SEJENAK BERSAMA AHLI PARLIMEN SILAM, DR HAJI SALLEH KALBI
SUARANYA sering terdengar setiap kali Dewan Rakyat bersidang. Beliau
sentiasa aktif mengambil bahagian dalam
sesi perbahasan bagi menyuarakan masalah dan nasib rakyat terutamanya di
kawasan yang diwakilinya ialah Kawasan P 188 Silam. Sebagai seorang wakil
rakyat, Yang Berhormat Dr. Haji Salleh Kalbi adalah seorang pemimpin muda yang
sering memperjuangkan masa depan rakyat di kawasannya. Di sebalik peristiwa
pencerobohan pengganas di Tanduo, Lahad Datu, kawasan Parlimen Silam menjadi
tumpuan dan sorotan di seluruh negara. Apakah kesan pencerobohan itu kepada
rakyat? Bagaimana pandangan wakil rakyatnya terhadap peristiwa itu? Apa yang
menarik di Silam?
Semua ini dijelaskan oleh Dr Haji Salleh Kalbi dalam pertemuan singkat di
KKIA baru-baru ini.
Dr. Haji Salleh Haji Kalbi dilahirkan di Kampung Tundun Semporna pada 10
Ogos 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Lahad Datu. Beliau meneruskan
pendidikan menengah di SMK Agaseh Lahad Datu dari tingkatan 1-3 sebelum
melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 4 hingga 5 di SMK Abdullah Semporna.
Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 6 di Sekolah Yayasan
Masyriah Pulau Pinang.
Sebagai seorang yang dahagakan ilmu, beliau meneruskan pengajian di
Warwick University, Conventry dalam bidang Bahasa Inggeris dan kemudian City of
Birmingham Polytechnic UK sehingga mendapat Diploma Perancangan Bandar dan
Wilayah. Selepas itu, beliau ke Amerika Syarikat dan melanjutkan pelajaran di
Western Michigan University Canton Ohio dan mendapat ijazah Sarjana Muda Pengurusan.
Salleh kemudian menuntut di St Mary University of Minnessota sehingga lulus
Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan. Beliau memperolehi ijazah sarjana
Pendidikan dari Hawaii State University. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran
di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UUM pada 2011.
Dalam kegiatan berpersatuan, beliau pernah menjadi Presiden Majlis Hal
Ehwal Antarabangsa sewaktu menuntut di St Mary University of Minnesota
(1996-1997), Naib Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di university yang sama,
(1995-1998) dan Ahli Kelab Usahawan di St Mary University of Minniesota dan
Ahli Persatuan Program Bahasa Inggeris Antarabangsa ketika menuntut di Western
Michigan University. Beliau
mendirikan rumahtangga dengan dengan Puan Hajah Fatimah Haji Abd.Aziz. Atas jasa-jasanya,
Haji Salleh menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada 2003 dari Kerajaan
Negeri Sabah, Pingat Kebaktian Masyarakat (BKM) 2005 dari Kerajaan Negeri Kedah,
Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Kerajaan Negeri Melaka, UN (UPF) Ambassador
for Peace dari Kerajaan Malaysia 2008, dan Kol Kehormat Pasukan Rela Negeri
Sabah 2009.
Ikuti petikan temubual bersama beliau dalam pertemuan singkat ketika
beliau transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dalam perjalanan
balik ke Lahad Datu.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan
sedikit liku-liku kerjaya YB sebelum jadi Ahli Parlimen?
DR HAJI SALLEH KALBI: Sebelum jadi Ahli Parlimen, saya pernah
menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Tagasan, Semporna, kemudian menjadi
Pegawai kaunter Malaysia Airlines, Lahad Datu 1983-1985, Pegawai Eksekutif
Pemasaran, Sebor Trading di Tawau, Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Ahli Lembaga
Pengarah Sabah Fish Marketing Safma (2003-2007),Penyelia Kanan Perhubungan
Kemas Parlimen P.188 Silam (2007-2008), Ahli Lembaga Pengarah Juitabah Sdn.Bhd
sejak 2008 dan sebagainya.
Sebagai Ahli Parlimen, sejak
2008, saya juga terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Kecil BBNBC, Pengerusi
Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG), di bawah Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat,
Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian
Kawasan Parlimen (MPP),dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani sejak 2008, Pengerusi Jawatankuasa Futsal Parlimen Silam Kementerian Belia
dan Sukan Malaysia,sejak 2010 Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Peringat
Parlimen di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Pengerusi Majlis Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia sejak 2011.
UB: Di peringkat parti, mungkin YB meniti liku-liku perjuangan
yang panjang.Boleh ceritakan sedikit?
HSK: Saya mula menyertai UMNO_BN di Kampung Panji Laut II. Saya
kemudia menjadi sebagai AJK Bahagian
Silam 1998-2001. Selain itu, saya pernah menjadi Ketia Pergerakan Pemuda UMNO
Silam (2000-2007), Ketua Pemuda BN Silam (2001-2007), Pengerusi AJK Biro
Pertanian,Alam Sekitar dan Pelancongan UMNO Silam, Pengerusi Biro Pendidikan
Pemuda UMNO Negeri, AJK Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
(2001-2003), Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Ketua Penerangan Pergerakan BN
Negeri Sabah,AJK Biro Penerangan Pemuda UMNO Malaysia,
UB: Kegiatan sosial? Mungkin YB banyak terlibat juga?
HSK: Dalam aktiviti sosial, saya pernah menjadi AJK Pengindahan Bandar
Lahad Datu 2003, Timbalan Pengerusi jawatankusa lamou Jeraya, )Penuang Pasukan
Bomba Pasukan Sukarelawan Bomba, 2009, Akademi Pencak Silat Silam 2010, Ahli
Lembaga Pengarah Juitabah Sdn.Bhd sejak 2008, Anggota Jawatankuasa caucus
Parlimen Koperasi Angkasa Malaysia September 2011,
UB: Bolehkah YB perincikan mengenai kawasan Parlimen Silam. Ada
yang menarik?
HSK: Ada tiga kawasan Dun dalam Parlimen Silam iaitu DUN Tungku, DUN
Lahad Datu dan DUN Silam. Pada 2008, saya menang Parlimen P.188 Silam. Menang
dengan memperolehi sebanyak 18,111 daripada 26,430 pengundi dengan majoriti
9,792 orang mengundi.
UB: Isu pencerobohan ini tentu memberi kesan kepada rakyat di
kawasan YB. Apa Komen?
HSK: Memang ada kesan yang agak serius kepada rakyat terutamanya
kepada mereka yang terlibat secara langsung dimana rumah dan kampung mereka
berada di dalam zon operasi.
UB: Boleh jelaskan sedikit?
HSK: Kesan yang serius kepada rakyat, pertamanya, dari segi harta
benda, rumah, kebun, pokok tanam-tanaman yang rosak dan musnah sama sekali.
Keduanya, punca pendapatan mereka
yang terjejas selama mereka tidak dapat mencari rezeki semasa operasi
dijalankan. Ketiganya, adalah perasaan rakyat yang agak terkejut, takut dan
trauma semasa dan selepas kejadian ini. Bagi mereka ada kemungkinan perkara ini
boleh berlaku lagi di masa akan datang
jika pun tidak berlaku dalam skala besar seperti pencerobohan ini tetapi dalam
kumpulan kumpulan kecil dengan tujuan rompakan bersenjata, menawan dan menculik
penduduk untuk dijadikan tebusan dengan tujuan membalas dendam atau menuntut
beberapa perkara yang mereka inginkan.
UB: Apa yang kerajaan boleh bantu?
HSK: Saya ingin memohon kepada kerajaan agar dapat membantu bagi
membina semula dan memberi ganti rugi kepada penduduk yang terlibat dari segi
pemulihan harta benda seperti rumah, kebun dan tanaman. Selain itu juga memberi
saraan dan ganti rugi kepada penduduk yang mana rezeki mereka terputus semasa
kejadian ini.
Selain itu, membuat pembinaan
semula kampung-kampung yang lebih tersusun dengan mengambil kira aspek
keselamatan dengan lebih teliti. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin baru-baru ini bahawa bantuan awal dari kerajaan memberi kelegaan
kepada penduduk yang terlibat sebelum bantuan seterusnya dibuat setelah semua
isu ini selesai sepenuhnya.
Pada pandangan saya secara
peribadi, saya merasa bimbang lanjutan kepada peristiwa ini dimana kemungkinan
pencerobohan dalam kumpulan kecil untuk menculik rakyat untuk dijadikan tebusan
bagi membuat tuntutan tertentu akan berlaku di masa akan datang.
UB: Baru-baru ini kerajaan umumkan mengenai Kawasan Keselamatan
Khas atau Esscom. Apa impaknya kepada rakyat?
SK: Dengan tertubuhnya Esscom atau East Sabah Security Command
yang mana kerajaan merancang untuk menempatkan beberapa batalion Tentera Darat
iaitu tambahan kepada tiga batalion Infantri yang telah sedia ada di bawah
markas 5 Briged di sabah, maka saya berpendapat sudah tiba masanya kerajaan
menaikkan taraf Markas 5 Briged di Kem Lok Kawi kepada Markas Divisyen Tentera
Darat serta menubuhkan beberapa Briged Infrantri di Bandar-bandar Besar seperti
Sandakan dan Tawau dan Pusat Kawalan Esscom akan didirikan di Lahad Datu,
seperti mana juga berlaku di Sarawak yang mempunyai Rascom di Sibu pada satu
waktu dahulu.
UB: Apa harapan rakyat terhadap Esscom ini?
HSK: Seiring dengan ESSCOM, rakyat di parlimen Silam berharap juga
agar Kerajaan menimbangkan untuk mengadakan sebuah pangkalan tetap Tentera Laut
atau Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di Lahad Datu bagi memberi
tumpuan kepada rondaan dan penguatkuasaan di perairan dan pesisiran pantai bagi
mengekang kemasukan haram. Ini penting dengan peningkatan laluan trafik kapal
yang sangat ketara di perairan Sabah Timur dan penggunaan Pelabuhan Lahad Datu
yang semakin sibuk apalagi setelah Projek LNG Petronas dan Loji Tenaga akan
mula dibina tidak lama lagi.
UB: Dengan kawasan yang luas, mungkin sukar juga untuk pasukan
keselamatan mengawal setiap sudut perairan?
HSK: Oleh kerana keluasaan dan panjang pantai Timur Sabah melebihi
1,400 km, maka agak sukar untuk pasukan keselamatan mengawasi setiap sudut laut
dengan menggunakan kapal atau bot tetapi mungkin boleh diatasi dengan penggunaan teknologi moden seperti
radar pengesan “surveillance radar” atau “early warning” yang boleh memberi
amaran awal kepada pasukan keselamatan untuk mencegah dan bertindak. Ini boleh
memberi lebih keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak mengambil ringan
keselamatan rakyat.
UB: Selain itu?
HSK: Kami juga berharap sebuah Lapangan Terbang baru yang telah
diluluskan oleh Kerajaan akan dapat dibina di Lahad Datu dengan seberapa
segera. Ini bukan sahaja boleh meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan industri
yang sedang berkembang pesat di sini tetapi memberi keyakinan kepada pelabur
dan menggalakkan industry pelancongan di daerah ini. Di masa yang sala,
Lapangan Terbang ini juga boleh menampung operasi Tentera Udara bagi
mengukuhkan lagi aspek keselamatan yang sedia dirancang di darat dan di laut.
UB: Ada yang mengatakan ada konsiprasi atau ada dalang di balik
peristiwa ini?
HSK: Saya tidak menolak persepsi ini dan pada masa ini rata-rata rakyat
membicarakan tentang isu ini dengan pelbagai andaian dan segala kemungkinan.
Kalau dilihat dari sudit logik, masa dan peristiwa, ada petunjuk yang mengarah
ke situ, tetapi bagi saya biarlah pihak berkuasa yang membuat penyoasatan
terperinci mengenai perkara ini. Pihak kerajaan Filipina juga berjanji untuk
membuat penyiasatan di pihak mereka dan kedua negara akan bekerjasama dalam hal
ini.
UB: Mungkin YB boleh menjelaskan sedikit mengenai perkembangan dan
kemajuan yang sedang berlaku di Silam pada ketika ini
HSK: Alhamdulillah, berkat usaha, sokongan, bantuan dan kerjasama
Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri selama ini, Parlimen Silam dan khususnya
bandar Lahad Datu terus membangun dengan pesat dari segi ekonomi penduduk dan
peningkatan pendapatan per kapita melonjak ke paras yang di luar jangkaan.
Lahad Datu menjadi bandar kedua selepas Kota Kinabalu di dalam aspek
pembangunan dan hub ekonomi di Sabah.
UB: Khabarnya bandar Lahad Datu juga makin sesak sekarang?
HSK: Bandar Lahad Datu di waktu puncak sudah menjadi seperti KL dengan
kesesakan yang agak serius oleh kerana kerancakan ekonomi telah melangkau
kemudahan infrastruktur yang sedia ada.bagi mengelak tumpuan trafik dan
kepadatan demografi penduduk, beberapa pembangunan bandar baharu dan perumahan
telah dibangunkan dan dirancang dengan sebaiknya.
UB: Apa aspek pembangunan yang ditekankan?
HSK: Kita membuat tiga penekanan utama di dalam pembangunan Daerah
Silam iaitu pendidikan, industri dan pelancongan.
UB: Hub pendidikan? Boleh huraikan sedikit?
HSK: Kita merancang untuk meneruskan hub pendidikan di Lahad Datu
kerana kedudukan strategik dari segi suasana dan perhubungan.Ketika ini kita
sudah ada Sekolah Menengah Sains dan Kolej Komuniti. Kita sedang berusaha untuk
mendapatkan beberapa lagi penempatan kolej seperti Kolej matrikulasi,
sebahagian kolej dari universiti awam yang ada kaitan dengan kemudahan di Silam
seterusnya mungkin sebuah universiti awam di sebelah pantai timur Sabah
ditempatkan di Lahad Datu.
UB: Apa cerita mengenai POIC?
HSK: Sejak tertubuhnya POIC (Palm Oil Industrial Cluster) pada tahun
2005 di dalam Koridor Pembangunan Sabah dengan penawaran lebih dari 1.4 juta
hektar ladang kepala sawit dengan objektif memberi penekanan kepada pembangunan
pembangunan pemprosesan industri hiliran sawit telah mewujudkan peluang
pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan. Sabah menjadi pengeluar
sawit ketiga terbesar di dunia ketika ini.
Selain dari industri kepala
sawit, kita menggalakkan pelaburan di dalam bidang pelabuhan, logistic, minyak
dan gas dan industri kecil dan sederhana yang selari dengan pembangunan
semasa.Projek-projek berimpak tinggi seperti pembinaan Terminal Regasifikasi Gas
Asli Cecair (LNG) di Lahad Datu dan Loji Tenaga Lahad datu yang akan dimulakan
pada tahun ini akan dapat melonjakkan lagi pembangunan setempat.
UB: Sebentar tadi, YB ada menyebut mengenai sektor pelancongan?
Apa yang menarik di Silam?
HSK: Banyak yang menarik di Silam. Kita memberi tumpuan kepada
industri pelancongan sebab di Silam kita
mempunyai pakej yang lengkap dengan kedudukan muka bumi yang cantik.Kita
mempunyai hutan yang terpelihara sebagaimana tumpuan pelancong ke Lembah Danum.
Gunung Silam dengan industri burung walit, pantai yang luas, panjang dan cantik
termasuk pulau-pulau yang indah.Jadi kita menjemput pengusaha dan pelabur untuk
membuat pelaburan di dalam bidang-bidang yang berkaitan.
UB: Apa pandangan Yb secara keseluruhan mengenai isu ini?
HSK: Saya optimis dengan adanya perancangan keselamatan ini dan
infrastruktur yang akan dibina, rakyat di Sabah khususnya di bahagian Pantai
Timur Sabah akan terus menikmati lebih tambah nilai kepada aktiviti ekonomi dan
sosial mereka dengan penuh keyakinan disamping kemasukan pelaburan di dalam
industri pertanian, minyak dan gas, perdagangan dan pelancongan.
UB: Tentunya peristiwa yang berlaku di Lahad Datu memperlihatkan
betapa Kerajaan komited terhadap kesejahteraan rakyat di Sabah. Apa pandangan
YB?
HSK: Sebagai mewakili rakyat di Parlimen Silam dari daerah Kunak,
Lahad Datu dan Tungku, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan rasa terima kasih kami kepada Kerajaan Malaysia
khususnya kepada Perdana Menteri yang begitu komited terhadap keselamatan dan
kesejahteraan rakyat Sabah.
Saya juga ingin merakamkan terima
kasih rakyat Sabah kepada pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
Polis Diraja Malaysua, PDRM dan semua yang terlibat dalam Ops Daulat di atas
kerjasama, semangat dan pengorbanan mereka demi menjaga keselamatan kami di
sini.Kami juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, balu dan anak-anak
Perwira Negara yang telah terkorban demi menjaga bumi Sabah dan Malaysia yang
berdaulat. Saya percaya dan yakin bahawa rakyat di sabah akan sentiasa menberi
sokongan padu kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa
bersungguh-sungguh mendahulukan rakyat dalam apa jua perancangan, pembangunan,
bantuan dan tindakan sesuai dengan “Janji Di Tepati”.
UB: Oh ya. Beralih kepada soalan lain.Apa hobi YB?
HSK: Hobi saya ialah membaca buku. Antara buku yang menarik bagi saya
ialah Novel Keluarga Gerilya, karya sasterawan terkemuka Indonesia, Pramoedya
Ananta Toer manakala sukan kegemaran saya ialah bolasepak.
UB: Siapa tokoh yang dikagumi?
HSK: Saya mengkagumi ketokohan Perdana Menteri Malaysia yang Kedua,
Tun Abd.Razak Dato Hussein.
UB: Akhir sekali, kami mengucapkan terima kasih kerana YB sudi
memberikan ruang dan sedikit masa untuk sesi temubual ini. Walaupun singkat,
mungkin temubual ini boleh memberikan sedikit informasi mengenai kawasan
Parlimen Silam.
HSK: Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kerana kesempatan yang
diberikan untuk temubual ini.