputera kalau tidak wujud institusi ketua
daerah, ketua anak negeri dan ketua kampung atau OT. Ia mulai diperkenalkan
pada tahun 1887.
UB: Mengapa OKK sangat dihormati masyarakat
dulu ya?
OKK: OKK sangat dihormati dan disegani sebagai pemimpin
kaum di kalangan masyarakat
s
ebabnya ialah OKK pada masa lalu memang bekerja bersungguh-sungguh untuk
penduduk kampung, , ikhlas dan jujur, berakhlak tinggi dan sebagainya.
UB: Apa nasihat OKK kepada Ketua Kampung di
Tawau?
OKK: Ketua- Ketua Kampung bertanggungjawab untuk
memastikan anak-anak buah mereka sentiasa bersatu, faham memahami dan saling
bekerjasama di antara satu sama lain. Mereka bukan saja agen pembangunan
sosioekonomi dan sosiobudaya penduduk kampung, malahan bertanggungjawab sebagai pemimpin untuk
memastikan anak-anak buahnya sentiasa hidup dalam keadaan yang aman, damai,
sejahtera dan bahagia. Sebagai pemimpin masyarakat, mereka adalah jambatan
penghubung antara rakyat dengan
kerajaan.Ketua kampung bertanggungjawab
bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga kepada rakyat yang memerlukan khidmat
nasihat dalam semua aspek. Ketua kampung juga bertanggungjawab untuk membimbing
dan membantu rakyat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan.
Mereka
haruslah membantu memberikan penjelasan kepada rakyat tentang apa yang
sebenarnya dilakukan oleh kerajaan dalam usahanya mempertingkatkan kedudukan
ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
UB: Apa harapan OKK terhadap masyarakat kita
khususnya di daerah Tawau?
OKK: Kita mahu rakyat berbilang kaum dapat terus
hidup dalam suasana sejahtera dan bahagia mementingkan perpaduan tetapi juga sentiasa
memelihara norma dan nilai budaya adat tradisional mereka. Kita juga berharap
nilai-nilai tradisional itu tidak akan menutup minda masyarakat kita daripada
menerima nilai-nilai budaya sains dan teknologi dan budaya sosioekonomi global
yang positif.
UB: Mungkin ada peristiwa lucu yang pernah
OKK alami?
OKK: Suatu hari saya pergi ke Kampung Sungai
Melayu bersama Pengerusi JKKK. Ketika dalam perjalanan itu, pengerusi JKKK itu
diserang penyakit ampus (lelah). Enjin perahu pula mati di tengah laut. Dia
minta saya berdayung, tapi waktu itu saya tidak pandai berdayung.Maklum tinggal
di bandar. Saya mendayung tapi perahu berpusing ke arah lain. Sampai di tepian,
dia terduduk menahan sakit ampus. Kesian, satu minggu kemudian, dia meninggal.
Satu
lagi peristiwa ialah ketika kami melawat Sungai Lahi. JKKK ketika itu tidak tahu
waktu pasang surut air. Ketika kami pulang pada pagi itu, air sedang surut.
Kami terpaksa menunggu sampai jam 3.00 petang. Kami tidak bawa bekal. Akhirnya
terpaksa minum air kelapa muda.
Selain
itu, saya juga pernah mengalami peristiwa dimana perahu mati di tengah laut.
Waktu itu saya bertugas ADO Luar bandar. Saya bersama Haji Samsudin Liew,
Timbalan Presiden MPT waktu itu. Sekarang dia di Australia. Enjin tak dapat
dihidupkan. Kira-kira satu jam kami berada di laut.Dia marah kepada tukang bot
kerana tidak memeriksa enjinnya
OKK:
Satu pengalaman yang sampai hari ini membuat saya sedih ialah apabila arwah
abang saya, Ibrahim dan Kakak saya, Saadiah meninggal pada hari yang sama.
Hanya selang beberapa minit. Peristiwa itu berlaku pada 25 April 1986 atau 16
Syaaban, saya masih mencatatnya.Jam 3.30 petang Ketika itu, kakak sayalah yang
menelefon memberitahu abang saya sudah tiada.Selang beberapa minit, mungkin
dalam 10 minit begitu, arwah kakak saya terjatuh di dapur ... sakit jantung.
UB: Arwah abang OKK tu sakit apa?
OKK:
Sakit buah pinggang. Itulah satu peristiwa
yang menyedihkan bagi saya.
UB: Oh ya. Sebagai salah seorang pemimpin
PKMT, bagaimana OKK melihat masa depan PKMT?
OKK: Kita mahu melihat PKMT terus maju. Kita
berharap anak melayu jati Tawau meneruskan perjuangan kita dalam PKMT. Oleh
sebab itu, PKMT telah mengadakan Lab Penggubalan Pelan Strategik Lautan Biru
(PSLB) di Ranggu baru-baru ini yang bertujuan untuk mengasah potensi peserta
yang terdiri daripada generasi pelapis untuk menghadapi masa depan yang lebih
cemerlang.
Sungguhpun
ia diadakan buat kali pertama tetapi sambutan amat menggalakkan. Program Lab
penggubalan PSLB itu adalah salah satu langkah kita untuk menggilap kepimpinan
peserta supaya mereka lebih memahami perjuangan PKMT dan timbul kesedaran
mereka untuk meneruskan perjuangan murni ini.
UB: Apa harapan OKK terhadap penglibatan
generasi pelapis dalam PKMT?
OKK: Kita berharap lebih ramai generasi muda tampil untuk
berkongsi kemahiran dan pengetahuan dalam bidang masing-masing demi kepentingan
PKMT, yang berjuang masyarakat Melayu
Tawau.