SETELAH
bermusim musafir di sini, di dunia tiada kekal abadi, sediakan amal sebelum kau
pergi, itulah antara bait-bait lirik nasyid bertajuk Muhasabah ciptaan Tokoh
Nasyid yang tidak asing lagi, Ustaz Haji
Jalidar Abdul Rahim. Lagu yang pernah dinobatkan sebagai pemenang lirik terbaik
kebangsaan itu amat menyentuh dan menginsafkan. Ukhuwah membina umat yang padu,
jangan memandang bangsa dan suku, kasih sayang jalinlah selalu, bagaikan ansar
muhajirin selalu.
USTAZ
HAJI JALIDAR ABDUL RAHIM dilahirkan di Bedagai,sebuah daerah terpencil, di Medan
Sumatera Utara pada 21 Julai 1949. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah
rendah dan sekolah agama hingga peringkat sanawi di daerah kelahirannya. Haji
Jalidar kemudian mengikuti pendidikan guru agama atas di peringkat aliyah di
Tanjung Balai, Asahan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Fakultas
Tarbiyah di Universiti Islam Sumatera Utara sehingga lulus sarjana muda pada
tahun 1973. Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Sabah dan berkhidmat di
beberapa buah sekolah agama sebelum dilantik sebagai Penyelia Dakwah di Majlis
Ugama Islam Sabah.
Disamping
tugasnya sebagai guru agama, Haji Jalidar lebih dikenali sebagai seorang tokoh
nasyid yang telah mengangkat nama Sabah ke peringkat Kebangsaan. Beliau telah
membimbing pelbagai kumpulan nasyid di negeri ini, mencipta hampir 300 lirik
dan lagu nasyid.Bermula dengan kejayaan kumpulan Noor El Kawakib yang menjadi
Johan Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan pada 1979, beliau telah
membimbing pelbagai kumpulan nasyid, termasuk Kumpulan Orkestra Dakwah Noor El Sabah yang telah mewakili Asia Tenggara ke
Festival Die Garten des Islam ( The Garden of Islam) di Berlin,Jerman. Beliau pernah menjadi hakim
pertandingan nasyid di peringkat kebangsaan dan rantau Asean.
Haji
Jalidar juga adalah seorang pemuisi yang tidak asing lagi di Sabah yang menjadi
kampung halamannya sejak 38 tahun lepas. Atas jasanya yang tidak terhingga
terhadap perkembangan seni nasyid di Sabah, Ustaz Jalidar telah menjadi
penerima Anugerah Al-Farabi yang pertama pada tahun 2001.Beliau juga pernah
dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu
tengahari di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi
sedikit pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam seni nasyid di negeri ini.
UTUSAN
BORNEO: Boleh ceritakan sedikit
bagaimana mulanya Ustaz hijrah ke Sabah?
USTAZ
JALIDAR: Saya menjejakkan kaki ke
Sabah 29 Mac 1974 setelah lulus temuduga yang dikendalikan oleh Majlis Ugama
Islam Sabah (MUIS) setahun sebelumnya. Kami telah diminta oleh Haji Bahrum
Jamil SH untuk menghadiri temuduga itu. Hanya 18 daripada 40 yang hadir
temuduga itu dinyatakan lulus dan terpilih untuk Sabah.
Sebelum
itu, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah
meminta bantuan Buya Hamka, seorang ulama terkenal, ketika itu Ketua Majlis
Ulama Indonesia (MUI) untuk membantu gerakan dakwah di Sabah.
UB: Dimana ustaz bertugas sebaik tiba di
Sabah?
UJ: Ketika itu isteri saya, Hajah Husna
Mohd.Yatim sedang sarat mengandung anak kami yang pertama. Selepas Ibnus Shobah
lahir pada 5 Mei 1974 di Hospital Queen, saya dihantar bertugas ke Sekolah
Agama Islam Papar. Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke Sekolah Menengah Rendah
Islam Papar. Dua tahun selepas itu, saya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah
Ugama Islam (SUI) Kampung Pengalat Besar Papar yang ketika itu baru dibuka.
Pada tahun 1980, saya dilantik pula sebagai Penyelia Dakwah di ibu pejabat
Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
UB: Bagaimana pula Ustaz terlibat dalam
aktiviti Nasyid?
UJ: Semasa berkhidmat di Papar, saya telah
mewujudkan Kumpulan Noor El Kawakib, kumpulan nasyid yang kemudian menjadi
juara nasyid di peringkat negeri pada tahun 1979, johan peringkat Kebangsaan
anjuran RTM. Ketika itu, Datuk Mohammad Rahmat menjadi Penerangan. Kumpulan
Noor El Kawakib sempat merakamkan album
lagu-lagu nasyid. Salah seorang penyanyi solo kumpulan Noor El Kawakib
ialah Hajah Norsiah Talip (kini
almarhumah). Selepas menjadi johan nasyid, kami terus merakamkan album pada
tahun 1979. Bila kita buat album yang pertama, seni nasyid mendapat lonjakan
baru. Orang yang banyak membantu ialah Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Menteri
Kewangan pada ketika itu. Beliau membantu apa-apa saja keperluan untuk
menerbitkan album nasyid itu. Ketika itu, kita buat album di Kuala Lumpur.
Sesuai dengan nama Noor El Kawakib yang bermakna cahaya bintang-bintang,
lagu-lagu nasyid mula menyinar selepas itu.
UB: Sebelum itu belum ada album lagu nasyid
di Sabah?
UJ: Album Kumpulan Noor El Kawakib itulah
album nasyid pertama di Sabah.
UB: Bagaimana pula perkembangan nasyid
selepas itu?
UJ: Selepas itu, Sabah telah mencipta banyak
kejayaan di peringkat kebangsaan.Sampai hari ini, jika menyertai pertandingan,
menang atau tak menang, Sabah sentiasa digeruni kerana kehebatannya.
UB: Apa kumpulan yang Ustaz bimbing selepas
Noor El Kawakib?
UJ: Setelah berpindah ke ibu pejabat di MUIS, di samping
menjalankan khidmat sebagai penyelia dakwah, saya juga keliling mengajar dan
membimbing kumpulan nasyid. Saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid di
Semporna hingga mereka muncul johan.Ketika itu, Datuk Haji Salsidu Ibrahim
menjadi Pegawai Daerah di Semporna. Beliau juga seorang pencinta nasyid. Pemimpin prihatin.Alhamdulillah.Saya juga
membimbing Kumpulan Shoutol Hadhari dari Tawau, hingga mereka menjadi Johan peringkat
bahagian, negeri dan kebangsaan sebanyak dua kali 2005 dan 2007. Masa itu, Haji
Salsidu Haji Ibrahim menjawat presiden MPT. Selain itu, saya juga pernah
membimbing kumpulan nasyid dari Kota Belud, yang juga muncul johan kebangsaan.
Saudara Lamsil Hamidsor adalah orang kuat dakwah di Kota Belud. Pernah juga di
Kinabatangan, dimana kumpulan nasyid dari Kinabatangan menjadi johan, di
Sipitang juga, mereka muncul johan. Alhamdulillah, sudah terbangun asas yang
baik nasyid ini.
UB: Biasanya siapa yang buat lagu ?
UJ: Kadang-kadang mereka yang buat lagu.Saya
Cuma perhalusi. Tapi kebanyakan saya buat sendiri. Alhamdulillah, Allah berikan
saya maziah, kelebihan iaitu boleh menulis lirik dan boleh membuat lagu, selain
boleh bermain muzik. Ada orang boleh menulis lirik, tapi tak boleh buat lagu.
Alhamdulillah, ada beberapa kali, tak kurang lima kali, ciptaan saya menjadi
lirik terbaik kebangsaan.Sabah pula
lebih sepuluh kali menjadi johan kebangsaan. Kumpulan Noor El Sabah
terpilih mewakili Malaysia dan juga Asia untuk menyertai Festival Garden of
Islam pada tahun 1993. Itu dianjurkan oleh Kerajaan Jerman. Sepanjang festival
itu, diadakan persembahan, seminar, pameran tentang Islam. Ia diadakan selama
empat bulan.Acaranya dibuat di Berlin.
UB: Mungkin banyak kenangan sewaktu di sana?
UJ: Banyak juga. Tapi yang paling mengesankan
bagi saya ialah apabila Tun Haji Ahmadshah Abdullah, mantan Tuan Yang Terutama
Yang Di Pertua Negeri, waktu itu beliau masih menjadi setiausaha Majlis Ugama
Islam Sabah (MUIS) membelikan saya
gambus. Beliau memang seorang yang prihatin. Ia satu kenangan yang manis bagi
saya. Dibelikannya saya gambus di Berlin. Gambus itu buatan Turki.Sampai
sekarang, saya tak bagi bagi orang main. Masa itu, kami berkunjung ke sebuah
kedai muzik di Jerman. Ketika ternampak gambus itu, beliau bertanya
saya.Walaupun teringin memilikinya tapi harganya mahal iaitu kalau tak silap
600 mark, mata wang Jerman. Tapi Tun Ahmadshah, beliau orang yang baik,
membelikan saya gambus yang sangat berharga itu.
UB: Wah, rupanya ada kenangan manis bersama
Tun. Sudah lama kenal beliau?
UJ: Beliau pernah jadi bos saya di MUIS, Ketika beliau menjadi Setiausaha
MUIS, waktu itu diselenggara Pengucapan Puisi Islam Sabah, yang kemudian
dikenali dengan Mahrajan Sastera Islam. Sebagai pengendali, saya selalu
melaporkan proses kemajuan kerja. Tapi beliau selalu memberi keyakinan kepada
saya dengan mengatakan beliau yakin saya boleh melaksanakan kerja yang diamanahkan.
UB: Saya tertarik dengan persembahan di Festival
The Garden of Islam di Jerman itu. Bagaimana sambutan khalayak di Jerman ketika
itu?
UJ: Sambutan khalayak di Jerman agak luar
biasa.Benarlah kata orang, bahawa bahasa muzik boleh difahami secara
sejagat.Bahasa seni boleh difahami oleh khalayak yang kebanyakannya terdiri
daripada orang Jerman itu. Mereka di Eropah sana, sangat menghormati seni.
Ketika kita tampil ke pentas, semua hadirin berdiri dan bertepuk tangan. Begitu
juga ketika membuat persembahan, mereka duduk diam, bahkan jika ada jarum jatuhpun
boleh kedengaran.Sampai begitu sekali penghargaan mereka terhadap seni, hormat
mereka terhadap seni.Setelah kita membuat persembahan, mereka bertepuk tangan.
Memang seni ini bahasa dunia, bahasa yang melintasi benua.
UB: Berapa lama membuat persembahan di sana?
UJ: Kami membuat persembahan selama dua malam
di sana, dengan sambutan yang begitu membanggakan. Bahkan kami sempat tampil
dalam slot tv selama sepuluh minit yang ditayangkan di TV Jerman.
UB: Oh ya, selain Festival The Garden of
Islam itu, pernahkah Orkestra Dakwah Noor El Sabah membuat persembahan di
tempat lain?
UJ: Kita pernah buat persembahan dalam
Pertemuan Seniman Muslim MABIM Asean di Ambon, Maluku pada tahun 1996. Kita
juga pernah buat persembahan nasyid di Medan Sumatera Utara pada tahun 2000.
UB: Bagaimana mulanya lahir minat Ustaz
terhadap nasyid? Boleh ceritakan sedikit?
UJ: Dulu rumah kami di kampung, selalu menjadi
tempat tumpuan guru-guru lagu al-Quran, guru qasidah dan sebagainya. Rumah kami
jadi tempat belajar. Waktu itu umur saya lapan tahun, saya ikut belajar dan
sudah akrab dengan lagu-lagu arab.Ketika itu saya tinggal tempat bapa saudara
saya, Mukhtar Umar.Beliau yang telah membela saya, orang yang terkenal
kedermawanannya. Bila ada bot besar, mereka akan singgah di rumah kami, yang
terletak di tepi laut. Semasa berada di Indonesia, saya sudah terlibat dalam
seni lagu nasyid melalui Kumpulan El-Surayya di Tanjung Balai Asahan.
UB: Apakah kehidupan masa kecil itu
mempengaruhi karya-karya Ustaz?
UJ: Tentu sekali ia banyak mempengaruhi karya
saya. Ketika di kampung, saya berguru dengan Ustaz Haji Mohd.Iyen Atim. Malah,
saya khatam Quran dengan Ustaz Iyen, guru saya yang kini jadi besan saya.
UB: Barangkali banyak lagi pengalaman Ustaz
yang boleh dikongsikan dalam bidang seni nasyid ini?
UJ: Antara kenangan manis saya dalam bidang
nasyid ini ialah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Festival Nasyid Peringkat
Asean di Kuala Lumpur pada 1994. Saya menjadi ketua hakim dalam panel hakim
yang dianggotai oleh hakim dari Singapura, Negara Brunei Darussalam dan
Indonesia. Selain itu, saya pernah menjadi hakim di peringkat negeri, di
peringkat kebangsaan malah pernah pula dijemput menjadi hakim dalam satu
festival vokalis qasidah dan nasyid Peringkat Nasional di Jakarta.
UB: Apa yang ustaz lihat masalah nasyid kita
sekarang?
UJ: Masalah kita ialah kita selalu menggunakan
muzik secara live.Dulu termasuk dalam satu syarat. Tetapi sekarang, kumpulan
nasyid hanya menggunakan minus one. Ini secara tidak langsung mematikan bakat
pemuzik kita.Dulu banyak orang boleh bermain gambus, violin, tapi sekarang
orang terpaksa gunakan minus one, yang tidak banyak membantu mengembangkan
nasyid kita, kerana muzik latarnya tidak original. Patutnya kita benarkan orang
menggunakan muzik secara live.
UB: Sekarang masanya pun pendek Ustaz.Apa
komen?
UJ: Dulu dua lagu diberi masa 15 minit iaitu
tujuh minit bagi setiap lagu. Sekarang ia menjadi empat minit bagi satu lagu.
Ini tidaklah memadai.Taqsin lagu, intronya hilang keindahannya.Lagu tidak boleh
kita buat kelamkabut. Ia bukan siaran langsung. Sepatutnya waktu tujuh minit
itu kita pertahankan. Bagi saya waktu tujuh minit itu, sudah bersesuaian. Biar
berkembang nasyid kita, baru ada indahnya.
Empat
minit tidak mencukupi. Ia sebenarnya tidak baik untuk kelangsungan perkembangan
seni nasyid kita. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ada berbincang dengan
tokoh-tokoh seni sebelum membuat peraturan itu.
UB: Apa pendapat Ustaz mengenai kategori
nasyid moden dan tradisi itu?
UJ: Kalau saya, nasyid ini satu saja. Iramanya
irama timur tengah. Tak perlu ada kategori nasyid moden dan tradisi. Cukup
nasyid saja. Bahkan tokoh nasyid, Tan Sri Hassan Azhari juga hairan juga kerana
ada nasyid moden, ada nasyid tradisi. Lagu nasyid berbeza dengan lagu
dakwah.Lagu dakwah lain. Sekarang timbul lagu pop dakwah, lagu rock dakwah. Itu
tak jadi masalah.Cuma jangan sebut ia nasyid kerana nasyid, sudah jelas ia lagu
daripada irama Timur Tengah. Yang mereka sebut moden itu, itu bukan moden, Cuma
kreativiti saja, yang berkembang dari zaman ke zaman.
UB: Apa pula cadangan ustaz untuk mengatasi
pro kontra nasyid moden dan tradisi ini?
UJ: Sebaiknya adakan satu bengkel di peringkat
kebangsaan.Kita bincang balik hala tuju nasyid kita. Perbincangan itu haruslah
melibatkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam nasyid. Dulu sewaktu zaman Tan Sri Hamid Osman, selalu ada seminar
kebangsaan yang mendatangkan pelbagai pemakalah untuk mencari satu peraturan
mengenai nasyid itu termasuk penentuan waktu tujuh minit itu.Sekarang dengan
waktu empat minit, seni nasyid jadi tidak indah.Terpaksa potong sana, potong
sini. Apa salahnya kalau ia diteliti dan ditinjau kembali.Buat seminar. Tan Sri
Hassan Azhari masih ada, ilmunya boleh dimanfaatkan. Tokoh-tokoh ini boleh
dijemput untuk bertanya, mewujudkan suasana yang lebih subur dalam lagu nasyid
disamping dapat membina jati diri kita.
UB: Bagaimana pula dengan nasyid etnik dalam
bahasa tempatan?
UJ: Itu bukan nasyid. Sebut saja ia irama
dakwah, atau lagu etnik dakwah.
UB: Di Sabah ini, mungkin ustaz boleh
beberapa nama yang berjasa menghidupkan festival nasyid di peringkat awal?
UJ: Antaranya Haji Yahamad budin, Haji Ahmad
Yakub, Awang Mumin dan lain-lain lagi. Sewaktu zaman PBS, Timbalan Setiausaha
Kerajaan Negeri ketika, Datuk Haji Hassan Ibrahim adalah Pengerusi Pertama
Festival Nasyid. Saya jadi Timbalan Pengerusinya yang pertama, tapi kemudian
saya mengundur diri dan menjadi pegawai teknikal dan penasihat saja. Selepas
itu, Timbalan Pengerusinya disandang oleh Maming Staming, Pengarah Protokol
ketika itu.
Kita
jangan lupakan sejarah. Jangan kita tinggalkan mereka.Tidak ada hari ini tanpa
orang terdahulu.
UB: Selepas bersara, apa kegiatan Ustaz?
UJ: Alhamdulillah, sekarang saya sedang
membimbing belia-belia Islam dalam seni nasyid di daerah Membakut selain giat
mengadakan ceramah-ceramah di masjid-masjid di daerah itu dan sekitarnya atas
pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif. Kami
juga sudah menerbitkan Orkes Gambus Bustanul Arifin dengan album Satu Malaysia. Bukanlah maksudnya terlalu taksub. Ia lambang kecintaan saya kepada Malaysia. Selain itu pula, saya juga di Kampung
Brunei,Membakut, saya membimbing kumpulan Syukbanul Arifin. Sebelum ini,
sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, atas ihsan Tengku Arrafiah Sultan Salahuddin,
kami telah berjaya menerbitkan album Kumpulan marhaban Al-Badar.
UB: Saya terjumpa ada nasyid Ustaz di Youtube
juga? Dimana tu?
UJ: Oh itu! ia album nasyid yang diterbitkan
di Balai Asahan sebagai tanda rasa cinta saya kepada tanah leluhur.
UB: Setelah lebih 30 tahun terlibat dalam
nasyid, berapa jumlah lagu nasyid yang pernah ustaz lahirkan?
UJ:
Kira-kira 200 lagu. Dalam sisa-sisa
umur ini, kalau boleh saya mahu mencipta hingga
500 lagu..Mudahmudahan umur panjang, dan tiap tahun boleh melahirkan
album. Yang penting dalam berbuat ini, ikhlas saja.Buat baik. Soalnya kita
berlari dengan masa. Kalau tak bolehpun, tak apa. paling tidak saya berasa
bahagia kerana pasti ada yang meneruskannya.
UB: Siapa idola Ustaz ya dalam seni nasyid
ini?
UJ: Idola saya ialah guru saya Prof Haji Ahmad
Baqi.Selain itu Tan sri Hassan Azhari. Sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, saya
selalu bertandang ke rumahnya.saya bawa violin, main sama-sama. Saya kagum
semangatnya. Sebenarnya dalam nasyid ni, saya tak berani juga mengatakan bahawa
saya pencipta. Barangkali boleh saya katakana saya pengumpul. Dalam ciptaan
saya, ada pengaruh Abdul Wahab, Umi kalsom, Farid al Atras, Wardah Al jazirah
dan banyak lagi.
UB: Akhir sekali apa harapan Ustaz?
UJ: Saya berharap seni Islam akan terus subur
dan mempunyai masa depan yang cerah.
2 comments
SALAM SEJAHTERA TUAN, MAAG MENGGANGGU, BOLEH SAYA DAPATKAN MAKLUMAT LANJUT MENGENAI USTAZ HAJI JALIDAR UNTUK SAYA MASUKKAN DALAM KAJIAN KETOKOHAN SAYA DI UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Sangat mantap perkongsiannya
Lirik Lagu