Setengah jam sebelum waktu yang dijanjikan, saya sudah tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Setelah memesan burger dan minuman, saya sengaja duduk di tepi dinding sambil sesekali memandang keluar cermin ke arah bilik VIP itu.
Saya takut terlambat. Sebab itu saya sengaja datang lebih awal. Ini merupakan pengalaman kedua mewawancara duta besar.
Kalau dulu saya pernah terperangkap dalam kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Duta Besar Timor Leste ke Malaysia, Bapak Juvencio Martin menunggu hampir setengah jam di Kedutaan Timor Leste,di Ampang. kali ini saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi.
Saya merasa beruntung kerana hasrat untuk menemubual Duta Besar Republik Indonesia untuk Malaysia, Marsekal TNI (Purn) Herman Prayitno yang sedang melakukan lawatan selama empat hari ke Sabah tertunai selepas beliau bersetuju untuk diwawancara.
Waktunya jam 4.30 petang di Bilik VIP di Terminal 1, kira-kira satu jam sebelum beliau berangkat balik ke Kuala Lumpur Ahad lepas.
Tidak lama selepas waktu yang dijanjikan itu, Bapak Herman tiba diiringi isterinya, Ibu Ratna Andwarty, Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Soepeno Sahid dan ibu Dini Sahid. Turut menghantar beliau ke lapangan terbang antaranya Konsul R.Sandjaya, Konsul Munadi Ruslani, Konsul Muda Joeny Duana Sirait dan staff KJRI di Kota Kinabalu.
Pak Konjen memperkenalkan saya kepada beliau seterusnya mengajak saya ke bilik kenamaan untuk sesi temuramah itu.
Saya dipersilakan duduk di sebelah beliau. Sebentar kemudian setelah bertukar kad nama, saya langsung saja menanyakan beberapa soalan berkaitan tujuan lawatan beliau ke Kota Kinabalu , mengenai usaha meningkatkan hubungan Malaysia dan Indonesia, kendala yang dihadapi dalam menangani masalah tenaga kerja, mengenai Asean Community 2015 dan juga mengenai komitmen beliau dalam mengukuhkan hubungan dua negara serumpun.
Sempat juga saya menanyakan sedikit biodata Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh (Ambassador Extraordinary and Plenipotentiary) yang mula bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2012, menggantikan Jenderal Dai Bachtiar.
Tutur katanya lembut. Saya tidak pernah menyangka, rupanya beliau adalah mantan Kepala Staf TNI Angkatan Udara dari 13 Februari 2006 hingga 28 Disember 2007. Sebelum menjadi Duta Besar, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam Angkatan Udara Indonesia sehingga ke jawatan tertinggi sebagai panglima.
Duta Besar Herman dilahirkan di Yogyakarta pada 9 Januari 1951. Beliau adalah lulusan Akabri 1973. Antara teman seangkatan beliau ialah Marsekal Djoko Suyanto,
Laksamana Slamet Soebijanto (KSAL), Kapolri Jenderal (Pol) Sutanto, Kepala Staf
Umum (Kasum) TNI Letjen Endang Suwarya, malah Presiden Susilo Bambang
Yudhoyono.Beliau lulus S1 dalam bidang ilmu politik dari Universiti Terbuka (1996), Magister Manajemen (S2) 2001.Sebelum menjawat jawatan Duta Besar, beliau merupakan Kepala Staf TNI-AU (2006-2007), Wakil Kepala Staf TNI-AU (Wakasau) 2004-2006, Komandan Sekolah TNI 200302004, Asisten Personil Kepala Staf TNI AU 2004, Panglima Komando Operasi AU 1 dan Gubernur Akademi Angkatan Udara 2001-2002.
Khamis, 21 Februari 2013
Rasa beruntung dapat menemubual Duta Besar Republik Indonesia
✔
abd naddin
Diterbitkan 3:13 PTG
Tags
Beliau dikurniakan tiga anak bernama Galih Brahmantyo, Marcela Savitri dan Aurellia.
Wawancara itu berlangsung secara santai. Dari soal tenaga kerja, sekolah untuk anak-anak Indonesia, komitmen untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia hinggalah merebak ke soal budaya dan bahasa.
Beliau mengatakan Sabah negeri yang damai dan tenteram. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan sepanjang lawatan beliau ke Kota Kinabalu. Katanya, beliau sempat melakukan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
Selain itu, Duta Besar juga sempat melawat Sekolah Indonesia di Kota Kinabalu (SIKK) dan meninjau proses pembinaan bangunan sekolah SIKK yang baru. Beliau juga sempat melawat tenaga kerja Indonesia yang bekerja di ladang-ladang khususnya di Sapi Plantation.
Menurutnya bahasa Melayu yang dituturkan di Sabah mirip dengan bahasa Indonesia, berbanding dengan bahasa Melayu yang dituturkan di Semenanjung. Antara sebabnya barangkali kerana bahasa Melayu yang dituturkan di Sabah lebih baku kerana mereka memiliki bahasa ibunda sendiri di rumah.
Saya memberitahu bahawa satu ketika dahulu, ramai guru matematik dan fizik, kimia dan sebagainya yang didatangkan dari Indonesia untuk mengajar di sekolah-sekolah di negeri ini. Selain itu ramai juga pendakwah dan mubaligh dari Indonesia yang pernah berbakti di Sabah.
"Malah ramai juga keturunan dari Jawa, nenek moyang mereka berasal dari Jawa yang memegang jawatan penting seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman," kata Bapak Soepeno.
Di Sabah juga malah ada kampung Jawa di Tenom, Kampung Jawa di Tawau. Mereka ini datang antaranya sebagai tentera bawaan Jepun dan sebagainya.
"Datuk Sairin Karno? orang Jawa?" tanya pak Soepeno. Saya memberitahu, Datuk Haji Sairin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan itu sebenarnya orang Dusun. Tetapi mereka diberi nama mirip nama Jawa kerana dahulu keluarga mereka banyak dipengaruhi oleh mubaligh dari Jawa.
Saya tidak sempat memberitahu bahawa antara mubaligh dari Indonesia yang mempunyai pengaruh yang cukup besar pada era sebelum merdeka ialah Mandur Sarip Adiwinata.
Tidak sangka sesi wawancara itu bertukar menjadi perbualan mengenai sejarah hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Bagi saya pengalaman menemubual Duta Besar Marsekal TNI (Purn) Herman Prayitno amatlah berharga dan bermakna dalam kerjaya saya sebagai wartawan.
Jam menunjukkan 5.20. Sekali lagi kami bersalaman. Duta Besar naik melalui lif menuju pesawat MAS manakala saya menumpang kereta Pak Sandjaya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments so far
Hi Encik Naddin,
Saya seorang wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan. Saya mahu mendapatkan maklumat bagaimana boleh saya mendapatkan peluang untuk menemubual Duta Besar Indonesia untuk Malaysia? Sekiranya Encik Naddin berkesempatan, boleh email kepada saya di mohd.kamarul@bizedge.com. Terima kasih.