Isnin, 17 Disember 2012

Mengenang Allahyarham Haji Ahmad Tallah, Tokoh Maal Hijrah Kota Belud 1434 H/2012

Tags



MENGENANG ALLAHYARHAM HAJI AHMAD TALLAH,TOKOH MAAL HIJRAH

`Banyak ubi perkara ubi, ubi daik kami tanamkan, banyak budi perkara budi, budi baik kami kenangkan’. Budi baik, jasa bakti, sumbangan dan pengorbanan Allahyarham Haji Ahmad Tallah terhadap syiar dakwah di negeri ini khususnya di daerah Kota Belud akhirnya telah diperakui apabila beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kota Belud bagi tahun 1434 H bersamaan 2012 Hijriah.
Meskipun beliau telah lama pergi meninggalkan kita, pada satu Jumaat yang syahdu pada 14 Julai 2000,iaitu kira-kira 12 tahun yang lalu, jasa bakti dan sumbangan Allahyarham terhadap syiar dakwah Islamiah tidak dapat dinafikan. Selain itu, beliau juga memberikan pengorbanan yang bukan sedikit ke arah membangkitkan kesedaran sahsiah di kalangan masyarakat bukan saja di daerah Kota Belud malah di seluruh negeri.
Saya segera teringat kisah sewaktu masih berada di bangku sekolah rendah, pada akhir tahun 70-an. Di kampung kami, sering  diadakan majlis ceramah dan rapat umum untuk membangkitkan kesedaran orang ramai mengenai nasib dan masa depan mereka. Salah seorang orator atau pemidato yang selalu kami tunggu-tunggu ialah arwah Haji Ahmad Tallah, yang ketika itu adalah aktivis USNO.
Melalui ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Iranun, arwah Haji Ahmad Tallah mampu menarik minat khalayak dengan kupasan dan huraian yang menarik dalam sesuatu isu. Kami masih kecil ketika itu dan kurang memahami apa yang beliau katakan.
“Betapa pintar orang ini, berucap dengan baik dan teratur, selalu senyum, kadang terasa lucu tetapi juga bijak menyelitkan ayat Al-Quran dan Hadis,” saya berkata dalam hati kerana kagum.
Hanya apabila tamat persekolahan, dan merantau pula ke ibu negeri, saya berpeluang untuk berkenalan dengan beliau yang ketika itu sangat aktif dalam bidang dakwah. Selain tugas hariannya sebagai imam qariah, Allahyarham juga adalah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dari tahun 1986 hinggalah beliau pulang ke rahmatullah.
Allahyarham Haji Ahmad Tallah lahir di Kampung Payas-Payas Kota Belud pada 10 Julai 1933. Beliau  adalah anak ke empat dari lapan adik beradik. Walaupun hanya berpendidikan setakat darjah 6, anggota polis pada 1955-1966, Pegawai Padi di Lembaga Padi Sabah dari tahun 1969-1975, Pegawai Perhubungan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1977 hingga 1982, Penyelia Mubaligh USIA dari tahun 1980-1988 dan Pegawai Dakwah Jakim dari tahun 1989-1995. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dari tahun 1969 hingga 1990 dan AJK Biro Agama UMNO N.8 Usukan.
Beliau juga mengadakan kelas mengaji dan kelas fardhu ain di kampungnya selain bergerak aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan antaranya sebagai, Pengerusi PIBG SUI Timbang Dayang Kota Belud dari tahun 1987-1988, AJK PIBG SMK Agama Inanam  dari tahun 1989-1993.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Asnah Haji Laka. Beliau dikurniakan 13 anak dari tiga perkahwinan, 42 cucu dan tiga cicit. Ketika majlis pengkebumiannya, ribuan orang hadir untuk menyatakan rasa sedih dan dukacita.

Antara anugerah yang diperolehinya ialah Bintang Kinabalu (BK) 1969, Jasa Kebaktian USNO (JKU) 1977.
Sebenarnya banyak lagi sumbangan dan pengorbanan Allahyarham yang tidak sempat dirakamkan dan didokumentasikan. Nama beliau amat sinonim dengan perkembangan dakwah di Kota Belud pada zamannya. Beliau menjadi seorang agen perubahan bagi bangsa dan masyarakatnya. Ketokohannya terbilang, bahkan sehingga akhir hayatnya, Allahyarham terus memberikan yang besar ertinya kepada masyarakat di negeri ini amnya dan khasnya di daerah Kota Belud.
Sekurang-kurangnya anugerah Tokoh Maal Hijrah yang diberikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) kepada Allahyarham Haji Ahmad Tallah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kota Belud memberikan indikasi bahawa sumbangan dan jasa tokoh tokoh yang pernah berjasa kepada bangsa, agama dan negara sentiasa diingati dan dihargai.


2 comments

Terima kasih kerana menulis kisah arwah bapa...pengubat rindu kami sekeluarga Hj.Ahmad Generation..semoga arwah bapa ditempatkan dlm golongan org² yg beriman..