CINTA MELALUI TELESKOP,CEMBURU MELALUI MIKROSKOP
“Ba, kita undi siapa?”
Pertanyaan itu lazim kedengaran sejak akhir-akhir ini. Tetapi apabila ia
diajukan kepada si Buyung, dia menggelabah juga untuk menjawabnya.Ketika itu
lain yang difikirkan di kepalanya. Si Buyung mahu mengulas mengenai Cinta
melalui teleskop, cemburu melalui mikroskop, yang diperolehinya dari sebuah
buku.Orang yang selalu diterima cintanya, biasanya kurang memahami apa itu
cinta.
Itulah yang bermain-main di kepala si Buyung ketika tiba-tiba dia diajukan
persoalan siapa yang patut diundi dalam pilihanraya kali ini.
“Undilah yang mana kita suka”, kata si Buyung berdiplomasi. “Kita undi ‘ini
kalilah’ atau ‘lain kali lah’?” Barulah si Buyung sedar bahawa pertandingan
dalam pilihanraya ini bukan setakat antara BN versus PR tetapi antara ‘ini
kalilah’ vs lain kalilah’.
Slogan? Atau jargon politik semata-mata? Si Buyung menolak berspekulasi. Si
Buyung tahu,banyak lambang yang mengusung slogan `ini kalilah’ sehingga pada
pendapat si Buyung, sokongan terhadap ‘ini kalilah’ terbahagi dan pecah
manakala pendukung `lain kalilah’ memakai hanya satu lambang.
Bagi si Buyung, pilihanraya umum di Sabah adalah satu peristiwa yang
menarik. Sepanjang jalan, terpacak bendera parti-parti yang bertanding.
Penyokong-penyokong parti berkempen mati-matian untuk memenangkan calon mereka.
Jika sudah letih, mereka singgah di restoran atau kedai kopi, duduk minum
bersenda gurau, bermain provokasi dan spekulasi, walaupun mereka berlainan warna
baju dan topi.
Suasananya memang meriah. Ketika ini Si Buyung mudah bertemu dengan
calon-calon parti yang bertanding, sama ada penyandang atau pesaingnya. Malah
mereka sering kelihatan berkelililing di kedai-kedai kopi untuk menyalami
penyokong masing-masing.
Sekali dalam lima tahun. Tidak apalah kerana tempoh berkempen lima belas
hari dan selepas kemenangan, atau kekalahan, mereka boleh melupakan rakyat lagi
dan kemudian akan datang bersalaman dengan mereka dalam lima tahun lagi.
Tidaklah semua begitu, fikir si Buyung. Kalau sekarang, calon atau bakal YB
cepat mengangkat kalau terdengar bunyi telefon, selepas ini ada di antara
mereka, yang enggan atau malas membalas sms penyokong-penyokong mereka.
Kalau berjabat tangan pun, mata melihat ke arah yang lain. Jika begini,
fikir Si Buyung, bagaimanakah ia boleh menimbulkan rasa sayang di kalangan
penyokongnya. Sudahlah telefon tidak diangkat, sudahlah sms tidak berjawab,
bersalam pun mereka enggan bertentang mata.
Janganlah pula dikira janji-janji kerana `tinggi gunung seribu janji’ pun
mereka tidak menepati. Tidak ada ikatan antara pemimpin dan rakyat yang memilih
mereka. Kadang-kadang dalam keadaan kecewa itu, penyokong yang tadinya
menyokong mereka, tersesat dalam belantara politik lalu menyokong pihak yang
mereka fikir dapat membela nasib mereka. Kalau mereka kecewa, menyeberang
lagi.Kecewa lagi, melompat lagi, sehinggalah tidak ada lagi tempat yang boleh
dilompati kerana semua sudah dilompati.
Begitulah susahnya, kata si Buyung. Itu sebabnya, terdapat keengganan si
Buyung untuk bercakap dunia politik yang tidak ketentuan itu. Tapi apabila dia
ditanya mengenai pihak mana yang harus dipilih, si Buyung teringat bahawa dalam
amalan demokrasi, setiap orang dibenarkan memilih pihak mana atau calon mana
yang mereka suka.
Orang yang cintanya selalu diterima, biasanya kurang memahami cinta. Si
Buyung fikir bahawa dalam cinta juga berlaku penolakan.Dengan penolakan itu,
mungkin, barulah hadir pengertian dan pemahaman mengenai makna cinta yang
sesungguhnya. Makna cinta yang sebenarnya.
Tapi bagaimana pula kita dapat mengatakan cinta kalau sesudah cinta
dimeterai, kita gagal mencintai dan
menjenguknya hanya sekali sekala untuk berjanji, janji yang kemudian
kita lupai.
Cinta melalui teleskop, cemburu melalui mikroskop. Ini kata-kata Josh
Billings, penulis abad ke-19, yang pernah menjadi wartawan, seorang humoris,
pensyarah yang selalu dikutip kata-katanya selepas Mark Twain.
Kalau cinta, lihat melalui teleskop. Kalau cemburu, kecemburuan politik
misalnya, lihat melalui mikroskop. Sayangnya, si Buyung tidak mempunyai
teleskop atau mikroskop.
`ini kalilah atau lain kalilah’, si Buyung sudah mempunyai pilihan.