DRS MD MARSIDI
KATONG, KALAU KITA IKHLAS SEMUA KERJA JADI RINGAN
MESKIPUN
baru setahun jagung, Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sabah (PERKEMAS Sabah)
telah `masuk kampung keluar kampung’ untuk menemui golongan yang kurang
bernasib baik, golongan petani dan nelayan miskin, ibu tunggal, Oku, dan
mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat. Mereka pernah
berkunjung hingga ke Kampung Toloto di Pulau Banggi, dua kali berganti bot
untuk sampai ke destinasi. Perkemas Sabah juga pernah mengalami perjalanan
getir menaiki perbukitan ke kampung Gana
Kota Marudu malah mereka juga pernah sampai ke kampung Pinangah, jauh di
Kinabatangan semata-mata untuk menyempurnakan misi “Masyarakat didahulukan
kebajikan diutamakan”.Malah mereka juga pernah sampai di hampir kesemua pelusuk
negeri ini untuk menjayakan objektif pertubuhan itu. Perkemas Sabah adalah sebuah Ngo pro kerajaan
yang ditubuhkan pada 18 Ogos 2010, telah mengadakan lebih 78 aktiviti kebajikan
dan kemasyarakatan dan kini diketuai
oleh Drs.Md.Marsidi Katong, yang juga mantan Pengarah Kemas Sabah.
Drs.
Md. Marsidi Katong dilahirkan di Hospital Lahad Datu pada 9 Ogos 1963. Beliau
merupakan anak keenam daripada tujuh adik beradik. Ayahnya Katong bin Bacho
seorang pembantu perubatan manakala ibunya Mariam binte Andu seorang surirumah.
Marsidi mendapat pendidikan awal di SRK Silam sebelum berpindah ke SRK Mosytn
Kunak. Beliau mendapat pendidikan menengah di SMK Kunak sebelum melanjutkan
pelajaran di SMK Kuhara Tawau sehingga lulus Tingkatan 6. Selepas itu, Marsidi
bertugas sebagai Kerani Pelabuhan di Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah di Tawau
dan Pelabuhan Kota Kinabalu sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat
pengajian tinggi selama enam tahun di
Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga Yogyakarta dalam bidang pengajian
Islam, sejak 1992 sehingga lulus Drs pada 1998.
Sekembalinya
ke tanahair pada tahun 1998, beliau bekerja sendiri. Tidak lama kemudian,
beliau berkhidmat di Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia (KEMAS). Beliau
pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Kemas di Selangor, Putrajaya dan Johor Bahru sebelum dilantik
sebagai Pengarah Kemas Negeri Sabah pada November 2009.
Bagaimanapun,
pada Januari 2011, beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dalam
perkhidmatan awam dan berniaga sendiri. Namun begitu, hasratnya untuk terus
menjalankan khidmat bakti kepada masyarakat tidak pernah terhenti sebaliknya
disalurkan dalam Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sabah (PERKEMAS Sabah)
pertubuhan yang diasaskannya bersama rakan-rakannya untuk terus membantu dan
membela masyarakat yang memerlukan perhatian. Selain menjadi Presiden Perkemas
Sabah, beliau juga dilantik sebagai Penasihat Persatuan Penduduk Jalan Shantung
Luyang.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual DRS MD. MARSIDI
KATONG (DMK) di Restoran Singgahsana, Harbour City, Sembulan pada tengahari,
untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang menjalankan khidmat kemasyarakatan
dan kebajikan bersama Perkemas Sabah sejak penubuhannya dua tahun lalu.
UTUSAN
BORNEO: Boleh Drs perjelaskan sedikit
mengenai apa itu Perkemas?
DRS
MARSIDI KATONG: Perkemas
ditubuhkan pada 18 Ogos 2010. Salah satu tujuan penubuhannya adalah
mengenalpasti anggota masyarakat yang masih memerlukan bantuan daripada pihak
kerajaan. Kita tubuhkan Perkemas Sabah kerana rasa keprihatinan kita kepada
beberapa anggota masyarakat yang masih ketinggalan dari pembangunan. Masih
ramai yang hidup dalam keadaan yang boleh dikatakan susah.Maka kita, di
Perkemas, cuba menghulurkan bantuan melalui pelbagai cara, tanpa mengira agama,
suku kaum atau fahaman politik mereka.
UB: Siapa yang layak dapat bantuan?
DMK: Mereka yang susah kita bantu.Mungkin tidak
semua kita dapat bantu tetapi sekurang-kurangnya kita berusaha dan mengambil
langkah untuk membantu mereka.Kita membantu golongan yang memerlukan bantuan
seperti golongan miskin, kurang bernasib baik, ibu tunggal, Oku dan pelbagai
strata masyarakat.
Kita
juga berganding bahu dengan Ngo-ngo lain menyokong dasar-dasar kerajaan. Slogan
kita masyarakat didahulukan, kebajikan diutamakan. Ia amat selari dengan slogan
yang diperkenalkan Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan.
UB: Sepanjang pemerhatian Drs, bagaimana
keadaan masyarakat kita di Sabah?
DMK: Ternyata masih ramai anggota masyarakat kita
memerlukan pertolongan dan bantuan.Tetapi ini bukanlah bermakna jabatan dan
agensi kerajaan tidak menjalankan tugas mereka. Negeri kita luas dan tentu ada
beberapa tempat yang lokasinya agak jauh dan mungkin juga ada yang terlepas
pandang. Hasil lawatan kami, melalui program-program yang kami adakan,
aktiviti-aktiviti yang kami buat, masih terdapat ramai masyarakat kita yang
perlukan diberikan perhatian. Seperti yang saya katakan tadi, luasnya bumi
Sabah dan ramainya penduduk Sabah memberikan cabaran tersendiri untuk kita
menunaikan tanggungjawab dan panggilan hati nurani kita untuk membantu mereka yang
masih berada dalam tahap kemiskinan dan masih susah hidupnya.
UB: Apa misi Perkemas Sabah, kalau boleh Drs
jelaskan?
DMK: Kita ingin bantu kerajaan. Perkemas Sabah
adalah sebuah NGO yang ditubuhkan semata-mata untuk membantu kerajaan. Kita
telah menjelajah hampir ke seluruh Sabah untuk mengenalpasti rakyat yang
mungkin terlepas pandang. Disamping membantu mereka mengikut keupayaan kita,
kita berharap supaya kerajaan melalui jabatan dan agensinya membantu anggota
masyarakat agar mereka juga menikmati kehidupan yang lebih baik.
UB: Mulia sekali. Ini bermakna membantu
rakyat menyelesaikan masalahnya?
DMK: Bukan bertujuan
bahawa kita mampu menyelesaikan masalah. Kita berharap dapat mengetuk pintu
hati agensi-agensi dan tokoh korporat untuk turut sama memberi bantuan. Perlu
difahami bahawa Perkemas Sabah ditubuhkan bukan untuk mengambil tugas Jabatan
Kebajikan Masyakarat .Ini perlu kita sebut kerana ramai orang salah sangka. Ia
juga tidak ada kaitan dengan Kemas.Sebenarnya Perkemas Sabah ditubuhkan
semata-mata membantu kerajaan, atas kapasitinya sebagai NGO. Kerana komitmennya
sebagai NGO untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan memastikan kebajikan
rakyat didahulukan, Pekemas Sabah adalah satu-satunya NGO yang diberikan
pelekat bertulis ingatan kasih YAB PM dalam setiap sumbangan yang diberikan.
Kita mahu menumbuhkan rasa cinta rakyat kepada Perdana Menteri sebagai pimpinan
tertinggi negara.
UB: Sebagai sebuah NGO, bagaimana Perkemas
Sabah beroperasi?
DMK: Kita mempunyai pejabat di Sembulan. Perkemas
mempunyai penyelaras di semua kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini. Setiap
ahli Perkemas Sabah akan sentiasa turun ke peringkat akar umbi untuk
mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi masyarakat, tanpa mengira kaum,
agama dan fahaman politik mereka. Ahli-ahli kami adalah aktivis-aktivis sosial
yang bergerak semata-mata untuk memastikan semua anggota masyarakat menikmati
nikmat pembangunan.Sebab itu, Perkemas Sabah, dari segi susunan organisasinya
juga dianggotai oleh pelbagai kaum di negeri ini. Ini menunjukkan NGO ini mereka
terdiri dari pelbagai bangsa,asalkan ia warga negara Malaysia.
UB: Setakat ini, apa kejayaan Perkemas Sabah?
DMK: Hasil susulan daripada aktiviti-aktiviti
yang kita jalankan, syukur Alhamdulillah, seramai tiga orang yang pernah lawati
telah menerima rumah PPRT di Kota Belud dan di Papar.Kita juga telah memberikan
bantuan alat-alat binaan rumah seperti zink dan sebagainya.Kita juga
menyampaikan bantuan kerusi roda, bantuan membaiki jeti dan sebagainya.
Walaupun baru setahun jagung ditubuhkan iaitu pada 18 Ogos 2010, Alhamdulillah,
kita telah melaksanakan lebih 78 program di seluruh Sabah. Pengisian antara
lain, memberi bantuan seperti kerusi roda, makanan, keperluan asas, membantu
pembaikan rumah dan membantu menyelesaikan masaalah rakyat.
UB: Di mana tempat yang paling jauh pernah
dilawati?
DMK: Banyak tempat yang jauh dan terpencil pernah
kami kunjungi. Antaranya Pulau Toloto di
Banggi, kampung Pinangah dan sebagainya. Dalam perjalanan ke Toloto, Banggi itu
amat jauh juga. Kami dua kali terpaksi tukar bot sebelum sampai ke tenpat yang
dituju. Begitu juga dalam perjalanan ke Pinangah, tempatnya agak jauh dan sukar
pula dihubungi.
UB: Ada lagi?
DMK: Kita juga telah mengadakan program ziarah
kasih ke Mukim Gana.Perkemas telah mengadakan kerjasama dengan Kelab pacuan
empat Roda dan Rekreasi Teluk bandau (BBRC) Kota Marudu berkunjung ke empat
buah kampung. Tujuannya iakah kita
memberi sumbangan kepada OKU, warga emas dan orang-orang miskin seperti kerusi
roda, barang-barang keperluan asas seperti makanan. Selain menyampaikan
sumbangan, tujuan utama ziarah kasih adalah untuk mengeratkan lagi ikatan
silaturrahim di kalangan masyarakat setempat dan melihat sendiri permasalahan
yang mereka hadapi. Selain itu, Perkemas Sabah juga telah menjalankan aktiviti
dan program di Tamparuli, di Tuaran, program ziarah kampung ke kampung di Lahad
Datu,Tungku, Kinabatangan, Papar, Kota Marudu, Kota Belud dan sebagainya. Kita
juga telah mengadakan kerjasama untuk menganjur majlis-majlis berbuka puasa di
Kota Kinabalu, di Beaufort bersama Pusat Khidmat ADUN Klias,UPKR Klias dan
Jawatankuasa Masjid Kampung Lubak, Beaufort.
UB: Bagaimana pula sambutan masyarakat dan
pemimpin-pemimpin tempatan?
DMK: Sambutan masyarakat amatlah menggalakkan.
Pemimpin-pemimpin tempatan juga memberikan kerjasama yang amat baik sekali.
Malah agensi-agensi kerajaan bersama NGO bahu membahu memikul tanggungjawab
demi kepentingan rakyat.
UB: Pernah timbul salah faham di kalangan
pemimpin masyarakat?
DMK: Ya, mungkin ada juga sedikit salah faham
terhadap aktiviti Perkemas di peringkat awal, tetapi lama kelamaan kita
diterima kerana tujuan kita semata-mata untuk kebajikan dan kebaikan.Sebenarnya
banyak anggota masyarakat kita yang ingin berbakti dan menyumbang tetapi
mungkin mereka tidak mempunyai saluran seperti yang dibuat oleh Perkemas Sabah.
UB: Kalau menurut Drs, bagaimana cara untuk
mengatasi kemiskinan di Sabah?
DMK: Kita hatuslah memastikan setiap anggota
masyarakat kita menikmati pendidikan. Hanya melalui pendidikan, masalah mereka
boleh diatasi.
UB: Berapa ahli Perkemas Sabah sehingga kini?
DMK: Sehingga kini terdapat seramai 40,000 orang
telah mengemukakan permohonan.Kita sedang menyenarai pendek mereka yang layak
diterima sebagai ahli.
UB: Apa program selanjutnya pada tahun 2013
yang bakal menjelang?
DMK: Kita sedang menyusun atur program-program
kemasyarakatan dan kebajikan, yang akan terus kita laksanakan sepanjang tahun
2013.
UB: Selain itu, apa program Perkemas yang
lain?
DMK: Perkemas Sabah juga telah menjalankan
tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat sivil. Kita telah menyampaikan
pandangan kita dalam Pendengaran Awam Suruhanjaya Penambahbaikan Pilihanraya
dengan memberikan cadangan ke arah pembaikan sistem pilihanraya beberapa tahun
lalu. Perkemas Sabah mungkin satu-satunya NGO pro kerajaan di Sabah yang tampil
memberikan cadangan di hadapan suruhanjaya pada ketika itu.
UB: Oh ya. Beralih kepada soalan lain. Boleh
tanya apa falsafah hidup Drs?
DMK: Apapun yang dilakukan mesti bertitik tolak
kepada keikhlasan. Kita mesti sanggup berkorban.Ertinya jangan pentingkan
diri.Bantu siapa saja.Kerja apapun yang kita buat, kalau kita ikhlas jadi
ringan.Jadi mudah dan dipermudahkan.
UB: Siapa idola Drs?
DMK: Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri
kita. Beliau negarawan ulung, ikhlas berjuang.Kita berdoa semoga beliau diberi
umur panjang supaya dapat menyaksikan hasil perjuangan yang kini diteruskan
oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak yang kini mengisi perjuangan
dan meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu.
-UTUSAN BORNEO 15 DIS 2012
7 comments
Bagus sekali encik Drs. Md Marsidi Katong, sejak kuliah jiwa sosialnya sudah sangat tinggi. Salam dari teman lama di Solo, Indonesia. Bambang Minarno.
Bagus sekali encik Drs. Md. Marsidi Katong, sejak kuliah di Jogja sudah kelihatan jiwa sosialnya yang tinggi. Salam dari teman lama di kota Solo, Indonesia. Bambang Minarno.
Assalam Drs. saya Syed dr Jb. kenal lagi?
Drs. Ayah saya dah meninggal pada tahun 2017 atas sebab sakit buah pinggang
Saya cuma ingin memberitahu bahawa yang Dr Marsidi katong sudah meninggal dunia pada tahun 2017 atas sebab sakit buah pinggang
Melimpah kenangan terdengar nama restoran tu.
Alfatihah. salam takziah.moga rohnya ditempatkan di kalangan orang orang yang saleh. terima kasih atas informasi