Jumaat, 5 April 2013

Catatan Si Buyung 2- betapa kuatnya stamina orang kita

Tags

Kalau dilihat dari segi stamina, orang kita, maaf cakap, bukan sembarangan. Bukan pasal orang kita kuat berlari maraton seperti pelari-pelari dari benua Afrika tetapi kerana orang kita adalah orang yang paling hebat jika bercakap hal hal politik. Bahkan, sejak pilihanraya 2008 sehinggalah Parlimen dibubarkan pada 3 April 2013 malahan hinggalah sekarang, orang kita, orang Malaysia tak henti-henti berpolitik, bercakap politik hampir setiap saat dan ketika.

Hebatkan! kata Si Buyung. Lebih hebat lagi kerana hampir setiap malam di kaca tv atau media, pasti ada cercaan,fitnah menfitnah, cabar mencabar, kebohongan kebohongan, bidas membidas dan sebagainya hampir setiap hari selama lima tahun.

Si Buyung mengakui bahawa memang orang kita kuat staminanya berpolitik, sehingga hampir segala perkara dipolitikkan atau dijungkirbalikkan oleh politik.

Sepatutnya yang perlu disokong dalam pilihanraya ini bukanlah individu ataupun parti, kata Si Buyung kepada dirinya sendiri. Sepatutnya, yang perlu disokong ialah nilai-nilai baik, benar, adil, jujur,ikhlas,bersih.

Tetapi apa yang kita anggap baik dan benar dalam pandangan kita, mungkin tidak baik bagi pandangan orang lain. Kerana tidak semua nilai murni dan luhur diterima oleh semua orang.

Masalahnya, kata Si Buyung ialah apabila satu pihak mendakwa mereka memiliki kebenaran. Sebenarnya tidak menjadi masalah yang besar juga kalau sesuatu pihak menganggap pihaknya memiliki kebenaran. Apa yang menjadi masalah ialah apabila mereka mahu memonopoli kebenaran itu untuk kepentingan mereka sendiri. Orang lain tidak berhak memiliki kebenaran, hanya mereka memiliki kebenaran.

Maka teringatlah  Si Buyung kata-kata seorang pengarah filem dari Iran, Mohsen Makhmalbaf bahawa kebenaran itu adalah cermin yang terjatuh dari langit Tuhan lalu jatuh berpecahan ke bumi. Masing-masing orang mengutip  serpihannya dan  bercermin melihat wajah mereka di atas pecahan cermin yang mereka miliki.

Namun yang menyedihkan ialah apabila dengan pecahan cermin yang ia miliki , seseorang  itu menusuk seseorang yang lain, yang mempunyai pecahan cermin yang lain. Alangkah dahsyatnya, kata Si Buyung.