Isnin, 19 November 2012

sekadar teringat ikan bakar di Kampung Air

Tags



TERINGAT IKAN BAKAR DI KAMPUNG AIR

Orang kita mempunyai satu kebiasaan yang boleh dikatakan luar biasa. Kebiasaan yang luar biasa ini, agak menarik bahkan agak melucukan juga untuk difikirkan. Apa tidaknya, ketika menikmati ikan bakar di sebuah kedai, di sudut Kampung Air itu, ada seekor ikan yang dikaitkan dengan penyanyi tahun 80-an.

Ikan itu, ikan ambolong dalam bahasa Iranun, ikan temenggong dalam bahasa Melayu, big eye dalam bahasa Inggeris, priacanthus hamrur istilah latinnya,tiba-tiba diberi nama seorang penyanyi, sehingga hampir semua orang yang biasa menikmati ikan bakar itu, mengenali ikan itu dengan nama penyanyi berinitial UR, dan melupakan nama sebenarnya.

Penyanyi lain menerima nasib yang lebih baik. Misalnya kain, dikaitkan dengan nama Siti Nurhaliza. Kain Siti Nurhaliza.Tudung dikaitkan dengan Yuna, tudung Yuna dan banyak lagi contoh, yang mengaitkan nama seseorang selebriti sebagai nama pakaian,makanan, kuih muih dan sebagainya, sehingga saya terfikir apakah penggunaan nama itu sudah dimintakan izin daripada si empunya nama atau apakah penggunaan nama itu sudah dipatenkan.

Satu ketika dahulu, ketika Perang Teluk yang pertama iaitu selepas Iraq menyerang Kuwait dan Amerika Syarikat menjatuhkan peluru scudnya, dengan tiba-tiba saja  ikan marlin, diberi nama ikan sekad (sebutan bagi scud).

Selain itu ada kebiasaan orang-orang kita untuk menyebut sesuatu benda, seperti ikan, dengan mengaitkannnya dengan benda-benda lain, yang menurut mereka serupa bentuknya dengan ikan itu, sehingga kadang-kadang ada ikan yang diberi nama yang buruk seperti merujuk kemaluan dan sebagainya.

Terdapat kebiasaan kita untuk menggelar seseorang, atau memanggilnya dengan nama yang kurang elok.Padahal dalam kitab, umat sudah diperingatkan agar tidak memanggil seseorang yang lain dengan panggilan yang buruk. Apatah lagi caci maki, menghina sedangkan untuk memanggil seseorang dengan panggilan yang dia tidak sukai pun, adalah ditegah.

Jika kita perhatikan, hampir setiap hari dalam laman buku wajah, terdapat perkataan atau panggilan yang kurang elok kepada seseorang atau sesuatu pihak, yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kita berpandukan alQuran atau manamana kitab agama yang melarang orang untuk memperlakukan seseorang yang lain dengan tidak baik, jangankan untuk memfitnahnya.

Tapi itulah kebiasaan kita yang agaknya  luar biasa jika kita fikirkan. Luar biasa kerana perkara perkara itu, memanggil seseorang dengan nama yang tidak baik atau buruk, dengan jelas sudah dilarang atau ditegah, tetapi masih kita lakukan.

Tetapi tegahan atau larangan itu tidak lagi menjadi luar biasa kerana ia telah menjadi kebiasaan kita, sehingga yang perkara yang luar biasa itu tidak lagi dianggap luar biasa kerana kita sudah terbiasa dengannya dan menjadi kebiasaan kita pula.

Namun begitu, bagi saya memanggil nama ikan dengan nama penyanyi itu, sebenarnya tidak menjadi soal. Barangkali ada baiknya juga. Apatahlagi ia tidak merugikan si penyanyi. Dia mendapat promosi secara percuma. Cuma saya tidak pasti sama ada ikan itu menjadi terkenal kerana namanya atau namanya yang menjadikan ikan itu terkenal.

Apa yang pasti ikan itu memang laris dan sesuai dijadikan ikan bakar. Dulu mungkin ikan itu tidak terlalu berharga tetapi sekarang, seekor ikan bakar itu, ukuran yang kecil pun, sudah mahal harganya iaitu RM2.00 seekor.

Saya suka memakan ikan bakar itu. Sedap untuk dimakan begitu saja sebagai lauk, apatahlagi jika dicecah dengan perasa dan limau. Bagi saya ikan itu, tidak sesuai untuk direbus kerana kulitnya yang keras. Apa yang agak dikesalkan, kadang kadang ikan yang dijual itu, ada juga ikan bom, iaitu ikan yang ditangkap menggunakan bom ikan, walaupun sekarang sudah semakin jarang.

Bagaimanapun, di sebalik keasyikan menikmati ikan bakar di Kota Kinabalu, saya terfikir berapa ramai pula orang kita yang ikut berjualan kerana saya perhatikan ada ramai juga orang yang berniaga itu bukan dari kalangan kita. Padahal ikan bakar ini, bolehlah dikatakan sebagai salah satu daya tarikan untuk orang luar, pengunjung dan pelancong  datang menikmatinya.  Harga makanan laut di ibu negeri tergolong masih murah, segar dan mudah diperolehi.

Betapa ramai yang mendapat manfaat daripada ikan bakar ini. Banyak mulut dapat disuap hasil jualan ikan bakar. Roda ekonomi turut berputar dengan adanya perniagaan ikan bakar yang semakin banyak dan pelanggan pula mempunyai banyak pilihan untuk memilih, mana yang mereka sukai. Selain ikan bakar, banyak jenis makanan laut, yang dijual, ikan segar, udang harimau, ketam, siput dan sebagainya.

Sebenarnya saya teruja menulis mengenai ikan bakar yang lebih dikenali dengan nama penyanyi.Tak ada apa apa maksud lain.Saya hanya mengulas kebiasaan kita yang luar biasa, memanggil nama, menggelar seseorang dengan sesuatu yang mungkin tidak disukainya. Itu saja.Saya teruja menulisnya.